Header Ads

NOVEL: KERANA KAMU 6

Advertisement
Rara mengesat matanya yang pedih dengan hujung jari. Selesai membaca isi kandungan surat yang dikirim dari tanahair, air matanya terus berjuraian tidak berhenti. Kiriman dari Ummu Khalidah dan ayahnya juga begitu menyentuh hati. Terima kasih ayah dan mak cik! Dia merenung set Tupperware yang memuatkan serunding daging kegemarannya. Tangannya berkalih pula menelek seutas jam tangan pemberian istimewa dari si ayah. Rara amat merindui kedua-duanya. Oh TUHAN! Mampukah aku bertahan menanggung rindu ini?

Matanya kembali semula kepada surat panjang lebar bertulisan tangan yang dititipkan untuknya. Dia tahu itu bukan tulisan Didi. Tentu ia milik Kiki. Pasti Kiki meluangkan banyak masa di samping Didi bagi menulis kandungan surat tersebut. Pasti Didi telah bulat hati membuat keputusan tersebut. Jika tidak, masakan dia tergamak menyakitkan hatinya. Tentu mereka sama-sama mentertawakannya. Sekarang pastinya mereka sedang gembira menyambut kemenangan mereka. Sudahlah dia sedang bersedih menahan rindu dendam pada kampung halaman, datang pula berita itu pada hari kelahirannya. Inilah hadiah paling kejam yang diterima daripada insan yang tersayang.

“Kenapa Rara?”

Rara cepat-cepat mengesat matanya dengan hujung baju. Dia tidak mahu mempamer kelemahannya di hadapan Dayang.

“Tak ada apa-apa, Dayang. Aku okey saja.”

Dayang mengambil tempat di sisi Rara yang duduk terpelosok di satu sudut di ruang bilik yang kecil itu.

“Apa gunanya kawan kalau tidak boleh membantu. Ada apa-apa yang boleh aku tolong?”

“Kenapa kau cakap macam itu?”

“Kau kan tengah bersedih. Surat itukan puncanya?”

“Mana kau tahu?”

“Ala…mata aku kan tajam macam mata pisau. Orang ada masalah aku senang dapat hidu, tau. Tak nak kongsikan dengan aku apa masalahnya kali ini? Dulu tengok gambar dia orang pun kau menangis, sekarang dapat surat pun menangis. Pasal dia orang lagi ke?” Dayang cuba mengorek.

Rara mengangguk. Dia tidak mampu membuka mulut menceritakan isi kandungan surat yang dikirim. Dia lantas menyerahkan surat itu ke tangan Dayang.

“Kau bacalah sendiri.”

Dayang menatap surat yang berjela itu tidak berkedip. Dia tidak mahu ketinggalan satu perkataan pun untuk mengetahui isi sebenarnya. Dia perlu tahu apakah puncanya Rara menangis tadi. Pasti ada sesuatu?

“Tak patut betul si Didi tu. Tak sampai setahun kau tinggalkan dia, dia pergi cari awek lain. Memang tak boleh diharap!”

“Macam itu aje dia nak berpisah dengan kau!”

“Pulak tu pada harijadi kau! Memang tak berhati perut!”

Berbakul-bakul sumpahan Dayang terlepas dari mulutnya. Gelagatnya itu diperhatikan sahaja oleh Rara dengan penuh minat. Inikah perangai sebenar Dayang? Kelakar pula melihatnya sehingga terhambur tawa dari mulutnya.

“Kau biar betul!”

“Aku tengah geram ni! Jantan ini memang tak guna. Tak payah tunggu orang macam inilah, Rara. Lelaki lain kat dunia ini berlambak. Cari aje yang berkenan. Kemudian kau tunjukkan pada dia pulak. Si Kiki tu cantik sangat ke? Aku tengok biasa aje…”

“Kalau hati dah suka, semuanya indah di mata, Dayang.”

