Header Ads

My Love CEO 12


Suasana rumah banglo milik keluarga Mr CEO senyap sunyi seperti tidak berpenghuni ketika kami sampai petang itu. Sebelum ke mari aku sempat singgah di sebuah kedai Lavender untuk membeli buah tangan buat bakal mama mertuaku. Aku belikan kek blueberry yang memang disukai oleh mama Mr CEO itu. Aku pasti sedikit sebanyak hatinya akan lembut dengan pemberianku itu.

“Tak payah susah-susah sayang…belum tentu mama akan lembut dan menerima kita.”

“Fina rasa ini lah saja caranya kita nak ambil hati dia. Lama kelamaan dia akan terima jugak kan…”

“Abang tak boleh nak kata apa tentang sikap mama tu. Abang minta maaf, Fina. Abang malu dengan awak. Abang beriya-iya nakkan awak, tetapi mama buat awak macam musuh. Mama sakit, abang tahu itu. Tapi abang rasa dia terlebih-lebih pulak bila menunjukkan bencinya pada awak setiap kali awak datang. Macam mana abang nak hormat dia kalau macam gitu sikap dia. Malu abang, sayang…”

“Fina okey bang. Fina faham perasaan mama abang itu. Kita kena banyak bersabar, bang. Mama melalui banyak tekanan dari keluarganya sejak mula dia berkahwin dengan ayah abang. Mungkin dia tak mahu benda yang sama berlaku ke atas abang. Kita akan faham jika kita berada di adlam situasi mama abang tu. Percaya cakap Fina bang. Mama akan berubah juga satu hari nanti.”

Jeritan nyaring dari dalam banglo mengejutkanku. Pegangan tanganku pada lengan Mr CEO terlepas. Semua khayalanku sebentar tadi terbang melayang seperti di tiup angin puting beliung yang entah dari mana datangnya. Aku membontoti Mr CEO yang berlari laju ke dalam sebuah bilik. Aku tahu itu bilik mamanya. Perasaanku jadi seram sejuk.

“Mama!! Mama!!”

“Kenapa ni?”

“Mana bibik? Mana semua orang??”

Mr CEO panik melihat mamanya terbaring di atas lantai. Aku tidak tahu hendak berbuat apa untuk membantunya. Lidahku jadi kelu. Aku ingin membantu mengangkat mama tetapi Mr CEO memberi isyarat agar aku tidak menganggunya pada saat itu. Aku jadi sebak tiba-tiba. Sebentar Mr CEO seperti sangat sayangku, sebentar pula dia berubah laku. Aku seolah-olah jadi orang asing pada pandangan Mr CEO. Mungkin Mr CEO beranggapan bahawa aku penyebab mamanya bertambah sakit. Mungkin Mr CEO sedang ‘stress’ melihat mamanya berkeadaan begitu. Anak mana tidak sayangkan mama sendiri. Itu sebabnya dia menolak tubuhku tadi. Akhirnya aku sedar diri.

“Fina! Awak buat apa lagi! Pergi cari bibik cepat.”

Dalam keadaan termangu-mangu aku menurut juga arahan yang diberi. Hati di dalam menjadi pilu tidak menentu. Antara benci dan rindu, antara kasih dan sayang…aku berada di titik keliru. Perlukah aku di matanya saat ini? Apakah aku ini hanya gangguan di dalam kehidupannya? Sedang di hati sarat dengan teka teki, aku mencari bibik di dapur. Dia tiada di situ. Aku mengetuk pintu biliknya. Hingga ketukan ketiga barulah pintu bilik terbuka.

“Bibik! Mama jatuh.”

“Maaf, bibik solat tadi.”

“Tak apa. Cepat bibik.”

Ketika beriringan menuju ke bilik mama, aku lihat pergelangan tangan bibik berbalut. Aku menganggap mungkin bibik terluka ketika melakukan kerja rumah. Semua persoalan itu terkunci rapat di dalam benakku kerana selepas itu bibik sibuk mengemaskan keadaan bilik yang bersepah dan membantu mama Mr CEO berehat sehinggalah dia tidur. Sejak itu aku tiada peluang untuk berborak dengannya memandangkan Mr CEO kelihatan sugul. Aku terpaksa melayani kerenahnya pula walau di dalam hatiku memberontak. Sejak awal aku memang tidak mahu ke sini. Aku tiada hati langsung untuk ke sini. Tetapi demi Mr CEO, demi cintaku kepadanya, aku ikutkan jua.

“Sayang…kenapa termenung ni?”

“Hah! Apa?” Aku berpura-pura terkejut sedangkan sehari suntuk aku menunggu suranya menyapaku.

“Kenapa ni muram aje? Tak suka datang rumah abang ya?”

