Novel: Kerana Kamu 11

loading...
Baharom menyambut kepulangan Rara dengan perasaan yang amat gembira. Kalau boleh, selepas ini dia tidak mahu Rara berpisah jauh darinya. Kalau Rara mahu melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang tertinggi sekali lagi, dia akan menggalakkan Rara melakukannya di dalam negara sahaja. Di negara kita ini ada banyak universiti yang berprestij setanding dengan luar negara. Ummu Khalidah pun sama. Berita gembira itu disampaikan terus kepada anaknya Didi dan kawan karib mereka, Kiki. Walaupun ada sesuatu yang disembunyikan dari Rara, tetapi Ummu Khalidah percaya bahawa dia tidak boleh campurtangan masalah di dalam ‘budak-budak’.

“Mak Cik…rindunya!! Mak Cik sihat, kan?”

Ummu Khalidah juga gembira dan terharu sehingga menitiskan air mata. Dia menyambut tubuh Rara dengan rasa yang terharu. Tangannya mengelus lembut belakang Rara. Dia melepaskan kerinduan bertahun terhadap gadis itu. Usai drama sedih itu, mereka berjalan masuk ke dalam rumah.

“Wow!! Rumah ni makin cantik, abah. Siapa buat semua ni? Impressive betul Rara…”

“Siapa lagi kalau bukan Kiki.”

Rara rasa serba salah. Sebenarnya dari tadi dia ingin bertanyakan tentang Kiki. Juga tentang Didi. Tetapi dimanakah mereka berdua? Bukankah mereka juga sepertinya, telah tamat pengajian masing-masing. Tidakkah Didi teringin bertemu dengan dirinya, sebagaimana dia amat rindukan Didi saat itu. Rara ingin membuka mulut tetapi lidahnya kelu tidak semena-mena.

“Rara rehatlah dulu. Barang-barang Rara nanti abah angkat ke bilik.” Baharom memecahkan kesunyian yang bertandang.

“Okeylah bah, Rara pun nak berehat ni.”

Rara angkat kaki masuk ke biliknya. Sebelum itu sempat juga dia menjengah ke dapur. Haruman nasi lemak kukus menghambat deria rasanya daripada masuk ke bilik. Dia ingin melepaskan kerinduannya pada makanan kesukaan rakyat Malaysia itu. Biarpun orang kata nasi lemak menyumbang kepada peningkatan tahap obesiti di negara ini, Rara tidak peduli. Sesekali melepaskan geram, apa salahnya.

“Kata nak berehat?” entah bila Baharom muncul di sisi Rara menyebabkan Rara tersedak ketika sedang enak menjamu tekak.

“Tak tahan abah. Baunya….begitu menyelerakan. Kat sana tak dapat yang asli macam ni.”

Baharom menarik kerusi lalu duduk di sebelah Rara. “Sedap sangat ke? Abah tengok bukan main Rara makan, lahap betul.”

“Ala! Depan abah tak apa. Bukannya depan boyfriend pun.” Rara ketawa manja.

“Wah…dah ada boyfriend tak bagitahu abah pun. Rara dapat boyfriend mat saleh kat sana ke? Handsome tak?”

Rara tersenyum meleret. “Handsome bah…sampai tak boleh kelip mata dibuatnya. Tapi…”

“Tapi apa?” teruja benar Baharom mendengar cerita dari Rara.

“Bukan mat saleh. Tapi mat soleh…he….he…” Rara gembira dapat mengenakan Baharom.

“Kamu ni…”

“Habis abah tu…tanya pasal boyfriend pulak time macam ni. Tak ada mood lah bah…” suara Rara mengendur.

Baharom rasa bersalah pula kerana menyentuh hal berkaitan teman lelaki kepada Rara. Padahal dia tahu hubungan Rara dengan Didi sudah semakin dingin. Dia tahu benar apa yang sedang terjadi antara Didi dan anak angkatnya, Kiki. Setiap hari bersama, ke kuliah, menonton wayang, atau pergi menemani Kiki ke pusat membeli belah, manusia waras mana yang tidak akan menjadi rapat dan mesra. Apatah ia membabitkan dua jantina yang berlainan. Baharom arif pasal itu. Tetapi sampai hatikah dia mengkhabarkan semuanya kepada anak kesayangan yang bernama Rara itu?

