NOVEL: MENGAPA DI RINDU 15

loading...
MDR 15

Adira membawa sebeban fail di tangannya untuk diserahkan kepada Hazzim. Fail-fail tersebut memerlukan penelitian dari Hazzim sebelum diserahkan ke jabatan-jabatan lain. Dia meletakkan fail tersebut di bucu meja empat segi milik Pengurus Besar itu. Risalah-risalah pembinaan kepunyaan syarikat pesaing mereka yang berselerak di susun semula agar lebih teratur. Mungkin Hazzim sedang melakukan kajian pasaran untuk sektor hartanah untuk bulan tersebut. Kebelakangan ini banyak projek perumahan yang tergendala disebabkan kekurangan modal dan tenaga buruh. Adira pun tahu syarikat mereka memiliki ramai pekerja pembinaan yang di ambil dari tanah seberang.

“Hhem…dah lama sampai?” tegur satu suara.

Adira segera menoleh. Dia menghadiahkan senyuman kelat. Air liur yang ditelan terasa payau. Tak reti beri salam ke?

“Baru aje Encik Ammar. Nak cari Encik Hazzim ke?”

“Ya. Dia dah datang?”

“Rasa-rasanya belum sampai lagi.”

“Tak apa. Saya tunggu.”

Adira memasang lampu bilik Hazzim sebelum keluar. Namun dia sempat bertanya jika Ammar mahu menunggu adiknya itu di bilik rehat tetapi Ammar menolak. Adira meninggalkan bilik Hazzim tanpa sebarang prasangka dan duduk semula di tempatnya bagi menyelesaikan beberapa kerja yang tergendala.

Semenjak kebelakangan ini Adira perasan Hazzim sedikit berubah dan kelihatan ceria. Senyuman terukir sentiasa di bibir nipisnya. Jarang benar dia marah-marah seperti sebelum ini. Adira tidak pasti apakah penyebabnya tetapi dia menjangkakan Hazzim sudah berbaik-baik dengan Alisya. Atau tidakpun, gadis itu sudah memberikan respon yang bagus untuknya.

Sambil melakukan kerja, Alisya menyambung angannya. Jika begitu dia tidak perlu bersusah payah menyamar atau membacakan novel-novel yang dibeli oleh Hazzim lagi. Dia bebas menunaikan hobinya sendiri iaitu mengait ataupun menjahit pakaian. Itu lebih menguntungkan baginya. Boleh juga menambah duit poket. Fikir Adira tersengih-sengih.

“Adira!”

Tiada jawapan dari gadis itu.

“Adira!”

Masih tiada jawapan.

Meja Adira diketuk pula. Baharulah gadis itu mendongak memandangnya.

“Eee!! Encik Hazzim…dah lama diri kat depan saya?”

Hazzim tidak membalas. “Siapa ada kat bilik saya?” Soalan pula ditanya.

“Abang Encik Hazzim. Encik Ammar…”

Belum sempat Adira menyambung ayatnya Hazzim telah angkat kaki terlebih dahulu. Aik? Angin macam tak bagus aje. Ada yang tak kena antara mereka berduakah? Sekali lagi belumpun sempat Adira meletak punggung, Hazzim sudah berpatah balik ke arahnya. Dahi Adira berkerut-kerut.

“Tak ada sesiapa.”

“Tadi ada. Dia tunggu Encik Hazzim di dalam. Itu yang saya hidupkan lampu.”

“Memang tak ada sesiapa kat dalam tu.” Hazzim menyakinkan Adira yang penglihatannya belum kabur lagi.

Adira mulai gusar. Tadi dia berbual dengan siapa? Takkan hantu kut? Tambah mendebarkan perasaannya ialah dia tidak melihat kelibat Ammar keluar dari bilik Hazzim. Bermimpikah aku?

“Lain kali jangan benarkan sesiapa masuk ke bilik saya jika saya tiada. Faham?”

“Faham Encik Hazzim. Saya…?”

“Kecuali awak.”

Hazzim terus kembali ke biliknya semula. Sedari pagi dia berkurung kerana sibuk menyediakan laporan dan teks untuk sidang akhbar yang bakal diadakan oleh syarikat mereka. Sidang akhbar tersebut bertujuan membentangkan penyata kewangan syarikat untuk tahun lepas. Dalam kesempatan tersebut juga, syarikat akan mengumumkan kerjasama terbaru Persada Indah Holdings dengan pelabur dari luar negara. Pelabur tersebut akan membawa kepakaran baru dalam sektor pembinaan yang dilihat secara positifnya mampu menjana keuntungan berlipat ganda terhadap projek yang sedang dan akan dijalankan.

