NOVEL: KERANA KAMU 4

loading...
Adam Bahrain melepaskan keluhan panjang sebaik mendengar peti pesanan suara di telefon bimbitnya. Enam pesanan yang diterima, tiada satu pun dari Datuk Ikram. Hanya kedengaran suara garau pembantu ayahnya sahaja daripada keenam-enam mesej yang ditinggalkan itu.

“Kamu sihat? Dah lama tak dengar berita. Baliklah Rain…”
“Pulanglah nak. Kamu dah macam anak Pak Cik sendiri…kasihan mama kamu.”
“Bahrain…kenapa tak jawab mesej.”
“Rain…mama kamu sudah tiada!”

Adam Bahrain terpempan. Badannya dihempaskan di atas sofa. Dadanya terasa sakit yang amat sangat dek rasa sebak yang menggunung secara tiba-tiba. Air mata lelakinya tumpah jua setelah bertahun ia tersimpan rapi. Mama! Bukan saya tak sayang, bukan tiada cinta ini untukmu. Tetapi…

“Jangan tinggalkan mama, Rain. Kalau kamu pergi juga, siapa yang akan temankan mama di sini. Selama ini mama kesunyian. Hanya kamu yang dapat memadam rasa sunyi itu, sayang…tolong mama. Temankan mama, okey.”

“Saya bukan nak tinggalkan mama selama-lamanya. Saya ke luar negara kerana ada tujuan, mama. Saya mahu mengubah nasib kita, saya mahu menjadi anak yang berguna untuk mama. Saya mahu kita anak beranak mendapat kehidupan yang lebih sempurna. Saya berjanji akan gembirakan hidup mama apabila pulang nanti. Saya janji mama…”

“Kamu sudah ada semuanya, Rain. Apa lagi yang kamu nak cari? Tak cukupkah elaun belajar yang ayah kamu berikan setiap bulan itu? Belum puas hati kah kamu dengan sebiji BMW yang ayah kamu tinggalkan untuk kemudahan kamu kesana kemari? Tak cukupkah itu semua, Rain? Apa lagi yang kurang? Beritahu mama, sayang…”

“Saya hendak mencari sesuatu yang hilang, mama. Saya tidak merasainya di sini, di dalam rumah ini. Saya harus keluar untuk mengenggam rasa itu kembali, mama. Maafkan saya mama. Saya terpaksa pergi…”

“Apa yang kau cari sebenarnya? Ceritakan kat mama. Tolonglah jangan pergi, Rain. Dengarlah cakap mama ini…”

“Maafkan Rain, mama…izinkan saya. Hanya dengan reda mama hati saya akan tenang. Esok saya akan berangkat. Saya dah tinggalkan semua pesanan kepada pembantu ayah. Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tinggalkan mama di dalam jagaan mak. Mak adalah orang terbaik untuk menjaga mama.”

Air mata Adam Bahrain semakin laju mencurah dek teringatkan perbualan dia dengan mamanya beberapa tahun lalu.
“Kamu gembira?”

“Ya mama. Saya dapat apa yang saya mahu. Saya capai impian saya untuk menjadi Arkitek.”

“Baguslah kalau macam itu. Kalau dah habis study kamu, pulanglah. Mama tak sabar nak menatap wajah kamu, Rain.” Suara lemah mamanya dapat di rasai di hujung talian.

“Insya’Allah mama. Tetapi saya ingat nak cari pengalaman kat sini dulu. Mungkin kerja setahun dua di sini.”

“Rain….”

“Ya mama?”

“Dah dapat apa yang kamu cari? Rasa itu?”

“Mama…”

“Mama faham. Tetapi ayah kamu memang begitu. Tak tunjuk tak bermakna dia tak sayang…”

“Tetapi mama…”

“Memang dia tak pernah call kamu. Dia tak pernah tulis surat kat kamu…tetapi kamu baliklah. Kamu akan tahu.”

“Tapi saya masih gagal merasainya mama. Rindu itu makin hilang…yang ada cuma kebencian.”

“Jangan cakap macam itu, Rain. Dia ayah kamu.”

Adam Bahrain memejamkan matanya. Kata-kata terakhir mamanya beberapa hari lalu masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. Walau sampai ke hujung nyawa, mamanya masih menyanjung sang suami. Begitulah setia kasih seorang wanita walau tahu hatinya telah dihancur lumatkan beribu kali.


***

Majlis pengebumian Datin Zaleha berjalan secara sederhana dengan dihadiri rakan terdekat dan juga rakan korporat suaminya. Kelihatan beberapa orang kenamaan turut hadir memberikan penghormatan terakhir.

