Header Ads

NOVEL: KERANA KAMU 5

Didi menunggu Kiki di luar pejabat pos. Mereka mahu mengirimkan bungkusan kepada Rara. Bungkusan itu rekaan Kiki sepenuhnya bertujuan mengingati hari kelahiran gadis itu. Di dalamnya juga terdapat masakan istimewa ibu Didi berupa serunding daging kerana mereka sekeluarga tahu yang Rara amat meminati makanan itu. Bahrom pula menghadiahkan jam tangan jenama Guess untuk Rara, satu-satunya anak yang dia ada.

“Jom…dah siap. Kerani kaunter tu kata seminggu lebih boleh sampai.” Kiki sudah berdiri di sisi Didi.

“Lamanya…kalau gitu bukan surprise namanya.” Didi mengeluh.

“Tak apa…yang penting sampai.” Kiki memujuk sambil memegang lengan Didi. Lelaki itu membalas sikap manja Kiki dengan menghadiahkan senyuman.

Didi menghidupkan enjin kereta Kancilnya untuk kembali semula ke kolej tempat mereka belajar. Dia mengambil jurusan seni reka manakala Kiki yang minat dengan hiasan dalaman mengambil jurusan itu untuk pengajian ijazahnya.

“Kiki tulis apa dalam tu. Didi tengok bukan main panjang lebar awak tulis surat untuk Rara. Jangan awak tulis yang sedih-sedih sudah…dia tu penyedih sikit. Didi takut dia salah faham nanti.”

Kiki di sebelah hanya tersenyum simpul.

“Ada lah…rahsia.”

“Ada Kiki tulis pasal saya? Katakan saya amat rindukan dia…rindu pada kenakalannya, pada suaranya…pada gurauannya…ada Kiki bagitahu dia semua itu?”

“Mestilah ada…jangan risau. Kiki buat yang terbaik untuk korang berdua.”

“Terima kasih Kiki kerana tolong Didi buatkan surat itu. Kalau tidak…tak tahu macam mana nak tulis. Didi bukan biasa tulis surat pada dia. Tak pernah…Dari kecil kita tak pernah berpisah.”

“Kiki faham…”

Kiki meletakkan tangannya di peha Didi yang sedang memandu. Didi membalas dengan meramas tangan Kiki sambil mengucapkan terima kasih sekali lagi kerana membantunya. Kiki tersenyum puas. Dia mengenggam pegangan Didi dengan erat seperti tidak mahu melepaskannya. Seumpama Didi hanya miliknya seorang.

“Nanti balik ambil Kiki tau.”

“Okey.”

Didi terus memandu keretanya ke bangunan kolej bersebelahan yang menempatkan fakulti seni reka. Di dalam perjalanan ke bilik kuliah dia berpapasan dengan Nazri, rakannya.

“Kau dari mana? Kau skip kelas pagi tadi ya?”

“Ha ah. Aku ada hal. Hantar barang untuk Rara.”

“Dia apa khabar? Dah lama tak dengar berita. Facebook pun dia tak update? Apa cerita? Sibuk sangat ke?”

“Ala…biasalah Naz. Belajar kat overseas kan macam itu. Sibuk memanjang. Lagipun dia kena bersaing dengan pelajar dari pelbagai negara. Itu yang dia kena struggle…”

“Eh! Aku dengar kau makin rapat dengan Kiki?” Nazri membisikkan ungkapannya ke telinga Didi.

“Mana ada…kawan biasa aje.”

“Eleh…kalau kawan biasa takkan berkepit siang malam? Rara tak jealous ke?”

“Apa nak dicemburukan, Naz. Memang aku dengan Kiki tak ada apa-apa. Kau kan tahu…aku ni susah nak jatuh cinta dengan perempuan.”

“Aku dengar dia glamour kat kolej lama dia? Kat mana tu? Aku lupa nama kolej tu.”

“Macam mana kau boleh tahu semua ini? Kau ni ada-ada saja…”

“Budak kelas kita kan ada yang satu kolej dengan dia dulu? Kau tak tahu?”

