Header Ads

Aku Yang Terlewat 1


TELEFON yang berdering-dering aku biarkan sahaja kerana aku keburuan waktu mengejar dateline yang diberikan oleh Dato’ Khalid. Mendengar muzik iringan yang berkumandang dari telefon bimbitku, aku tahu siapa yang memanggilnya. Tetapi aku harus menyiapkan tugasan yang diserahkan dalam masa setengah jam lagi, jika tidak kami tidak dapat menghantar dokumen tersebut kepada pihak yang berkenaan seperti yang dijanjikan. Kegagalanku melaksanakan tugas tersebut bermakna syarikat bakal kerugian beratus ribu ringgit dari tender yang ditawarkan.

Sekali lagi panggilan masuk menganggu tumpuanku. Demi tidak mahu konsentrasiku tergugat, aku meletakkan ‘silent mode’ agar apabila itu bernyanyi lagi, ia langsung tidak menganggu. Akhirnya tugasku dapat diselesaikan sepertimana dikehendaki oleh Dato’ Khalid seawal jam 8 malam. Bergegas aku mengemaskan barang-barang dan pensil yang bersepah di atas meja. Aku harus segera pulang. Kasihan dengan sang puteri yang sedang menunggu di rumah. Pasti dia sedang muncung sekarang ini, manakan tidak aku tidak membalas panggilannya atau mesej-mesejnya. Kerana kepenatan, aku langsung terlupa mengaktifkan telefon bimbitku sehinggalah kakiku mencecah lantai rumah. Terdapat lebih enam panggilan tidak berjawab dari Hannah. Ada sejumlah SMS yang masuk di kotak mesej tetapi aku malas membukanya.

Lampu di ruang tamu telah dipadamkan petanda sang puteri kesayangan telah masuk beradu. Oh! Mungkinkah penat dia menanti hinggakan menunggu kepulanganku pun bagai tidak sudi. Begitu fikirku sambil tangan mengunci pintu semula. Aku terus menuju ke peti ais bagi menghilangkan dahaga.

Dia memasak? Ada special vacation ke? Aku sengaja menjenguk ke meja makan dan di bawah tudung saji ada masakan kegemaranku, nasi ayam istimewa Hannah. Gelaran yang aku sendiri berikan sempena nama puteri tersayang kerana keenakan nasi ayamnya. Semakin tidak sabar aku mahu menjamahnya. Aku segera membasuh tangan di sinki dan mengambil pinggan di rak. Uh!! Lapar sungguh…baru kini teringat yang semenjak tengahari aku belum menjamah sebutir nasi. Nasib baik ada kau, Hannah…

Usai membasuh tangan aku segera memanjat tangga naik ke kamarku. Aku memulas tombol pintu tetapi nampaknya ia berkunci dari dalam. Aku gagal masuk ke kamarku sendiri. Ini mesti kerja Hannah yang merajuk.

“Hannah!”

“Hannah! I dah balik ni.”

Sunyi. Senyap. Tiada jawapan. Tidur matikah dia? Aku mengetuk daun pintu berkali-kali. Sudahnya tanganku yang berasa sakit tetapi daun pintu tetap tertutup rapat.

Aku mendail nombor telefon Hannah. Yes! Ada deringan nada lagu Misha Omar yang aku lupa tajuknya. Sesaat dua aku menunggu tetapi hampa. Juga tidak berjawab. Besar sangatkah kesalahanku hingga menyebabkan Hannah bertindak sejauh ini? Melancarkan perang dingin…kalaulah benar tekaanku.

Ke mana kau pergi Hannah??

Aku melangkah longlai ke bawah semula. Membuka kemeja yang telah tersarung di badan sejak pukul 7.30 pagi tadi. Punggung kulabuhkan di atas sofa. Kaki ku selunjurkan agar lebih tenang dan lega setelah seharian keluar masuk dari bilik Dato’ Khalid dan bilikku sendiri. Tetapi otakku belum habis berfikir ke mana gerangan Hannah membawa hati? Selalu dia tidak begini? Hanya dengan ucapan maaf, dia akan kembali senyum.

Aku mendail nombornya lagi. Deringan nada yang sama kedengaran tetapi kali ini aku seolah-olah dapat mendengar bunyi deringan itu di sekitarku. Semakin lama semakin kuat. Lantas aku mengangkat punggungku dan memunggah sofa yang sebentar tadi aku duduki.