Seorang gadis muda melurut lembut belakang Adam Bahrain bagi mententeramkan emosi lelaki itu. Dia berasa kasihan melihatkan lelaki itu. Kali terakhir mereka bertemu ialah ketika dia bercuti di London tahun lepas. Pada ketika itu dia tahu bahawa Datin Zaleha sedang uzur kerana ‘stroke’. Dia jugalah yang mengkhabarkan berita itu kepada Adam Bahrain. Tetapi kedegilan lelaki itu menghalangnya dari kembali menjenguk mama tersayang di tanahair. Kini semuanya sudah terlambat. Mamanya telah tiada. Yang tinggal hanya tangisan menyayat hati dari lelaki itu. Semakin belas pula gadis itu kepadanya.

Datuk Ikram mendekati Adam Bahrain yang berteleku di tepi kubur mamanya. Orang ramai yang tadi memenuhi tanah perkuburan itu beransur pergi sedikit demi sedikit sehingga akhirnya yang tinggal hanya Datuk ikram dan anak lelakinya itu.

“Sudahlah Rain, yang pergi biarlah pergi. Kita yang tinggal ini kenalah reda dengan Qada dan Qadar Allah. Mungkin ini yang terbaik buat mama kamu. Dah lama dia menderita, Rain.”

Kedengaran dengusan kasar dari mulut Adam Bahrain. Pandai pula ayahnya bercakap tentang Qada dan Qadar, sedangkan selama ini dialah pembuat keputusan yang menyusahkan hidup mamanya!

“Ayah yang buat mama saya menderita. Ayah yang menyebabkan saya pergi dari rumah kita, semuanya kerana ayah! Ayah yang tidak berhati perut.”

Datuk Ikram melepaskan keluhan kecil. Dia tidak mahu bertegang urat dengan Adam Bahrain di tempat yang perlu dihormati itu. Isterinya baru sahaja dimakamkan, jadi dia tidak mahu menambah bebanannya di alam sana. Lagipun dia sudah semakin tua untuk berlawan cakap dengan anaknya yang berdarah muda itu.

“Kenapa diam, ayah? Kenapa? Sebab ayah rasa bersalah di atas kematian mama? Sebab ayah bertanggungjawab ke atas perbalahan yang berlaku di dalam keluarga kita? Sedarlah ayah…sampai bila ayah mahu menyakiti hati kami. Cukuplah ayah!” nada suara Adam Bahrain berbaur dendam.

Datuk Ikram yang telah melangkah beberapa tapak, berhenti seketika sebelum menyambung langkahnya menuju ke arah pembantunya yang sedang menunggu di sisi kereta. Dia tidak menghiraukan langsung tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan oleh Adam Bahrain tadi. Biarlah. Bila semuanya telah reda, dia akan menemui anaknya itu. Biarlah mereka berdepan seperti lelaki dengan lelaki, bukan seperti bapa dengan anak.

Adam Bahrain masuk ke dalam banglo dua tingkat itu dengan perasaan yang berbagai. Hampir lapan tahun dia meninggalkan rumah itu, tidak banyak yang berubah. Dia menyentuh hujung bingkai gambar mereka sekeluarga. Ada wajah mamanya di situ sedang tersenyum. Malangnya, dia bawa bersama senyuman itu ke alam barzakh. Dia tidak akan dapat memegang senyuman itu lagi, bermanja atau bergurau seperti dulu. Kenangan itu amat payah untuk dibuang walaupun dia telah membuang dirinya sendiri dari rumah banglo tersebut bertahun dahulu.

Ah! Kenapa sendu ini datang lagi. Adam Bahrain terduduk di sofa sambil menepuk-nepuk dadanya. Mama…sakitnya kesedihan ini mencengkam rasa dan naluri. Adakah ini namanya bersalah? Apakah ini tandanya penyesalan? Ah! Mama…maafkan Rain!

“Rain?”

“Rain?”

Bahunya disentuh lembut. Dia mendongak.

“Mak…”

Dia memeluk erat wanita tua itu sambil mengangis teresak-esak. Wanita tua itu cuba memujuk tetapi esakan Adam Bahrain semakin laju. Dia tahu lelaki itu amat merindui mamanya.

“Lepaskanlah Rain kalau itu boleh buat kamu lega. Mak faham apa yang kamu rasa…”

“Saya dah terlewat, mak. Saya tak sempat untuk menunaikan janji saya untuk mama. Saya anak yang tidak mengenang jasa, mak.”

