Header Ads

NOVEL: KERANA KAMU 9

Advertisement

Berbelas panggilan daripada Datuk Ikram tidak dilayan sama sekali. Begitu juga mesej yang dihantar oleh Laila. Dia tahu benar yang Laila telah menceritakan segalanya kepada Datuk Ikram. Dia tahu gadis itu pasti telah menunjukkan MMS nya kepada lelaki tua itu. Jikalau tidak, mengapa mesti Datuk Ikram menelefonnya berulang kali. Semalaman Rain tidak boleh tidur. Dia teringatkan Rara. Dia kasihan kepada gadis comel yang tidak tahu apa-apa itu. Segalanya kerana dia yang memulakan. Segalanya kerana dia telah kemaruk cintakan gadis itu. Salahkah dia bertindak aggresif? Salahkah dia cuba memiliki hati yang sudah berpunya. Silapkah keputusan yang dibuat semalam? Semuanya bermain-main di ruang mata semula.

“Betulkah keputusan yang kita ambil ni, Rain?”

“Kau jangan risau. Aku tahu apa yang aku buat.”

“Tapi aku sayangkan Didi. Aku tak boleh lupakan dia.”

Rain mengusap wajahnya. “Aku tahu. Aku tak marah kau masih sayangkan dia. Aku tak kisah jika kau masih mencintai dia. Aku tak marah, Rara. Kau ambillah sebanyak mana masa yang kau mahu untuk kau terima aku. Terima aku seadanya.”

“Kau tak akan menyesal nanti jika aku berbalik semula kepada Didi?”

“Aku tak tahu. Bila tiba masanya, baru kita cerita hal ini.”

Rara berteleku di kusyen. Kepalanya pusing tiba-tiba mengenangkan gambar MMS yang ditunjukkan oleh Rain. Dan secara tiba-tiba pula terpaksa membuat keputusan. Sepanjang hidupnya dia tidak pernah membuat keputusan sebesar ini sendirian. Hatinya sayu apabila teringatkan Baharom. Baharom yang selalu ada ketika dia mahu membuat keputusan. Marahkah Baharom jika saat ini dia membelakangkannya?

“Rara…”

“Kau menangis? Maafkan aku kerana melibatkan kau. Sumpah! Aku tak tahu kalau ada orang masuk dan ambil gambar kita. Aku tak sangka dia boleh peras ugut aku. Maafkan aku, Rara. Aku tak berniat nak menyusahkan hidup kau.”

Hati Rain berasa belas melihat titisan halus yang mengalir deras di pipi mungil Rara. Kenapa tika dan saat ini dia menangis. Dapatkah dia menahan dirinya dari menyentuh pipi itu, lalu mengesat air mata yang tumpah itu? Mampukah dia?

“Rain…please don’t.” Entah bila jemarinya sudah mendarat di pipi Rara. Tegahan kasar dari Rara mengejutkannya.

“I’m sorry. Very sorry…”
Rara memandangnya dengan wajah keliru. Rain membalasnya dengan hati yang sarat. Antara cinta dan simpati bersilih ganti. Aku cintakan kau Rara! Aku mahukan kau dalam hidupku! Tolong jangan pergi! Jeritan batinnya berlumba-lumba mahu meluahkan tetapi dia harus bersabar. Saat dan ketika ini dia tidak mahu lagi menambah beban yang telah sedia ada.

“Rain…aku setuju ikut rancangan kau. Aku terpaksa ikut rancangan kau…aku tak tahu nak buat apa dah.”

Rain tersenyum pahit. Terpaksa atau rela sama sahaja. Hendak tak hendak mereka terpaksa meneruskan juga rancangan itu. Jika tidak Rara bakal ditimpa malu sekiranya salinan MMS itu jatuh dari satu tangan ke satu tangan. Mungkin juga dia akan dipandang hina dan mendapat sumpah seranah dari orang sekeliling. Jadi sebagai lelaki yang bertanggungjawab, dia harus nekad dengan keputusannya. Dia harus melindungi Rara kerana itulah janjinya tatkala matanya bertentang mata dengan Rara satu ketika dahulu.

Janji!! Kerana sebuah janji yang dimungkiri, mamanya pergi menghadap Illahi dengan hati yang sudah mati. Hati yang telah kontang kasihnya. Wajah Datuk Ikram yang angkuh terasa kecil sahaja dimatanya saat dia teringatkan janji lelaki itu kepada mamanya. Kali ini dia pula terbeban dengan janji. Angkara cinta dia membina janji untuk memiliki gadis itu, dan kerana cinta juga mungkin dia terluka kerana cinta itu telah dimiliki.

“Kau tak tidur?”

Teguran satu suara membubarkan lamunannya. Kini dia di alam realiti. Memandang wajah itu kemudian mengalihkan pula matanya ke kaca TV.

“Kau tidur atas tilam aku. Aku boleh tidur kat mana-mana. Kau jangan risau.” Rain tidak mampu menentang pandangan dari Rara. Dia merasakan dirinya teramat bersalah kepada gadis itu. Sepatutnya dia tidak membawa Rara yang terlena tempohari ke apartmentnya. Semuanya sudah ditakdirkan. Kita perlu reda dengannya; fikiran Rain berbolak balik.

“Nak selimut?”

“It is okey, Rara.” Rain menolak lembut. Dia tidak boleh jika gadis comel itu memberikan perhatiannya. Dia takut dirinya terlalu berharap. Pada akhir cerita hubungan mereka nanti, dia juga yang kecewa.

“Kenapa kau tak pandang aku? Kau tuduh aku menjadi punca ini semua ke?” Rara bersuara sedih.