Tepat 1.00 tengahari Hazzim selesai dengan kerja-kerjanya. Dia memperkemaskan apa yang patut sebelum menghadap para pemberita lebih kurang jam 3.00 petang nanti. Dia memaklumkan kepada Dato’ Hajah Yusniza perkembangan terkini mengenai perjalanan syarikat. Ibunya sedang berada di bilik mesyuarat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR). Mesyuarat bulanan tersebut kadangkala turut dihadiri oleh Hazzim tetapi dia tidak menyertainya pada hari itu disebabkan dia perlu menyiapkan laporan untuk sidang akhbar nanti.

“Ya ibu. Semuanya dah siap. Kita jumpa kat sana nanti.”

“Sudah. Laporan kewangan syarikat untuk diedarkan kepada pelabur kita juga sudah siap. Okey ibu. Okey.”

Hazzim mengangguk-angguk sambil bercakap di telefon seolah ibunya boleh nampak kesungguhan yang mahu ditunjukkannya itu.

Selesai bercakap dengan ibunya, Hazzim menarik nafas lega. Dia mendepangkan tangan. Matanya dihalakan ke meja Adira. Gadis pembantunya itu sedang tekun menulis sesuatu. Apabila telefon berdering, dia mengangkat gagang kemudian mencatat mesej. Tidak lama kemudian kakinya di tuju ke bilik Hazzim. Menyedari kehadiran Adira, Hazzim berpura-pura menyibukkan diri.

“Encik Hazzim. Ada pesanan dari syarikat pembekal simen. Sila telefon Cik Sofia balik. Urgent.”

Kertas kecil yang mengandungi mesej itu bertukar tangan.

“Kenapa tak sambungkan tadi?”

“Encik Hazzim kata tak mahu diganggu.”

“Oh ya. Tadi saya sibuk. Sekarang dah okey.”

“Kalau gitu saya dah boleh keluarlah…”

“Nak pergi mana?”

“Makan tengahari bos! Perut dah berkeriut dari tadi.”

Hazzim bangun lalu membuka kot yang dipakainya. “Jomlah. Saya pun lapar ni.”

“Tak mahu saya makan dengan Encik Hazzim. Nanti staf lain jeling-jeling. Takut saya…nanti ada yang dajalkan tayar kereta saya.”

Hazzim ketawa. Kemudian menyambung gelak-gelak dalam bahasa yang kelakar. “Siapa yang nak dengkikan awak. Makan dengan bos apa salahnya. Semua orang pun ada buat benda yang sama. Jomlah. Buang semua prasangka awak tu.”

“Tapi Encik Hazzim…”

Hazzim menonong tidak mahu mendengar alasan dari Adira lagi. Secara praktiknya, Adira kena ikut juga, Hazzim kan bos!

Mereka makan di salah sebuah restoran nasi padang yang terletak selang beberapa blok dari pejabat urusan Persada Indah Holdings Berhad. Adira memilih kedudukan yang agak tersorok agar tidak mudah ditemui oleh rakan sepejabat mereka yang lain.

“Kita bukan ada skandal, Adira. Awak ni takut betul saya tengok. Rilekslah…”

“Tak boleh nak rileks, bos. Kita tak tahu mulut orang. Nanti tak pasal-pasal saya kena serang.”

Hazzim ketawa selamba sambil menikmati nasi padang dengan air sirap bandung. Betul-betul macam makan makanan Indonesia atau secara khususnya makanan dari daerah Padang.

Tanpa disedari, gelagat Hazzim dan Adira menjadi santapan sepasang mata di satu sudut restoran tersebut. Hembusan nafas kasar dilepaskan tanda cemburu melihat gelak tawa pasangan bos dan kakitangan itu. Dia kenal benar dengan perempuan yang sedang tersorok-sorok takut dikenali. Selalu juga dia berpapasan dengan gadis itu. Tetapi dia tidak suka gadis itu mendekati jejaka pujaannya, apatah berdua-duaan begitu. Lagi membakar amarahnya!

***

Adira menyiapkan kerja yang diberikan oleh Hazzim dengan teliti. Sebentar tadi Hazzim ada menelefon sambil bercerita tentang sidang akhbarnya yang suksess. Bosnya itu mengucapkan penghargaan kepada Adira di atas kerjasama yang diberikan. Apa lagi, kembang mekarlah senyum gadis itu sampai ke telinga.

