Header Ads

Manisnya Cinta - Anis Ayuni











HARGA ASAL: RM17.00
HARGA TAWARAN: RM8.50
M/SURAT: 480 ms
STATUS: ADA/ TERPAKAI
SUDAH tiga malam berturut-turut aku mendirikan solat Istikharah. Kemudian lama pula aku berdoa memohon daripada ALLAH S.W.T agar diberikan petunjuk sama ada aku perlu mempertahankan hubunganku dengan Alfredo atau sebaliknya. Sesungguhnya terlalu sukar bagiku untuk meneka apa yang berlaku. Dalam situasi begini sudah tentu hatiku tertanya-tanya, masih setiakah Alfredo dalam berkasih?

Aku kembali teringat perbualanku dengan Nivel tentang Alfredo tiga hari yang lalu. Namun untuk tidak memanjangkan cerita, aku membuat andaian; mungkin Alfredo keluar dengan pelanggannya. Aku cuba melunakkan hati sebenarnya. Namun hakikatnya, aku sedar kedinginan semakin mengintai hubungan kami.

Walaupun tidak begitu mempercayai kata-kata Nivel, tetapi aku tetap cuba mengesan perubahan sikap Alfredo akhir-akhir ini. Tengah hari tadi aku mengajaknya keluar makan bersama, tetapi dia sudah ada temu janji dengan pelanggan. Penolakan itu semerta mengingatkan aku kepada Nivel. Nivel yang mengakui itu bukanlah kali pertama dia nampak Alfredo keluar dengan gadis yang sama. Ketika dia menggambarkan orangnya, aku sekadar meneka, mungkin Alfredo keluar dengan Juita, setiausahanya.

"Bos keluar makan dengan secretary... tu memang biasa. Tapi bagi I, kalau bos jalan berpimpin tangan dengan secretary, itu dah jadi luar biasa Ifti... melainkan kalau mereka memang ada apa-apa," jelas Nivel tenang.

Memang aku berasa terpukul dengan khabar yang tidak terduga itu. Masakan Alfredo curang dan tidak sayang pada hubungan kami yang telah lama terjalin ini. Tidak mungkin Alfredo tergamak menghancurkan harapan orang tua kami. Celupar benar mulut Nivel, getusku dalam hati.

"I tak ada niat nak buat you susah hati... tapi I rasa you perlu lakukan sesuatu," tegas Nivel memberi penekanan pada perkataan 'sesuatu' yang cukup aku fahami maksudnya.
Atas desakan hati, akhirnya aku bertanya juga kepada Alfredo. Tetapi Alfredo selamba sahaja. Malah dengan tenang dia menjawab. ÒI faham you rasa tertekan sejak pemergian Kak Aida. I tak suka memaksa, malah I sedia menunggu hingga you benar-benar bersedia. Kalau dah jodoh kita, takkan ke mana Ifti!Ó Itulah kata-kata Alfredo. Jadi, bagaimana?

KEPULANGANKU dari pejabat disambut riang oleh Adura dan Aiman yang segera menghadiahkan kucupan di kiri kanan pipiku sambil menuntut janji. Reaksi mereka meyakinkan aku bahawa memang sudah tidak ada ruang untuk berkompromi lagi.
"Mama cakap semalam, balik kerja kita terus pergi!" Nada suara Aiman penuh protes.
"Mama penat," balasku sambil menyandarkan tubuh di sofa. Aku sengaja mempamerkan wajah yang penuh lesu.

Sebenarnya aku lebih senang kalau Izelea pergi bersama. Tidaklah nanti aku terkejar-kejar melayan kerenah mereka. Kalau pergi bersama-sama Adura dengan Aiman sahaja, tidak ada masalah. Tetapi apabila Elida ikut bersama, tentulah semakin susah hendak melayan ragam mereka .

"Nak pergi sekarang jugak!" Aiman semakin mendesak.
Entah perangai siapa yang diwarisinya kerana tak ada toleransi langsung! Kadangkala panas juga hatiku dibuatnya.

