Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 28

Zek terus memarkir keretanya di garaj. Di tangannya penuh dengan sate dan Dragon Fruit yang dipesan oleh Baiti tadi. Sambil itu matanya mencuri pandang ke bawah pokok di seberang jalan yang bertentangan betul dengan rumah jirannya. Aik! Kereta baru lagi. Baru dua hari lepas dia perasan jirannya itu menukar kereta, hari ini dah bertukar lagi. Ah! Mungkin kerjanya ada kaitan dengan jual beli kereta, fikir Zek sambil terus masuk ke dalam rumah.

“Kaya betul jiran kita tu, Iti. Tukar kereta lagi.”

“Baguslah ada orang melayu kita yang kaya macam itu. Kalau dulu nak nampak orang kita pakai kereta besar pun susah, sekarang satu rumah pun bersepah-sepah kereta dia orang. Lagipun kerajaan kita kan tengah galakkan orang membeli kereta. Supaya industri permotoran negara berkembang dan maju…” Baiti menjawab panjang lebar.

“Cakap pun dah macam ahli ekonomi isteri abang ni, makin bijak!”

“Abang lupa ke yang saya ambil masters dalam ekonomi kat UK dulu? Tentulah saya tahu serba sedikit pasal ekonomi negara kita.” Baiti mencuit hidung suaminya.

Zek tersenyum mengekeh apabila tangan halus Baiti singgah di perutnya. Dia memang kalah kalau digeletek begitu. Tambahan pula, semenjak kebelakangan ini Baiti gemar sangat mengusiknya begitu.

“Nanti anak abang ni macam ibunya ke, kuat menyakat orang.” Giliran Zek pula mengusap perut Baiti yang semakin membesar.

“Yup! Nanti anak kita nakal tetapi bijak…macam ayahnya juga.”

“Tapi abang tak nakal pun.”

“Siapa cakap? Melia dah cerita semuanya. Bukan ke dulu abang dengan Ijol hantu kat sekolah…”

“Ala…hantu kacang aje!”

“Apa benda maknanya tu…ada-ada je abang ni.”

“Hantu yang baik hati, buat benda yang orang baik buat…”

“Ada ke hantu yang baik, buat kerja baik-baik…kelakar pula saya dengar.”

“Kita orang tak dajalkan orang…cuma Ijol itu yang suka membuli Melia. Dia ada hati kat si Melia, tapi the other way round pulak nak tackle, salah cara. Padan muka dia kena tinggal. Lama jugak dia cari Melia. Before that loss contact sebab Melia pindah Melaka. Kalau dah jodoh…ada saja jalannya.”

“Tak sangka kawan kita itu dah nak kahwin, kan.” Baiti menuang air ke dalam gelas suaminya.

“La…jadik pulak. Hari tu bukan main marah sakan si Ijol dengan perangai Melia, nak kahwin dah? Bila tu majlisnya?”

“Bulan depan kut, bang. Masa itu saya dah dekat nak bersalin, bang. Kalau tak sempat abang pergi sendirilah ya…”

“Kita pergi sama-sama. Masih sempat lagi…”

“Rasa-rasanya tak sempatlah bang.”

“Hish! Jangan fikir dulu, tiba masanya nanti baru kita bincang lagi…okey.” Zek memujuk lembut isterinya.

Baiti membalas cadangan Zek dengan mengelus lembut lengan suaminya. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Zek tadi, tiba masanya nanti barulah mereka membuat keputusan. Namun Baiti merasakan masanya sudah suntuk untuk itu semua. Hatinya menjadi rawan tiba-tiba. Tidak tahu mengapa. Adakah semua ibu mengandung berperasaan sepertinya? Perasaannya sangat jauh kini, seolah-olah dia akan pergi dari suaminya. Dia menguatkan pelukannya ke tubuh tegap Zek. Bau harum dari tubuh suaminya itu makin menyesakkan dadanya. Air mata jernih tumpah tanpa dipaksa…

“Sayang…kenapa ni. Tadi elok aje.”

“Maafkan saya bang…”

“Hish! Kenapa ni? Tak sedap ke sate ni…”

“Saya gembira kerana abang melayani saya dengan baik, sebab itu saya sedih…saya tak sempat berbakti dengan abang…”

“Apa yang Iti buat selama kita berkahwin dah cukup buat abang, abang redakan semuanya. Dah lah tu…kata nak makan Dragon Fruit. Makanlah…abang dah beli banyak tu.”