“Tak balik lagi?”

Rakannya yang bekerja di jabatan akaun sempat menegur Adira yang tekun membuat kerja.

“Kejap lagi.”

Jam di dinding telah bergerak ke angka 5.14 petang. Terkocoh-kacah Adira mengemaskan mejanya kerana dia juga tidak mahu terlewat keluar dari pejabat takut terperangkap di dalam kesesakan lalulintas. Selepas memastikan semua lampu dan air-cond dimatikan, dia menuju ke bilik Hazzim pula. Dia melakukan benda yang serupa dan rutinnya setiap hari adalah memastikan bilik Pengurus Besar itu berkunci sebelum dia meninggalkan pejabatnya.

Adira berjalan ke kereta Myvinya yang di parkir tidak jauh dari pejabat Persada Indah Holdings Berhad. Parking lot kawasan tersebut selalu penuh walaupun telah habis waktu pejabat. Mungkin kedudukan pejabat mereka yang berderetan dengan lot kedai menyebabkan kawasan tersebut selalu dipenuhi orang ramai.

Adira memasukkan kunci kereta untuk menghidupkan enjin. Berkali-kali dicuba tetapi tidak mahu juga hidup. Dia menurunkan cermin kereta kerana bahang panas di dalam kereta telah menyimbah seluruh tubuhnya. Dia hairan apa yang tidak kena dengan keretanya. Kalau kata tidak diservis, dia melakukannya setiap bulan. Titis titis peluh mulai membasahi wajahnya. Hampir setengah jam dia terkutak katik di situ tetapi hampa, kerana keretanya tetap tidak mahu hidup. Apa yang tak kena ni?

Ah! Ini mesti bateri sudah lemah. Mungkin masalah bateri. Dia mencari kad-kad nama yang bersepah di dalam tas tangannya. Sekali lagi dia kehampaan kerana di dalam banyak-banyak kad yang dia ada, tiada satu pun kad yang boleh membantunya. Eii! Apalah malang nasibku…

Telefonnya berdering-dering. Matanya terpana tatkala ternampak bait nama yang keluar di skrin. Bos?

“Ya Encik Hazzim?”

“Mandi?” Eh! Kenapa miang pulak bos aku hari ini? Dia tak tahu aku tengah bermandi peluh kat depan ofis.

“Oh!! Saya ingat apa tadi? Nak ajak keluar? Nak kenalkan kawan?”

Adira mendengar lagi butiran percakapan bosnya dengan raut wajah kebosanan.

“Tak bolehlah Encik Hazzim. Saya pun tengah bermandi peluh kat depan ofis ni. Kereta tak hidup. Bateri kong kut. Contact number semua tak ada. Nasib baik Encik Hazzim telefon.”

Adira memasang telinga apabila di hujung sana Hazzim membebeli dirinya.

“Apa? Bos nak ambil? Dengan badan saya yang dah bau macam lembu ini? Eii…tak mahulah Encik Hazzim…biar saya naik teksi saja.” Adira menolak apabila Hazzim menawarkan diri mahu mengambilnya.

“Okey…okey…” Suara Adira mengendur. Arahan bosnya terpaksa dituruti.

Lebih kurang 15 minit menunggu, Hazzim sampai dengan Harriernya. Dia tersengih-sengih menjemput Adira masuk ke dalam kereta lalu menghantar gadis itu pulang ke rumahnya yang hanya sepuluh minit sahaja dari pejabat jika keadaan lalulintas berjalan lancar.

“Kereta awak saya dah panggil orang tolong tengokkan. Awak jangan risau.”

“Terima kasih Encik Hazzim. Saya masuk dulu.”

Hazzim hanya tersenyum mengangguk.

“Cepat sikit.”

“Saya tak mahu pergilah Encik Hazzim. Penat.”

“Temankan saya. Saya nak awak jumpa seseorang. Saya pasti awak akan suka dengan dia.”

***

Hazzim dan Adira duduk bersebelahan manakala Alisya dan Kamal pula masing-masing bersetentangan dengan mereka. Adira memandang Alisya yang mengenakan solekan tipis tidak berkelip. Inikah wartawan merangkumi penulis novel yang selalu diceritakan oleh Hazzim. Patutlah bosnya mabuk kepayang menyuruhnya membuat pelbagai ‘kerja gila’. Rupa-rupanya gadis yang dipuja cantik jelita orangnya. Takut dikebas orang lah tu…gumam Adira sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

“Orderlah…”

Hazzim menyiku Adira sambil matanya singgah di wajah Alisya. Gadis itu menghadiahkan renungan tidak faham.