"Ajak nenek ikut sama ya?" Aku cuba memancing reaksi emak. Kalau emak mahu pergi bersama, lebih mudahlah aku.

"Kalau susah-susah sangat, tak payah bawak Elida." Emak mula mengusul sebagai menolak secara halus pelawaanku.

Aku memandang Elida yang sedang didukung oleh emak. Demi menatap matanya yang bening, aku tidak sampai hati pula hendak meninggalkannya.

"Okey, kalau sesiapa nak pergi, picit kepala mama dulu," pintaku sambil memejamkan mata.

Serentak itu berdahulu Adura dan Aiman melompat ke atas sofa. Geli hati pula apabila melihat tingkah mereka. Hanya semata-mata kerana hendak pergi ke McDonald's, mereka sanggup mengikut segala arahanku. Namun cepat sahaja sesi itu selesai.

AKU mengeluarkan stroller, dan mendudukkan Elida yang baru terjaga sebaik sahaja kami sampai. Kami memilih tempat duduk di hujung sekali kerana sekiranya mereka berbuat bising, tidaklah terlalu mengganggu orang lain.

Aku meletakkan makanan dan minuman yang aku beli di atas meja. Kemudian aku mendudukkan Elida di atas kerusi khas untuk kanak-kanak. Namun baru sahaja aku hendak menyuap makanan, Aiman mengadu hendak ke bilik air. Aku harus menemankannya. Elida pula terpaksa aku tinggalkan dengan Adura.

Belum selesai menguruskan Aiman di tandas, aku terdengar suara Adura memanggilku. Dari jauh aku nampak Elida sudah 'bermandi' air Milo dan dia sedang menangis.

Aku berjalan pantas ke arah mereka. Namun belum sempat aku mendapatkannya, Aiman pula sudah menjerit memanggilku. Kelam-kabut betul aku dibuatnya. Aku hanya sempat memberi isyarat kepada Adura agar melakukan sesuatu sebelum aku berpatah semula ke bilik air.

Agak lama juga aku menguruskan Aiman yang cerewet apabila seluarnya basah sedikit. Lega juga rasa hati kerana ketika itu aku tidak mendengar lagi tangisan Elida. Pastilah Adura sudah berjaya memujuk dan meredakan tangisannya.

Apabila keluar, aku nampak seorang petugas sedang mengelap meja. Elida pula sedang didukung oleh seseorang. Tentu dialah yang memujuk Elida tadi, fikirku. Dengan pantas aku mengambil Elida daripada dukungannya. t-shirt putihnya sedikit comot terkena kesan tumpahan air Milo di baju Elida. Ketika itu sempat aku meminta maaf dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Aku segera membawa Elida ke bilik air untuk mengesat badannya.

"Mama, Aiman nak mainan macam ni!"
Aku segera berpaling memandang Aiman. Terasa geram juga kerana sebelum membuat pesanan tadi, dia beria-ia hendakkan mainan jenis lain dan sekarang berebut pula dengan Adura. Kalau tidak diturutkan, pasti dia tidak mahu balik selagi tidak dapat apa yang dihajati.

"Nanti lepas ni mama beli!"

AGAK lama aku di bilik air kerana menukar lampin pakai buang Elida sekali. Bajunya yang kotor aku masukkan ke dalam beg plastik. Memang aku cuba melakukannya secepat mungkin kerana aku yakin tentulah Aiman sudah bosan menanti. Lambat-laun dia akan merebut mainan daripada Adura. Akhirnya, mereka akan bergaduh.

Tepat seperti dugaanku. Adura jelas sudah 'tewas' dalam perebutan itu. Air matanya membasahi pipi, sedangkan Aiman ketawa menunjukkan mainan di tangannya.

"Kalau nangis, mama tak nak beli!" Aku mengugut sambil meletakkan Elida di kerusi.
Tangisan Adura serta-merta reda. Namun belum sempat aku melangkah ke kaunter, satu set happy meal diletakkan di atas meja. Aku terpinga-pinga memandangnya.