Zek memotong ‘buah naga’ itu selepas membuang kulitnya. Warnanya yang ungu kemerahan itu amat menyegarkan. Dilihat sekilas wajah Baiti yang bersinar-sinar seolah tidak sabar mahu menelan buah yang boleh tahan mahal harganya itu.

“Pregnant lady memang sensitive…” usik Zek perlahan antara dengar atau tidak sahaja di telinga Baiti.
***
Adalia memandang sahaja gelagat Ijol dari tempat duduknya. Sejak pagi tadi dia bangun duduk hampir empat kali, tetapi bosnya itu sentiasa sibuk. Samada panggilan masuk ataupun dia yang membuat panggilan, yang pasti dia belum berkesempatan menghadap bosnya yang kelihatan ceria akhir-akhir ini. Beberapa minggu lalu bukan main serabai, macam laki kematian bini, tetapi sejak dua tiga hari kebelakangan, bukan main sihat dan ceria penampilannya. Takkan secepat itu hatinya diubati. Fikir Adalia sendirian. Uh! Mana boleh jadi macam ini!

“Encik Hariz! Nak pergi mana tu?”

Ijol berhenti melangkah. Dia menapak ke meja Adalia sambil membetulkan ikatan tali lehernya.

“Ada meeting. Awak tak tahu ke?”

“Ohh!...Saya ingat nak pergi mana tadi.”

“Terlanjur awak dah tanya, saya nak bagitahu. Habis meeting saya tak balik office, ada appointment kat luar. Nanti awak tolong offkan computer dan lampu bilik saya, ok.”

“Tapi dalam diari saya tak tulis pun Encik Hariz ada appointment hari ini.”

“Yang ini ‘off’ record. Okey.”

“Ohh…” Adalia hanya terlopong melihat Ijol berlalu. Bibirnya kelu untuk membuka mulut perihal sepupu yang ingin dikenalkan kepada Ijol. Akhirnya dia terduduk dengan muncung panjang sedepa. Melepas lagi!

Adalia mendail nombor Ain Zahidah. Baginya Ijol tidak boleh dilepaskan begitu sahaja sementelah bosnya yang muda itu masih solo. Setakat yang dia tahu lelaki itu hanya berkawan baik dengan Aini dan wanita misteri yang gambarnya banyak tersimpan di dalam lacinya. Walaupun ada terdetik di hati Adalia bahawa wanita misteri itu mempunyai satu ikatan yang unik dengan Ijol, tetapi selagi tiada bukti sahih, dia percaya sepupunya masih punya peluang.

“Tak sempat lagi la…’

“Mana aku tahu!”

“Okey! Okey! Aku tahulah apa aku nak buat.” Adalia meletakkan telefon dengan garang. Menyesal pula dia berjanji dengan sepupunya yang juga seorang model sambilan itu. Kini dia terhutang janji dengan gadis itu. Hish! Ingat ikhlas nak tolong orang, kini dah jadi terpaksa pula! Bebel Adalia seorang diri.

“Oii Mak Cik…marahkan siapa? Berdetap detup aku dengar gigi kau berlaga. Marahkan kat suami kau, ke?”

Adalia mendongak. Pandangan matanya bertemu dengan renungan tajam milik Aini Syarifah. Eksekutif muda itu menunggu butiran perkataan keluar dari mulut Adalia. Adalia sebaliknya tertekan samada perlu berterus terang dengan Aini atau sebaliknya. Lagipun rancangan yang diciptanya adalah rahsia, bukan untuk dikongsi dengan sesiapa. Tambahan Aini rapat dengan Ijol. Dia takut nanti Ijol menuduhnya perempuan pencari jodoh, yang pasti ia bukan sesuatu yang bagus untuk graf kerjayanya di syarikat pembinaan terkenal itu.

“T..tak aa…da apa-apa Aini. Aku marahkan diri aku, kerja sikit pun lambat nak siap.” Adalia berbohong.

“Tahu pun kau. Itulah aku pesan, waktu kerja jangan banyak berangan.”

“Ya Cik Aini. Aku tahu.”

“Apa yang kau tahu?” soal Aini sengaja mengusik Adalia yang sudah memerah wajahnya.

