Header Ads

Cerpen Aku Bukan Dia



Tini mendepangkan tangan justeru keletihan menghadap komputer seharian. Beberapa minit lalu dia menghabiskan ayat terakhir untuk puisinya. Puisi yang dilakar pabila fikiran berserabut. Setelah mengemaskan alat-alat tulis yang berselerakan di atas meja, Tini segera mencapai kunci kereta wiranya. Pukul 5 petang begini biasanya jalan mula jammed dan pergerakan menjadi begitu lambat. Dia harus segera sampai ke Taska RC Junior untuk mengambil buah hatinya yang seorang itu. Walau Kissy baru berusia 3 tahun, tetapi kepetahan anak kecil itu kadang kala merimaskan Tini untuk melayaninya.

Lampu di traffic light bertukar merah. Tini mendengus. Huh! Pasti lambat lagi. Semalam dia tertidur lalu terlewat mengambil Kissy dari taskanya. Pekerjaan sambilan ini memang dia tidak gemar, tetapi apa nak buat. Sudah takdirnya terpaksa menjadi orang gaji selama dua minggu kerana ibu bapa Kissy mengerjakan umrah di Tanah Suci.

"Mami Tini, lambat...?" tak tahu samada itu pertanyaan atau pernyataan dari mulut kecil Kissy.

"Maaf sayang! Jalan jammed." Tini mendukung Kissy dan menyangkutkan beg sikecil di bahu kanannya.

"Ada orang marah ke kalau ambil lambat?" Tini berkata berbisik.

"Tak! Teacher cuma tanya..." jawab kissy selamba.

Tanpa disengajakan Tini terpijak sepasang kaki yang baru memasuki pintu pagar taska. Kasut lelaki! Tini memandang sekilas. Kelihatan lelaki itu mengerutkan dahi. Cepat-cepat Tini mengangkat kakinya dan bergegas menuju ke kereta yang di letakkan di seberang jalan. Malunya...

Insiden terpijak kaki lelaki tidak dikenali siang tadi meninggalkan satu perasaan aneh di sanubari Tini. Satu perasaan yang sukar digambarkan oleh sekuntum bunga atau seperti kenyang apabila makan, contohnya. Ah! Tak mengapalah, esok lusa hilanglah rasa itu. Detiknya.

Takdir Tuhan tidak siapa menduga apabila malamnya di Jusco menemukan Tini dengan lelaki tidak dikenali itu lagi. Tini sedang membelek sebuah buku pengurusan untuk tujuan bahan studinya apabila sepasang tangan turut mengambil buku di rak yang sama.

"Nak beli buku ke baca buku..?" satu soalan terasa begitu dekat singgah di telinga Tini.

Siapa pulak ni!

"Tengok dulu..." Tini menjawab dahulu kemudian mencari rupa empunya suara.
Orang tidak dikenali ini? Buat apa kat sini? Nak pijak kaki aku pulak ke? Pelbagai soalan menerjah diri Tini.

Tini tersenyum pahit, sekelat pisang mentah yang tidak sengaja termakan semasa di kampung dahulu.

"Saya Hairi. Salam perkenalan." Salam bersambut.

"Minta maaf siang tadi tu. Saya nak cepat. Anak saya tak suka dijemput lambat..." Tini berbasa basi tanpa sengaja tersalah sebut Kissy sebagai anaknya.

Ada perubahan pada wajah Hairi tetapi disembunyikan. Setelah beberapa minit bertukar cerita kosong, Tini segera minta diri. Dia perlu pergi secepat mungkin bagi mengelakkan fikiran dan perasaannya bertambah gemuruh. Entah apa lagi yang tersalah cakap nanti. Tini tidak mahu itu terjadi.

"Nama you..."

"Tini. Assalamualaikum..."

"Ini nombor saya. Wa'alaikumussalam." jawab Hairi perlahan sambil menyerahkan nombor telefon yang di tulis di atas saputangan birunya.

Tini serba salah untuk mengambil saputangan itu, tetapi demi menjaga air muka Hairi kepada orang yang lalu lalang di dalam MPH itu, dia menerima juga dengan terpaksa.

