NOVEL: KERANA KAMU 10

loading...

Seminggu lagi Rara akan kembali ke bumi Malaysia. Tiga tahun di UK, tiga tahun menyulam rindu kepada Baharom, Mak Cik Khalidah, Didi, si Putih kucing kesayangan dan sedikit rindu juga buat Kiki, sahabatnya. Rara takut membayangkan pelbagai kemungkinan menjelang kepulangannya nanti. Adakah masih ada rindu untuknya. Adakah Baharom masih menyayanginya seperti dahulu? Apakah Mak Cik Khalidah masih sudi memanjakan dirinya seperti dulu? Biasanya dia selalu menang apabila bergaduh dengan Didi, walau Didi anak kandungnya. Mak Cik Khalidah akan berpihak kepadanya. Didi pula akan buat muka merajuk minta dipujuk oleh Mak Cik Khalidah.

Rara menoleh sekilas memandang kotak-kotak yang mengandungi pelbagai buku dan barang-barangnya yang telah dibungkus kemas. Kotak-kotak itu akan diposkan kemudian dan dia meminta Rain menguruskan hal tersebut. Rain! Hatinya berdetik tatkala nama itu meluncur laju dari bibirnya. Dia tersenyum sendiri. Rain banyak membantunya dari segala segi sepanjang dia berada di bumi Inggeris ini. Rain yang sering mengalah, Rain yang banyak bersabar tetapi kadang-kadang Rain juga ada kepala batunya. Kadangkala Rain juga bertindak lebih dari seorang abang terhadapnya. Yang pahit dan yang manis manusia bernama Rain terpahat kukuh di hati Rara.

“Dah siap?”

Rara mengangkat wajahnya. Mata Rara bertembung pandang dengan sepasang mata jernih milik Rain. Debaran halus melintas lalu. Entah kenapa semenjak dua menjak ini Rara sering merasai keanehan pada dirinya. Mungkinkah dia sedih untuk meninggalkan Rain?

“Jom.”

Rain ingin membawa Rara keluar makan. Dia ingin meraikan perpisahan mereka. Rain ingin berdua-duaan dengan Rara buat terakhir kalinya. Rain ingin mengimbau kenangan sepanjang mereka berada di bumi Inggeris ini. Semuanya Rain ingin Rara lalui bersama-samanya. Untuk yang terakhir kali!

Awal September menandakan musim gugur baru bermula. Daun mulai berubah warna, mengubah landskap Inggeris ke berbagai warna dalam musim ini. Di sana sini daun maple bertukar warna kuning kemerahan. Memandang itu semua, hati Rara sering digamit rasa sayu. Entah mengapa perasaan itu kerap hadir semenjak kebelakangan ini. Apakah Rain juga berperasaan sepertinya? Dia menoleh pada Rain di sisi. Lelaki itu sedang ralit mencicip Espresso nya.

Bau harum dari Starbucks Espresso yang sedang dihirup oleh Rain meneroka lubang hidungnya. Rara merenung Caffè Latte miliknya pula.
“Kat sini aje kau belanja aku? Ingat nak pergi makan kat tempat high class sikit ke, special ke…ini tidak. Starbucks aje…”

“Okey what! Yang penting niat.”

“Ya lah tu! Kedekut!” ejek Rara.

“Bukan kedekut, jimat…” Rain ketawa.

Sesaat dua kemudian mata mereka bertentangan. Rasa rasa malu sendiri. Tawa yang meledak antara mereka bertukar sepi. Rain kembali menikmati Espressonya manakala Rara menghirup Caffe Lattenya. Pelik! Kenapa mesti ada jurang perasaan ini? Jika dulu, mereka bebas bertepuk tampar dan saling mengusik tetapi kini lain pula halnya. Kenapa ya?

“Bila aku dah balik Malaysia, siapa nak temankan kau macam ni, eh?”

