Header Ads

NOVEL: MENGAPA DI RINDU 11

Advertisement
Hazzim memandang wartawan berambut afro itu dengan satu renungan tajam. Wartawan dari Harian Perdana itu pula membalasnya dengan pandangan kurang mengerti. Benaknya berteka-teki maksud reungan pengurus besar yang masih muda itu. Sebenarnya dia tidak menyalahkan wartawan itu atau sesiapa yang jadi penyibuk menyampaikan insiden di restoran itu. Tetapi, yang dia marahkan tentulah Wida, kerana perempuan gedik yang dibawa muncul semula oleh abang Ammar, hidupnya jadi tunggang langgang akhir-akhir ini. Dia pasti kerana insiden yang terjadi di restoran tengahari tadi itulah yang membawa wartawan berambut afro itu menghadapnya. Entah dari mana dia mendapat sumber berita basi itu pun Hazzim tidak pasti.

“You nak minum? I belanja.” Hazzim menawarkan persahabatan.

“Tak apa Encik Hazzim. Saya pun baru lepas makan tengahari. Agak lewat sikit sebenarnya…” Wartawan itu tersengih-sengih pula sambil mengintai jam di pergelangan tangannya yang menunjukkan pukul tiga lebih.

“Selalu makan lewat ke? Orang dah nak minum petang, you baru makan tengahari…” Hazzim cuba membuka ruang perbualan yang lebih santai.

“Kerja wartawan ni tak ada waktu yang tetap, Encik Hazzim. Kadang-kadang malam baru nak minum petang…hi…hi…” di akhir katanya lelaki itu menyeringai.

“Ya. I faham tugas murni you all. Tetapi, soalan yang you tanyakan di pejabat tadi I tak boleh jawab. I tak boleh kongsikan apa yang you nak tahu sebab tiada berita yang hendak di tulis. Itu saja.”

“Bukan kah model itu orang istimewa dalam hidup you? Kenapa you all bergaduh tadi? Ada orang ketiga ke?” Wartawan tadi terus menyoal.

“Eh! Lupa pulak. Apa nama you? Dari tadi kita berbual langsung tak tahu nama you.”

“Saya Adham. Ini kad saya.”

“Ya! Ya! Tadi you dah beri masa kat ofis. I lupa. Sorry.”

“Its okey. Saya faham dengan kedudukan Encik Hazzim, jadi tekanan tu pastinya lebih sedikit berbanding jika Encik Hazzim ini orang biasa.”

“Apa maksud you?”

“Kalau boleh saya nak tolong kurangkan tanggungan yang Encik Hazzim tempuhi sekarang ini. Saya pun tak mahu buat berita tanpa asas. Dengar dari gossip tak cukup kuat bagi wartawan macam saya. Saya mencari kebenaran…bukan nak sorokkan.”

“Tapi I memang tiada apa yang nak disorokkan. Model bernama Wida itu adalah sejarah I. Dah tutup buku. Dan I tak kisah pun you nak pasangkan dia dengan sesiapa, tapi…tuduhan you mengatakan ada orang ketiga itu tak benar. Macam mana boleh ada orang ketiga sedangkan kita orang dah tak ada apa-apa hubungan.”

“Jadi…betullah Encik Hazzim mencari orang ketiga yang dimaksudkan? Macam dalam gossip tu?”

“What gossip? I don’t understand what you talk about.”

“Dalam majalah Selebriti bulan ini ada digosipkan yang model terkenal Wida sedang bercinta dengan seorang VIP. Saya rasa orang yang dimaksudkan itu adalah Encik Hazzim kan? Dan orang ketiga tu hanya mainan berita dalam industri hiburan sahaja?”

“Bukan I! Actually we have break off two years ago. What a nonsense news! You kena tolong I cari siapa VIP yang digosipkan dengan dia tu. Maybe somebody I know or you know! Tolong I okey!”

Tanpa menunggu lama Hazzim bangun dan meninggalkan Adham termangu-mangu. Lain berita dicari, lain info pula yang dia dapat. Dia masih termangu sehingga tubuh lampai Hazzim hilang dari pandangan.

***
Hazzim merenung sahaja nasi yang terhidang di depan matanya. Beberapa jenis lauk dan ulaman segar yang menyengat di hidungnya juga gagal menarik minat anak tekaknya. Di dalam jag di sudut meja makan itu pula Bibik Natrah telah menyediakan jus mangga yang kelihatan amat menyegarkan.