********

Beberapa minggu kebelakangan Tini sibuk menguruskan kemasukan pelancong dari Singapura dan Jerman yang menggunakan ajensinya. South View Holidays sentiasa mengutamakan pelanggan yang berurusan dengan mereka. Sudah hampir sebulan dia tidak berpeluang bertemu dengan anak buahnya si Kissy setelah diambil semula oleh kakakknya.

Entah apa khabarnya si kecil itu. Tini berkira-kira untuk singgah di rumah kakaknya petang nanti dan segera menyiapkan sedikit kerja yang tertangguh. Dalam perjalanan ke rumah kakaknya, Tini singgah di sebuah pasaraya membeli sedikit buah tangan untuk si Kissy.Apabila jam telah merangkak ke angka enam, barulah Tini sampai di rumah kakaknya.

"Dari tempat kerja ke?" sapa Tina kepada adik perempuannya itu.

"Ha ah! Singgah kat Jusco sekejap beli epal dan anggur untuk Kissy. Mana dia?" mata Tini melilau di sekitar ruang tamu rumah teres 4 bilik itu.

"Ikut abang Zakri ambik kawan dia kat airport. Baru je keluar tadi. Tak jumpa kat simpang tu." jawab Tina.

"Tak de pulak. Saya kalau drive mana tengok kiri kanan kak! Main redah je..." sampuk Tini ketawa.

"Ya lah tu. Sebab tu sampai sekarang kau masih solo. Tak tengok mana-mana lelaki yang berkenan. Asyik kerja! kerja! kerja!" bebel Tina pada adiknya itu.

"Apa lagi nak buat. Tak de orang nak kat Tini."

"Bukan tak ada, Tini yang menolak mentah-mentah mereka semua kan..." Tina masih bersoal jawab dengan Tini.

Tini malas hendak menyambung perbualan tersebut dan terus masuk ke bilik tetamu untuk membasahkan diri sebelum Maghrib beransur tiba. Setelah usai solat dan berehat seketika, Tini keluar menuju ke dapur untuk membantu Tina menyediakan hidangan malam.

"Wow! What a surprise. Siapa nak makan lauk pauk banyak macam ni..." terjah Tini menyebabkan Tina terkejut.

"Kau ni kan...terkejut akak! Dah lah cepat. Tolong angkat nasi kat dapur tu. Kawan abang Zakry nak tumpang tidur kat sini. Tu yang ambik kat airport. Sekejap lagi sampai la dia orang." jawab Tina lancar.

Tentu kawan abang zakri lelaki, takkan dia nak ajak kawan perempuannya tumpang tidur kat sini. Tini berilusi sendiri.

***********

Kedatangan yang tidak diundang. Pertemuan demi pertemuan yang tidak dirancang. Apakah yang ingin Allah tunjukkan kepadaku? Apakah hikmah dan rahmat yang tersembunyi. Aku tidak tahu. Sehingga kau lorongkan kaki lelaki itu ke jalanku. Ya Allah... Tini terkesima. Terkedu tidak terkata-kata apabila kawan lelaki abang iparnya adalah Hairi. Peristiwa berbulan lepas terpancar diruang minda, lelaki yang tidak dikenali, yang telah dipijak kakinya oleh Tini.

"Jadi, Tinilah orang yang kau ceritakan pada aku tu Ri.." abang Zakri pecah tawanya bila mengetahui kami telah berkenalan terlebih awal.

Hairi dengan penuh hemah mengangguk. Merenungi Tini yang duduk tidak jauh darinya. Dan memang dia sengaja berbuat begitu. Setelah berbulan hatinya rawan mencari-cari si gadis. Rupa-rupanya dia adalah adik ipar kawan baiknya sendiri. Biar Tini gelisah dengan renungan matanya, biar gementar tutur katanya, tetapi untuk menolak dari memandang gadis itu jauh sekali. Pertemuan ini meleraikan rindu, walau nanti dia tahu keputusannya. Walau ditolak rindu ini jauh ke gaung benci, dia tetap akan merindu.