"Uncle belanja," ujarnya tersenyum memandang Adura.
Aku memandang wajah lelaki itu yang nampak ikhlas. Kalau aku hulurkan juga duit, nampak benarlah aku tidak faham bahasa. Akhirnya, aku menerima pemberiannya sebagai rezeki anak-anak.

"Cakap terima kasih pada Uncle... err..." Aku memandangnya. Memang aku tidak tahu namanya, tetapi itu bukanlah penting sangat bagiku.

"Nazmi," jawabnya dengan ramah. "Puan?"

"Ifti," balasku teragak-agak.

Seketika dia tercengang-cengang memandangku. Mungkin namaku agak aneh pada pendengarannya. Ah, biarlah!

Lelaki itu kembali ke tempat duduknya. Bersebelahan meja sahaja rupa-rupanya. Sesekali aku mencuri pandang ke arahnya. Penampilan lelaki itu menyerlahkan ketampanannya. T-shirt putih dan seluar jeans berwarna biru yang dipakainya menjadikan pakaian kami seakan-akan sedondon. Hai, macam berjanji pulak, bisik hatiku.

"Rasanya kita pernah jumpa sebelum ni," kata lelaki itu membuatkan aku terkejut. Kuperah ingatan memikirkan kata-katanya.

'Emm... kita jumpa kat Jusco. Masa tu kita sama-sama nak beli puding karamel. Ingat lagi tak?'

SELAMA ini aku amat menghargai kesabaran Alfredo. Namun kebelakangan ini aku semakin meragui kesetiaannya. Dia sentiasa sibuk, banyak temu janji dengan pelanggan, mesyuarat dan pelbagai alasan lagi. Akhirnya, kami bagaikan membawa haluan sendiri.
Suatu hari emak membebel. Katanya, Auntie Azlina ada memberitahu yang Alfredo membawa pulang seorang wanita ke rumah untuk diperkenalkan kepadanya. Wajah Juita segera melintas di tubir mataku. Tentulah Juita yang dibawa oleh Alfredo. Diperkenalkan kepada ibunya sebagai siapa? Calon isteri?

Aku bagaikan baru tersedar dan kembali pada realiti. Hatiku tertanya-tanya, apakah aku sudah terlambat? Selama ini aku menyangka Alfredo sedang memberiku waktu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Tetapi mungkin aku mengambil masa yang terlalu lama sehingga Alfredo bosan dan tidak sabar lagi menunggu.

"I nak jumpa you malam ni," pintaku kepada Alfredo sedikit mendesak. Otakku berputar ligat memikirkan hujah-hujah seandainya Alfredo menolak permintaanku.
"Eh, mimpi apa malam tadi?" soal Alfredo.

"Tak mimpi apapun! Tapi I nak jumpa you malam ni!" desakku lagi.

"Okey... okey... malam nanti I jemput you." Alfredo menyambutnya dengan gembira. Suaranya terdengar mesra. Gurauan dan usikannya masih seperti dahulu juga.

Aku segera menidakkan kegusaran yang melanda hati Auntie Azlina. Alfredo tidak berubah, masih setia dalam berkasih.

Cafe Naili's Place masih belum ramai pengunjung ketika kami sampai. Kami memilih tempat duduk berdekatan dengan sebuah akuarium. Kami menjamu selera dengan perbualan biasa. Aku masih menanti-nanti peluang itu tiba, tetapi nampaknya Alfredo begitu berhati-hati ketika menuturkan kata-kata.

"You sibuk sangat akhir-akhir ini." Aku cuba memancing. Alfredo ketawa kecil.
"Kita sama-sama sibuk, Ifti. You asyik dengan kerja... I pun macam tu jugak," kata Alfredo sambil meletakkan tangannya di atas tanganku. Aku biarkan sahaja dia menggenggam jari-jemariku. Tidak terasa apa-apa lagi. Kosong!

"Ibu you kata ... err... you... ada bawak orang datang ke rumah, betul ke?" soalku lambat-lambat agar Alfredo mendengarnya dengan jelas.