“Hazzim…apa lagi? Tenung aje nasi itu mana boleh kenyang? Kamu ada masalah ke?” teguran lembut dari Dato’ Hajah Yusniza mematikan lamunan Hazzim.

“Tak ada mood nak makan, ibu. Fikiran saya tengah ‘stuck’ sekarang ini. Ingat selepas break boleh tenang, boleh buat hal sendiri dan tak ada gangguan remeh temeh lagi. Sekarang ini lain pula jadinya. Saya pula yang kena menjawab bagi pihak dia. Huru-hara dia yang buat, saya yang kena.” Panjang lebar Hazzim melampiaskan masalah hatinya kepada ibunda tercinta.

Dato’ Hajah Yusniza terhenti menyuap nasi. Tangannya di celup ke dalam mangkuk mencuci tangan. Seleranya terbantut dek mendengar luahan Hazzim sebentar tadi.

“Ofis ada masalah ke, Hazzim? Dia datang lagi? Ibu tak tahu pun. Adira pun tak inform pada ibu perkembngan terkini. Nampaknya budak itu dah lupa apa yang ibu pesan. Kena ingatkan dia semula…”

“Ini hal peribadi saya. Ibu tak perlu risaulah…Cuma sekarang ini saya tak ada mood nak makan.”

“Kamu cakap dengan ibu sekarang. Buat apa dia pergi jumpa dengan kamu lagi? Dengan siapa pula dia datang kali ini! Biar ibu uruskan orang itu!”

“Saya minta maaf, bu. Biar saya uruskan sendiri. Ibu jaga diri dan kesihatan ibu itu. Saya risau nanti ibu pulak yang sakit mendengar masalah peribadi saya. Saya naik ke bilik dulu, bu. Nak mandi.”

“Habis, siapa yang nak makan lauk yang banyak ni?”

“Ibu dengan Bibik lah…”

“Eii…budak ni.”

Hazzim tidak mempedulikan bebelan ibunya tetapi dia sempat mengirimkan senyuman meminta maaf. Lagipun badannya seakan tidak larat lagi untuk berborak-borak lebih lama dengan ibunya. Tambahan pula, dia tidak mahu terlepas cakap mengatakan Wida kini datang kembali dengan Ammar untuk menganggu hidupnya. Takut nanti si ibu pula mendapat serangan jantung. Selagi dia mampu, dia akan uruskan hal itu bersendirian.

Usai mandi dan menunaikan kewajipan kepada yang Esa, Hazzim membuka lama Googlenya. Dia memeriksa kalau-kalau ada e-mel terbaru dari Alisya. Rindunya pada gadis itu mengalahkan segala-galanya. Dia tiada ‘mood’ untuk makan tadi pun kerana risaukan Alisya. Risau kalau insiden di restoran menjadi tajuk berita kolum hiburan dan wajahnya dipaparkan. Dia mesti menjaga reputasinya di mata Alisya.

Matanya bersinar-sinar tatkala dia terpandangkan satu e-mel di dalam kotak ‘Inbox’nya. Tidak sabar rasanya untuk mengetahui isi kandungan yang dihantar oleh Alisya. Adakah Alisya memenuhi permintaan ‘Mizah’ tempohari? Semakin berdebar-debar pula dadanya ketika tangannya telah menekan butang e-mel dari Alisya itu.

‘Salam hormat Mizah. Saya memohon maaf kerana lewat membalas e-mel anda tempohari. Saya sibuk dengan ‘dateline’ dan lain-lain perkara yang tidak dapat dielakkan. Lagi pula sejak kebelakangan ini saya mengalami sedikit tekanan yang menyebabkan saya tiada mood untuk menulis atau membuka e-mel. Tetapi demi anda yang saya sayangi dan rakan-rakan yang menunggu berita dari saya, maka saya gagahkan juga menulis sebaris dua ayat.

Sebagai memenuhi permintaan anda, saya sertakan gambar saya untuk simpanan anda. Salam ukhwah dari saya, Alisya.’

Hazzim terus menekan butang ‘Attachment’ dengan rasa tidak sabar. Akhirnya, gambar jelita Alisya menjadi miliknya. Walaupun hanya sekeping, itu sudah cukup untuk menjadi azimat dan penenang untuk selama-lamanya.

‘Thank you Alisya! Love you more and more…’ tanpa sedar ungkapan penuh keramat itu terpancul dari bibirnya. Setelah sedar yang dirinya hanya berangan, perasaan malu dan bengang mula menguasai. Nasib baik tak ada orang lain dalam bilik ini…keluhnya dengan dada yang masih berdebar-debar.

