NOVEL: CINTA KAMELIA 29

loading...

“Ijol…”

“Tolong….aa..ku…”

“Baiti…”

“Hello! Hello!”

Ijol menepuk-nepuk seketika telefon bimbitnya kerana suara yang didengar kurang jelas. Seperti terputus-putus. Tadi dia pasti Zek yang memanggilnya berdasarkan nama yang tertera di skrin. Anehnya, apabila dia mendail semula tiada jawapan dari pihak sana. Tiba-tiba hatinya berasa kurang enak memikirkan berbagai kemungkinan yang menimpa sahabat baiknya itu. Dia menekan pedal minyak agar kelajuan kereta itu boleh digandakan tetapi siapalah dia untuk melawan takdir yang sememangnya pada petang-petang begitu jalanraya di sekitar Bandar Johor Bahru selalu sesak!

“Kenapa? Bateri habis?” Kamelia ikut gelisah melihatkan gelagat Ijol.

“Bateri okey. Entah kenapa suara Zek tengelam timbul. Bila call balik tak dijawab pulak tu.”

“Iti dah nak bersalin kut.”

“Mungkin…tapi…”

“Tapi apa Ijol?” Aini pula mendesak.

“Aku tak tahu. Aku rasa lain macam. Huh!! Jalan jammed pulak.” Ijol menepuk stereng.

“Apa kau rasa?” soal Aini cemas.

“Manalah aku tahu. Rasa macam…macam…ada yang tak kena.”

Kamelia mengurut belakang Ijol bagi meredakan ketegangan yang dirasai oleh tunangnya itu. Dia pun sebenarnya rasa berdebar-debar saat ini. Dia berdoa bersungguh-sungguh di dalam hati agar kedua sahabatnya itu dilindungi oleh ALLAH dari segala macam bencana. Dia teringat beberapa malam lalu tentang mimpinya dan Baiti. Bagaimana Baiti meninggalkan pesanan agar jangan bersedih jika dia tidak dapat hadir pada hari perkahwinannya. Baiti kerap berkunjung di dalam mimpi-mimpinya mungkin kerana rindu mahu bertemunya. Tunggu Baiti. Sekejap lagi Melia sampai…Kamelia cuba meredakan hati sendiri untuk kesekian kalinya.

Setelah berjaya melepasi kesesakan lalulintas Ijol terus mengarahkan sterengnya ke Jalan Kolam Ayer sebelum sampai ke taman perumahan tempat tinggal Zek dan Baiti. Setibanya di hadapan rumah rakan baik mereka, Kamelia terus bergegas keluar diikuti oleh Aini dari belakang. Lega hati mereka apabila kereta Zek ada di parkir. Ini bermakna pasangan tersebut ada di rumah dan baik-baik sahaja. Hilang kebimbangan yang bersarang di hati masing-masing sebentar tadi.

Timbul perasaan aneh pada wajah Kamelia kerana pintu gril dibiarkan terbuka begitu. Mungkin terlupa kut! Kamelia membuat andaian.

“Assalamualaikum! Zek! Baiti!”

“Zek!”

“Baiti!”

Suara Kamelia dan Aini saling bertingkah memanggil nama pasangan suami isteri itu tetapi tiada jawapan. Kamelia menyentuh pintu sliding. Pun tidak berkunci. Debaran di dada semakin laju dan dia mula terfikir yang bukan-bukan. Dia menolak daun pintu perlahan-lahan. Memandang wajah Aini pula menanti kebenaran, kemudian mereka sama-sama masuk ke dalam rumah teres tiga bilik itu.

“Dia orang tak ada?”

Entah bila Ijol tercegat di belakang mereka menyebabkan kedua-dua gadis itu terkejut apabila diterpa soalan dari Ijol secara tiba-tiba.

“Entah! Sunyi aje.” Kamelia bernada kecewa.