Alfredo menepuk dahi. Meskipun dalam cahaya yang samar-samar, aku nampak air mukanya berubah. Kekalutan cuba disembunyikan dalam ketawa yang dibuat-buat.
"Ibu memang tak boleh simpan rahsia," katanya tidak berselindung lagi. Aku kira selama ini Alfredo memang menanti masa untuk berterus terang denganku.

"Rahsia apa, Fredo?" soalku.

Azizi Alfredo, pemuda berdarah kacukan Filipino di sebelah bapa dan Melayu di sebelah ibu itu sedikit menggelabah.

"Tak ada rahsialah! Sebenarnya I memang nak beritahu you yang I ajak Juita datang ke rumah... saja jalan-jalan."

Alfredo tergelak-gelak. Begitu bersahaja.

Saja jalan-jalan? Soalku berkali-kali di dalam hati. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Sesuatu yang Alfredo juga tahu.

"Juita tu kan dah bertunang... you tak takut ke keluar dengan tunang orang? Tak bimbang ke kalau tunang dia belasah you? Nanti tak pasal-pasal bertelur dahi!"

Aku sekadar menyatakan apa juga kemungkinan yang akan berlaku. Bukan niatku untuk menakut-nakutkannya.

"Juita dah putus tunang," pantas Alfredo menjawab. Mukanya ditundukkan sedikit.
Hakikat itu langsung tidak disembunyikan oleh Alfredo. Tidak susah untuk membuatkan Alfredo berterus terang. Aku semakin faham duduk perkara. Tentulah kepada Alfredo tempat Juita mencurahkan rasa hati yang kecewa. Tentulah Alfredo mendengarnya dengan penuh simpati. Mereka akhirnya menjadi dua insan yang saling memerlukan.
Aku harus mengakui bahawa memilih Juita adalah yang terbaik untuk dirinya. Biarlah

Alfredo berkahwin dengan orang yang benar-benar mencintainya.
"Berterus terang ajelah Fredo," pintaku.

AKU menyilangkan tangan dan berpeluk tubuh, berharap agar kekuatan akan kembali ke dalam diriku. Mujurlah cahaya lampu yang suram membuatkan riak wajahku yang sedih tidak begitu ketara. Putus cinta perkara biasa. Aku cuba meyakinkan hatiku begitu.
"Ifti..." Lembut dan mesra suaranya memanggil namaku seperti selalu. Aku berpaling ke arahnya.

"I tak tahu apa yang patut I buat... sana sayang, sini pun sayang... kalau boleh I nak kedua-duanya sekali," ucap Alfredo akhirnya.

Tiba-tiba hatiku marah kepada Alfredo. Tidak sangka dia akan berkata begitu. Aku tahu dari segi material Alfredo memang mampu, tetapi bolehkah Alfredo berlaku adil?
Aku tak mahu berkongsi kasih! Sudah menjadi prinsip hidupku begitu. Aku mahu dia memilih antara dua. Aku ataupun Juita. Aku lebih rela melepaskan dia pergi.

"I sayang you, Ifti," ujar Alfredo sambil cuba meraih tanganku kembali, namun aku mengelak. Aku membetulkan duduk dan bersandar agar aku jauh daripadanya.

"Sayang aje buat apa, tapi tak setia," sindirku.

"I minta maaf, Ifti. I tahu you marah... tapi..."

Aku kembali memandang Alfredo, memberi isyarat bahawa aku ingin mendengar apa sahaja yang ingin disampaikannya ketika ini.

"Err... hubungan I dengan dia dah terlalu jauh, Ifti... I tak boleh tinggalkan dia macam tu aje."

Terasa hendak pitam aku mendengar pengakuan Alfredo. Tafsiranku sudah tentulah tentang ketelanjuran mereka atau... ah, entahlah! Masya-ALLAH...

"Mengapa you dan Juita sanggup melakukan perkara mungkar? I tak sangka iman you senipis kulit bawang!"

