Header Ads

NOVEL: SURATAN 11

Advertisement

Seawal pagi Soraya sudah di panggil ke bilik Encik Ahmadi. Sudahlah dia terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas pagi Isnin, terpaksa pula menghadap bos yang sentimental itu pula. Alamat tak ada semangat kerja hari itu; rungut Soraya di dalam hati. Apa pula kehendak si bujang telajak itu kali ini agaknya? Apakah mengajak Soraya untuk menemaninya untuk bertemu pelanggan, atau memaksanya menemani membeli barang rumah? Ya lah…duduk bujang, sana sini nak minta pendapat atau pandangan. Lainlah kalau aku ini bakal isteri dia. Eee…minta dijauhkan. Bayar ratusan ribu pun aku tak tergamak! Soraya tersengih-sengih sambil tanpa sedar tangannya telah memulas tombol pintu bilik Encik Ahmadi.

“Encik panggil saya?”

Sempat pula Soraya mengikat rambutnya ala kadar agar lebih selesa. Tertegun sejenak si bujang telajak itu dengan penampilan Soraya.

“Encik Ahmadi! Apa hal? Saya ada benda lain nak kena buat ni.” Soraya bertegas. Tidak ada masa melayan perkara remeh temeh di pagi hari begitu.

“Hari ini I ada urusan di Maybank. You temankan I. Semalam credit officer ada call I. Permohonan kita untuk membuat overdraf berjumlah dua ratus ribu itu telah diluluskan. Jadi, kena siapkan dokumen-dokumen atau fail penting syarikat. Manalah tahu benda-benda tersebut diperlukan. You siapkan apa yang patut, nak pergi nanti I intercom…” Encik Ahmadi memberi arahan ambil tersenyum mesra.
Soraya berpura-pura ikhlas membalas senyuman bos yang boleh tahan miangnya itu. Di dalam hati TUHAN saja yang tahu.

“Tapi bos…sekarang kan hujung bulan. Saya nak kena semak kerja akaun yang dibuat oleh Kameliah. Senarai gaji pekerja belum dimasukkan ke dalam komputer. Dia baru buat drafnya saja. Nak kira overtime pekerja lagi…”

“Itu semua you tak payah risau. I dah minta Amin dan Wahab tolong dia. KWSP dan SOCSO Aziz boleh settlekan. Dia boleh hantar sekejap ke sana.” Balas Encik Ahmadi dengan tegas dan yakin sekali.

Selesai bersoal jawab dan mengumpul alasan demi alasan, akhirnya Soraya terpaksa juga menemani si bujang telajak itu. Kalau ikutkan hati, Soraya paling tidak suka pergi ke badan kewangan itu. Dia tidak tahu mengapa.

Keadaan di bank sangat sibuk hari itu. Kelihatan ramai pelanggan duduk menunggu nombor mereka dipanggil hinggakan ada yang terpaksa berdiri kerana ruang duduk yang tidak mencukupi. Di pintu masuk ada seorang pak guard yang sudah agak berumur sedang berkawal. Seorang lagi berkawal di pintu masuk di bahagian dalam sambil bersedia dengan senapang.

Soraya dan bosnya naik ke tingkat satu. Penampilan Soraya cukup menawan hari itu dengan kebaya moden warna biru laut disulami rantai mutiara sebagai perhiasan. Kasut berjenama menghiasi kakinya yang putih melepak. Seorang wanita berambut separas bahu mempersilakan mereka duduk di sofa baldu berwarna kelabu. Bahagian Kredit nampak tidak tersusun sedikit dengan fail bersepah dan bertimbun di beberapa bahagian meja. Bagi Soraya keadaan sebegitu tidak mendatangkan keselesaan dan keceriaan untuk bekerja. Baginya persekitaran kerja kita juga mempengaruhi ‘mood’ kita sehari-hari.

Sambil menunggu pegawai kredit yang tidak muncul-muncul, Soraya menyelak akhbar harian The Star yang terletak di atas meja kecil di hadapannya. Soraya menjeling sekilas. Beberapa orang kakitangan sedang sibuk menghadap komputer. Tidak dapat dipastikan samada mereka betul-betul serius bekerja atau sedang melayari laman sosial Facebook. Di satu sudut ada dua orang kakitangan lelaki sedang berborak-borak sambil yang berkepala botak sesekali melemparkan renungan tajam ke arahnya. Menyedari keadaan itu, Soraya pura-pura tekun membaca akhbar di tangan.

Ahmadi sedang bersenang-senang menggoyangkan kakinya. Soraya faham, bosnya itu juga sudah bosan menunggu. Penantian itu satu penyeksaan!