“Aku tahulah aku ni PA Ijol tu aje, tapi kau janganlah nak pandang rendah kat aku pulak.”

“Ke situ pulak. Itulah, bila aku cakap kau kuat berangan, kau marah. Tapi terang-terang kau memang suka berangan, kuat perasan. Aku tak ada pun marahkan kau. Cuma aku rasa kau perlu lebih cekap dan banyak belajar.”

“Otak aku dah tak jalan lah bila tiba bab-bab belajar ni. Malas aku…”

“Eii Cik Ada…belajar tidak semestinya kena pergi kelas secara formal, menghadap lecturer dan sebagainya…cukup kalau kau pandai rancang masa dan jadual bos kau. Kau tentukan masa bila mesyuarat dengan kakitangan jualan, meeting dia dengan pengarah, bila masa dia kena tandatangan semua dokumen-dokumen yang berlambak kat meja dia itu. Kau tahu tak, dah berapa lama dokumen perjanjian jual beli rumah terperuk di dalam bilik dia?”

“Tahu Cik Aini.”

“Dah tu…kau tak buat apa-apa untuk ingatkan dia? Budak jabatan jualan dan Kredit dah bising kat aku tau. Itu yang kau kena take note! Understand!” Aini mengeraskan suaranya. Biar Adalia rasa takut sedikit digertak begitu.

Sambil berlalu Aini tersengih-sengih sendirian. Walaupun dia berkawan baik dengan Adalia terutamanya teman sewaktu makan tengahari, tetapi bila tiba bab kerja dia tidak boleh berkompromi. Itulah prinsipnya walau ada sesetengah kakitangan bawahannya mengatakan dia ‘mak tiri garang’.

***

“Kau ada kat JB? Sekarang kat mana ni?”

“Aku kat Pan Pacific Hotel.”

“Turun dengan siapa. Sorang?”

“Yup! Aku ada ‘appointment’ dengan sidia.”

“Oh! Patutlah aku tengok dia bukan main segak lagi hari ini. PA dia kata lepas meeting nanti dia terus tak balik office. Dia dah sampai ke belum?”

“Belum lagi. Tengah boring ni…kau sibuk ke? Eh! Tadi kau cakap apa? PA dia? Kau kenal ke?”

“A…aku tersalah cakap tadi. PA bos aku tu…salah sampaikan pesanan.”

“Dah lama tak jumpa kau…datanglah.”

“Tengoklah nanti. Kerja siap cepat, aku pergi jumpa kau.”

“Ok. Bye.”

Aini mematikan telefonnya. Senyuman melingkari wajah setelah mendapat panggilan dari rakan karibnya sebentar tadi. Nyaris tadi dia terpecahkan rahsia Ijol. Dia pun pelik dengan perangai Ijol yang menyuruhnya berahsia tentang kerjaya mereka yang sama dan sepejabat. Apa rancangan Ijol sebenarnya pun dia tidak tahu…

Aini terus bersemangat menyiapkan kerjanya dan lima belas minit kemudian, kereta Aini sudah menuju ke pusat bandar. Sempat juga dia membelikan dua bungkus cendol untuk teman yang hampir setengah tahun tidak ditemuinya itu.

***

Ijol memandu laju ke pusat bandar setelah tamat bermesyuarat dengan pengarah syarikat dan ketua jabatan sebentar tadi. Hampir 3 jam juga mesyuarat bulanan itu berlangsung sehinggakan dia berasakan punggungnya berkematu duduk di atas kerusi tadi.

“Saya mahu bahagian jualan meningkatkan prestasi jualan yang menurun sejak dua bulan ini. Tambahkan promosi dan buat ‘soft launch’ untuk rumah yang sudah lama terbiar. Saya tidak mahu projek perumahan kita ketinggalan daripada pesaing-pesaing kita. Encik Hariz…ada apa-apa cadangan?”

“Ya Datuk?”

“Any fresh idea you want to suggest to? You kan orang muda, should have brilliant ideas to come up to double up our sales.”

Ijol termangu. Badannya sahaja berada di dalam bilik mesyuarat yang sejuk itu, tetapi fikirannya sedang berangankan si buah hati yang mungkin sedang menunggunya di bilik hotel. Datuk hanya menggelengkan kepala melihat tingkah Ijol yang tidak seperti kebiasaannya.