Aku geleng. Tetapi hati di dalam mengiyakan beribu kali. Aku jadi hipokrit demi sekeping hati. Tetapi sampai bila?

“Mama dah berehat. Senang sikit hati abang. Kalu tidak, tak tahu nak buat apa.”

“Bang…”

“Ya sayang…”

“Fina nak balik.”

“Tidurlah sini. Mama sorang aje malam ini. Fina temankan mama ya?”

Huh! Temankan mama? Tidak mungkin! Aku takut. Sudahlah mama Mr CEO tidak menyukaiku, entah apa pulak di kerjakan aku atas tiket ‘kesakitan’nya. Ya TUHAN tolong aku, aku mahu keluar dari rumah banglo ini.
“Bang…” aku merengek kesakitan sambil memegang perut. Ini saja caraku untuk dihantar pulang. Aku tidak sanggup untuk bermalam di sini. Berlakon pun berlakonlah. Bohong sunat.

“Kenapa pulak ni Fina. Kenapa sayang? Jangan buat abang risau.”

“Abang…sakit. Sakit sangat…”

“Nanti abang ambilkan emergency kit. Makan ubat ya…”

Belum sempat dia bangun, aku menahan tangannya. Aku buat isyarat dengan gelengan. Aku mahu pulang!! Rintihku kuat di dalam hati. “Hantar Fina balik.”

“Tapi sayang…”

“Hantar Fina balik. Fina selalu macam ni kalau kena period pain…” Aku terpaksa menahan malu demi sebuah keterpaksaan.

“Ohh!! I’m sorry sayang…yang ini abang tak boleh tolong.”

Mr CEO tersengih juga akhirnya. Dia mengelus dahiku. Aku hanya tunduk menahan tawa. Gelihati pun ada. Menjadi juga lakonanku ini.

Hendak tak hendak Mr CEO menghantarku pulang. Sebelum pulang aku sempat menggamit bibik di dapur. Wajahnya semakin pucat mungkin kepenatan. Dia yang sedang menyediakan hidangan malam keberatan melepaskan ku pergi. Aku sempat memeluknya dan membisikkan yang aku akan datang semula keesokan hari.

“Bibik tak sempat mau cerita, non. Sebenarnya…”

“Cik Fina…awak okey ke?”

Sergahan dari suara Mr CEO menyebabkan aku terpaksa berlakon sakit perut semula. Tangan sebelah aku letak di perut, dan tangan yang lagi satu aku gunakan untuk menepuk belakang bibik. Aku sempat memberikan jaminan bahawa esok aku akan datang lagi. Bibik tersenyum pahit. Antara matanya dan mataku saling menyampaikan sesuatu. Tetapi pandangan sayu dari kedua belah matanya begitu menarik minatku untuk tahu. Aku mesti bertanyakan hal ini kepadanya nanti. Itu tekadku.






Sepanjang perjalanan pulang Mr CEO sangat prihatin terhadapku. Aku berasa amat pelik sekali. Apabila kami berdua-duaan Mr CEO sentiasa menunjukkan kasih sayangnya. Mr CEO akan melakukan segalanya sepenuh hati. Aku pun apa lagi, manja terlebih-lebih. Orang tengah sayang kita kena ambil kesempatan. Tetapi benakku sedih kembali bila teringatkan hari-hari mendatang hidupku dengan Mr CEO. Apakah ada jaminan kasih sayang dan cintanya kekal abadi terhadapku. Memikirkan segala kebarangkalian tersebut aku jadi sedikit tawar hati untuk meneruskan pertunangan ini.


BILA diingatkan kembali hubungan aku dengan Mr CEO dan kaitan dengan peristiwa demi peristiwa yang muncul sejak kebelakangan ini, meremang bulu romaku. Mana tidaknya, aku kenal dengan Mr CEO di tengah malam pekat. Aku sangkakan dia hantu, dan dia juga ingatkan aku ini hantu yang sedang bersedih! Kelakarkan! Tetapi kelibat keluarga ini penuh dengan misteri. Lagi misteri perasaanku terhadap Mr CEO. Pejam celik pejam celik aku sudah jadi miliknya, walau belum sepenuhnya.

Tika detik jam menunjukkan angka 12 tengah malam, aku sudah tercegat di depan pintu rumah Seri. Aku tahu Seri telah bersuami. Aku tahu Seri tengah tidur. Tapi aku apa peduli? Perasaan takutku yang tak hilang-hilang menyebabkan aku terpaksa menumpang di rumah Seri.

“Kenapa ni? Kau macam dikejar hantu aje?”

“Memang pun.”

“Hah!! Mana dia hantu tu. Aku suruh Adam pelangkung.”