Alfredo diam membisu. Bagaimanapun aku tetap menghargai sikapnya yang tidak berdolak-dalik dan sanggup bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya. Tetapi kalau sekalipun dia berbohong, aku tidak berasa rugi apa-apa. Cuma aku harus bersiap sedia untuk menghadapi reaksi emak dan abah.

You tak perlu buat pilihan, Fredo." Sebaris ayat itu aku ucapkan dalam intonasi suara yang meyakinkan. Aku tahu Alfredo faham maksudku walaupun dia terus membisu.
ÒParents kita harus faham Fredo. Kita tak boleh setiap masa nak please dia orang aje... sekarang ni dah libatkan Juita pulak."

Alfredo melepaskan keluhan berat. Wajahnya muram. Ah, pandai benar dia hendak meraih simpatiku dengan riak begitu!

"Sebenarnya I dah lama tahu hubungan you dengan Juita. I fikir setakat hubungan biasa aje... tapi hari ni semuanya dah jelas." Aku berjeda.

"Kita harus ambil satu keputusan yang muktamad. Hubungan kita berakhir di sini. I rela you memilih Juita. Mungkin antara kita dah ditakdirkan tak hidup bersama. Kita harus redha, Fredo."

Aku mahu agar Alfredo boleh meneruskan apa juga agenda yang sudah direncanakannya bersama Juita. Lagipun aku bimbang kalau-kalau hubungan yang terlarang itu membenihkan 'sesuatu' yang tidak sepatutnya. Harapanku biarlah zuriatnya kelak lahir dari ikatan yang sah di sisi agama.

"Err... tapi... macam mana... err... dengan hubungan kita?" soal Alfredo ragu-ragu.
"Hubungan kita sampai setakat ni aje. Jangan fikirkan tentang I... Juita lebih perlukan you," kataku penuh yakin merelakan perpisahan ini.

Alfredo masih termangu-mangu. Mungkin berat hati untuk memutuskan hubungan yang sudah bertahun-tahun terjalin. Tetapi bagi aku, tempoh sebegitu lama tidak boleh dijadikan ukuran. Apalah ertinya ikatan perkahwinan kalau hati kami tidak ikhlas menerimanya.
"Juita perlukan you," ulangku lagi.

"Selama ni pun I rasa kita dah macam adik-beradik sebenarnya, Fredo," luahku ikhlas. Membuka rahsia hati yang selama ini kemas tersimpan.

"Jadi selama ni I bertepuk sebelah tanganlah ya?" Sinis nada suaranya.
Aku serba salah kerana sudah terlepas kata. Sepatutnya, biarlah hakikat itu menjadi rahsia hatiku sahaja. Aku juga sebenarnya ikut bertepuk, tetapi mungkin tepukannya tidak cukup kuat. Tidak dengan sepenuh hati.

TELAH aku jangka bagaimana reaksi emak dan abah. Sudah aku kuatkan hati untuk menghadapinya. Kini bukan soal aku dengan Alfredo sahaja, tetapi sudah membabitkan Juita pula. Kami sudah membuat keputusan yang terbaik dan aku harus mempertahankannya.

"Memang menolak tuah!" Suara abah kedengaran hampa. Ketika itu aku sekadar mendengar sahaja kemarahan abah yang meluap-luap.

"Lepas ni Ifti takkan jumpa orang yang sebaik Fredo lagi!" Kata-kata emak mengapi-apikan lagi kemarahan abah.

Aku bungkam. Sama sekali aku tidak menduga yang abah dan emak akan marah sampai begitu sekali. Salahkah aku memutuskan hubungan yang sudah tidak bermakna apa-apa lagi?

Aku yakin di luar sana, ramai lagi orang lain yang sebaik Alfredo. Malah mungkin ada yang lebih baik lagi. Berilah peluang kepadaku untuk membuktikannya. Tetapi keyakinan ini tidak terluah dalam kata-kata. Aku takut abah akan mencabar aku pula. Buatnya dia memberi tempoh kepadaku membawa lelaki itu di hadapannya, mana aku hendak gagau? Takkanlah hendak main cekup sesiapa sahaja?