“Okey…saya yang belanja malam ini…maksud saya bos saya…aa…apa-apa nak order, silakan.” Adira bersuara kurang selesa.

Ini semua rancangan gila Hazzim gara-gara mahu membelanja Alisya dan adik angkatnya kerana dia berjaya menangani sesi sidang akhbar syarikatnya siang tadi. Tambahan pula para pelabur gembira dengan laporan kewangan syarikat.

“Kawan I…kawan lama.”

“Dah berapa lama kenal.” Alisya menyoal endah tak endah sambil membelek menu.

“Dua….”

Hazzim segera menyampuk. “Dua puluh tahun…”

“Lamanya. Satu kampung?” Alisya menyoal lagi.

Adira mengangguk deras macam burung belatuk. Hazzim di sebelah hanya menjeling. Aduh!! Banyak songeh pulak si Alisya ini.

“Abang tak pernah cerita kat saya pun yang abang ada kawan lama yang muda dan cantik ni. Kenalkanlah pada saya…”
“Itulah tujuannya abang jemput Kamal dengan kak Lisya tadi. Abang nak kenalkan kawan abang ni pada Kamal. Kamal pun abang tengok solo je selama ini…apa salahnya berkawan. Tak gitu Cik Alisya?”

“Rugi siapa dapat adik I, ini. Pemalas Ya Rabbi…” Alisya berseloroh. Merah padam wajah Kamal jadinya.

“Kak Lisya ni!” Kamal bengang.

“Betul apa? Abang awak pun tahu.”

Hazzim ketawa sahaja melihat Alisya mengusik adiknya. Kamal semakin serba salah apabila Adira ikut mentertawakannya. Mata Hazzim tidak lepas dari melirik tindak tanduk Alisya yang kelihatan begitu santai bergurau dengan Kamal. Dalam tak sedar dia turut berangan berada di dalam keluarga kecil itu.

“Encik Hazzim pun tahu! Kan Encik Hazzim…”

“Apa dia…where are we?” dia terpana. Alisya senyum memerlinya yang sempat berangan walau orang di sekeliling riuh rendah.

“Kita orang tengah cerita pasal Kamal ni bos! Suka bangun lewat. Janji nak pergi memancing tapi terbongkang lagi kat katil…” Adira masih menghabiskan sisa tawanya tatkala matanya ditenung tajam oleh Hazzim.

‘Silapkah aku cakap? Kenapa bos aku siap kenyit-kenyit mata lagi ni? Mata masuk habuk ke? Eii…makin laju kenyitannya. Tak faham!! Adira merungut.

“Bos?” serentak Kamal dan Alisya menyerang.

Adira yang sudah terlajak kata terkulat-kulat di tempat duduknya. Hazzim meraup mukanya. Kemudian dia mengurut tengkuknya beberapa kali.

“Sorry to say…actually Adira ni staff I. I saja nak kenalkan pada Kamal sekaligus kepada you, Alisya. I’m so sorry. Harap you tak marah I.”

“Eh! Abang ni big boss la rupanya…patutlah Kamal tengok abang naik kereta besar. Kamal dah agak dah…”

Alisya menjeling adiknya yang terlebih gembira. Apa kaitannya dengan mereka jika si Hazzim seorang yang berjawatan atau berduit. Tiada kena mengena langsung!

“Biasa je Kamal. Syarikat keluarga. Perniagaan adik-beradik…” Hazzim merendah diri.

Cukuplah sekadar itu yang diceritakan tentang latar belakang pekerjaannya. Itu semua tidak penting bagi memiliki cinta jika cinta itu suci dan luhur. Bukankah cinta tidak mengenal harta dan rupa? Cuma secara kebetulan dia jatuh cinta kepada gadis cantik seperti Alisya. Itukan hanya satu bonus. Dia secara totalnya dia tidak percayakan cinta yang berlandaskan materialistik…

“I ingat you dah melenting tadi bila I tak berterus terang dengan you tentang kerja I dan apa I buat.”

Alisya menggeleng.

“Buat apa I nak marah-marah tak tentu pasal. Itu hak you nak cerita yang benar atau sebaliknya.”