Tidak berapa lama kemudian mereka dipanggil oleh seorang wanita untuk berjumpa dengan pegawai kredit itu di dalam biliknya. Dia seorang pemuda yang kemas bergaya, bercermin mata dan bertali leher yang berpadanan dengan warna seluarnya. Kad pekerja tergantung di bahagian hadapan kocek kemeja lengan panjangnya. Syed Hafiz…oh! Keturunan Syed lah ni..gumam Soraya sendirian. Patutlah kulitnya putih merah. Yang pasti hidungnya memang mancung. Puas juga Soraya membuat penulaian terhadap tuan syed tersebut kerana kedatangannya ke situ bukan atas urusan bisnes tetapi sebagai peneman bosnya si bujang telajak itu. Apa salahnya dia menilai teruna di hadapannya itu. Sesekali dia membalas senyuman pegawai kredit. Sekali dua juga mereka bertentangan mata.

“Bila boleh guna facility ni, tuan Syed?”

“Lepas ini dah boleh.”

“Kalau begitu terima kasih…jumpa lagi lain kali.”

“Ada business kad tak Encik Ahmadi…emm…maksud saya jika ada apa-apa yang perlu ditambah, kami akan contact Encik Ahmadi.”

“Oh ya! Lupa pulak.”

Encik Ahmadi mula membuka dompetnya tetapi malang kadnya telah kehabisan. “Maaf, saya tertinggal kad di ofis. You ada bawa your business kad tak, Soraya?”

Dasar bos yang pelupa, kad sekecil itu pun tak ingat. Aku juga yang kena…hish! Dah nasib badan…

“Terima kasih. Mungkin lain kali kita boleh berurusan lagi.”

Mereka bertiga saling berjabat tangan. Dengan dada lapang Soraya dan Encik Ahmadi menuju ke pintu dan menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah. Sambil berjalan mereka berbual mesra dan sesekali tawa Soraya pecah dengan gurauan ala kadar dari bosnya itu. Ketawa untuk jaga hati…begitu Soraya selalu berfikir positif terhadap bosnya itu.

Dalam masa yang sama Haizan yang baru hendak keluar makan tengahari bersama rakan-rakannya, ternampak kelibat Soraya. Dia cuba mengejar setelah pasti gadis itu adalah Nina Soraya tetapi hampa kerana gadis itu telah hilang di bawa Mercedes hitam bercermin gelap.

“Kenapa dengan kau ni, Zeem. Kelam kabut semacam aje. Apa kau kejar tadi?” tegur Azman yang mengiringinya.

“Aku nampak kawan lama akulah, tapi tak sempat nak tegur.”

“Kawan lama atau kekasih lama?” sindir Soffian.

“Ada-ada je korang ni.”tempelek Haizan menafikan walau jauh di sudut hati mengiyakan kenyataan tersebut.

Semenjak kejadian tersebut Haizan cuba merisik-risik daripada stafnya samada mereka ada pelanggan yang bernama Nina Soraya. Namun semua cariannya menemui jalan buntu. Akhirnya pencarian itu ternoktah begitu sahaja. Kesibukan dengan dunia kerjayanya menyebabkan dia hampir terlupa dengan apa yang dicari selama empat tahun ini.

Memang rindu dan cintanya tersimpan untuk Nina Soraya walau gadis-gadis cantik dan mungil menggoda saban waktu. Gambar kenangan di zaman persekolahan di belek agak lama. Nina Soraya! Tahukah gadis itu walau dirinya berada di bumi Australia, namanya sentiasa terukir di sudut hati yang paling dalam. Pulang enam bulan sekali memang agak sukar menjejak di mana gerangan Nina Soraya berada. Teman-teman lama entah dimana. Paling tidak sekali dia terserempak dengan musuh lamanya, siapa lagi kalau bukan Hishamuddin. Bekas ketua pengawas yang syok sendiri dengan Nina Soraya. Mengikut kata Hishamuddin, Nina Soraya sedang melanjutkan pelajaran di UITM. Namun dia tidak bertanya lanjut kerana rasa cemburu masih bertunas di sudut hati. Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila ibunya menyapa mesra.

“Wah!! Jauh termenung…”

“Tak ada lah.”

“Tak pasal-pasal tenung gambar lama. Teringat budak Nina tu ke?” ibunya tersenyum mengusik.

“Mak masih ingat nama dia? Tak sangka.”

“Budaknya baik, ada bahasa, cantik pulak tu…sesiapa pun akan ingat, Zeem.” Luah emaknya sambil berlalu ke dapur setelah meletakkan sepiring jemput-jemput bawang di hadapan anak bujangnya.

Haizan menjamahnya penuh selera.