“Itulah yang aku heran dengan orang lelaki ni. Kadang-kadang pengganti kita bukannya nak cari yang lebih elok. Cari yang lebih gemuk la…juling pulak tu. Aku tak faham betul!!”

“Tapi si Kiki tu lebih cantik dari aku…”

“Aku cerita ini pengalaman aku. Itu sebab aku sambung belajar kat overseas. Sebab putus cinta.”

“Ohh!! Nasib baik kau tak terus berkawan dengan dia. Sah-sah dia buat pilihan yang silap. Tapi kau patut bersyukur sebab terselamat dari orang macam itu.”

Dayang tersengih sahaja. Tidak sangka mereka senasib rupanya. “Kau pun sama Rara. Jangan fikirkan lagi soal dia. Cari yang lain.”

Rara melepaskan keluhan berat. Benar kata Dayang, aku mesti buktikan. Putus cinta bukan bermakna akhir dunia ini. Didi bukannya lelaki pertama sahaja yang boleh menghadiahkan kebahagiaan. Banyak lagi di luar sana yang sedang menunggu…fikir Rara sambil menoktahkan ingatannya kepada lelaki bernama Didi. Tetapi mampukah dia?

***

“Aku tengok dua tiga hari ini kau macam bad mood aje. Macam tak happy. Apehal?”

“Biasa aje.”

“Tapi aku tengok luar biasa sikit. Kau selalu periang. Suka menyakat orang. Sekarang terbalik…kau nampak blur. What happened to you, Queen?”

“Jangan panggil aku macam itu. Malu aku! Panggil aku Rara…”

“Suka hati akulah.”

Rara mencebik. Potong stim betul mamat ni! Orang tengah tak ada mood, dia boleh ajak gaduh pulak!

“Kau apa citer?”

“Sori…malas aku nak citer kat kau. Ini kisah hidup aku. Biar aku sorang saja yang tahu.”

“Betullah kau ni tak matured. Masalah sikit je dah jadi blur macam dunia dah nak kiamat. Rilekslah…aku kan ada.”

“Kau? Adam Bahrain? Apa kau boleh buat?”

Adam Bahrain tersenyum memerhati bibir comel Rara yang terherot-herot kalau sedang marah. So cute…rasa nak gigit-gigit aje! Eee…Sedarlah diri wahai Adam Bahrain. Kau itu lelaki, dia perempuan. Dan perempuan itu bukan adik kamu…maknanya bukan muhrim! Bisikan dari dalam diri seolah mempermainkannya.

“Kenapa pandang aku macam tu? Aku ada tanduk ke? Atau hidung aku ada tiga lubang?!” Rara masih marah-marah.

Adam Bahrain tidak mampu lagi menahan tawanya. Dia membiarkan sahaja ketawanya di nikmati oleh semua yang berada di dalam café itu. Dia tidak mengendahkan Rara yang menyambung rajuknya sehingga Adam Bahrain dapat merasai kemasaman raut wajahnya dek ditertawakan olehnya. Adam Bahrain tidak peduli. Jika gadis itu degil sangat tidak mahu bercerita tentang masalahnya, dia juga ada kekerasan hatinya sendiri.

“Eh! Kalau kau ada tanduk pun cantik juga. Unik.” Usik Adam Bahrain lagi.

“Kau ni kan! Suka cari pasal.”

“Siapa yang mulakan? Aku tanya elok-elok, kau pulak tak pasal-pasal jerit kat aku. Padan muka!”

“Kau ejek aku. Abah aku pun tak buat macam itu kat aku.”

“Itulah bezanya. Abah kau tak boleh jadi boyfriend kau. Aku boleh…sebab itu kalau banyak merajuk dengan aku, boleh jalan!”

“Siapa nak jadi girlfriend kau! Aku tak sudi.”

“Aku offer aje. Habis tempoh, offer tamat. Jangan menyesal. Aku ni jantan pujaan tau…” Adam Bahrain tak puashati masih mahu menyakat gadis comel itu lagi.