Berbual-bual dengan Hairi di halaman rumah, berbasa-basi menghabiskan waktu malam sebelum mengantuk mengundang, menyebabkan perasaan gemuruh dan seribu lagi perasaan yang bercampur baur menghuni diri Tini.

"I believe that I had been fallen to you...Tini. I can't say much, but my heart always bergetar bila teringatkan you..." orang dewasa selayaknya berterus terang.

Tini tersenyum kelat dalam gelap. Hanya lampu jalan yang menerangi persekitaran mereka. Kakak dan abang iparnya masih menonton tv di dalam dan membiarkan pintu terbuka.

"Berbulan I cari you, at last... Allah temukan dengan you kat sini. You sebenarnya dekat tetapi keadaan yang menjarakkan kita. Do you feel the same?" Hairi bertanya untuk kesekian kalinya.

Tini hanya mengangguk. Tiada respon dari ulas bibir nipisnya.

"Esok I dah nak balik. Can you give me an answer now, tonight..."

Tini bungkam. Tak tahu apa yang hendak diperkatakan.

"Hari tu masa jumpa kat taska, apa you buat kat situ..." Tini mengalih topik perbualan mengimbas pertemuan berbulan lepas.

Hairi diam. Lambat memberikan jawapan. Satu keluhan berat dilepaskan. Bersedia untuk bercerita, meluah rasa.

"Sebenarnya I ambil barang-barang tunang I. I mean... dia dah tak ada. Meninggal dalam kemalangan kereta. Dia bekas part time teacher kat situ." Hairi bercerita dengan suaranya yang amat perlahan dan seakan berbisik.

Hairi menyerahkan telefon bimbitnya dan menekan punat 'on' kepada Tini. Di atas skrin terpampang seraut wajah yang amat serupa dengan dirinya. Bila masa dia ambil gambar aku? Gambar aku ke ni? desis Tini kebingungan.

"Itulah gambar arwah, dan you mengingatkan I pada dia...semuanya hampir sempurna sama seperti you, Tini."

Tini menyerahkan telefon itu balik kepada Hairi. Hatinya yang bergetar tadi semakin laju getarannya dek apa yang didengar dari mulut Hairi. Cinta kerana pelanduk dua serupa! Cinta itu datang kerana ada alasan...

"I bukan dia. I tidak boleh jadi dia. I tak mahu you suka I kerana dia. Ini semua mengarut! Kenapa you tak simpan je cerita you tu supaya I tak sakit hati and... I can honestly loving you from the deep of my heart. Now...I have to think back. To hold back my feeling...Sorry!"

Tini terus masuk ke dalam dan menuju ke biliknya. Hairi hanya mengekori dengan langkah yang longlai. Tersilapkah dia kerana berterus terang.

*********

Memang payah melawan hati yang telah jatuh cinta. Biar hebat lakonan dipamerkan, tetapi untuk menidakkan gerak hati dan perasaan paling dalam adalah perkara paling sukar untuk direalitikan. Beginikah sengsaranya berkasih. Hati telah mulai suka, kau khabarkan pula yang aku ini pengganti! Apakah begitu rendah nilai seorang aku yang bernama Tini? Dalam gelap Tini bermonolog dengan diri.

"Beri I peluang, Tini. You bukan gantian tunang I yang dah pergi. I betul-betul jatuh cinta kat you masa pertama kali bertemu. Jangan tanya kenapa terlalu cepat I lupakan arwah, tetapi pecayalah. Rasa ini datang kerana Allah... I bukan main-main. I nak kahwin dengan you." pinta Hairi setelah empat hari kejadian malam itu berlalu.

Selepas balik dari rumah abangnya hari itu, Hairi meneruskan perjalanan ke kampungnya di Bukit Batu, Kulai. Perjalanan dari Skudai ke sana mengambil masa lebih kurang 30 minit. Ketika itu sekali lagi Hairi bertegas untuk memohon pengertian dari Tini. Benar kata kakaknya Tina, Tini tidak pandai menjaga hati orang lain dan ketika itu dibiarkan Hairi pulang tanpa jawapan.