NINA SORAYA memandu Satrianya ke pusat bandar. Dia memang gemar keluar awal pagi pada hari minggu begitu bagi mengelakkan kesesakan. Dia merancang mahu mencari buku atau novel terbaru di pasaran yang boleh dijadikan bahan untuk mengisi minatnya itu. Dia melalui hadapan Kotaraya tetapi kawasan itu kelihatan agak sesak. Mungkin ada acara promosi jelajah yang biasa dilakukan oleh stesen radio di Malaysia untuk mendekati pendengar. Jam dipergelangan tangan menunjukkan pukul sebelas setengah. Tadi sebelum keluar rumah, Nazirul memesan untuk dibelikan ayam goreng KFC. Emaknya pula mengingatkan Soraya pasal benang kaitnya yang tinggal sedikit. Akhirnya dia berpatah balik menyusuri Jalan Larkin untuk ke Plaza Angsana. Kalau dari awal dia mengatur perjalanannya, tentu dia sekarang sudah sampai di rumah. Kompleks membeli belah Plaza Angsana sekadar 10 minit pemanduan dari rumahnya. Inilah sengaja cari nahas namanya! Gumam Soraya di dalam perut kereta yang sudah di parkir.

Soraya terus menuju ke kedai buku. Dia membelek-belek majalah fesyen dan hiburan yang bersusun di rak. Matanya tertumpu pada muka surat yang memaparkan model memakai tudung gaya muslimah yang kelihatan anggun. Dia tersenyum sendiri. Entah bila gilirannya untuk mengenakan penutup kepala. Emaknya juga selalu bising-bising tetapi Nina Soraya hanya tersenyum. Lagipun dia belum bersedia. Biarlah segalanya bermula dengan niat yang ikhlas.

“Mama! Mama! Nak buku ini.”

“Buku itu kan dah ada kat rumah. Belum habis ‘color’ lagi, kan…carilah buku lain.” Jawab si ibu dengan berhemah.

“Nak juga! Nak juga!”

“Sayang…tadi janji apa dengan mama? Sekarang dah buat hal. Lain kali tak boleh ikut mama lagi.”

Budak lelaki itu masih juga berkeras mahukan buku mewarna di atas rak di hadapannya. Tidak dapat juga apa yang dihajatkan, budak lelaki itu menjatuhkan badannya di atas simen pula. Meronta-ronta dengan suara terjerit-jerit.

Soraya berasa belas. Dia bercadang mahu cuba memujuk budak lelaki itu tetapi tidak sempat kerana telah berlanggar dengan seseorang.

“Maafkan saya.” Soraya mengucapkan maaf sambil ingin beredar ke rak yang lain. Dia tidak jadi mahu memujuk budak lelaki yang masih meronta-ronta itu.

“Eh! Kau…”

“Akulah…Nina.”

“Tak sangka jumpa kau kat sini. Kau buat apa ni.”

“Apa lagi? Cari buku.”

“Anak aku…” wanita bertudung hitam itu menunjukkan budak kecil yang sedang tergolek-golek di atas simen. Dengan penuh kasih sayang dia memeluk budak lelaki itu lalu memujuk dengan kata yang lemah lembut.

“Ohh! Comelnya…”

“Tak sangka boleh terjumpa kau kat sini.” Sinar mata wanita itu bercahaya. Cahaya kegembiraan.

“Ha’ah. Aku pun macam tak percaya. Eh! Kau free tak? Jom kita lepak kejap kat Mc Donald.” Soraya mempelawa wanita itu bagi memanjangkan perbualan mereka.

“Sekejap. Aku minta staff aku jaga kaunter…”

“Ini kedai buku kau, Famiza?” Soraya terjerit kecil.

Wanita yang dipanggil Famiza itu mengangguk kecil sambil mengendong anaknya. Mereka menuju ke Mc Donald sambil tak henti-henti berbual.

Sebaik punggung mencecah kerusi, Soraya lantas menyoal tanpa menunggu lama.

“Bila kau kahwin? Tak jemput aku pun. Siapa suami kau? Agak-agaknya aku kenal tak? Kawan sekolah kita dulu ke?” bersusun-susun soalan terpancul keluar dari mulut Soraya. Hatinya gembira bukan kepalang kerana dapat bertemu semula dengan ‘geng kamcing’nya sewaktu di sekolah dulu.

Tiada satupun soalan yang diajukan oleh Soraya dijawab oleh Famiza. Dia hanya melemparkan senyuman kecil sambil tangannya tidak berhenti memegang si kecil yang mahu melepaskan diri.

“Kau ni nak berahsia sangat. Tapi bila tengok anak kau, rasanya aku boleh teka siapa ayahnya.” Soraya sengaja membuatkan hati Famiza ikut meneka-neka.

“Siapa??” Famiza menyoal balik.

“Rahsia di hati kekal abadi.”

“Kau ni! Kalau tak tahu mengaku ajelah, tak payah nak berfalsafah.” Famiza mencebik tetapi seterusnya diikuti dengan tawa kecil.

“Satu hari nanti…”

Jawapan Soraya akhirnya menamatkan perbualan mereka setakat itu sahaja. Soraya yakin benar dengan firasatnya bahawa siapa suami Famiza. Jarang tekaannya meleset. Tetapi, bagaimana semuanya bermula? Mengapa mesti berahsia dengannya?
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.