“Sabar Rain. Semua ini ketentuan ALLAH. Rasa yang ada itu sudah cukup buat mama kamu mengerti. Dia tahu kamu sayang dia. Dia tahu kamu telah lakukan tanggungjawab kamu sebagai anak. Dia tahu…” wanita tua itu ikut sama menangis.

Bunyi kereta masuk di halaman menarik perhatian Adam Bahrain dan wanita tua yang dipanggil ‘mak’ oleh lelaki itu. Semenjak dari tanah perkuburan tadi, dia masih belum dapat mengawal emosinya. Dia bimbang jika yang singgah itu adalah kenalan rapat mamanya, dia akan menjadi sedih semula. Demi mengelak dari emosinya bercelaru lagi, Adam Bahrain bergegas mengangkat kaki ke biliknya yang telah begitu lama ditinggalkan.

Cadar hijau lumut yang menutupi tilam empuknya direnung lama. Bagai terbayang-bayang diruang mata lembut tangan mamanya menidurkannya. Sudah menjadi kebiasaan sebelum tidur mamanya akan membacakan cerita sehingga dia terlelap. Dia meraba bantal yang ditinggalkan. Seakan terhidu haruman dari tubuh mamanya di permukaan bantal tersebut. Tak semena-mena Adam Bahrain mencium bantal itu berulang kali. Entah mengapa setelah ketiadaannya, rindu ini bercambah semakin subur. Mama…O mama…

“Rain…”

Suara lembut wanita hinggap di telinganya.

“You mahu I bukakan lampu?”

“Tak perlu. I suka begini.”

Diam. Keadaan sangat hening. Suara burung atau deru angin langsung tidak kedengaran. Dia berasa asing sekali. Kehilangan ini amat menyakitkan jiwanya. Dia umpama berada di tengah-tengah gurun Sahara yang sedang menadah setitis air menyirami kegersangan buminya.

“Rain, if you need a shoulder to cry on…I’m here.” Gadis itu menawarkan bantuan.

“Laila…I’m okey. Don’t worry too much.”

“Mak cakap you tengah sedih. I faham apa yang you rasa.”

Adam Bahrain mengangkat mukanya. Matanya kelihatan merah kerana banyak menangis semenjak dari tanah perkuburan tadi. Semalam ketika sampai pun dia telah banyak kehilangan air mata di dalam perut pesawat.

“I tahu your mum bangga dengan you, Rain. Dia selalu cerita yang baik-baik tentang you although you father don’t…”

“Laila, jahat sangatkah I ini? I ni anak derhaka ke? Kenapa I tergamak tinggalkan dia dulu, Laila? I don’t have the answers for all that.”

“Rain…jangan salahkan diri you semata-mata. I know you marahkan ayah you masa itu. You pergi kerana cuba mencari kasih yang hilang. You pergi kerana terpaksa demi mengubah sikap ayah you. I know that. Jadi, bukan you yang bersalah. Percayalah cakap I…”

“Thank you Laila kerana memahami I. You lah kawan I yang sebenarnya.”

Mata Laila berbening bahagia. Walau sekadar kawan, dia gembira asalkan Adam Bahrain nampak kewujudannya. Bukan sekarang masanya untuk mencanang rasa yang terpendam buat lelaki itu. Biarlah lelaki yang dicintai itu tenang dahulu. Barulah dia membuka rahsia yang dipendam selama ini. Cukuplah perhatiannya kini tertumpah buat Adam Bahrain yang sedang gundah gulana. Lambat laun lelaki itu pasti tahu rahsia hatinya.

Laila cuba menarik Adam Bahrain ke dalam pelukannya tetapi lelaki itu menolak dengan lembut. Laila menahan rasa malu kerana tindakannya menyebabkan Adam Bahrain berasa kurang selesa.

“I want to be alone, Laila.”

“Okey then…I make a move first. Jangan bersedih…esok I datang lagi.”

Adam Bahrain membiarkan Laila berlalu. Dia tidak mampu berfikir apa-apa saat ini. Dia tidak boleh berbuat apa-apa jika Laila berkecil hati dengan tindakannya sebentar tadi.


***

“Kamu tak payah balik semula ke London. Duduk aje kat Malaysia. Kerja dengan ayah. Lagipun ayah dah tua, ayah mahu bersara. Kamu ambil alih syarikat. Sekarang ini pak cik kamu yang tolong ayah. Ayah takut jika tiada waris yang mahu menerajui syatrikat kita, saham dan harta milik keluarga ini akan berpindah ke tangan orang lain.”