Telefon Nokia N96 milik Hannah terletak elok di celah sofa. Entah sejak bila ia berada di situ aku tidak pasti. Patutlah dia tidak membalas panggilanku, inilah puncanya. Perasaan bersalah tetiba menyerangku. Sudahlah aku tidak membalas panggilannya tadi, kini aku pula mahu menuduhnya yang bukan-bukan. Ah!! Buntu kepala mencari jawapan ke mana menghilang Hannah puteri hatiku.

AKU menekan pedal minyak agar kereta yang sedang kupandu bergerak laju. Namun kegelapan malam menjadi penghalang mnyebabkan aku memandu sekitar kelajuan 120km sejam. Aku menyumpah-nyumpah diriku sendiri kerana tidak mahu membalas panggilan Hannah ketika di pejabat tadi. Kalaulah aku membalasnya walaupun sekali, aku pasti tidak terlewat menerima berita ini. Aku pasti dapat menemuinya untuk kali terakhir. Aku pasti dapat memohon kemaafan walau aku tidak pasti apakah aku ada berbuat salah dengannya.

Aku mencari kelibat Hannah. Matanya bengkak kesan tangisan dan tekanan jiwa yang bukan sedikit. Kehilangan orang yang tersayang dalam sekelip mata, siapapun pasti terjentik ruang kebal itu. Aku menghantar rasa kesalku melalui isyarat mata agar Hannah mengerti betapa aku menyesal dengan apa yang berlaku siang tadi. Tetapi Hannah seolah tidak mahu memandangku.

Aku mendekatinya yang berwajah sugul. Selendang putih menutupi kepalanya. Walau sedang bersedih, kau tetap ayu, Hasnnah.

“Maafkan I…”

Hannah mengangkat wajahnya. Mata kami bertatapan seketika. Aku pasrah jika kau mahu marah Hannah. Aku rela. Sebaliknya Hasnnah gagal mengawal emosi. Esakan kecil terus kedengaran tanpa amaran menyebabkan aku panik tiba-tiba. Beberapa pasang mata tertoleh-toleh sambil meneruskan bacaan Yasin.

Aku merangkul tubuhnya ke dalam pelukanku. Aku mahu meminjamkan kekuatan yang ada untuk Hannah. Aku ingin turut merasai bahang kesedihan itu. Siapa yang tidak terkilan apabila orang yang kita sayangi pergi tanpa pesan, tanpa pamitan. Seketika kemudian tangisannya semakin reda. Aku bersyukur kerana paling tidak pun dia masih melayaniku sebagai suaminya. Dalam rela aku mendakapnya sebentar tadi, aku tahu dia terpaksa demi menjaga maruahku di mata keluarganya.

“Terima kasih Hannah.”

Dia menatap mataku lama. Mungkin tidak faham mengapa tiba-tiba aku mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Sebab benarkan I jalankan tugas I. Memberikan semangat…”

Dia hanya berdiam diri. Menambah resah yang mula bercambah di dadaku. Tubuhku masih berada dekat dengan Hannah, merasai setiap degupan jantungnya yang masih dalam keadaan terkejut, sekaligus cuba memadamkan kesalahan sendiri. Aku harap Hannah sudi memaafkanku!

“Dahlah Zaff. Bawak Hannah masuk bilik. Mungkin dia penat agaknya. Dari hospital sampailah sekarang ni tak berhenti dia menangis. Tak elok macam itu…” bisik kak Ngah ke telingaku.

Aku sekadar mengangguk. Aku menguis lengan Hannah agar mengikutku ke bilik tetapi dia menolak dengan lembut. Aku tidak jadi mengangkat punggung. Sambil menemani jenazah itu aku membaca surah-surah yang ku hafal dan menghadiahkan Al-fatihah untuk ayah mertuaku yang telah kembali ke alam barzakh. Baru aku perasan Hannah tidak memegang al-Quran atau buku Yasin seperti adik beradiknya yang lain. Sedang uzur barangkali, fikirku. Begitu sekali aku tidak lagi mengingati tarikh uzur isteri sendiri. Pada waktu-waktu beginilah emosi seorang wanita jadi kurang stabil dan aku sepatutnya tahu itu sedari awal lagi. Sibuk sangatkah aku?