“Sikit pun aku tak heran.”

Adam Bahrain mengulum senyumnya mendengar jawapan dari mulut Rara. Semakin lama dia berdebat dengan gadis itu, semakin timbul rasa sukanya pada Rara. Rara lain dari rakan-rakan wanitanya. Rara jujur dalam melahirkan pendapat. Rara tidak berpura-pura menampilkan dirinya. Cukuplah dengan hanya bergincu nipis, jeans dan t-shirt, gadis itu nampak istimewa di matanya.

“Betul kau tak nak cerita masalah kau pada aku?” Adam Bahrain cuba mengorek rahsia Rara untuk kesekian kalinya.

“Betul.”

“Okey. Fine. Tapi dengan satu syarat.”

“What!!”

“Tolong jangan masam macam tu. Senyumlah sikit. At least aku tahu masalah kau tu taklah berat sangat…”

Rara tunduk sahaja. Bagaimana boleh dia tersenyum sedangkan hatinya tidak gembira. Dia keliru sebenarnya. Atas alasan apa Didi memutuskan hubungan mereka? Tidak cukupkah perhubungan mereka yang berbelas tahun itu dinamakan cinta yang suci? Jika tahun bukan ukuran, apalagi yang boleh dijadikan sandaran untuk membuktikan cinta? Cinta pertama yang abadi di lubuk hati.

“Rara…”

“Queen Marsyella! Are you deaf!” Adam Bahrain menjerit nyaring apabila Rara hanya tunduk memandang lantai.

Esakan kecil Rara yang kedengaran memecahkan kebuntuan yang dirasai oleh Adam Bahrain. Eh! Nangis pulak dah! Apa aku dah buat. Adam Bahrain kalut seketika sebelum dengan kematangan yang ada, dia cuba memujuk Rara.

“Okey…okey…aku tak paksa kau untuk senyum. Jom kita pergi jalan-jalan kat taman. Ambil angin.”

Diam. Rara menyepi sahaja.

Adam Bahrain naik bingung. Salah besar kah permintaan aku tadi? Hish!! Susahnya nak memujuk ‘budak kecil’ merajuk! Gumamnya di dalam hati.

Tidak semena-mena Adam Bahrain menarik tangan Rara yang terpinga-pinga dengan apa yang sedang berlaku. Tangannya terasa kebas kerana dicengkam kuat oleh tangan sasa Adam Bahrain. Dia menarik-narik tangannya agar terlerai dari pegangan lelaki itu tetapi gagal. Pegangan Adam Bahrain terlalu kejap.

“Kau degil sangat. Kalau nak nangis pun janganlah kat tempat ramai orang macam itu. Nanti orang ingat aku buli kau.”

Setiba di kawasan taman permainan barulah Adam Bahrain melepaskan tangannya. Dia melepaskan dengusan kasar kerana tidak setuju dengan gelagat Rara tadi. Dia tidak suka melihat tangisan. Dia benci melihat wanita menangis atau disakiti. Nalurinya kuat mengatakan yang Rara sedang disakiti. Oleh siapa dan mengapa, dia tidak pasti. Bibir gadis itu mengunci rapat tentang masalahnya.

Adam Bahrain membalikkan tubuhnya untuk berdepan dengan Rara. Gadis itu sedaya upaya sedang menahan tangisnya dari menderu laju. Tetapi siapalah dia yang mampu menahan tangisan itu dari berhenti. Dengan mata yang berlinang, dia menentang pandangan tajam Adam Bahrain.

Perasaan Adam Bahrain yang tadinya geram menggila bertukar belas serta merta. Dia kalah dengan tangisan itu. Hati keringnya menjadi basah dengan tiba-tiba. Sudahlah…Rara. Berhentilah menangis. Aku akan lakukan apa saja untuk membuat kau kembali ketawa…namun itu hanya terbit di hati kecilnya. Ego lelakinya melarang dia meluahkan perkara itu.