“Jenguklah kat dapur. Mungkin tengah memasak…”

“Ala Ijol, takkan tak dengar suara aku dengan Melia memanggil bagai nak rak tadi…”

“Habis tu…nak tunggu ke nak balik?” Ijol melirik ke wajah Kamelia diikuti wajah Aini. Menunggu jawapan untuk tindakan seterusnya.

“Call dia semula. Mungkin kita boleh trace kalau dia ada kat rumah atau…”

Belum sempat Kamelia menghabiskan ayatnya, Ijol telah terlebih dahulu mencuit hidungnya.

“Good idea, my brilliant lady!”

“Hish!! Awak ni…serius lah sikit.”

“Saya seriuslah ni. Tak betul ke apa yang saya cakap tadi?”
Ijol masih sempat menyakat Kamelia menyebabkan gadis itu tersenyum sahaja menyambut usikannya.

“Argh…”

“Arghhhhh…”

Ketiga-tiganya saling berpandangan. Bunyi apa itu?? Ijol mendahului menuju arah datangnya suara orang mengerang diikuti pula oleh Kamelia dan Aini. Keadaan dapur berselerak di sana sini.

“Zek? Apa jadi ni? Kenapa ni? Mana Iti?”

Ijol menerpa ke arah tubuh Zek yang bersandar di hadapan peti ais dalam keadaan separuh sedar. Tangan Zek menunjukkan ke arah bilik air. Kamelia bergegas ke bilik air dan sekujur tubuh Baiti telah tertiarap di bawah paip air yang terbuka. Ada kesan darah yang banyak di atas lantai bilik air dan juga di dinding. Kamelia dan Aini berusaha mencempung tubuh itu dengan kudrat yang ada. Suara panik dan tangisan Kamelia memecah keheningan rumah teres itu. Kerana begitu trauma dan terkejut, akhirnya Kamelia tidak mampu berbuat apa-apa, sekadar terduduk melihat Aini berhempas pulas memberikan bantuan kepada Baiti, walaupun mereka sedar Baiti sudah tidak bernyawa lagi.

Kamelia hanya memandang Ijol datang membantu Aini dan mengangkat tubuh itu keluar dari bilik air yang telah dipenuhi darah. Fikirannya kosong dan terawang-awang. Pandangannya telah berbaur-baur dan semakin kelam. Hanya panggilan namanya didengar semakin sayup-sayup dan terus menghilang.


KETIKA dia membuka matanya, orang yang pertama sekali dilihat adalah Ijol. Lelaki itu melemparkan senyuman sambil meramas jari jemarinya. Dia memandang sekeliling, tiada orang lain. Hanya mereka berdua. Mengikut keadaan susunan di dalam bilik itu, dia pasti sekarang ini tubuhnya sedang terbaring di atas katil hospital.

“Baiti?”

“Syy…awak rehatlah dulu.”

“Kenapa dengan saya? Apa jadi pada saya, Ijol?”

“Awak pengsan. Doktor dah periksa, awak cuma kena serangan terkejut yang melampau…traumatic…”

Kamelia mengangkat tubuhnya untuk duduk. Dia merenung sayu wajah Ijol. Dia ingin menangis tetapi entah mengapa tangisan itu seolah-olah tersekat di dadanya. Semakin lama dibiarkan, ia semakin sakit. Di pandang lagi wajah Ijol, dia ingin bertanyakan soalan. Banyak persoalan yang berlegar dikepalanya. Ingin mencari jawapan dan kebenaran mengapa ini semua berlaku kepada teman baiknya, Baiti. Tetapi perkataan yang disusun di kepala tidak mampu terluah. Sakitnya hati Kamelia hanya TUHAN yang tahu!

“Sayang…berehatlah. Awak perlu tenangkan fikiran. Awak perlu reda. Ini semua sudah takdir namanya.” Ijol cuba memberikan semangat.

Kamelia cuba membalas kata-kata Ijol tetapi suara hatinya masih tidak mampu diluahkan. Sekali lagi dadanya terasa sakit. Memori bersama Baiti datang menerjah silih berganti. Susah dan senang mereka bersama ketika di perantauan menggamit tanpa henti. Semakin banyak kenangan dan kesusahan yang di ingat, semakin deras air matanya merembes keluar tanpa dapat di tahan lagi.

