Aku Yang Terlewat 2

loading...

Aku terkejut dari tidur bagaikan orang yang baru habis berlari seratus meter. Dadaku berdegup laju dari biasa. Peluh renik membasahi muka. Berkali-kali aku mengucap demi membuang rasa gusar yang entah dari mana datangnya. Aku lihat tiada sesiapa di sisiku. Mana Hannah? Kenapa dia tidak kejutkan aku? Pukul berapa ni?

Aku bergegas membuang selimut tebal yang membalut tubuh tegapku. Dengan ala kadar aku meraup muka lantas menjenguk ke tandas. Tiada sesiapa di situ. Dengan malas aku melangkah turun menuju ke dapur. Aroma nasi lemak menyerbu lubang hidung. Perutku berasa lapar tiba-tiba. Wah! Minggu lepas Hannah menyediakan nasi ayam special, kali ini nasi lemak pula. Rajinnya isteriku yang seorang ini. Mana nak dapat isteri begitu dalam dunia yang serba serbi segera ini? Aku bersyukur kerana dikurniakan isteri secantik Hannah. Bukan itu sahaja, dia juga bijak dan pandai memasak. Dan kalaulah aku lelaki yang pandai di untung, tentu aku berfikir panjang dalam melakukan sebarang tindakan. Tetapi aku manusia yang lemah…

“You? Masak nasi lemak?”

“Hmmm….dah bangun?”

“Kenapa tak kejutkan I tadi?”

“Saja. You kerja ke hari ini?”

“Tak tau lagi. Standby…”

“Cuba lah duduk rumah hari minggu macam ni. Buat apa you pergi office. Kerja sampai bila-bila pun tak kan habis. Sunyi tau I sorang-sorang.”

Aku diam tidak membalas. Walaupun dia membebel, aku tidak bimbang kerana isteriku ini jarang merajuk. Bebelan hanya lahir di mulut tetapi tidak berbekas di hatinya. Aku arif benar kelakuan isteriku. Dia memang isteri Mithali.

“Itulah…I nak anak, you cakap not yet ready. Then…you tinggal soranglah kalau I pergi kerja.”

“Habis…I kan tengah buat MBA. I nak habis cepat. Hujung tahun nanti habis, bolehlah kita plan.” Hannah muncungku bibirnya. Manis dan cantik sekali.

Aku bangun dari kerusi lantas memaut bahunya. Dia sedang memotong timun untuk hiasan nasi lemak. Aku ambil sepotong dan sumbat ke mulut. “Kalau dah rezeki, anytime dear. Tak payah plan hujung tahun atau tahun depan. Sekarang pun boleh.”

“You ni kan! Tetap tak faham apa yang I dah jelaskan dulu. You tak ingat ke?” suaranya merajuk lagi.

“Yang mana satu?” aku galak menyakat.

“Malas cakap dengan you. Dah makan. Nanti sejuk tak sedap nasi lemak ni.”

Perlahan-lahan Hannah meleraikan tangnku di bahunya. Dia menghidangkan sajian lengkap untuk sarapan kami berdua. Aku menarik kerusi sambil menjeling wajahnya. Hannah buat muka selamba. Dia duduk bersetentangan denganku. Aku bangun lalu menarik kerusi di sebelahnya.

“Kenapa nak duduk jauh-jauh. Dekat-dekat kan best. Boleh makan bersuap.”

“Mengada!” tujahnya perlahan.

“Dengan isteri sendiri tak apa.”

“Eleh!...Ya ke?” Hannah mencebik.

“Kenapa sensitif sangat pagi ni, dear? I nak bergurau sikit pun you tak boleh terima. You suka I mengada-ngada dengan perempuan lain kut?” Aku ikut merajuk.

Hannah mencubit langanku dengan kuat.

“Ouch!! Sakit lah.”

“Siapa suruh pasang niat…”

“Niat apa pulak?”

“Niat pasang kat luar!”

“Bila pulak I pasang niat?” Aku tak berpuas hati. Aku bercakap dengan mulut yang penuh dengan nasi.

“Just now.”

“Sorry…abis tu nak bermanja dengan you, you tak nak layan.”

“Not now and here…” Hannah bersuara perlahan. Mungkin dia takut aku mengotakan kataku. Tak mungkin!

“Kat mana?” Aku mengusiknya lagi.

“Tengoklah tu. Pantang I layan…ada saja you punya auta.”

Aku ketawa menjawab sindirannya. Hannah mengangkat pinggan ke sinki. Aku ikut berbuat demikian. Aku mencuci tangan dan membantu Hannah menyusun pinggan yang sudah kering di rak. Lincah benar pergerakannya di dapur. Tidak sampai beberapa minit, meja dapur telah bersih berkemas. Aku mengenggam tangannya sambil kami bergerak ke ruang menonton. Setiap kali berpeluang, aku akan pastikan yang kami berada dalam mood ‘bercinta’ seperti yang selalu kami lakukan pada awal perkahwinan dahulu.