“Aku minta maaf kalau kau terasa dengan gurauan aku tadi.”

Rara menggeleng.

“Bukan salah kau. Aku yang terlalu lemah. Kau juga yang cakap dulu, kan…aku ni lemah.”

Adam Bahrain jadi serba salah bila Rara mengungkit tuduhannya yang lalu. Tuduhan yang berupa gurauan baginya tetapi Rara serius menyimpannya di hati.

“Aku tak maksudkan macam itu.”

“Memang aku orang yang lemah. Aku mudah berasa rendah diri. Aku mudah menangis kepada benda yang remeh temeh. Aku…”

“Aku tahu. Tapi cukup-cukuplah kau menghina diri kau sendiri. Aku tak suka begitu. Aku tak suka orang yang berfikiran negatif…”

Adam Bahrain masih lagi cuba menaikkan semangat Rara. Rara yang cengeng, Rara yang nampak rapuh di luar dan dalam. Dia perlu menyedarkan gadis itu. Jangan selamanya biarkan diri dipermainkan. Usah menyerah bulat-bulat pada takdir.

“Kenapa kau boleh jadi begitu kuat? Kenapa aku tidak?”

“Aku ni dah banyak makan asam garam dan sepak terajang dunia mainan manusia ini, Rara. Aku dah biasa. Aku dah biasa menangis macam kau. Itu dulu. Sekarang Adam Bahrain sudah matang. Aku dah tak heran itu semua. Aku kan lebih tua dari kau…itu sudah cukup membuktikannya.”

Rara tersenyum kelat dalam matanya yang masih basah.

“Stop crying, Rara. Senyumlah…kerana senyuman kau adalah senyuman paling cantik yang pernah aku jumpa.”

‘Izinkan aku simpan ia di dalam hati…’ ayat yang terakhir itu hanya terluah di dalam hati Adam Bahrain sahaja.

“Kau ni merepek aje.”

“Betul apa aku cakap. Dah berapa kali aku ulang depan kau.”

“Kau ni! Kau buat aku malu!”

Wajah Rara sudah bertukar merah. Dia menepuk dada bidang Adam Bahrain dengan kedua-dua tangannya.

“Kau ada rasa malu dengan aku, ke? Dah berapa kali kita keluar, kau tak pernah sembunyikan apa-apa…”

Rara menjeling. Dia sudah tidak bersedih lagi. Adam Bahrain membawa keceriaan kepada hidupnya hari itu. Dia gembira dengan usikan lelaki itu. Dia mampu tersenyum mendengar cerita lucu lelaki itu. Semuanya dari Adam Bahrain amat mewarnai kehidupan kampusnya ketika ini. Dia lupa seketika kepada Didi yang membenam cinta sucinya. Dia lupa kepada wajah Kiki yang sering hadir mengejek di dalam mimpi-mimpinya.

***

Adam Bahrain pelik dengan perubahan yang berlaku kepada dirinya semenjak kebelakangan ini. Kemana sahaja dia pergi, wajah itu akan ada di mana-mana. Wajah itu bak mentari yang menerangi waktu siangnya, dan umpama rembulan yang menyinari malamnya. Apa sudah gila kah aku? Gila bayang kepada gadis mentah seperti itu? Gadis cengeng yang dimarahinya sewaktu kali pertama bertemu, gadis biasa yang langsung tidak termasuk di dalam senarai wanita idaman. Tetapi mengapa dia? Apa istimewanya dia? Ahh! Memang sah aku dah gila!! Pekik Adam Bahrain di dalam kamar sewanya itu.

Adam Bahrain berjalan ke ruang tamu apartment dua bilik yang disewa semenjak dia datang ke bumi Inggeris ini. Ini bermakna sudah hampir lapan tahun dia berurusniaga dengan Madam Jennifer, tuan punya apartment tersebut. Wanita separuh umur dan bertubuh gempal itu sering menyapanya setiap kali mereka berpapasan di laluan pejalan kaki.

