NOVEL: KERANA KAMU 7

loading...
ADAM BAHRAIN membuang pandang ke Sungai Thames yang disebut sebagai sungai terpanjang di England. Di atasnya berdiri Tower Bridge gabungan jambatan imbang dan gantung di London, England di atas Sungai Thames. Ia berdekatan dengan Menara London, itulah sebabnya datang nama Tower Bridge. Sewaktu datang ke sini beberapa tahun dulu, Adam Bahrain tidak berapa ambil kisah tentang latar belakang sungai yang terpanjang di England itu dengan jambatan di atasnya. Lama kelamaan akibat cerita dari mulut ke mulut, dia semakin faham mengapa Sungai Thames menjadi kebanggaan. Ia menjadi suatu ikon di London dan kadangkala orang tersilap memanggilnya London Bridge, sedangkan Jambatan London sebenarnya ialah jambatan berikutnya ke arah hulu.

Usapan lembut di bahu mengejutkan lamunan Adam Bahrain tentang sejarah Sungai Thames yang sedang terbentang di hadapannya kini. Senyuman kecil di hadiahkan kepada gadis di sebelahnya. Dia berasa kurang selesa apabila gadis itu mula menyandarkan tubuhnya di bahu kirinya. Dia mengengsot sedikit agar ada jarak antara mereka. Dia tidak mahu dilihat terlalu intim atau membenarkan ruang kosong itu terisi sedikit demi sedikit. Kelak ia umpama dirinya memberikan harapan pula kepada gadis tersebut. Sedangkan sekeping hatinya yang selama ini kontang telahpun ada penghuni semenjak dua menjak ini. Bagaimana jika hanya dia yang berperasaan begitu terhadap gadis cengeng itu? Cuak Adam Bahrain memikirkannya.

“Cantik kan…” ujar Laila lembut.

“Herm…”

“Patutlah you tak nak balik Malaysia. Duduk kat sini banyak pemandangan yang indah-indah. Hati yang sedih dan sunyi pun boleh terubat hanya dengan memandang Sungai Thames pada waktu malam, kan…” lembutnya suara itu membuai perasaan bertemankan angin malam yang dingin.

“Tak ada apa lagi untuk I kat sana, Laila. Semuanya dah habis. Punah.”

“Jangan cakap macam itu Rain. I tahu siapa you sebenarnya. Bukan sehari dua kita berkawan. I tahu hati you baik, you buat ini pun untuk orang lain. Sekarang pun your mum dah tak ada, baliklah…”

Adam Bahrain mendengus. Sesekali dia mendesah perlahan. Mengapa Laila datang untuk mengkucar kacirkan perasaannya kini. Cerita tentang keluarganya, tentang cintanya pada mama dan cerita tentang Datuk Ikram. Semua itu sudah tersimpan rapi menjadi memori.

“You masih ada business yang you kena uruskan, Rain. Datuk tak ada waris selain daripada you. You satu-satunya!” Laila meninggikan sedikit nada suaranya.

“You datang ni siapa yang hantar? Datuk?? Berapa dia bayar you?”

“Apa you cakap ni, Rain. I datang sebagai seorang kawan…sahabat. Itu pun kalau you masih dengar cakap I ini sebagai seorang kawan. Tak tahulah jika hubungan kita sudah ada batasan pulak.”

Adam Bahrain memandang Sungai Thames semula. Berdiri di hadapan sungai yang menyimpan berjuta kenangan tersendirinya itu, bagai menyerap keresahannya sekali. Nyaman dan lega sekali tatkala memandang airnya yang berkilau apabila dilimpahi cahaya dari deretan kedai dan bangunan berhampiran. Malam itu dia seperti berada di dalam dunianya sendiri.

“Apa yang I cakap ini untuk kebaikan you, Rain. Untuk masa depan you. Mungkin juga untuk legasi keturunan you, siapa tahu. Takkan selamanya you nak hidup sendiri.”