“You tak payah kerja la…”

“Tak tau lagi. Tunggu call…”

“Datuk Khalid?”

“Hmmm…dia suruh temankan main golf.”

“Orang lain tak ada? Haikal …atau Aaron?”

“Dia orang ada family occasion….”

“Habis tu…you tak ada? You tak ada wife yang kena entertain. You kena bagi masa you pada I juga, pada hubungan kita.”

“Tapi I kan selalu ada bila you perlukan. I selalu offer my time for you wherever I am. Waktu kerja pun you boleh ganggu I, right?”

“Tapi tak sama, Zaff.”

“Tak sama macam mana maksud you? I jadi orang lain? I tak boleh commit?”

“Tahu pun! You tahu tak…walau you attend my call, hear my story but I dapat rasakan yang you buat semua tu kerana terpaksa. Tak ikhlas.”

“Dear…”

Argh!! Apa nak dikata. Aku hilang suara. Benar apa yang dikatakan. Aku tak menolak segala kehendaknya. Tetapi aku terpaksa. Aku berpura-pura. Bukannya aku tak sayang, demi ALLAH, aku sangat cintakan Hannah. Tetapi, aku juga perlukan kerjayaku untuk menyara hidup kami sekeluarga. Dan demi kerjaya yang baru hendak bermula, aku selalu berada di dalam dilemma. Antara Hannah, seorang isteri yang memerlukan perhatian dan Pengurus Pelaburan, kerjayaku di Antah Holdings Berhad.

“I’m sorry, Zaff…”

“I understand you. Tapi…boleh tak kita bincangkan hal ini lain kali.”

Belum habis aku berkata-kata, telefonku berdering nyaring. Dengan melihat nama yang tertera di skrin, aku tahu siapa si pemanggilnya.

“Ya Datuk. Setengah jam lagi. Okey. Okey…”

Aku menekan butang ‘off’. Rasa serba salah menyelubungi diri demi terlihat wajah muram Hannah. Aku jadi teragak-agak untuk menyapanya. Serta merta diri ini terasa asing sekali. Seperti aku tidak mengenali isteriku, seperti aku seorang suami yang ada kesalahan besar mahu menghadap isteri untuk memohon ampun.

“I…I…”

“Tak apa Zaff. Pergilah. Lain kali kita discuss.”

Hannah mengangkat punggung lalu mendaki tangga untuk ke tingkat atas. Aku mengekor dari belakang.

“You jangan marahkan I. I terpaksa pergi. Nanti malam I janji kita makan kat luar. I pun tak lama teman Datuk. Mungkin petang I dah balik.”

“I tak marah.” Ringkas Hannah menjawab.

“You jangan buat I risau, dear. I janji I balik cepat.”

Hannah tidak mengendahkan pujuk rayuku. Sebaliknya dia sibuk mencari kemeja-t yang hendak aku pakai dan mencari padanan warna seluar yang sesuai. Akhirnya dia meletakkan kemeja-t warna kuning dengan jeans hitam di bucu katil.

“Abang dah mandi ke belum?”

“Oh! Ya! Terlupa. Ini semua nasi lemak you punya pasallah…”

“Ada ke macam tu. Sendiri yang lupa, I pulak yang kena.” Hannah menjeling manja.

“Sayang you…”

“Janji jangan tipu!”

Sebelum aku masuk ke perut Toyota Harrier, Hannah sempat mengingatkan. Walaupun wajahnya tersenyum sewaktu menuturkan ingatan tersebut, hati lelakiku bagai terhempap batu. Lembut tetapi menyengat. Aku sedar aku selalu terlupa memenuhi janjiku, tetapi aku selalu membayarnya balik dengan mengganti hari yang tertangguh itu. Bukankah itu juga tepati janji walaupun terlewat.


KETIKA aku sampai, Datuk Khalid telah bersedia dengan peralatan bermain golf. Orang kaya sepertinya pasti tiada hal untuk memiliki peralatan canggih dan serba mahal walhal hanya untuk beriadah. Aku terasa kerdil benar apabila berdiri di sebelahnya.

“Dah lama kamu sampai?”

“Baru saja, Datuk.”

“Sorang?”

“Ya…”

“Tak ajak awek sekali.”

Tekakku perit serta merta. Awek? Aku dah beristeri cantik, takkan membazirkan masa menyimpan awek pula? Tetapi jawapan itu tersimpan, tidak mampu terluah. Tidak tahu mengapa. Fikirku, itu semua tidak penting.

“Mesti awek kamu sangat memahami. Hari minggu pun terpaksa bekerja. Tak gitu.”

“Ohh! Ya..Ya..”

“Kamu macam tak selesa aje. Kamu ada hal ke hari ini?”

“Sekarang tak adalah Datuk.”

“Kalau macam gitu baguslah. Sekejap lagi kamu tak payah temankan saya.”