“Depends…”

“Carilah awek sorang. Tak lah hidup kau sunyi sepi.” Rara sebenarnya tidak mahu berkata begitu. Hatinya berasa pilu sendiri.

“Kau ingat hal perasaan boleh mudah ditukar ganti dan hilang macam gitu aje. It takes time to let it go…”

Rara mengakui kebenaran kata-kata Rain. Sepertimana dia dengan Didi, hingga saat ini dia masih mengharap. Rara berharap sekembalinya ke tanahair nanti, Didi akan menyambung kembali ikatan mereka. Rara berdoa agar hubungannya dengan Didi bakal berakhir ke jinjang pelamin.

“Jomlah ikut aku balik. Kau sorang-sorang kat sini.”

“Aku dah biasa, Rara. Sebelum ini pun aku sorang diri jugak. Ada ke tidak girlfriend…it is making me no fifference.”

“Macam orang frust aje kau ni.”

“Mungkin juga.”

“Kau ni…cheer up lah sikit. Aku yang nak balik, kau pulak yang frust.”

Rain menelan liurnya. Benar tekaan Rara. Bagaimana gadis comel ini mampu membaca perasaannya? Selama ini Rain menyatakan perasaannya tanpa sedar. Dia mengusik gadis itu demi mahu mengubati hatinya yang kecewa kerana dipinggirkan oleh Didi. Dia mahu Rara selalu tertawa, dia mahu gadis itu selalu gembira. Kini dia bakal kehilangan penyeri hidupnya itu.

“Balik Malaysia nanti nak kerja mana?” Rain menukar topik.

“Tak tahu lagi. Tapi dah minta abah tolong tanya-tanyakan…”

“Erm…kerja elok-elok tau. Aku takut orang comel, cantik macam kau asyik kena buli dengan orang lelaki. Just take care of yourself.”

‘For me!’ Ayat itu tergantung di dalam hati sahaja. Dia belum mampu menyuarakannya secara terang-terangan. Untuk aku…asalkan kau sudi membalas perasaan ini, itulah hadiah paling berharga darimu, Rara! Rain sempat bermonolog.

“Don’t worry. Aku akan ingat pesanan kau itu.” Rara tersenyum manja.

Rain tergugah lagi. Hatinya kemaruk tidak keruan. Kali ini dia tidak melepaskan peluang menikmati senyuman Rara sepuas-puasnya. Senyuman itu nanti bakal peneman sepinya di sini. Senyuman itu yang sering mendamaikan gelodak jiwanya.

“Wooit!! Kau kenapa?”

“What?”

“Kau tenung aku satu macam?”

“Tak boleh?”

“Siapa kata tak boleh. Tapi sebab kau special sikit, kau kena bayar.”

“Whatever cik Rara…yang penting aku bebas tengok kau ketawa dan gembira.”

Rara terkedu. Bahasa Rain kadang kala membuatnya keliru. Wajahnya bertukar merah dek malu mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Rain. Pelik. Ada apa pada senyumanku? Ada apa dengan ketawaku hinggakan Rain begitu teruja terhadap semua itu. Pelik! Memang pelik.

“Kau tak ada apa nak tinggalkan kat aku? At least something yang aku boleh ingat, forever…”

‘Something yang boleh aku ingat forever!’ Ayat terakhir dari Rain bergema memenuhi ruang minda Rara. Dadanya berdebar kencang. Dia ni nak ungkit pasal ‘itu’ ke? Hati Rara berbelah bagi. Rasa malu memenuhi riak mukanya.

“Eleh! Macam kau tak balik Malaysia langsung. Sampai bila nak jadi perantau yang tak tentu hala. Jom! Ikut aku balik. Lagipun, tak bestlah tak ada kau nanti. Mesti aku pun akan rindukan kau.”

“Ada orang yang akan rindu ke?” Rain bertanya balik.

“Sure ada. Aku dan keluarga kau pun mesti akan rindukan kau.”