Benar apa yang diperkatakan oleh Laila sebentar tadi. Jika aku mahu menyunting Rara menjadi suri hidupku, aku harus mempunyai harta dan kerjaya bagi menampung kehidupan. Takkan cukup hanya dengan berkelana dan menjadi Arkitek bebas di bumi Inggeris ini? Adam Bahrain berhalusinasi.

“Laila…”

“Ya?”

“Terima kasih kerana mengingatkan I. You are my best friend in this world, forever and ever.”

Sahabat untuk kini dan selamanya! Laili mengulang kembali frasa yang baru diucapkan oleh Adam Bahrain. Hanya sahabat? Selama-lamanya? Bagaimana rasa cinta yang sedang ku pupuk ini? Ada air jernih yang cuba menerobos keluar dari kelopak matanya tetapi sempat dicempung oleh hujung jarinya. Angin malam yang menderu lembut bagai penyelamat tatkala mata Adam Bahrain sempat menjeling ka arahnya.

“You menangis ke?”

“Takkanlah I nak buang air mata I ni untuk you, Rain. Membazir aje.”

“Manalah tahu kut-kut you menangis dengan kata-kata I tadi. I’m sorry, ok…”

“Kan you baru kata I ni your best friend in the world? Kalau betul I menangis untuk you apa salahnya…sahabat kan selalu bersama-sama dalam susah ataupun senang…”

Kalaulah kau tahu Rain…adakah kau akan mengesat airmata ini? Adakah kau akan memahami nyanyian lagu cinta di dalam hati ini? Aku tak yakin kau akan berbuat begitu Rain…aku faham benar hatimu! Penuh dengan duri-duri dendam!

“Jomlah kita balik. Dah lewat malam ni.”

“Balik rumah you?” Laili menguji.

“Kalau you berani…I tak kisah.” Adam Bahrain turut bergurau.

Laili sengaja memeluk lengan Adam Bahrain selepas itu sebelum mereka meninggalkan pemandangan indah Sungai Thames. Semakin jauh mereka berjalan meninggalkan sungai tersebut, seolah-olah jambatan menara yang terdiri dari dua menara itu melambai mengucapkan selamat jalan.

Kereta Adam Bahrain berhenti di hadapan hotel penginapan Laili. Dia membukakan pintu untuk gadis tersebut sebelum masuk semula ke tempat pemandu untuk kembali ke apartmentnya sendiri.

“Lain kali I nak tidur kat rumah you boleh?”

Adam Bahrain hanya tersenyum penuh makna. Laili sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Dan pertanyaan dari Laila sebentar tadi hanyalah satu gurauan baginya.



RARA MEMBALAS surat yang dihantar oleh Didi kepadanya setakat ala kadar sahaja. Setiap kali dia mahu memulakan ayat pertama kepada Didi, ada sahaja rasa sebak yang bertandang tiba. Lama kelamaan dari rasa sebak itu turunlah pula hujan air mata yang tidak mahu berhenti. Hatinya pedih tidak terkata. Cinta pertama sukar ditamatkan riwayatnya begitu sahaja. Ia memerlukan masa…hinggakan dalam keriuhan usikan Dayang pun, bayangan Didi tidak mampu diusir. Semakin menjadi-jadi pula kebelakangan ini.

Dia telah menyimpan semua gambar-gambar Didi ke dalam sebuah kotak. Dia telah memadamkan segala kenangan manis bersama Didi, mencuba sebenarnya. Dari sehari ke sehari dia berjuang, hinggakan badannya semakin susut. Makan minumnya juga menjadi tunggang langgang, tidak lagi mengikut waktu. Ada ketikanya dia tidak menjamah walaupun sebutir nasi bagi mengalas perutnya. Habis kuliah dia berkurung di dalam kamarnya. Dayang sendiri pun tidak boleh berbuat apa-apa kecuali menasihatkan Rara agar perbanyakkan bersabar. Setiap kejadian ada hikmahnya. Begitu Dayang selalu mengingatkan.