“Siapa?”

“Brone Zaharry…budak kacukan yang kuat smoking tu?”

“Yang mana satu?”

“Rambut warna bulu jagung…”

“Ohh!! Yang itu…aku tak tahu pulak dia asal dari sana? Kiki tak bagitahu pun.”

“Kau kena tanya dia. Mungkin dia nak sorokkan sesuatu dari kau? Siapa tahu?” Nazri menambah cuka ke dalam rasa curiga yang mula tumbuh di hati Didi.
Didi terlopong melihat Nazri berlalu begitu sahaja setelah membangkitkan satu rasa kurang enak dihatinya. Dia ingin bertanya lanjut tetapi kelibat Nazri sudah hilang di dalam bilik kuliah. Didi berlari mengejar masa setelah dia perasan kelas telah bermula sepuluh minit yang lalu.

Selepas habis kuliah Didi menunggu Kiki di tapak letak kereta bangunan fakulti Hiasan Dalaman. Jam sudah menunjukkan pukul empat lima belas minit petang tetapi bayang tubuh Kiki masih belum kelihatan. Satu persatu wajah-wajah yang keluar masuk di sapa oleh matanya tetapi orang yang ditunggu tidak juga muncul.

Dia cuba mendail nombor telefon bimbit gadis itu tetapi hampa. Ke mana perginya dia? Takkan sudah keluar awal-awal tidak memberitahunya terlebih dahulu? Didi masuk semula ke dalam kereta. Dia teringat mahu menjenguk ke rumah sewa gadis itu. Mungkin dia kurang sihat dan sebab itu dia keluar kelas lebih awal dari waktunya.

“Dia belum balik. Selalunya dia balik lewat malam.”

Tini yang bertudung memberitahu dari muka pintu. Selalu balik lewat malam? Didi semakin tidak faham.

“Kan saya hantar awal setiap hari. Macam mana awak boleh kata begitu?”

“Lepas awak hantar balik dia akan keluar semula. Ada kereta yang mengambilnya.”

“Ada orang ambil dia? Awak kenal orang itu?”

“Tak.”

“Tolong jangan bagitahu dia yang saya datang sini tau.”

“Okey.”

Didi menggaru kepala yang tidak gatal. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Tini, Didi beredar dari rumah itu.

***

Kiki membetulkan bajunya yang terlondeh di bahagian dada. Blaus tanpa lengan itu kelihatan amat seksi untuk wanita muda sepertinya. Dia pulang awal dari kuliah petang tadi kerana perlu bergegas ke Shangri-La Hotel untuk menemui seseorang. Malangnya, dia diberitahu oleh seseorang melalui telefon bimbitnya bahawa orang yang ditunggu akan tiba lewat sedikit kerana masalah teknikal di lapangan terbang Singapura. Hendak tak hendak dia terpaksa menjadi pak pacak di lobi hotel tersebut. Untuk ke lounge dia berasa janggal. Tambahan pula dia berseorangan. Lainlah kalau berteman seperti selalu. Dia membelek jam di tangan. Hampir pukul enam setengah. Berapa lama lagi dia harus menunggu pun dia tidak pasti.
“Hello Cik…orang ini sedang menunggu di bilik.” Seorang petugas hotel menghulurkan kad perniagaan kepadanya.

“Terima kasih.”

“Sama-sama.” Petugas wanita itu menghulurkan senyuman ramahnya.

Kiki tersenyum memandang kad di tangan. Bila pula orang yang ditunggu-tunggu itu sampai? Tidak nampak pula sesiapa yang dikenali melintasinya tadi. Ah! Mungkin ketika dirinya sedang mengelamun tadi agaknya. Fikir Kiki sambil kakinya melangkah laju ke bilik yang dinyatakan.

“Welcome darling…lama tak jumpa you. Apa khabar?”

Lelaki separuh umur berbadan sasa itu terus memeluk Kiki sebaik pintu dibuka. Kiki ketawa sambil membiarkan tubuh kurusnya di tarik rapat ke dada lelaki itu. Seketika mereka berpelukan melepaskan rindu di dada sebelum meleraikannya sebaik mendengar loceng dipintu dibunyikan.