Oleh kerana terlalu gembira, Hazzim keluar semula dan menuju ke dapur untuk mengisi perut. Baru kini dia berasa lapar setelah kali terakhir dia menjamah makanan ialah semasa bersemuka dengan Adham, wartawan dari Harian Perdana siang tadi. Entah mengapa semangatnya datang kembali setelah menerima kiriman e-mel daripada Alisya.

“Siapa tu?”

Hazzim diam. Dia tidak mahu mengejutkan Bibik Natrah yang mungkin sudah tidur ataupun hanya baru mahu tidur. Setelah menunggu beberapa ketika suara Bibik Natrah tidak kedengaran, Hazzim mula menyelongkar di bawah tudung saji. Sebaik sahaja dia mengangkat mangkuk lauk, satu suara lain mengejutkannya dari belakang.

“Abang!”

‘Siapa pulak ni!’

Tidak lama kemudian lampu dapur terpasang.

“Apasal abang makan dalam gelap? Macam pencuri. Nasib baik Mimie tak ketuk kepala abang tadi. Kalau tidak ada yang kena pergi hospital kerana cedera parah…” Mimie mengusik Hazzim yang masih belum hilang terkejutnya.

“Apa adik buat kat dapur ni?”

“Nak ambil minuman. Haus. Abang pulak buat apa? Dah malam baru nak makan ke?” soal Mimie kembali.

“Abang lapar, dik. Belum makan lagi.”

“Dah dekat tengah malam, bang. Ada lauk lagi ke? Tadi ibu kata makanan tak habis ibu dah bagi kat kawan Ibu Natrah. Tu la…tadi siapa yang jual mahal tak nak makan, kan dah kebulur pulak.”

“Ya ke? Terliur abang dengan lauk yang Ibu Natrah masak tadi, dah tak ada rezeki nak buat macam mana?”

“Abang nak pegi mana tu?”

Mimie mengekori Hazzim yang menuju ke pintu utama. Hazzim tidak mengendahkan pertanyaan dari Mimie itu lantaran perutnya sudah berkeroncong tidak boleh di tahan-tahan lagi. Dia mesti keluar mencari makanan, atau paling tidak pun menjamah roti canai di restoran mamak yang di buka 24 jam.

“Nak ikut, bang.”

“Jomlah.”

Ketika Hazzim dan Mimie tiba di sebuah restoran mamak 24 jam, waktu di dashboard telah menghampiri pukul 1 pagi. Kelihatan restoran itu masih dipenuhi dengan pengunjung yang rata-ratanya golongan muda. Mungkin mereka adalah pelajar kolej dan universiti yang keluar minum atau sekadar berborak bertemu teman-teman setelah seharian penat mentelaah pelajaran.

“Abang nak makan apa?”

“Roti bakar pun boleh, dik. Yang penting perut kenyang. Kalau tidak, tak boleh tidur.”

“Lain kali jual mahal lagi.”

“Mana ada!”

“Ala…ibu mengadu pada adik tadi.”

Hazzim tersengih mendengar ayat yang dituturkan oleh Mimie. Apa nak buat, pada masa itu ‘mood’nya masih tidak menentu.

“Apasal tadi? Merajuk dengan ibu ke?”

“Tak adalah. Saja abang tak ada mood tadi.”

“Sekarang dah okey pulak? Macam orang perempuan yang kena datang bulan aje abang ni. Atau si dia dah pujuk abang kut.”

“Mana ada si dia yang macam Mimie cakap tu.”

“Mungkin ada. Abang saja sorokkan dari Mimie.”

“Tak ada!”

“Cara abang jawab ‘tak ada’ tu macam ada…mata abang bersinar-sinar, bibir tersenyum, itu semua tanda orang yang sedang di alam percintaan.”

“Mana adik abang belajar semua itu? Ini study ke bercinta kat UITM, ibu hantar belajar jangan nak main-main pulak.”

“Belajar lah bang!”

“Ingat dik, jangan hampakan harapan ibu.”

“Mimie tahulah bang. Don’t worry.”

Akhirnya Mimie yang terkena sedangkan pada mulanya dia mahu mengenakan Hazzim tadi. Sambil menikmati roti bakar dan teh tarik mamak, Hazzim mencuci pandang kepada pelanggan-pelanggan yang masih bersantai di restoran tersebut.