“Shh.. shh....rileks Melia. Jangan menangis sayang…I can’t bear see at you cries and cries again. Please melia. Yang dah tak ada memang tiada, kita yang hidup ni kena jaga diri kita. Makin awak tension, makin lama awak kena tahan kat sini nanti. Please Melia…” rawan hatinya melihat keadaan Kamelia yang sedang teresak-esak. Sambil itu tangannya membetulkan anak rambut Kamelia yang terjurai di dahi. Pipi mulus itu di usap dengan hujung jari.

Kalau keadaan mengizinkan dia ingin memeluk tunangnya itu dan menzahirkan kasihnya yang menggunung terhadap Kamelia. Dia akan mengesat air mata itu. Dia akan membelainya sehingga gadis itu boleh kembali tersenyum. Tetapi hukum TUHAN harus dipatuhi. Dia tahu itu. Sedangkan kedudukannya yang agak rapat dengan Kamelia pada saat dan ketika ini pun tidak dibolehkan. Tetapi dia tidah betah melihat Kamelia menanggungnya sendirian. Dia hanya mampu memujuk dengan kata-kata manis yang bisa merawat kesedihan Kamelia kerana kehilangan teman dan sahabat yang sangat disayanginya itu.

Jauh di sudut hati, Ijol juga amat berterima kasih kepada Baiti kerana ‘mencantumkan’ kembali hubungannya dengan Kamelia. Melalui gadis itulah dia berhubungan semula dengan Kamelia. Itupun setelah dia tahu Zakaria atau Zek menjalin hubungan dengan Baiti. Itu semua tersimpan kemas sebagai rahsia. Rahsia yang di bawa ke mati. Baiti…aku juga kehilangan sahabat sejati. Semoga rohmu aman di sana. AMIN…

Suara deheman yang agak kuat mengejutkan Kamelia dan Ijol yang sedang dalam kedudukan yang agak rapat. Cepat-cepat Ijol berdiri sambil menentang pandangan Aini yang seolah memerlinya. Stafnya yang seorang ini memang pantang tengok dia lebih-lebih dengan Kamelia. Belum sah! Begitu selalu Aini memberi amarannya.

“Kau dah okey?”

Aini datang memeluk Kamelia yang kelihatan masih lemah. Wajahnya pucat seperti tidak makan beberapa hari. Dia kasihan melihat Kamelia yang kehilangan sahabat dalam sekelip mata. Apa yang mampu dilakukan hanyalah memberikan kata-kata perangsang untuk meneruskan hidup sepeti biasa.

“Aku okey dah. Tapi doktor kata badan aku masih lemah lagi. Mungkin esok boleh keluar dari sini.”

Aini menoleh ke arah Ijol yang sedang berdiri menyeluk poket seluarnya. Kemeja lengan panjangnya sudah dilipat separuh. Dia pasti Ijol yang bersengkang mata menuggu Kamelia di luar bilik ketika gadis itu bermalam di atas katil hospital semalam. Baju yang dipakainya pun masih belum diganti.

“Eh! Dekat luar ada orang nak jumpa kau.”

Dahi Kamelia berkerut. Dia memandang Ijol yang kebetulan sedang merenungnya dengan lembut. Ijol mengangkat bahu tanda tidak tahu siapa gerangan orang yang ingin menemui Kamelia.

“Siapa?”

“Aku lupa. Tadi ada dia sebut nama dia. Datuk apa entah…ada tu kat luar.”

“Datuk Jeffery ke?” soal Kamelia deras.

“Ha’ah! Datuk Jeffery. Siapa dia?” Aini menyoal sambil tersengih lebar.

“Bos aku. Buat apa dia datang?” Kamelia merungut.

“Hai! Tanya pulak! Staf tersayang tak sihat, mestilah nak tengok. Betul tak Ijol?” Aini mengusik.