Dalam muka yang mamai pun Seri masih sempat buat lawak seram yang buat gigi bergetar.

“Kau tidur bilik tetamu tu.”

Aku menarik tangan Seri. Aku gelengkan kepala.

“Habis tu…”

Dengan muka tak malu aku mengekori Seri ke biliknya. Apa nak jadi pun jadilah. Walau aku terpaksa tidur atas lantai pun aku sanggup asalkan berada sebilik dengan Seri.

“Suami aku nak letak mana?”

“Aku tak kacau punya! Don’t worry. Aku tutup mata dan telinga, ok!”

“Kau ni kan…cuba cerita kat aku. Apa yang dah terjadi sebenarnya?”

Seri duduk di birai katil. Kawanku yang seorang ini semakin matang nampaknya setelah berkahwin. Kalau dulu, dialah orang yang paling gelabah dalam dunia.

“Tadi siang aku pergi rumah dia. Mak dia jatuh dari katil. Lepas itu jerit-jerit macam kena sawan. Si Izz bukan main panic sampaikan perangai dia pun ikut berubah. Aku dihalaunya macam aku ni orang asing. Dia macam tak kenal aku…”

“Biasalah…emak dia tengah sakit. Dia susah hati tu…”

“Tapi kan…bibik dia macam takut-takut je aku tengok. Aku nampak tangan dia luka. Tapi tak sempat tanya. Masa aku nak balik, dia berat aje nak lepaskan aku. Aku pun tak tahu kenapa…”

“Apa yang bising-bising lagi ni…” teguran suara Adam memeranjatkan kami.

“Tak ada apa-apa bang. Abang tidurlah…saya tengah berborak dengan Fina ni.”

Adam sudah duduk tegak. Macam kena rasuk. Aku dan Seri yang sedang berborak pasal benda-benda pelik yang berlaku kepadaku siang tadi ikut merasai keanehan sikap Adam itu.

“Bang, nak ke mana tu?”

“Tidur luar, dah kawan awak takut tidur sorang…awak temankanlah dia.”

Aku dan Seri ketawa mengekek. Aku sangkakan Adam mengigau atau kena sampuk tetapi rupanya dia tak tahan mendengar aku dan Seri membebel di tepi telinganya. Huh! Nasib baik Adam tu suami mithali…

“Habis kau nak buat apa?”

“Aku tak tahu Seri. Aku sayang Izz, Mr CEO aku tu. Dulu dia elok aje. Penuh karisma. La ni…tinggal muka aje yang maintain macam Keenu Reeves. Yang lain macam dah buat plastic surgery pulak.”

“Kau ni! Ada-ada aje. Ingat perangai dan sikap boleh di buat plastic surgery. Siapa yang ajar kau falsafah kolot tu.” Seri membebel.

“Falsampah Cik Fina. He…he…”

“Tengah tension macam ni pun kau masih boleh buat lawak ek…aku ingat kau dah berubah sejak pegang jawatan penting ni..tapi yang ada, ado!!”

“Tak baik kau cakap aku macam itu.”

Seri menguap lebar. Dia menarik selimut lalu berbaring di atas tempat tidurnya. Aku memerhatikannya dengan wajah terkebil-kebil. Orang belum habis cerita dia nak membuta pulak.

“Oit!! Apa solution kau weh!”

“Esok.”

“Jangan lah tidur dulu. Aku ada banyak benda nak tanya kau ni.”

“Kau tulis elok-elok. Esok pagi aku baca. Sekarang aku dah mengantuk. Tidur dulu”

“Tak guna punya kawan!”

“Cakap lebih tidur luar.”

“Okey…okey…ini rumah kau. Aku tahu lah weh!”

“Good night.”

“Nite.”

Aku terkebil-kebil di dalam selimut tebal Seri. Tujuan sebenar Mr CEO pergi ke rumah mamanya kerana wanita itu mahu berjumpa. Tentu waktu itu mama Mr CEO sihat walafiat. Jikalau tidak mana dia sempat membuat panggilan kepada body guard Mr CEO? Tetapi mengapa ketika aku dan Mr CEO sampai dia boleh berubah jadi sakit pulak? Pelik betul. Mesti ada udang di sebalik mee goreng…

Hai nasib badan…kena jadi penyiasat persendirian pulak selepas ni.
Advertisement

4 comments:

  1. pela yang mama mr ceo buat..
    mcm2..
    kak..sume cite pindah ke blog ni ke

    ReplyDelete
  2. Hi May_Lin, memang betul. Sume citer akan berpindah ke blog ini. Skrg tgh buat sikit2...

    ReplyDelete
  3. next n3 plesss...

    ReplyDelete
  4. wah suspen..tak sabar nak baca part seterusnya

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.