Ketawa manja yang terlerai dari Adira dan Kamal yang duduk tidak jauh dari mereka menarik perhatian Alisya. Hazzim ikut menoleh ke arah yang sama.

“Adira peramah budaknya. Dia staf I yang paling rajin dan dedikasi. Tapi malu nak cari boyfriend sendiri.”

“Macam bos dia ni ke?” usik Alisya sambil matanya memandang ke hadapan. Entah mengapa dia jadi gelisah apabila duduk berdekatan dengan Hazzim. Tahu dek Rahimah pasti dia ditertawakan setengah mati. Bunganya tak mahu, orangnya hendak pulak!

“Herm…boleh jadi jugak. My ex-girlfriend itu pun lebih dua tahun dah I tinggalkan.”

“Tinggal macam itu aje? Malangnya nasib dia. You ni boyfriend yang teruk!”

“You tak boleh membuat tanggapan melulu macam tu, cik Alisya. I terpaksa…d ia ada boyfriend lain.”

“Ohh…”

Tiba-tiba kedua-duanya mati kutu. Perbualan mereka terhenti begitu sahaja. Hanya gurau senda Kamal dan Adira yang menghiasi tapak meletak kereta tempat mereka menjamu selera tadi.

“Cik Alisya…I nak cakap sesuatu dengan you…”

“Pasal apa?” pantas Alisya memotong. Dia gugup sebenarnya.

“Pasal you dan I. Pasal I…”

“Bos jom balik. Dah malam ni. Esok nak kerja lagi.”

Hazzim dan Alisya berpandangan seketika sebelum memberi respon kepada Adira. Niat Hazzim terbantut begitu sahaja.

“Ha’ah. Jomlah…” Hazzim menyambut kata-kata Adira separuh hati.

Pertemuan malam itu berakhir dengan indah bagi kedua-dua orang abang dan adik angkat tersebut. Hazzim dapat menyulam keindahan malam bersama Alisya dan Kamal pula seolah tidak dapat menyembunyikan perasaan sukanya kepada Adira. Adakah benar cinta mereka berbalas?

***

Zikry menyuap nasi goreng kampung ke mulut sambil tangan kanannya menyelak akhbar Metro yang baru dibeli pagi tadi. Sudah menjadi kebiasaannya membaca akhbar sambil bersarapan. Selain daripada kolum sukan, dia juga tidak ketinggalan mengikuti aliran semasa dunia perniagaan dan berita nasional.

“Ha! Kat sini you rupanya! Merata I cari.”

Laili sudah melabuhkan punggung ke kerusi kosong di sebelah Zikry. Warung makan di luar kawasan kilang itu memang selalu dipenuhi oleh pekerja dari kilang yang berdekatan. Dia merampas Harian Metro dari tangan Zikry dengan hajat mahu bermanja.

“Abang tengah baca apa ni?”

Laili ikut menelek muka akhbar yang terbentang di hadapan mereka. Matanya melilau membaca sekali imbas tajuk-tajuk berita sebelum pandangannya singgah pada satu wajah lelaki muda yang menghiasi dada akhbar tersebut.

“Best kan. Muda-muda dah pegang jawatan penting.”

“Ala…business keluarga bolehlah. Cuba pergi tempat lain, reject!” Zikry menggumam.

“Yang bestnya dia orang banyak duit. Nak beli apa semua boleh.” Laili menambah sambil terpegun melihat ketampanan anak muda di dalam gambar tersebut.

“Playboy!”

“Mana abang tahu.”

“Orang banyak duit semua macam itu.”

Tidak lama kemudian Zikry terasa tekaknya payau dan perit. Tuduhan yang dilemparkan seolah mengenai dirinya sendiri. Bukankah dia yang sepatutnya dituduh begitu, memasang dua wanita dalam masa yang sama. Bukankah itu juga boleh digelar buaya darat! Laili dan Alisya…siapakah yang berkongsi kasih sebenarnya?

“Kalau Laili dapat boyfriend kaya macam tu pun Laili tak tolak…” Laili ketawa mengekeh selepas melontarkan dialognya tadi.

“Habis abang ni awak nak campak kat mana?”

“Gurau aje…takkan cemburu kut. Abang ni sensitiF sangat.”

Zikry tersenyum pahit. Jika Alisya tidak begini gayanya. Kekasih yang sudah lama tidak dihubungi itu memiliki sifat terpuji dan sering menjaga hatinya jika berkata-kata. Serta merta Zikry membuat azam mahu menemui gadis itu malam nanti untuk menebus khilafnya.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.