“Bukan! Kau jangan salah faham. Aku tak boleh…aku takut dengan kesilapan yang aku lakukan terhadap kau, Rara. Tolong jangan ingatkan aku semula tentang kejadian semalam. Aku minta maaf banyak-banyak.”
Suasana menjadi sepi tiba-tiba. Rara masih berdiri di pintu bilik manakala Rain duduk di atas sofa. Janggalnya keadaan itu. Rara mesti melakukan sesuatu agar hubungan baik mereka sebelum ini tidak dicacatkan dengan rasa serba salah dan saling menghindari. Rain pun banyak membantunya ketika dia dalam kesedihan. Rain sering menghamburkan nasihat ketika dia memerlukan. Rain jugalah yang mengajarnya erti kedewasaan. Semuanya yang baik-baik dan positif datangnya dari lelaki itu. Lantas, adilkah jika dia sewenang-wenangnya menghukum atas kesalahan yang Rain tidak lakukan?

“Hei! Kenapa senyap ni? Selalu kau yang usik aku kan? Sekarang aku ada depan kau, kau pulak jual mahal.” Rara menceriakan suaranya. Dia mahu Rain menjadi Rain yang lama. Rain yang sering mengusiknya. Rain yang selalu membulinya.

“Ya?” entah kenapa suara Rain menjadi mahal sekarang.

“Kau dah lupa kut? Cepatnya??”

“Aku nak tidur. Good nite!”

“Hei! Jangan tidur dulu. Aku belum mengantuk. Temankan aku.”

“Tak boleh! Aku mengantuk lah.”

Rara bergerak ke sisi Rain. Dia sengaja mahu mengusik lelaki itu. Bagaimana dia mahu masuk tidur sedangkan matanya masih belum mengantuk.

“Aku lapar.”

“Kau cari apa-apa yang boleh dimakan kat freeze tu. Jangan kacau aku lagi!”

“Kalau aku nak kacau jugak? Kau akan marah tak agaknya?”

“Cubalah kalau berani!”

“Kau cakap aku tak berani ke? Jangan cabar aku!”

Rara menarik kusyen yang menutup wajah Rain. Dia tidak mahu Rain berasa terasing dengannya. Lagipun selepas ‘acara’ semalam, dia bebas melakukan apa sahaja dengan Rain. Rain abangnya. Rain musuhnya. Rain sahabatnya. Apa lagi? Rain suaminya? Rain sebagai suami Rara? Ah! Mimpi di siang hari nampaknya. Kenyataan itu tidak akan menjelma. Rara pasti!

“Abang Rain!”

“Apa kau panggil aku?”

“Abang Rain!
“Abang Rain!”

“Abang Rain!”

Rara ketawa mengekeh. Dia malas bersedih lagi. Dia ingin bermanja. Dia ingin dimanja. Apa salahnya? Dia telah menganggap Rain seperti abangnya. Alang-alang dia dipaksa, apa salahnya meneruskan lakonan tersebut hingga ke hujungnya.

“Kau tahu tak?”

“Tak tahu! Kau tak bagi tahu?” Rara deras menyampuk sebelum sempat Rain menghabiskan ayatnya.

“Kau ni kan…” Rain membaling kusyen ke tubuh Rara.

Gadis itu ketawa lagi. Dia mahu Rain yang selalu mengusiknya kembali semula menjadi dirinya. Dia mahu Rain melupakan kesedihan yang sedang mereka alami. Hidup harus diteruskan.

“Manis bunyinya bila kau panggil aku abang Rain. Rasa aku dihormati. Dah lama aku tak dengar orang panggil aku abang. Aku rasa kita boleh get along selagi kita kat bumi London ini. Kau ada aku, aku ada kau. Enough tak?”

Ayat Rain bunyinya macam ‘rock’, tetapi di telinga Rara ia kedengaran lunak sekali. Terus lekat di mulut dan meresap jauh ke dalam hati. “Aku ada kau, kau ada aku!” Rara mengulang tanpa sedar. Kenapa Rain bukan Didi? Hilangkah Didi bila munculnya Rain? Rain atau Didi? Argh!!!

“Rara? Just now you okey…and now what happened to you?” Rain panik.

“Didi! Dia tak boleh langsung tinggalkan aku walau seminit. Didi belum mati lagi, Rain. Aku keliru!”

“Rara…”

“Shhh…” Rain memujuk sambil mengusap lembut rambut Rara. Dia boleh membuatnya lebih dari itu jika diikutkan rasa hatinya pada saat dan ketika ini. Dia boleh membahagiakan Rara mengikut caranya, tetapi dia harus menghormati hati gadis itu. Rara gadis tulus yang masih memegang mahkota cinta pertamanya.

“Rain…kenapa ingatan aku kepada Didi semakin kuat dan kukuh? Kenapa dia selalu hadir ketika kita berdua sedang bergembira? Kenapa dia mesti hadir …” esakan Rara semakin menjadi-jadi.

Rain menghulurkan tisu kepada Rara. Rara menyambutnya. “Kau terlalu baik dengan aku. Aku tak tahu apa jadi pada aku jika kau tiada. Aku ada kau sampai bila-bila kan?”
“Sekarang ya. Akan datang tak tahu!”

“Kenapa pulak?” tangisan Rara sudah mulai reda.

“Takut kau dah tak nak kat aku. Tinggallah aku sorang-sorang.”

“Aku tak akan tinggalkan kau, Rain. Bodohlah aku kalau bertindak begitu. Kau akan selalu ada aku selagi kau perlukan aku.”

Rain tersenyum pahit. Janji itu disimpannya jauh ke dasar hati. Tetapi dia tidak terlalu berharap. Bila pulang ke Malaysia nanti, pasti Rara terlupa akan dirinya dan janjinya.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.