“Saya sedang plan, Datuk.”

“Show to me next week. We will discuss what you have in your mind.”

“Okey Datuk.”

Dikerling kepada John Wee dan Badri dari jabatan arkitek yang duduk bersetentang dengannya. Kedua-dua makhluk Allah itu sedang mentertawakannya. Siap kau nanti! Macamlah korang tak pernah kena ‘sound!’. Gumamnya lagi dengan hati yang berbuku.

Bunyi hon yang kuat mengejutkan khayalan Ijol. Cepat-cepat dia menekan minyak meneruskan pemanduan sambil mengangkat tangan memina maaf kepada pemandu kereta di belakangnya. Sesekali mata Ijol terarah kepada jam di dashboard. Jika sempat sampai di bilik penginapan Kamelia, dia ingat mahu menumpang solat Asar sebentar sebelum mereka keluar memenuhi temujanji yang telah dirancang seminggu lalu.

Ijol terus menuju ke pintu lif untuk naik ke bilik Kamelia di tingkat lima belas seperti yang diberikan oleh gadis itu lewat SMSnya tengahari tadi. Dia tidak mengendahkan renungan sepasang mata lelaki yang sedang duduk di satu kerusi di ruang legar hotel lima bintang itu. Dia perlu bergegas sebelum waktu Asar tamat dan Maghrib menjemput tiba.

“Assalamualaikum.”

Kamelia sudah tercegat di pintu biliknya ketika Ijol memberi salam.

“Waalaikumussalam…kita keluar terus. Saya dah siap ni. Lagipun…”

Ijol tidak menyambut huluran tangan Kamelia yang mahu menyalaminya seperti selalu setiap kali mereka bertemu. Hati Kamelia diserang ragu tiba-tiba.

“Maaf sayang…saya tengah ada wuduk. Saya nak tumpang solat sekejap.”

Kamelia tersenyum mengerti. Sebentar tadi terkejut juga dia mengapa kelakuan Ijol terburu-buru dan nampak aneh.

Kamelia membetulkan ikatan kain tudungnya yang terikat rapi itu. Walau sekadar diikat ringkas, dia mahu kelihatan kemas dan cantik. Blaus pink dan seluar jean longgar yang menghiasi susuk tinggi lampainya memang menyerlahkan lagi kejelitaannya. Dia mengemaskan hujung katil sebelum mengambil ‘handbeg’ yang diletakkan di atas meja kecil di sudut bilik.

Bunyi loceng yang ditekan dari luar mengejutkan Kamelia yang memang mahu membuka pintu biliknya itu. Apabila ketukan pula kedengaran, dia perlahan-lahan membukakan pintu itu separuh. Selepas memperkenalkan diri, Kamelia membenarkan empat orang lelaki yang berpakaian kemas dan bersongkok itu masuk. Dua orang lelaki berpakaian seragam seperti pengawal yang mengiringi mereka juga ikut membontoti empat yang lain.

“Kenapa ni Encik?” dalam kehairanan Kamelia terus menyoal salah seorang lelaki yang memakai kopiah.

“Kami mendapat laporan ada kegiatan maksiat di bilik ini.”

“Tetapi kami tak buat apa-apa pun. Kawan saya tumpang solat sekejap. Lagipun kami dah nak keluar dah ni…” Kamelia menjawab dengan nada cemas.

Ijol yang selesai menunaikan solatnya segera mendekati Kamelia. Solatnya tadi pun sedikit terganggu dengan bunyi loceng dan kecoh yang berlaku di depan pintu.

“Ada apa ni?” dadanya berdegup kencang tatkala soalan itu diajukan secara rambang kepada orang-orang lelaki yang memenuhi bilik kecil itu. Apakah kali ini dia benar-benar tertangkap khalwat berbanding kejadian yang menimpanya beberapa bulan dulu? Tiba-tiba wajah sugul Kamelia menimbulkan rasa bersalah di hatinya.

“Tahukah awak berdua-duaan begini mengundang maksiat walaupun niatnya baik. Lagipun kami tidak ada bukti yang mengatakan kamu tidak berbuat apa-apa. Kami hanya menjalankan tugas setelah mendapat laporan.”

“Kami memang nak keluar. Kalau Encik tak percaya saya ada saksi di bawah tadi yang nampak saya baru sahaja sampai.”