Sebulan berlalu. Tini membelokkan kereta ke blok premisnya di Jalau Enau. South views Holiday tersergam menanti kedatangan pelanggan. Sebagai Pengurus Pemasaran dan Pentadbiran di situ, Tini selalu memastikan perkhidmatan syarikat mereka memuaskan semua pihak.

Tini mencapai beg tangannya di tempat duduk belakang lalu memusing badan untuk keluar dari perut kereta. Tiba-tiba ada sesuatu terjatuh di hujung kakinya.

Sepasang saputangan biru berserta catatan nombor telefon di atasnya! Hairi... serta merta ingatannya berlari ke figura pemuda itu. Lelaki yang kerap bertandang di alam mimpinya dek penangan rindu. Dalam benci, aku merindu. Tetapi, kau tidak tahu. Ah! Hairi... Tini mengeluh lalu melangkah longlai memasuki pejabatnya.

"Cik Tini, ada bungkusan untuk you..." panggil penyambut tetamu yang cantik manis itu.

"Dari siapa?" pertanyaan ringkas dari Tini.

"Tak tahu." jawabnya juga ringkas.

Tini mengambil bungkusan tersebut dan terus melangkah ke dalam biliknya. Dia meletakkan beg tangannya di bucu meja. Bungkusan yang diterima di buka pelahan-lahan dan berhati-hati.Di dalamnya sebuah buku. Tini sudah duduk dikerusinya dan membelek-belek buku tersebut. Sekeping kad terselit di dalamnya.
Perindu setia: Hairi. Matanya tertumpu di penjuru bawah kad comel tersebut. Isi kandungannya belum dibaca. Hatinya berdebar-debar.

"Cik Tini, maafkan I kalau menulis kad pun salah. Maafkan I juga kalau menghantar buku membuatkan hati you gundah. Tetapi bacalah... you akan faham kenapa I tidak boleh menolak perasaan yang hadir ini. Buku ini adalah luahan hati dan jiwa I untuk you yang I hormatkan. Perindu Setia: Hairi Sulaiman."


Tini meletakkan buku yang bertaip itu di atas meja. Tini memandang tajuk buku itu, "KAU BUKAN DIA". Siapa gerangan Hairi Sulaiman ini? Penuliskah? Siap ada buku lagi. Tetapi, tak pernah pulak nampak buku ni di kedai... Atau, dia mengupah rakannya untuk mengaburi mataku; gumam Tini masih berat untuk meneroka isi buku tersebut. Lalu, terbiarlah buku tersebut di sudut meja.

************

Setelah usai solat Isyak Tini mengambil buku "KAU BUKAN DIA" dari dalam tas tangannya dan mula mahu meneroka kandungan buku yang sederhana tebal itu. Sejak pagi apabila menerima buku tersebut, hatinya asyik tertanya-tertanya.

"Cahaya mata mu yang tulus, tidak kau inginkan berlebih-lebihan, tetapi mengamalkan kesederhanaan. Kau wanita pilihan, aura bijaksana mewarnai langkahmu, gadis. Aku terkesima di penjuru sini. Ketika waktu-waktu sedih ini, Kau gambarkan yang menarik untuk ku dekati, Ya Illahi. Ini petanda, jodoh ku kau aturkan seindah rupa dan budi, maka siapalah aku untuk menolak seruMu. Dengan lafaz Ya Rahman Ya Rahim, aku meminta hatimu, Tini.. untuk kesekian kalinya."

Antara kandungan buku tersebut yang masih diingati oleh Tini. Sebuah buku pengabadian perasaan dari seorang lelaki yang berani membuang egonya! Tini berfikiran bahawa Hairi bukan menulis mengenai hakikat cinta manusiawi semata-mata tetapi lebih daripada itu. Cinta mencintai kerana Tuhan.

Semakin dalam perasaan rindu yang bercambah terhadap pemuda itu. Cinta bukan tuntutan nafsu tetapi bak kata Hairi, seru jodohnya denganku: getus Tini sendirian.

Tini menghantar SMS kepada Hairi mengucapkan terimakasih di atas pemberian tersebut, mengkhabarkan bahawa dia telah habis membaca buku dan sedang memikirkan lamaran pemuda itu.