“Room service.”

“Eh! Cepatnya sayang…”

“Hotel inikan hotel bertaraf lima bintang. Semuanya first class…macam juga I dapat you. First class!” Lelaki itu tersenyum penuh erti.

“You ni ada-ada saja…”

“Tak betul ke apa yang I kata…” Lelaki itu mencium rambutnya. Kiki ketawa kegelian.

Gelagat mereka berdua sesekali dijeling oleh petugas hotel itu yang sedang menyusun pinggan, cawan dan makanan yang disediakan di atas troli. Selesai tugasnya dia meminta izin keluar sebelum lelaki tua berbadan sasa itu menghulurkan tips kepadanya.

“Come darling…sit on me. We must celebrate our meeting.”

Kiki tidak menolak. Dia menambah tahap kemanjaannya ke peringkat yang lebih tinggi. Lebih manja, lebihlah tips untuknya. Mungkin boleh mencecah ribuan ringgit untuk satu malam. Fikirannya menerawang membayangkan nilai matawang yang bakal diterimanya dari Datuk Joseph, hartawan kelahiran Negeri Sembilan itu.

“Apa you bawa untuk I, sayang…”

“Adalah…nanti I tunjukkan. Kita minum dulu…okey.”

Kiki merajuk yang dibuat-buat. Dia sengaja bertindak begitu untuk menarik perhatian Datuk Joseph. Dia bukan mahu minum atau makan. Dia mahukan hadiahnya. Hadiah yang selalu ada untuknya setiap kali lelaki itu mempunyai ‘trip’ ke luar negara.

“Okey…okey. You pilih aje yang mana satu.” Datuk Joseph mengalah.

Kiki melompat ke atas katil sambil membuka beg besar yang diletakkan di hujung kepala katil. Matanya bersinar-sinar melihat sebuah beg berjenama Louis Vuitton di situ. Dia segera menggayakannya di hadapan cermin. Wah! Nampak hebat dirinya di dalam cermin.

“Sayang…itu bukan untuk you. Itu Datin punya. You punya I belikan jenama lain. Kecil sikit.”

“Tapi I suka yang ini…” Kiki merengek manja.

“Tak boleh. I dah janji dengan Datin.”

“Nak yang ini juga!” Kiki memberontak.

“Lain kali ya sayang…you ambil aje yang lain, tapi bukan yang ini.” Datuk Joseph mengambil beg tersebut dari Kiki.

Dia menukar beg LV itu dengan beg jenama Chanel yang berukuran kecil sedikit. Beg berwarna kuning keemasan itu nampak comel untuk wanita muda seperti Kiki. Datuk Joseph memujuk Kiki dan berjanji akan membelikan jenama yang sama dengan apa yang dibelikan untuk isterinya itu. Mendengar janji-janji manis dari Datuk Joseph, bibir seksi kiki menguntum senyum.

“Janji tau sayang…”

“Okey…I janji.”

Dan mereka berpelukan untuk ke sekian kalinya. Bagi Kiki yang penting sekarang adalah kemewahan hidup yang dicari tanpa mempedulikan halal dan haram. Biarlah hukuman itu antara dirinya dan TUHAN.

***

Didi menunggu kepulangan Kiki sehingga lewat malam namun gadis itu tetap tidak muncul. Dia semakin risau. Telah berpuluh kali talian gadis itu di dail tetapi hampa. Dia cuba menghubungi Bahrum pula. Talian ayah Rara berbunyi seketika sebelum akhirnya berbunyi nada tidak boleh dihubungi.

“Ah! Semua orang tak boleh dihubungi.”

Entah mengapa Didi gelisah tidak menentu kali ini. Sebelum ini pun Kiki pernah menghilang beberapa hari tetapi dia tidak ambil kisah pun. Tetapi kali ini berbeza sedikit. Adakah satu perasaan telah bercambah di dalam hatinya terhadap Kiki? Apakah kerisauan ini berkait rapat dengan naluri hati lelaki? Apakah telahan Nazri terhadap persahabatannya dengan Kiki benar belaka?