“No comment…” Ijol menjawab ringkas.

Kamelia menjeling Ijol yang menunjukkan muka kurang senang dengan kedatangan Datuk Jeffery. Sudah pasti Ijol berkecil hati kerana dia pernah bercerita perihal bosnya itu yang beberapa kali cuba memikatnya dengan pelbagai cara. Pernah pada satu ketika Ijol merajuk kerana dia asyik bercerita pasal bosnya yang masih muda bergaya itu. Itupun Ijol yang beriya-iya mahu kenal dengan Datuk Jeffery.

“Aini! I don’t think he should pay a visit to Melia. Mungkin lain kali dia boleh jumpa Melia. Now…the boss speaking. I said cannot! Could you please tell that old man!” suara Ijol kedengaran tegas.

Aini hanya mencebik. Masa inilah dia guna kuasa veto dia! Mentang-mentanglah terkena kat tunang tersayang. Eleh!! Aini berjalan keluar dengan muka meluat.

Kamelia terkejut mendengar Ijol bertindak mendahuluinya. Dia tidak sepatutnya berkata begitu. Dia sepatutnya mendengar pendapatnya. Yang datang melawat adalah seorang ketua, dan sepatutnya dia kena melayani kedatangannya dengan baik. Bukan membuat kata putus yang drastik begitu.

“Ijol! Mana awak boleh kata begitu. Dia bos saya, dia yang bayar gaji saya. Lagipun dia cuma datang melawat. Dari jauh dia datang semata-mata melawat kakitangannya. Salah ke?” Kamelia cuba mengawal nada suaranya. Jika dia berkeras, bimbang menganggu persekitaran hospital swasta itu.

“Awak marahkan saya kerana tak bagi dia melawat awak? Awak marah sebab tak dapat jumpa dia? Dah rindu sangat ke? Lain kali kan boleh jumpa juga!”

Kamelia hanya mengeluh mendengar tuduhan dari Ijol tadi. Dia malas berbalah dalam perkara remeh seperti itu. Nanti tak pasal-pasal perasaannya kembali tertekan. Jauh di sudut hati dia sebenarnya bangga kerana disayangi sepenuh hati oleh lelaki itu. Ijol sanggup bersengkang mata demi menjaganya malam tadi. Ijol yang bersabar dengan moodnya yang tidak menentu, Ijol juga yang sering beralah dalam setiap pertelagahan yang dibangkitkan olehnya. Dalam hati dia memuji kerana sebenarnya tunang seperti Ijol satu dalam seribu!

“Sanggup dia datang bila dengar apa yang terjadi pada awak, kan? Awak tengok betapa ambil berat dia pada awak, caring…tapi sayang…awak dah berpunya!” Ijol berbisik ke telinga Kamelia sehingga mengundang debaran didada.

“Awak jangan nak mulakan. Saya tak kata apa pun dengan keputusan yang awak buat sebentar tadi.”

“Saya hanya buat apa yang patut, Melia. Satu hari nanti awak akan tahu sebabnya.”

“Atau …awak yang jealous wahai Encik Zulhariz??”

“Saya tahu…awak tahu, Melia.” Ijol mengerling manja.

Deringan telefon bimbit Kamelia menganggu perbualan mereka berdua. Sekilas dia memandang ke skrin. Terpapar nombor yang tidak dikenali. Kamelia menjawab beberapa ketika dengan suara perlahan sebelum mematikan talian itu. Dia tidak mengendahkan renungan tajam dari Ijol yang mengharapkan dia berkongsi rahsia siapakah si pemanggil yang baru sahaja menelefon. Dia mahu tidur. Dia mahu merehatkan mindanya. Dia tidak mahu diganggu. Begitu juga nasihat doktor yang merawatnya, dia perlu banyak bertenang.

“Aik! Dapat call terus sombong dengan saya? Siapa yang call tadi?”