Seketika kemudian pandangannya terhenti pada satu meja yang di duduki oleh seorang lelaki yang seperti dikenali. Tetapi dia gagal mengingati di mana dia terserempak dengan lelaki itu. Tetapi bila diingat semula tubuh kurus keding yang sedang menghirup minumannya, terus ingatannya terarah kepada Kamal dan Alisya. Ah! Mengapa mesti dia lupa, itulah teman lelaki Alisya!

Semakin lama dia menunggu, bayangan Alisya tidak muncul juga. Dia pasti benar yang Zikry keluar dengan Alisya. Dua buah gelas yang terhidang di meja membuktikannya. Namun seketika kemudian, Hazzim hampir tersedak kerana yang muncul di hadapan Zikry bukanlah Alisya yang dimimpikan siang dan malam tetapi seorang gadis muda yang kelihatan seksi. Yang jelas itu bukan Alisya, apatah dia memang faham sangat dengan gerak tubuh gadis itu.

Tetapi siapakah gadis itu? Adakah Alisya tahu itu semua. Perlahan-lahan perasaan kasihan menjalar ke dalam hati dan menyebabkannya terasa sebak tiba-tiba.

“Abang! Jom balik. Dah mengantuk ni.”

“Hah! Ya…ya. Jom.”


***

Hazzim memarkir keretanya di hadapan bangunan tempat Alisya bekerja. Setelah kejadian malam tadi dia teringin sangat berjumpa denagn Alisya. Jiwanya meronta-ronta untuk menceritakan hal malam tadi. Walau apa terjadi dia mesti berterus terang dengan gadis itu tentang kelakuan Zikry diluar pengetahuannya. Alisya mesti mengetahuinya sebelum terlambat. Mesti!

“Alisya! Cik Alisya!”

Gadis itu tertoleh-toleh mencari empunya diri yang sedang memanggil namanya.

“Oh! Encik Hazzim. Jumpa client?”

“Dah. Baru lepas. Ni yang secara kebetulan lalu kat sini. Ingat nak ajak you makan tengahari.”

“I? Makan dengan you? Tak ada orang marah ke?”

Hazzim ketawa besar.

“Siapa nak marah? Lainlah you. Kena minta izin dahulu.”

“Kenapa pulak? I bukan hak sesiapa, jadi kenapa mesti nak minta izin? Peliklah you ni.”

“Kira bolehlah ni.”

“Tapi I ‘high taste’ tau. Takut you tak mampu nak penuhi permintaan I nanti. I tak makan kat warung tepi jalan, I tak pakai baju yang tak ada branded…dan macam-macam lagi yang you tak tahu pasal I.”

“Untuk you, I akan lebih bekerja keras. I jamin.” Hazzim memberikan katanya.

Alisya mempamerkan wajah kurang yakin. Dia sengaja ‘bermain-main’ dengan Hazzim sebentar tadi. Dia tidak mengenali secara mendalam tentang lelaki itu, sikapnya, peribadinya dan lain-lain hal yang perlu diberi perhatian. Dia tidak semudah itu untuk terjebak dengan luaran seseorang. Selama ini pun dia tidak berbual sangat dengan abang angkat Kamal itu.

Alisya rimas dengan renungan menggoda jejaka di hadapannya itu. Pandangannya kali ini berbeza benar dengan pandangan kali pertama ketika insiden di rumahnya dahulu. Dia dah gila ke tengok aku macam nak telan…getus Alisya dalam hati.

“Cik Alisya…I sedang menunggu jawapan.”

“Erm…”

“Please Cik Alisya…kalau ini pelawaan I yang terakhir, terimalah. Kalau Cik Alisya tidak suka lain kali I tak buat lagi.”

“Apa you cakap macam itu. Okey. I ikut you.”

Alisya mengekori langkah Hazzim yang nampak kemas dan teratur. Lelaki itu amat bergaya di dalam kemeja lengan panjangnya dengan sebatang pen berjenama terselit di poket baju. Siapakah dia sebenarnya? Adakah dia seseorang yang menjawat kedudukan penting dari organisasi yang gah?

“Mana Storm you.”

“Lupa nak bagitahu tadi. I bawa Harrier hari ini. Jom…”

“Berapa biji kereta Encik Hazzim ada?”

“Syarikat punya. I cuma test and drive…”

“Encik Hazzim kerja kat kedai jual kereta ke?”

Hazzim tidak menjawab sebaliknya hanya tersenyum mendengar pertanyaan dari Alisya.

“Orang tanya dia buat senyum pulak.”

Sekali lagi Hazzim menghadiahkan senyumannya kepada Alisya. Semakin hairan pula Alisya dengan gelagat Hazzim. Macam-macam…
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.