Rain mencebik. Perihal keluarga amat sensitif baginya sekarang ini. Datuk Ikram yang pentingkan diri, banglo peninggalan mama yang sepi dan rakan-rakan yang sering menghimpit kekayaannya. Itu sahaja. Berbaloikah kepulangannya nanti jika itu semua hanya menambah derita di hati. Mengingati itu semua hatinya bagai disiat-siat. Ngilu dan pilu. Dengusan kasar yang terbit dari mulutnya memeranjatkan Rara.

“Why Rain? Sslah ke apa yang aku cakap tadi? Kalau kau tak suka, tak apa. Aku tak paksa. Baliklah kalau hati kau dah tenang. Aku minta maaf okey.”

Rain kembali tersenyum. Dan Rain ketawa pula. Tetapi itu semua sekadar luaran untuk mengaburi Rara agar gadis itu berhenti menyoal pasal keluarganya. Dia muak dengan semua itu. Pada ketika dan saat ini, dia hanya mahu menyemai momen manis bersama Rara buat bekalnya di perantauan.

“Kau tau tak apa orang kata pasal autumn ini?”

“Entah. Aku ada dengar juga tapi tak ambil endah pun. Orang kata musim putus cinta, orang ditinggalkan. Ya la…maknanya pun musim gugur. Gugurnya bunga cinta kut!” Rara meneka sambil ketawa polos. Ah! Gugurnya bunga cinta itu tepat dengan diriku, ditinggalkan terkontang kanting oleh Didi tanpa penjelasan.

Rain mencuit batang hidung Rara. Rara tidak sempat mengelak. Wajahnya bertukar merah manakala mata jernihnya galak merenung Rain tanda tidak puas hati dengan tindakan lelaki itu.

“Cantik bila kau buat macam itu. Kau tak payah balik Malaysia lah Rara. Temankan aku kat sini, sepanjang hayatku.” Rain mengusik. Dadanya sendiri bergetar laju tatkala menuturkan kata keramat itu.

Rara ikut tergamam. Harapan yang dizahirkan oleh lelaki penuh karisma itu begitu jelas. Begitu berterus terang. Dia gugup sehingga lupa untuk menjawab permintaan Rain itu. Pertanyaan Rain dibiarkan sepi.

“Eh! Tadi kau nak cakap apa pasal autumn ni? Aku nak tau juga.” Rara cuba berlagak biasa.

“Pandai mengelak ya!”

“Mana ada!”

Wajah Rara merah lagi.

“Jangan marah. Aku gurau aje tadi.”

“Aku tahu. Kau memang kuat mengusik.”

Mata mereka bertentangan lagi buat ke sekian kalinya. Rara cepat-cepat melarikan mukanya daripada terus direnung penuh romantis oleh Rain. Dia pelik benar dengan perangai Rain kebelakangan ini. Kadangkala lelaki itu mengharapkan perhatian berlebihan, kekadang dia sendiri merajuk dengan usikan Rain dan adakalanya mereka saling merindu jika tidak berjumpa lebih dari seminggu. Apakah ertinya ini semua?

“Orang di sini kata autumn sesuai untuk orang yang sepi jiwanya. Aku ada hafal satu sajak orang Jerman…tapi tak ingat tajuknya. Aku ingat nak share dengan kau apa yang aku rasa bila aku baca sajak ni.”
Dengan suaranya yang perlahan, Rain mula mengingati bait-bait sajak tersebut sambil mata mereka bertatapan.



“Who now has no house, will not build one (anymore).
Who now is alone, will remain so for long,
will wake, and read, and write long letters
and back and forth on the boulevards
will restlessly wander, while the leaves blow.”

Selesai sahaja Rain menyebut bait-bait tersebut, Rara penasaran. Renungan Rain yang beberapa minit tadi menimbulkan satu garis halus yang mengalir terus ke hati dan menimbulkan satu melodi penuh syahdu ke dalam jiwanya.

Kau buat aku serba salah Rain! Hati Rara menjerit.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.