“Orang…”

“Ya lah. Saya tahu. Takkan animal kut. Orang itu ada nama kan? Siapa nama dia? Lelaki? Perempuan?”

“Rahsia!”

Kamelia menutup seluruh tubuhnya dengan selimut. Dia tidak mahu berbalah dengan Ijol untuk kesekian kalinya. Lelaki itu memang kuat cemburunya. Makin dilayan, semakin geram hatinya. Ada sahaja prasangka yang ditunjukkan waima sebentar tadi dia hanya berbicara dengan ibunya. Tetapi dia malas menjawab teka teki di benak Ijol. Tidak kuasa!

“Sayang…saya balik dulu. Nak mandi, tukar baju lepas tu pergi kerja. Nanti petang saya datang lagi.” Ijol sengaja berbisik di telinga Kamelia yang sedang berselubung itu.

“Bye!”

Ijol tersenym gelihati melihat telatah Kamelia yang menegurnya dari dalam selimut. Sesekali dia melihat Kamelia seperti seorang gadis yang matang dan garang dan ada ketikanya gadis itu kelihatan seperti gadis biasa yang ingin dimanjakan. Kamelia! Oh! Kamelia! You are so cute my fiancé…hati Ijol berlagu riang walau ada cemburu dan tanda tanya yang belum terjawab sebentar tadi.



IJOL TEKUN menyiapkan kerjanya. Ada banyak fail yang perlu di tandatangani dan diserahkan semula ke jabatan-jabatan tertentu. Adalia pembantunya pun ikut sibuk menyiapkan laporan bulanan jualan syarikat untuk dibentangkan di dalam mesyuarat pengurusan setiap sebulan sekali. Sekejap-sekejap dia perasan Adalia mengendapnya tetapi dia buat tidak tahu sahaja. Entah apa yang ingin disampaikan, dia pun tidak mahu tahu. Jadualnya sahaja sudahpun padat. Dia tidak mahu apa-apa komitment buat masa ini kerana masanya hanya dikhaskan buat Kamelia.

“Fail-fail ini semua awak tolong distributekan semula. Kalau ada apa-apa dokumen yang urgent, please put small note on the top of it, then I’ll know which one is important. You arrangekan cuti I next week. I nak bercuti.”

Adalia mendongak memandang wajah Ijol yang berdiri di hadapan mejanya. Wajah bos muda itu kelihatan kusut sedikit. Mungkin dia tertekan dengan kejadian yang menimpa isteri kawan baiknya.

“Berapa hari bos?”

“Mungkin tiga hari. Tapi awak letak aje lima hari. Kalau saya masuk awal, saya cancel cuti tu. Ada apa-apa lagi?”

“Aa…a…tadi ada polis telefon cari bos. Ada perkara yang ingin ditanyakan. Tapi saya cakap bos tak ada. Sebab saya tengok bos macam busy sangat.”

“Oh!! Tak mengapa. Dia orang dah call saya personally. Anything else?”

“Tak…tak ada bos.”

“Apehal awak tergagap-gagap cakap dengan saya. Ada yang tak kena?” Ijol menyoal Adalia yang masih lagi memandangnya.

“Tak ada bos. Semua okey. Takziah bos pasal berita yang saya dengar tetang kawan bos itu. Saya pun baru tahu.”

“It’s okey. Saya nak keluar nak jenguk dia di hospital. Lain-lain hal, awak tulis aje pesanan dan tinggalkan atas meja saya. Esok kalau sempat saya follow up.”

“Okey bos!”

Ijol terus menghilang di balik pintu utama bangunan pejabatnya. Dia berjalan laju kerana tidak mahu bertembung dengan bosnya yang dipanggil Datuk Walid. Minggu lepas sebelum kejadian yang menimpa Zek dan isterinya, Datuk Walid ada memintanya membentangkan pelan perancangan untuk jabatan jualan yang diketuainya. Nampaknya dia belum sempat menyiapkan bahan yang diperlukan untuk pembentangan kepada pihak pengurusan.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.