"Apa abah nak cakap dengan keluarga dia... memalukan betul!" bentak abah lagi.
Emak menangis seolah-olah mengharap agar tangisan itu dapat mengubah keputusan yang aku dan Alfredo buat tadi. Sedangkan harapan untuk berkongsi hidup dengan Alfredo memang sudah tidak ada lagi.

"Maafkan Ifti, mak..." pintaku bersungguh-sungguh sambil cuba memeluknya, tetapi emak menepis tanganku. Emak benar-benar marah dan sedih. Aku dihimpit rasa bersalah kerana mengecewakannya.

"Dia dah ada orang lain! Takkanlah Ifti nak paksa dia?" Akhirnya aku cuba membela diri. Setakat itu sahaja. Tidak tergamak rasanya mengungkit tentang keterlanjuran mereka. Biarlah ia terus menjadi rahsia.

"Dah tak ada jodoh... nak buat macam mana?" kataku.

Tiga bulan berlalu dengan begitu pantas. Petang itu selepas pulang dari pejabat, aku unjukkan kepada emak dan abah kad undangan perkahwinan Alfredo dengan Juita, meskipun aku tahu, Auntie Azlina dan Uncle Fahmi sudah mengundang mereka. Sekadar ingin emak tahu bahawa antara aku dengan Alfredo, kami masih bersahabat.

"Nak pergi ke?" sinis pertanyaan emak.

"Eh, orang dah jemput mak, takkanlah tak pergi pulak!" Aku menjawab dengan selamba.

AKU mencoret sebaris ayat di atas kertas kosong di hadapanku. Sambil termenung menongkat dagu, aku ulang menyebutnya berkali-kali di dalam hati. Cuba mentafsir, mencari makna daripada sebaris ayat itu mengikut situasi yang aku alami kini.

'Hidup tidak selalu indah, hati tidak selalu gelisah'.

"Ifti!"

Suara itu menghanyutkan lamunanku. Aku memandang Jesse Mark yang tercegat di hadapanku.

"Berangan ya!" usiknya .

Aku tidak menghiraukan usikannya. Malas hendak menafikan atau mengiakan. Dia tergelak.

"Bos cakap dia nak tengok design projek yang kita bincang semalam," sambung Jesse Mark.

"Sekarang?" soalku inginkan kepastian.

Jesse Mark menegakkan tiga anak jari. Aku mengangguk tanda faham. Dia meninjau pelan reka bentuk hiasan dalaman yang aku hamparkan di atas meja. Meminda lagi mana-mana yang dirasakannya perlu.

Aku memberi perhatian kepada tambahan lakaran yang dibuatnya. Sesekali aku memandangnya. Teringat ketika dia mula masuk bekerja dahulu. Ramai yang menyangka dia orang Melayu. Rupa-rupanya dia anak kacukan. Hubungan cintanya dengan Dhivia, bukanlah rahsia lagi. Sebuah potret mereka yang terletak di atas mejanya jelas tertulis gandingan nama mereka berdua, JC & Via. Aku tiba-tiba terkenang kepada seseorang. Memikirkan apakah mungkin akan ada pertemuan lagi dengannya. Fikiranku menerawang jauh.

"Okey, I rasa dah cukup perfect!"

Terlepas pensel di tanganku. Jesse Mark tercengang-cengang memandangku.

"Memang sah you tengah berangan ni!"

Aku tersipu malu. "Oh ya, Via mana?" Aku cuba mengalih tumpuannya.

Sekali lagi Jesse Mark mentertawakan aku. "Kalau you tak berkhayal, you tentu nampak Via... dia baru aje lalu kat sini tadi."

Aku mengutip kembali serpihan khayalan aku tadi. 'Dia' masih lagi menabiri ruang mataku.
"You macam orang yang sedang dilamun cinta." Jesse Mark memberi komen.
Aku tersenyum dan mengangguk. Di wajah Jesse Mark terlukis seribu tanda tanya.






Advertisement

1 comment:

  1. buku ni ade lagi x? kll ade nk beli mcm mn?

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.