Rara mendail nombor Adam Bahrain berulang kali tetapi asyik masuk ke dalam peti suaranya. Dia beranggapan lelaki itu sedang cuba menjauhkan diri atau barangkali ada hal-hal tertentu yang menyebabkan dia tidak mahu diganggu. Sudah hampir seminggu mereka hilang khabar, sepi tanpa berita dan cerita. Rara semakin buntu. Semua lelaki mahu pergi dari hidupnya…kecuali abah! Ya…Abah, Rara rindukan abah!!

‘Nombor yang anda dail berada di luar kawasan.’

Mesej yang kedengaran jelas membuktikan ayahnya sedang berada di pelantar. Sukar di hubungi atau kadangkala tidak dapat isyarat langsung. Dia faham tugas-tugas abahnya. Satu tugas yang mencabar dan sesuai untuk orang yang memiliki kesabaran serta ketahanan mental yang tinggi.

“Rara!”

“Rara!”

Pintunya diketuk dari luar.

“Ya!”

“Kau okey ke?”

“Okey.”

“Ada orang nak jumpa kau.”

“Siapa?”

“Mana aku kenal. Lelaki…”

Rara mengerutkan dahi dan cuba berfikir siapa agaknya yang datang mencari hingga ke rumah sewanya.

“Malaslah…aku tak ada mood!”

“Betul ni? Tak menyesal? Orangnya handsome tau.”

Rara berfikir lagi. Jangan-jangan…tapi takkan dia kut! Tak mungkin!

“Okey. Suruh dia tunggu. Aku basuh muka sekejap.”

Rara bergegas mendapatkan seseorang yang sedang berdiri membelakanginya. Dengan berpakaian formal dan jaket ditangan, dia tidak dapat mengenalpasti orang itu secara tepat. Takkan Adam Bahrain kut? Tetapi takkan dia tahu aku memanggilnya lewat telefon beberapa kali sedangkan satu kali pun dia gagal berkomunikasi dengan lelaki itu. Lagipun apa perlunya Adam Bahrain yang kerjanya hanyalah arkitek bebas mengenakan pakaian yang sedemikian.

“Hai…”

Dia membalikkan tubuhnya. Sebuah senyuman manis hinggap di bibir lelaki itu.

“Hai! Kau apa khabar?”
Rara tidak menjawab. Selain terpegun dengan penampilan Adam Bahrain, dia juga terasa hati dengan ‘kehilangan’ lelaki itu selama seminggu. Sangkanya saat dia memerlukan dan saat dia kesedihan, dia mengharapkan Adam Bahrain boleh dijadikan tempat mengadu. Tetapi lelaki itu pun sama, menghilangkan diri begitu sahaja tanpa pesan!

“Terpikat tengok aku pakai macam ini?”

Rara menjuihkan bibirnya.

“Jom keluar…” Adam Bahrain tidak berputus asa.

“Siapa nak keluar dengan kau?”

“Merajuk ke?”

“Kenapa aku nak merajuk dengan kau. Kau bukan boyfriend aku pun…”

“Ya lah…aku tak ambil call. Sorry…aku busy betul minggu ni.”

“Suka hati apa kau nak cakap. Aku tak kisah pun!”

Tanpa diduga Adam Bahrain telah memegang tangan Rara. Pegangannya kukuh seolah tidak mahu melepaskan gadis itu. Dia geram benar dengan sikap acuh tak acuh Rara terhadap dirinya. Dia tidak pasti apakah perbuatannya itu betul atau sebaliknya. Apa yang dia mahu sekarang ini adalah Rara mengikuti kehendaknya.