“Kami dah muak dengan alasan pesalah bila tertangkap. Bukti konon! Apa nak dibuktikan lagi, dah terang-terang kamu berdua di dalam bilik ini. Dah salah…mengaku sajalah!” cebik seorang pengawal yang ada di situ, yang berbadan sedikit gempal.

Ijol menyinsing lengan baju kemejanya separas siku. Dia gagal menjaga maruah Kamelia yang sepatutnya dilindungi. Menyesal pula tadi dia tidak singgah bersolat di mana-mana masjid yang dijumpai sewaktu perjalanan ke hotel tersebut. Dia mengerling wajah Kamelia untuk kesekian kalinya. Namun gadis itu kelihatan tenang sedikit.

Bunyi pintu bilik air dibuka membuatkan semua mata terarah ke tempat yang sama. Terjengul wajah wanita dengan muka kehairanan memandang kejadian di depan matanya.

“Kamu siapa?”

“Saya kawan dia.”

Jarinya di suakan ke arah Kamelia. Kamelia melepaskan nafas lega. Tetapi, bukankah tadi gadis itu kata mahu menunggu di lobi? Pelik pulak…

***

“Memang aku nak keluar tadi tapi tetiba perut aku sakit. Aku patah balik la…”

“Aku tak perasan pun kau masuk balik.”

“Aku kan macam lipas kudung…pantas dan cekap.”

Ijol dan Kamelia ketawa serentak mendengar jawapan dari Aini.

“Bila kau sampai? Aku tak nampak pun kau keluar dari pejabat.”

“Kau tengah meeting. Aku keluar awal. Sempat tidur lagi masa tunggu kau tadi.”

“Kau ni memang liciklah, Aini.”

Ijol memuji tindakan Aini yang ‘tidak disengajakan’ tadi yang telah menyelamatkan mereka. Kalau tidak, pasti berganda kemarahan ibu bapanya terhadap kelalaian diri sendiri yang berulang kembali. Alhamdulillah…Ijol mengucap syukur dalam diam.

Kamelia merenungi wajah Aini dan Ijol silih berganti. Meeting…macam mana Aini tahu apa yang dilakukan oleh Ijol di pejabatnya? Sudahlah semasa bercakap di telefon tadi pun dia tersasul. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Dia merenungi lama wajah Aini, kemudian kepada Ijol yang sedang memandangnya dengan matanya yang sentiasa memukau itu.Takkan mereka ….

Melihatkan tingkah laku Kamelia yang tiba-tiba berubah, Ijol dan Aini saling berpandangan. Salahkah perbualan mereka tadi. Dimana silapnya yang boleh menyakitkan hati Kamelia. Atau cemburukah dia? Tidak mungkin!

Oops! Barulah Aini sedar mengapa Kamelia tiba-tiba membatu. Tembelang dah pecah…

“Kau jangan marah aku, Melia. Itu semua rancangan Ijol. Aku tak terlibat.”

“Kenapa nak sorokkan dari aku. Korang takut ke aku jealous. Apa yang korang sembunyikan lagi dari aku, hah?!”

“Mel…dengar cakap saya dulu. Aini memang satu ofis dengan saya. Sejak dari awal lagi. Ada banyak sebab saya rahsiakan ini semua dari awak. Saya takut awak syak Aini yang tolong rapatkan hubungan kita. Saya takut awak menuduh saya tidak ikhlas, tidak berusaha. Hanya harapkan orang sekeliling saya…saya tak nak awak memandang rendah usaha saya, Mel. Usaha saya untuk memikat awak semula. Saya takut langkah saya sia-sia, separuh jalan. Awak pun tahu ego saya, kan…saya tak mahu dipandang rendah oleh orang yang saya sayang, Melia.”

Entah bila tangan Ijol mendarat di tangannya, Kamelia tidak perasan. Tangan itu terasa hangat mengalirkan seribu satu semangat ke dalam dirinya. Dadanya yang berdebar menahan marah bercampur geram bertukar tenang dan damai. Harapan dari sinar mata Ijol mencairkan kekerasan hatinya yang memuncak sebentar tadi.

“Maafkan saya kalau awak terasa, Mel. Bukan niat kami nak mempermainkan awak…” Ijol menghela nafas dalam-dalam.