Setiap kali Madam Jennifer bercadang menaikkan sewa apartment tersebut, ada-ada sahaja alasan yang diutarakan oleh Adam Bahrain sehinggakan akhirnya wanita tua itu mengalah. Hasilnya sehingga ke hari ini, sewa apartmentnya tidak pernah dinaikkan dari 350 pound sterling sebulan. Bagi Adam Bahrain jumlah itu tidaklah membebankan memandangkan dia adalah waris tunggal keluarga Datuk Ikram, tuanpunya syarikat hiasan dalaman terkenal. Wang dan kemewahan sudah sebati dengan dirinya.

“I nak turun UK minggu ini. Ada seminar perniagaan dengan rombongan kementerian perdagangan. I ikut syarikat uncle Fauzi. Kita jumpa nanti.”

Adam Bahrain teringat mesej yang ditinggalkan oleh Laila lewat telefon bimbitnya dua hari lalu. Dia tersenyum sendirian apabila mengingati nama itu. Laila yang seksi dan manja itu mengharapkan perhatian darinya. Perhatian yang lebih dari sekadar kawan biasa. Tetapi entah mengapa, dia tidak pernah ada hati dengan Laila. Kedua ibu bapa mereka memang berkawan rapat, sebab itulah dia pun rapat dengan Laila. Tetapi setakat itu sahaja. Langsung tidak pernah membicarakan soal hati.

“Kenapa Adam tak nak dengan Laila tu? Budaknya baik, bersopan santun. Hormat orang tua. Tak pernah dia tak cium tangan mama kalau datang sini tau.”

Bicara arwah mamanya terngiang-ngiang di cuping telinga Adam Bahrain. Dia memejamkan mata. Dia cuba melupakan perbincangan yang terbit antara dia dan mamanya dahulu.

“Saya tak cintakan dia, mama.”

“Habis tu…Adam sukakan siapa? Mama tengok tak ada perempuan lain yang Adam bawa balik ke rumah.”

“Adam tak ada sesiapa, mama.”

“Betul ke? Atau Adam suka pada Laila tetapi malu nak berterus terang.”

“Taklah mama…memang tak ada.”

Adam Bahrain mengeluh dalam-dalam kemudian melepaskannya. Kenangan bersama mamanya sentiasa utuh. Benar mama…ketika itu memang Adam tidak memiliki atau dimiliki. Tetapi kini…Adam ingin memiliki seseorang, mama…senyumnya, tangisnya, guraunya…semua ada dalam mata ini, di mana-mana. Gilakah Adam, mama? Kalau mama masih ada, adakah mama restui niat Adam ini?

Bunyi loceng di luar mengejutkan Adam Bahrain yang leka berkhayal. Dia mencampakkan bantal pelapik kepalanya ke atas sofa lalu berlari membuka pintu.

“Hi sayang…I dah datang.”

Mereka berpelukan seketika sebelum melepaskannya semula.

“Sorang aje? Uncle you tak singgah sekali.”

“Tak. Dia duduk kat hotel. Jadual dia padat. Mana boleh lari sana sini macam I. Kiranya trip I ini dua dalam satu…business trip cum visiting trip.”

“Bukannya you akan sampai lusa ke? Ini macam awal dua hari.”

“I dengan uncle datang awal. Dia ada hal sikit di sini. Nak survey barang untuk syarikatnya. Kenapa? Tak suka I datang cepat ke?” Laila menarik muka masam.

“Bukan macam tu. Suka sangat bersangka buruk.”

“Then…you sukalah I datang ni?” Laila bersuara manja.

Adam Bahrain tidak menjawab. Dia menghalakan kakinya ke peti ais yang terletak di ruang dapur. Laila mengekori dari belakang.

“Nak minum?”

“Sure.”

Adam Bahrain menghulurkan satu tin minuman kepada Laila. Gadis itu menyambutnya dengan senang hati.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.