“Abah tak nak makan sama? Sedap Mak Cik Khalidah masak. Dah lama tak rasa nasi lemak sesedap ini. Jomlah abah, makan dengan Rara. Mak Cik pun lepas jumpa Rara terus balik. Tak nak tunggu atau borak-borak dengan Rara dulu. Macam ada hal penting aje…”

“Adalah tu…” Baharom cuba mengelak dari membicarakan mengenai perubahan sikap Khalidah di hadapan Rara.

Rara pun perasan perubahan sikap Baharom terhadapnya sebentar tadi. Dia mahu bertanya tetapi tidak jadi. Mungkin Baharom ada menyembunyikan sesuatu. Mungkin Baharom takut Rara berkecil hati. Tetapi detik di hati Rara kuat mengatakan, ini semua pasti ada sangkut paut dengan dirinya dan Didi. Tetapi kerana sudah terlalu penat, usai menjamah nasi lemak dari air tangan Mak Cik Khalidah, Rara terus merebahkan dirinya di atas katil.

Banyak yang sudah berubah. Keadaan bilik tidurnya kelihatan lebih tersusun dan dihias indah. Mungkin Mak Cik Khalidah yang tolong hiaskan bilik itu sempena kepulangan Rara. Cadar merah jambu kain cotton nampak ekslusif menutupi tilam empuknya yang bersaiz Queen. Di sebelah meja soleknya pula ada sebuah ‘vase’ sederhana besar yang muat-muat dengan segenggam bunga orkid segar berwarna warni. Hati mudanya menjadi sebak tiba-tiba. Walau sesiapa pun yang menghias bilik kecilnya itu, dalam hati Rara mengucapkan ribuan terima kasih.

Tiba-tiba matanya tertancap pada sekeping kad di bucu meja solek. Dia menelek kad itu dengan longlai, apatah tubuhnya sudah sangat lesu dek perjalanan panjang dari bumi UK ke Malaysia.

‘Untuk si gadis comel bernama Rara’

‘Selamat kembali ke rumah. Kami menunggu kepulangan Rara. Segala kerja menghias bilik ini adalah idea kami berdua. Bunga itu adalah dari Didi untuk insan tersayang. Potret di dinding adalah hadiah dari Kiki. Semoga Rara suka dengan semua kejutan ini. Sayang, Didi & Kiki.’

Bersama-sama kad tersebut turut dilampirkan gambar Didi dan Kiki. Tangan Rara terketar-ketar ketika memegang gambar tersebut. Foto mesra itu begitu menyesakkan dadanya. Foto Didi dan Kiki berpelukan mesra! Inikah jawapan kepada persoalan mengapa sejak kebelakangan ini Didi begitu dingin dengannya? Mungkinkah kerana ini Mak Cik Khalidah terus balik tanpa mahu berbual lama-lama dengannya? Mungkinkah abah juga menyimpan rahsia yang serupa? Dia mesti mencari kebenaran di sebalik semua itu!!

***

Rara berulang kali menghubungi telefon bimbit Adam Bahrain tetapi panggilannya masuk ke peti suara. Entah berapa banyak panggilan yang dia buat hinggakan kerana terlalu letih dia tertidur. Rara tidur dengan mata yang basah. Rara tertidur setelah penat menangis.

Pada keesokan pagi sebaik bangun tidur Rara melihat telefon bimbitnya. Terdapat berbelas panggilan tidak berjawab. Semuanya daripada Adam Bahrain. Mungkin lelaki itu menelefon ketika dia sedang pulas tidur kerana kepenatan. Apakah Adam risaukannya? Apakah Adam ambil berat terhadap dirinya sedangkan Didi yang ada di depan mata entah ke mana hilangnya. Tiada satu pun panggilan telefon yang masuk singgah di telefonnya daripada Didi. Apakah Didi terlalu sibuk dengan pekerjaan barunya atau Didi sengaja melarikan diri? Fikirannya buntu memikirkan semua itu.

Sebaik Rara keluar dari bilik air, telefonnya berdering-dering. Dia bergegas menekan punat hijau takut terputus pula panggilan kali ini jika terlalu lambat mengangkatnya.