Kamelia tersenyum memandang Aini dan Ijol silih berganti. “Okey, saya maafkan. Tetapi please…don’t repeat it again.”

Tanpa sedar Ijol mengucup tangan tunangnya kerana terlalu gembira. Dalam saat-saat berdarah manis ini, dia tidak mahu timbul masalah dengan Kamelia. Kalau diizinkan, dia mahu memiliki gadis itu tanpa sebarang rintangan.

“Oii Ijol…tak malu ke? Orang tengok lah.” Jeritan kecil Aini menyedarkan pasangan kekasih yang sedang di lamun cinta itu.

Cepat-cepat dia melepaskan pegangannya terhadap Kamelia. Kamelia pula tersengih-sengih malu ditegur Aini begitu.

“Aku rasa korang nikah cepat-cepat lagi bagus. Bahaya kalau macam ini selalu.” Aini menitipkan pesanan ikhlas.

Wajah Ijol dan Kamelia berbunga bahagia tika Aini mengusik mereka begitu.

“Terima kasih Aini. Kalau Tuhan tak gerakkan kau datang, mungkin sekarang ini aku dengan Ijol dan di bawa ke pejabat agama. Kami tak buat apa pun dia orang tak percaya. Takkanlah kami nak buat perkara tak senonoh macam itu…” bebel Kamelia kurang senang.

“Sorang lelaki, yang seorang lagi perempuan. Yang tengah-tengah itu syaitan. Kau lupa ke? Lagipun itu tanggungjawab mereka untuk mencegah maksiat. Kat bandar JB ini dah terlalu banyak masalah seks bebas. Itulah sebabnya siang buta pun dia orang buat operasi.” Balas Aini sambil menghirup ‘fresh orange’nya.

“Itu aku tak kisahlah…yang aku geram dengan pak cik guard tadi. Cakap tak ada bahasa betul…dah lah aku tengah blur. Aku kesian dengan Kamelia. Macam aku dah pernah kena sebelum ini, aku lebih bersedia.”

“Tapi yang ini kalau tertangkap betul-betul tadi kau sukalah Ijol. Boleh kahwin ekspress.” Ejek Aini kepada bosnya itu.

“Mestilah!” sampuk Ijol dengan ketawa besar.

Kamelia tidak menunggu lama untuk memukul lengan Ijol dengan sekuat hati. Dia geram dengan perangai Ijol yang suka mengusiknya.

“Tak betul ke kata saya. Ikut cara rasmi lambat sangat…awak asyik jual mahal.”

“Ijol!!”

Aini dan Ijol galak mentertawakan Kamelia yang merah padam mukanya.

“Aku harap korang cukup-cukuplah gaduh macam budak-budak. Korang dah nak kahwin…aku takut nanti malam pertama periuk belanga berterbangan, lain pulak ceritanya.”

“Aku okey Aini. Sayang aku ni aje yang degil. Cuba kau nasihatkan dia…aku nasihat macam tak jalan aje. Degil…”

“Aku bukan tak nak dengar nasihat dia, Aini. Ijol ni suka buli orang dulu baru nasihat. Mana aku nak tahan dengan perangai dia.”

“Sudah-sudahlah perangai suka membuli kau tu, Ijol. Wanita adalah untuk disayangi, diangkat maruahnya dan dibelai. Bukan untuk dibuli atau dikasari.”

“Aku buli sayang je…bukan betul-betul pun. Kau kan kenal aku, Aini. Aku kan pencinta wanita!” Meledak tawa Ijol setelah membuat kenyataan ‘masuk bakul angkat sendiri’ sebentar tadi.

“Lepas makan ni kita singgah rumah Zek kejap, nak?”

“Okey…no problem.” Kamelia dan Aini membalas serentak.

“Kau temankan Melia malam ini, Aini. Aku tak percaya dia sorang-sorang kat bilik hotel tu.”

“Takut tunang tersayang kena culik ke?”

“Siapa nak culik perempuan garang macam dia ni, Aini.” Ijol mengusik sambil menjeling Kamelia yang duduk di sebelahnya.

Kamelia mencubit lengan Ijol untuk kesekian kalinya. Lelaki itu mengadui kesakitan sambil mereka beriringan ke kereta Mitsubishi putih milik Ijol. Aini ketawa mengekeh melihatkan kemesraan rakan baiknya itu.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.