Adam Bahrain tidak memberi respon langsung terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh ayahnya sebentar tadi. Dia leka menyudu nasi lemak yang disediakan oleh pembantu rumah itu yang dipanggil ‘mak’. Rindu terhadap masakan mak menyebabkan dia menyuap makanan dengan laju tanpa mempedulikan renungan ayahnya.

“Rain.”

“Kamu dengar apa ayah kata. Tinggal aje kat Malaysia.”

“Saya nak balik semula ke London. Saya tak suka kat sini. Orang yang saya sayang semua dah tak ada.”

“Rain! Kamu ni degil! Apa nak jadi dengan kamu, hah!?”

“Ayah. Saya dah dewasa. Saya boleh buat keputusan untuk diri saya sendiri. Tak payah ayah nak tentukan itu dan ini. Saya tak suka.”

“Degil! Dari kecil sampai lah sekarang ini, tak habis perangai itu yang kamu bawa. Cuba hormat ayah sikit. Ini tidak, melawan saja!”

Adam Bahrain berang apabila ayahnya mula mengungkit perangainya. Jika sebelum itu dia boleh bersabar, kini dia tidak betah berdiam sahaja. Kesalahan yang sekelumit itu yang diperbesarkan oleh ayahnya tetapi silap sendiri tidak disedari. Orang kata ‘gajah depan mata tak nampak, kuman di seberang laut juga yang dia nampak!’ Datuk Ikram memang tak tahu diuntung.

“Perangai saya jangan ayah nak pertikaikan. Selama ini saya ikut sahaja cadangan ayah. Saya tidak boleh mencapai apa yang saya kehendaki. Selepas saya tunaikan kehendak ayah, sekarang giliran saya pula memenuhi cita-cita sendiri. Saya akan balik ke London semula esok. Muktamad!”

Adam Bahrain mengangkat punggungnya dengan meninggalkan nasi lemak yang masih berbaki. Hilang terus seleranya untuk duduk semeja dengan Datuk Ikram. Dia mencapai kunci BMWnya tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Adam Bahrain! Dengar dulu…”

“Datuk…sabar Datuk…” pembantu rumah itu sempat menampung tubuh Datuk Ikram sebelum sempat ia rebah ke lantai.

Sempat pula dia berlari ke pintu melaung nama Adam Bahrain tetapi anak muda itu sudah jauh meninggalkan banglo dua tingkat itu entah ke mana.

***

“Lama tak nampak? Sakit ke?”

“Kenapa kau cakap macam itu? Muka aku teruk sangat ke?”

“Muka kau macam laki kematian bini. Serabai. Kena tinggal girlfriend kut!” Rara tersengih-sengih.

“Tak de lah. Cuma hal kecil aje.”

Rara menopang dagu menghadap Adam Bahrain yang sesekali hilang arah dalam perbualan mereka. Dia melihat lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya. Ada bungkusan kecil yang dibalut indah di letakkan betul-betul di hadapannya.

“Untuk kau.”

“Aku? Apa ni?”

“Buah tangan dari Malaysia.”

“Eh! Kau balik Malaysia tak inform pun. Kalau tak aku boleh kirim surveniour kat kawan-kawan aku. Teruklah kau ni…”

“Balik emergency.”

“Oh! Boleh aku buka?”

“Bukalah…”

Dengan berhati-hati Rara membuka balutan bungkusan tersebut. Sebentuk cincin emas putih terletak elok di dalam kotaknya. Dia terkejut menerima pemberian tersebut sementelah ia dari seorang lelaki yang baru dikenali.

“Untuk aku ke? Kau tak silap?”

“Betul. Untuk kau.”

“Kau tau kan nanti ada yang marah. Aku rasa aku tak boleh terima.”

“Boyfriend kau tu jauh. Dia tak nampak. Aku bagi ikhlas. Ambillah…lagipun aku tak tahu nak belikan apa untuk kau.”

“Kau ajar aku jadi curang.”

“Terpulang pada persepsi kau.”

“Okey. Aku terima sebagai tanda perkenalan kita. That’s all.”

Adam Bahrain tersengih lebar. Perempuan tetap perempuan. Penuh dengan imaginasi melampau! Bisiknya dalam hati.

“Kenapa nak jumpa aku?”

“Tak boleh?”

“Boleh…tapi musykil sikit. Kau rindu kat aku kut!”

“Mungkin!”

“Mungkin boleh jadi ya atau tidak. Yang mana satu?”

“Mungkin! You choose yang mana satu.” Adam Bahrain menoktahkan pertanyaan Rara dengan satu teka teki.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.