“Kau okey tak?”
“Aku risau bila dengar suara kau dalam telefon semalam.”
“Maaf sebab aku tak perasan ada miss call sebab aku berada di tempat yang tak boleh akses telefon. Tempat larangan.”
“Aku risaukan kau, Rara.”

Tiba-tiba Adam berhenti bercakap. Bukannya dia jadi hilang idea atau tiada apa-apa untuk diperkatakan. Dia gagal mengawal emosi sendiri bila yang menyambut panggilannya adalah tangisan Rara di hujung sana.

“Rara!”
“Rara!”
“Do you hear me?”
“Apa dah jadi pada kau ni? Sebelum balik Malaysia kau okey aje hari itu.”

Dengan nada teresak-esak, Rara membalas juga pertanyaan dari Adam itu. “Dia tak datang jumpa aku pun. Aku tunggu dari semalam, dia pun tak call. Kenapa dia buat aku macam ini, Adam?”

“Kau tak cuba telefon dia?”

“Ada. Tapi dia tak angkat. Dia dengan perempuan tu…”

Rara tidak sanggup meneruskan. Hatinya bagai dirobek seribu. Dia mahu menolak mentah-mentah segala tanggapan terhadap Didi. Jika Didi masih sayangkannya, pasti lelaki merangkap rakan karibnya itu akan datang semula. Jika antara mereka ada chemistry, jodoh akan datang kemudian. Itu dia pasti.

“Kenapa dengan perempuan itu?”

“Tak ada apa-apa.” Rara menoktahkan bicara tentang Didi.

“Kau nak aku datang sana tak? Kalau nak aku boleh balik esok.”

“No! No! Aku tak nak menyusahkan kau, Adam.”

“Sure kau tak perlukan aku kat sisi kau saat ni?” suara Adam mengandungi nada merajuk.

“Sure!! I can handle myself, Adam.”

“Aku tak yakin dengan kau, Rara. Aku rasa sekarang ni pun kau tengah hujan sampai banjir, kan.”

“Kau ni! Aku tengah susah hati kau boleh kutuk-kutuk pulak!”

“Bukan kutuklah. Aku nak bagi kau ceria sikit.”

“Banyaklah ceria kau!”

Di hujung talian Adam ketawa besar mendengar suara rajuk Rara. Cukup dengan mendengar suara gadis itu, itu sudah membuatnya lega. Paling penting, gadis itu membawa keceriaan ke dalam hidupnya.

“Adam Bahrain…”

“Ya…”

“Kau rasa aku ada chance lagi ke dengan dia? Dia akan balik kepada aku tak?”

“Aku tak tahu. Kau cubalah sedaya upaya kau. Aku hanya mampu sokong kau dari belakang. Kalau kau ada apa-apa masalah, cari aje aku. I’ll always be there for you.”

“Kau memang kawan aku yang best. Kau tahu macam mana nak solve masalah aku, kau tahu apa perasaan aku pada Didi. Itu yang penting. Tak semua kawan yang aku ada, baik hati macam kau. Aku harap kau akan selalu ada di waktu aku memerlukan.”

“Kau puji melangit ni sebab saja nak bodek aku. Aku tahu.”

“Aku ikhlaslah, beb!”

“Woi! Aku Adam, bukannya beb!”

“Suka hati mulut aku nak panggil kau apa. Kau tak boleh marah.”

“Aku tahu siapa aku, Rara.”

“Apa maksud kau ni!”

“Maksud aku…aku ni jauh. Tak boleh nak belasah kau! Tengok nanti aku balik Malaysia, siap kau!”

“Tak takut pun!” Rara ketawa mengekeh.

Usai perbualan dengan Adam Bahrain, Rara termangu seketika. Apa sebenarnya yang wujud di dalam hati ini? Setiap kali berbual atau berbicara dengan Adam, fikirannya berasa lapang. Adam sangat memahami. Adam juga sudi mendengar rintihannya, kisah suka dukanya bersama Didi dan yang uniknya, Adam selalu muncul tatkala dia amat memerlukan seseorang sebagai dahan berpaut.

Munculnya Adam yang sebentar tadi dapat melupakan sebentar ingatan Rara terhadap Didi. Entah bila Didi berani berterus terang dengannya. Hanya masa yang akan menentukan.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.