"Terima kasih kerana akhirnya you sudi sms I setelah sekian lama I saja yang berlebih-lebih...tak mengapa kalau you belum ada jawapan. Tetapi kalau boleh jangan sampai bulan Ogos. I takut tak sempat."

Tini membaca sms Hairi. Takut tak sempat. Bulan Ogos! Kenapa pulak. Berlegar-legar persoalan itu dibenak Tini. Tini menjeling kalendar di penjuru meja soleknya. Sekarang bulan Mei, ada tiga bulan lagi sebelum Ogos menjelma.

"Kenapa. Apa yang tak sempat?" tanya Tini pula.

"Tak mengapa. Lain kali I cerita. Boleh bagi jawapan segera tak. Please..." balas sms dari Hairi.

"Tak malu! Mana boleh paksa-paksa." balas sms Tini.

"I tak kisah. I lelaki dewasa. I must gentleman. Whether the answer is yes or maybe not..."

Sedih pula Tini membaca sms terakhir dari Hairi itu. Namun disebalik itu, satu perasaan bahagia menyelinap disegenap ruang hati Tini. Sukar dilukis dengan kata-kata.

Tini tidak perasan ketika dia dan Hairi leka bersms, jam merangkak ke angka 12.15 tengah malam. Patutlah mata terasa berat benar. Tini bergegas ke bilik air dan mengambil wuduk. Dia ingin bersolat Istikharah. Memohon petunjuk kepada Allah tentang lamaran Hairi.

**********

"Alhamdulillah... selesai sudah majlis kita. Penat lelah berminggu-minggu akhirnya berbaloi. Lepas ni, yang berselerak sana sini suruh pengantin baru kemaskan. Ingat raja sehari tak boleh kerja ke..." usik abang zakry kepada kedua mempelai.

Tini membuntangkan mata mendengar usikan abang iparnya. Hairi di sebelah hanya tersengih. Kissy masih bermain-main dengan anak-anak jirannya di laman rumah. Kanak-kanak adalah orang paling gembira apabila tiba musim majlis perkahwinan sebegini.

"Abang Zakry, bukan kita orang tak boleh tolong. Kan lusa dah nak berangkat ke UK. Banyak yang belum disiapkan. Mana nak update message untuk staff kat ofis lagi, nak ambik passport..."luah Tini memohon simpati.

"Siapa suruh lambat sangat buat decision! Orang dah ajak kahwin tu, setuju aje lah. Ini tidak! Main tarik tali pulak..." jawab kakak Tinanya selamba.

"Orang ini lah tak bagi tau yang dia nak ke UK bulan Ogos. Padan muka dia!" juih bibir Tini ke arah Hairi disebelahnya.

"Tak apa. Yang penting sekarang semua dah selesai. Tini pun dah jadi milik saya." Hairi tersenyum lagi. Gembira bukan kepalang hatinya apabila telah berjaya memiliki Tini.

"Ni kira PHD plus honeymoon la.. pakej lengkap." usik Zakry masih tidak mengalah.

"Ala bang... kalau tak pergi sekarang, lain kali chance untuk saya dah habis. Susah nak naik nanti. Lecturer dah ramai sekarang ni. Nasib baik universiti masih bertolak ansur. Sebenarnya last chance saya masa terjumpa Tini kat taska dulu. Tapi saya buat rayuan minta tangguh. Hah! Sekarang kan dapat dua-dua sekali...ha... ha...ha..." Hairi ketawa besar ketika menghabiskan ayatnya.

Tini tersenyum di luar dan di hati. Ternyata Hairi memilihnya bukan kerana pengganti kepada arwah tunang yang telah pergi, tetapi kerana seru jodohnya yang ditentukan oleh Allah. Sekian lama dibiarkan, tidak diendahkan, disakiti hatinya tetapi... Hairi lelaki teguh percaya pada Qada dan Qadar Tuhan. Tini amat bersyukur kerana memang jelas Tini bukan gadis pengganti tetapi wanita terakhir yang beraja di hati.

Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.