AKU terbangun agak lewat pagi itu kerana masuk tidur ketika jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Aku berpaling ke sisi lalu tersenyum. Rupa-rupanya Hannah masih sudi tidur di sampingku setelah apa yang telah aku lakukan kepadanya semalam.

Aku mengejutkannya dengan mendaratkan satu ciuman di pipinya. Hannah kelihatan terkejut dan terus terduduk dengan perlakuanku sebentar tadi.

“Maafkan I Hannah kalau buatkan you terkejut tadi.”

“Tak mengapa. Dah pukul berapa ni?”

“Dekat pukul lapan.”

Hannah terus melompat dari katil dan menuju ke tandas. Aku terdengar bunyi air paip dibuka dan bunyi orang mandi. Mungkin Hannah ingin bergegas menguruskan jenazah ayahnya buat kali terakhir sebelum akan dikebumikan pada pagi itu juga.

Aku melepaskan keluhan kecil kerana membangunkannya tadi. Jika tidak pasti Hannah masih boleh berehat sejenak daripada terjaga dalam keadaan terkejut begitu. Mengapalah aku tak habis-habis menyusahkannya?

“You tak siap? Sekejap lagi nak bawa jenazah ke kubur.”

Entah bila Hannah keluar dari bilik air, aku tidak perasan. Bau haruman mandian dari tubuhnya begitu mengujakan perasaan lelakiku.

“Ya…ya…tunggu I. I nak mandilah ni.”

“Pagi-pagi dah termenung…” usiknya.

Kalau dia sudah boleh mengusikku, ini bermakna marah dan rajuknya sudah hilang. Yeha!! Hannah sudah kembali! Tanpa sedar aku memeluknya dari belakang. Suri terkejut sehingga terlepas jeritan kecil dari mulutnya.

“You ni! Kata nak siap. Cepat sikit.” Hannah melontarkan ingatannya dalam nada suara yang terkawal.

“You maafkan I tak pasal semalam?”

“Mana boleh senang-senang nak maafkan you!”

“Then…I peluk you sampai you boleh maafkan I.”

“Janganlah macam ini, Zaff. I tak selesa.”

“Cakap dulu. You maafkan I atau tidak?” aku sengaja mengugutnya.

“You yang tak mengerti hati perempuan, Zaff. You masih tak faham I…”

Aku terkejut dengan luahannya menyebabkan pelukanku ke tubuhnya terlerai perlahan lahan.

“Hannah…I…I…” aku terasa sebak.

Apabila seorang isteri berkata begitu, apakah maknanya? Adakah dia mengirimkan ucapan selamat jalan kepadaku dari dedaun hidupnya?

“Sudahlah Zaff. You pergi mandi, nanti kita turun sama-sama. Hal kita nanti balik rumah kita discuss.”

“Hannah…”

“Ya…?”

“Do you still love me?”

“Why are you asking, Zaff?”

“Sebab…sebab….I tak tahu apa sebabnya. Just asking.”

Hannah mencuit hidungku sebelum dia berlalu ke almari pakaian. Aku merasakan Hannah sudah tidak bersedih lagi. Dalam sebak aku masih bisa tersenyum. Apakah permainan yang sedang dimainkan oleh isteriku ini?

“Zaff…you betul-betul tak ingat?”

“Pasal apa?”

“Semalam.”

“Semalam??”

Semalam? Apa yang dimaksudkannya? Adakah aku…? Tak mungkin? Aku terlalu penat semalam, mana mungkin aku melaksanakan tanggungjawabku sebagai suami. Apatah lagi aku maklum yang dia sedang ‘uzur’.

“Hah!! Bukan apa yang you fikirkan tu.”

“Habis tu?” aku tersengih kerana Hannah berjaya ‘menangkap’ fikiranku.

“You lupa langsung? Melampau you ni…”

Ada nada merajuk dalam suaranya.

“Cuba bagi ‘hint’ sikit.” Aku pula cuba menggoda. Suaraku begitu mengharap jawapan darinya.

“Nasi ayam tu…”

Ohh!! Bagaimana aku boleh terlupa hari istimewanya? Patutlah dia menangis sakan sewaktu terlihat kelibatku semalam, rupa-rupanya kerana aku tidak langsung ingat hari lahirnya! Hannah! Oh Hannah!
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.