Dengan perasaan sebal Didi memandu pulang ke rumah. Setibanya di pintu pagar, Ummu Khalidah sudah terjenguk-jenguk di tingkap. Pasti ibunya risau kerana jam menunjukkan hampir pukul 1.00 pagi.

“Kamu ke mana Didi? Awal pagi baru sampai? Kamu pergi merambu dengan kawan-kawan kamu ke?” bak ledakan peluru Ummu Khalidah menyerang Didi.

“Didi ada discussion dengan kawanlah mak. Terlajak pulak…”

“Kamu tak bohong pada mak, kan?”

“Bohong apa pulak, mak.”

“Mana tahu kamu bercampur dengan kutu rayau tak tentu pasal. Jangan benda tak senonoh semua tu, Didi. Kamu tu sedang belajar.”

“Didi tahu, mak. Didi dah besar, Didi tahu apa yang Didi buat.”

“Hah! Dah! Pergi cuci kaki. Kemudian tidur. Kamu dah makan atau belum?”

“Sudah mak. Dengan kawan-kawan tadi.” Tipu Didi.

Didi berjalan lemah ke biliknya. Fikirannya sedang runsing memikirkan tindakan Kiki hari ini.

“Esok pagi ada kuliah tak?”

“Tak ada. Kelas mula petang, mak.”

Didi menghempaskan tubuh ke dada tilam bujangnya. Entah mengapa kebimbangannya terhadap Kiki tidak mahu reda-reda. Adakah Kiki ditimpa kemalangan? Jika benar, masakan tiada sesiapa menghubunginya. Fikirannya mula melayang memikirkan perkara yang bukan-bukan. Takkan pula Kiki di culik. Dia pun bukan dari kalangan keluarga berada. Yang dia tahu dari mulut Bahrom, kedua ibu bapa Kiki hanya mengusahakan warung menjual makanan di kampungnya. Belanja pengajiannya pun ditanggung oleh Bahrum. Jadi, di mana relevannya untuk orang jahat di luar sana menangkap atau menculik Kiki?

Dalam tidurnya Didi bermimpikan Kiki. Gadis itu merenunginya dengan pandangan sayu. Apabila dia cuba menghulurkan tangan untuk membantu, gadis itu berlari. Makin dikejar semakin pantas larian Kiki. Akhirnya Kiki hilang begitu sahaja ditelan kabus putih. Dia memanggil-manggil nama Kiki berulang kali tetapi hampa. Ketika itulah wajah manis Rara muncul di permukaan kabus yang mulai hilang. Rara memimpinnya ke satu arah yang dia sendiri tidak ketahui.

“Rara! O Rara! Nak bawa Didi pergi mana ni?”

Rara diam sahaja. Wajahnya menunjukkan rasa marah yang bukan sedikit. Didi menggoncang tubuh Rara meminta jawapan. Rara masih juga begitu. Beku.

“Rara!”

“Rara!”

“Didi! Didi!!”

Namanya pula dilaung. Makin lama makin dekat suara itu. Eh! Itu bukan suara emak ke? Terasa ada air menitik diwajahnya. Didi cuba membuka matanya selepas pedih dihujani dengan air sebentar tadi.

Perlahan-lahan Didi membuka matanya. Di manakah aku? Bukankah tadi dia berada di dalam kawasan yang berkabus?

“Mak!? Kenapa emak ada kat sini?”

“Kenapa pulak tak boleh? Ini rumah kita. Emak ni Didi. Kamu mengigau…”

“Ya ke?”

“Terlaung-laung macam orang kena sawan aje.”

Didi hanya tersenyum kelat. Dengan wajah mamai dia mengangkat kedua tapak tangan memohon maaf kerana menganggu tidur emaknya. Wajahnya yang basah kerana disiram air oleh Ummu Khalidah tadi diraup dengan kasar.

Apakah makna semua ini?
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.