Rara menentang pandangan Adam Bahrain tidak berkedip. Mata lelaki itu berwarna coklat keperangan dengan bebola mata hitamnya bersinar memukau. Ada perasaan halus yang menjalar ke hati lalu menimbulkan debaran di dadanya. Ketika hati mulai berdetik, dia menolak rasa itu kembali. Kolam hatiku milik Didi!

Baru dia sedar tangannya berasa sakit. Sudahlah sakit di hati, kini sakit di tangan pula. Sudahnya dia yang meronta-ronta minta dilepaskan. Adam Bahrain yang terpaku seketika tadi seperti lupa yang dia sedang mencengkam pergelangan tangan Rara. Berkali-kali dia memohon maaf dari gadis itu kerana terkasar sebentar tadi.

“Do you mind if I buy you a dinner?”

“Who cares? I don’t like your act just now. Hurting…”

“I’m so…sorry, Rara. Not intentionally…”

“Ya ke? Kau sengaja nak pegang tangan aku. Aku tahu.”

Adam Bahrain ketawa bebas. Tuduhan itu tidak memberi apa-apa kesan dihatinya. Dapat bertemu dengan Rara pun sudah cukup beruntung. Lebih-lebih lagi ketika dia sepatutnya menghadiri satu lagi simposium perniagaan tetapi memilih untuk berlari ke sini melepaskan kerinduannya kepada gadis genit itu. Pasti ketika ini Laili dan Pak cik Fauzi sedang tercari-cari akan kelibatnya. Sewaktu melepaskan diri tadi dia tidak meminta izin daripada mereka berdua. Biarlah. Bukan masalah besar bagi mereka.

“Kenapa kau kurus? Baru seminggu tak jumpa takkan dah rindu kat aku?”

Aduhai! Mengapa bukan kamu yang bertanyakan aku, Didi? Mengapa orang lain yang lebih prihatin? Mengapa kau buat aku begini Didi?

“People said silent is true, right or not?”

Benarkah? Aku rindukan Rain? Bukan! Bukan! Aku rindukan Didi!!

“Rara? Anybody home??”

Rara termangu-mangu. Sebentar tadi dia seolah terdengar-dengar suara Didi. Sebaik matanya bertemu pandang dengan wajah berkerut Adam Bahrain, baru dia perasan. Yang menyoalnya dengan lembut tadi adalah Adam Bahrain, bukannya Didi. Rara menutup matanya rapat-rapat beberapa ketika sebelum membukanya perlahan-lahan. Pergilah kau Didi! Pergi!

“Rain…bawa aku keluar.”

Adam Bahrain pula yang termangu. Tadi bukan main payah untuk berkata ‘ya’ sedangkan kini dia pula yang menawarkan diri. Pelik! Pelik!



RARA menghamburkan tangisannya di hadapan Adam Bahrain. Suasana suram dan kelam di taman permainan itu bagai mengerti kesedihan yang sedang bermukim di hati Rara. Entah mengapa dia mudah menzahirkan perasaan dan kisah cintanya yang kecundang kepada Adam Bahrain. Lelaki itu kelihatan sabar mengikut rentak yang dimainkan oleh Rara. Dia tidak mahu menganggu. Dia membiarkan sahaja Rara menangis semahu-mahunya. Apabila Rara terkorek-korek beg sandang yang dibawa, Adam Bahrain telah bersedia dengan saputangan ditangan.

Dengan mata yang masih berlinangan Rara membalas pemberian dari Adam Bahrain itu. Dalam tangis dia cuba menguntum senyum. Membalas jasa lelaki itu yang setia mendengar keluh kesahnya. Tanpa sedar dia menyandarkan kepalanya di dada bidang lelaki itu. Dia ingin meminjam kekuatan yang dimiliki oleh Adam Bahrain. Dia ingin melabuhkan tirai derita hatinya buat selama-lamanya.

Dia memerlukan pengganti dengan segera. Biarpun hanya satu lakonan, dia tidak kisah. Yang penting ruang kosongnya akan terisi. Dan Didi tidak akan bermukim lagi…

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.