Aku bersorak gembira. Dalam hati berangan mahu membawa Hannah keluar seperti yang dijanjikan. Pasti dia terkejut kerana hari ini aku pulang awal. Pasti dia akan mengingati hari ini sampai bila-bila. Buat pertama kalinya selama setahun kami berkahwin, aku berjaya memenuhi janji yang telah aku meterai.

“Terima kasih Datuk.” Senyumku masih bersisa.

“Ha!...Tapi saya nak minta tolong.”

“Tolong apa Datuk?”

“Kamu tolong ambil anak saya di rumah dan hantarkan dia pergi Jusco. Dia nak beli barang keperluan dia…dari pagi merengek. Tak boleh lambat sikit.”

Fuh!! Ini bala namanya. Kenapa pula aku? Aku bukan drivernya. Jauh sekali orang suruhannya. Wajah masam Hannah bersiponggang di tubir mata.

“Petang nanti saya ada hal, Datuk.”

“Itu petang nanti. Saya suruh kamu hantarkan anak saya sekejap lagi. Lepas kamu hantar dia, kamu boleh balik terus. Tak payah jumpa saya kat sini. Saya ada business entertainment selepas main golf.”

Aku terdiam tidak menjawab. Lemahkah aku? Seharusnya dari awal tadi aku mengakui yang aku sudah beristeri. Boleh aku ‘escape’ dari permintaannya tadi. Tetapi kini nasi sudah memjadi bubur. Hendak tak hendak, aku terpaksa menghadapi kecuaianku sendiri.

“Saya tak tahu rumah Datuk.”

Aku cuba mencari alasan lagi.

“Ni alamat saya…senang nak cari.”

Betul-betul aku terjerat dengan perangkapku sendiri.



AKU BERHENTI betul-betul di hadapan sebuah banglo setingkat yang besar. Halamannya saja cukup luas seperti sebuah padang bola. Pintu pagar berwarna emas bercorak unik melengkapi pemandangan indah didepanku. Terdapat beberapa biji kereta mewah tersadai di kawasan yang dikhaskan. Aku sekadar menunggu diluar. Aku pasti anak Datuk Khalid tahu kehadiranku. Pelik juga aku memikirkan, kereta banyak takkan tak tahu memandu?

Ketukan di cermin mengejutkanku. Seorang gadis cantik dan berpakaian seksi melambai-lambai di luar. Aku agak tentu gadis itu anak Datuk Khalid.

“Ya?”

Dia menarik cermin mata gelapnya. “Ini abang Zaffril, kan?”

Gulp! Aku tertelan liur. Abang? Manja benar suaranya.

“Ya…ya…you Aqila?”

“Qill. Panggil Qill.”

Dia melompat masuk di tempat duduk di sebelahku. “Okey. Abang Zaff. Hantar I ke Jusco.”

Tanpa banyak soal aku memandu Harrierku ke pusat bandar. Aku pun perlu bergegas kerana di sebelah petang nanti aku harus membawa Hannah berjalan-jalan. Lagipun aku tak perlu menghadap Datuk Khalid semula di padang golf. Inilah satu-satunya hari yang aku berasa amat lapang dada dan bebas dari rasa dilemma. Aku akan mengotakan janjiku kepada Hannah, isteriku.

Jam sudah bergerak ke pukul dua petang. Hampir satu jam setengah aku menurut langkah Aqila ke sana kemari, keluar masuk dari satu kedai ke satu kedai. Sampai satu tahap aku rasa aku sudah tidak mampu ikut kerenahnya lagi. Aku pun ada hal mustahak yang perlu aku langsaikan.

“Qill, you balik sendiri boleh tak? I ada hal penting nak diuruskan. You balik naik teksi, okey.”

“Ala abang Zaff, I tak jumpa lagi barang yang I cari. Temankan lah I dulu. Sekejap lagi I pasti jumpa.”

Aku berasa kasihan pula dengan budak mentah ini. Aku pasti dia masih bersekolah memandangkan caranya berkomunikasi dan keletahnya yang terlebih manja. Tetapi sayang, masih muda remaja sudah berani berpenampilan menjolok mata. Kalaulah Hannah yang berpakaian begitu, sudah lama aku haramkan dia keluar rumah. Siapa mahu isteri tercinta jadi bahan hinaan orang.

Kami singgah di sebuah kedai menjual aksesori wanita. Inilah pertama kali aku menginjakkan kaki ke kedai tersebut walaupun sudah berulang kali aku lalu lalang di hadapannya ketika keluar atas urusan kerja ataupun menemani Hannah. Aku lihat pelbagai jenis penyepit rambut dan corak dipamer di rak. Aku mencapai satu getah pengikat rambut berwarna hitam keemasan. Alangkah indah jika diikat di rambut Hannah. Aku menelek scarf pula. Hannah gemar menggayakan ketika ke tempat kerja atau ada acara rasmi di syarikatnya. Hmm! Banyaknya pilihan.

“Abang Zaff!!…”

Jeritan lantang dan cemas dari mulut Aqila menyirapkan darahku.

1 comment:

  1. jgn ada member hannah yg nampak, sudahlah.......

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.