Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Feb 25, 2011

Karya 3: CINTA ARJUNA

nur aynora

Pengumuman

Karya berikut adalah karya asli daripada penulis. Tiada suntingan dilakukan bagi membolehkan anda menilai sendiri karya tersebut. Sebarang persamaan kisah/cerita adalah idea imaginasi penulis sendiri. Harap maklum.

Tajuk Karya: Cinta Arjuna
Nama samaran: Nurul Hanimia
Tajuk lagu : Cinta Arjuna - Aliff Aziz


CINTA ARJUNA

~bukan semua cinta pertama akan menjadi yang selamanya .


“Bagaimanakah lagi untuk aku buktikan .. selamilah pada kejujuranku.. jadikanku arjuna, arjuna di hatimu .. Percayalah oh puteri ..”


Setiap kali lagu Cinta Arjuna nyanyian anak jati Singapura itu berkemundang, aku pasti terdiam dan terkaku. Mulai teringat akan kisah lama yang sudah lama terbuku di lubuk hati. Walaupun cerita ini sudah lama menjadi kenangan, namun sampai ke detik ini, aku sentiasa merinduinya. Merindui satu satunya putera kacak yang berjaya membuatkan aku tersenyum dan menangis seorang diri.


5 Julai 2008 ,merupakan tarikh keramat yang tak mungkin aku lupakan sampai bila bila. Setiap bicara dan kata kata kau masih lagi berbaki di gegendang telingaku. Senyuman dan gelak tawa kau masih lagi bermain main di benak fikiranku sehingga detik ini. Apakah ini yang namanya cinta ?

***

" Ya nak beli apa? " soalan pertama yang meniti di bibirku di saat kau datang mengunjungi geraiku.

Saat itu kau hanya mampu tersenyum manis. Itulah senyuman yang paling indah pernah aku lihat dari seorang yang bergelar lelaki.

"Kelakarlah topi. " itulah kali pertama aku mendengar suara kau sekaligus mendengar tawa kau.

Aku mengertapkan bibir. Cepat cepat jemariku menyentuh topi berbentuk telinga arnab di atas kepalaku. Aku tersenyum sendiri. 'Nak buat macam mana ? Dah ini maskot gerai kami.' Aku berbisik di dalam hati. Jemariku masih lagi sibuk membungkuskan bihun goreng ke dalam polestrin yang dipesan oleh rakan di sebelah kau.

" Rabbit comel . Tak macam gerai kau , pakai topi bentuk tikus. " balasku selamba.

" Eleh rabbit memanglah comel. Orang yang pakai tu comel tak ?" jawab Zakir sengaja mahu mengusikku. Aku memuncungkan mulutku tanda protes lantas memasam muka.Saat itu sekali lagi aku terdengar tawa kau. Kali ini gelak kau lebih besar.

"Tapi tikus pengotor. Eiiiuu " laju saja aku memotong. Sekarang, giliran aku pula mentertawakan kau. Padan dengan muka . ‘Silap oranglah nak cari pasal.’

"Kitaorang tikus yang pandai macam Mickey Mouse" balasnya laju sambil mengangkat kedua belah bahunya. ' Tak guna ! Mentang mentanglah dia kelas pertama.'

-------------------------------------------------------------------

Waktu bertugasku sudah tamat. Sekarang ini giliran aku pula bersiar siar di sekitar sekolah bersama teman temanku yang setia bersama sepanjang masa. Apa guna sekolah menganjurkan karnival tetapi aku hanya duduk bertugas di gerai saja.

Kupon yang ku beli dengan harga RM 10 dibawa ke mana mana. ' Rumah hantu !' itulah tempat pertama yang aku dan rakan rakanku kunjungi. Di sana, barisannya panjang bukan kepalang, ibarat beratur dari Malaysia hingga ke Singapura. Dua orang rakanku sudah mula membebel, barangkali lutut mereka sudah mulai longgar.

Aku sekadar mengangkat kening tinggi, memberi isyarat bahawa aku tidak mahu berganjak. Biasalah, bukan selalu sekolah kami mengadakan aktiviti gilang gemilang seperti ini . Bak kata pepatah Melayu, alang alang menyeluk pekasam , biar sampai ke pangkal lengan.

Di saat aku menoleh ke kiri dan kanan, tiba tiba aku ternampak kelibat lelaki tadi. Siapa lagi kalau bukan 'lelaki tikus comel' yang berjaya mencuit hatiku. Aku tersenyum sendiri. Entah kenapa, hatiku terasa berbunga bunga di saat mata kami saling memandang antara satu sama lain. Cepat cepat aku mengalihkan pandangan ke arah rakanku yang asyik membebel sejak tadi. Merah merona mukaku dibuatnya. Perasaanku mula berdebar debar. Jantungku berdegup rancak seperti mahu gugur ke bumi, darahku mengalir laju seperti air sungai yang deras.

Oh Tuhan, apakah ini yang dinamakan cinta pandang pertama?

Matanya, senyumannya, suaranya, gerak gerinya, semua tentang dirinya seakan akan memberi satu nafas baru buatku.

------------------

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar petang tadi. Walaupun kelas kami tidak berjaya mengumpul dana tertinggi, tetapi apa yang penting kami gembira. Melalui aktiviti ini, kami semua dapat belajar untuk bekerjasama. Apa yang penting? Kerjasama ! Segala titik peluh dan usaha kami sekurang kurangnya dapat membantu pihak sekolah dalam mengumpul dana membaik pulihkan kawasan sekolah. Apa yang paling menyeronokkan, melalui karnival inilah, aku menemui 'cinta arjuna' ku, Zakir.

Usai saja menunaikan solat Isya' , seperti lipas kudung aku berlari ke meja tulisku, menekan punat kecil berwarna merah di komputer riba berjenama Acer. Seperti biasa, aku menjenguk ke laman sosial Myspace . Di saat itu, cuma Yang Maha Esa saja yang tahu perasaanku. Hatiku tiba tiba saja berubah menjadi gembira tidak terkata sebaik sahaja melihat nama Zakir di senarai 'friend request.' Cepat cepat aku menekan butang 'approve' . Dari Myspace, aku beralih pula kepada Yahoo Massenger. Sekali lagi jantungku berdegup kencang sebaik sahaja melihat nama Zakir di skrin komputer. Saat itu, senyumku sudah mula melebar hingga ke telinga.

Perasaanku ketika itu memang sukar untuk digambarkan. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya hambaNya yang seorang ini . Sampai ke hari ini, aku masih lagi tertanya tanya, dari mana dia mendapatkan alamat email myspace dan yahoo massenger aku ? Penat lelah aku sepanjang hari menguruskan gerai hilang begitu sahaja selepas mengenali Zakir. Terima kasih Ya Tuhan.


---

Hari hariku berjalan seperti biasa. Setiap malam ada saja yang aku dan Zakir bualkan di laman Yahoo Massenger. Dari hari ke hari, aku mulai perasan, kehadiran Zakir membawa seribu satu makna dalam hidupku. Sehari tidak berbual dengannya di YM! ibarat setahun lamanya. Semua rahsiaku aku ceritakan padanya.Suka dan duka kami kongsi bersama. Walaupun aku dan Zakir baru saja berkawan, tetapi aku senang dengannya. Aku tidak kekok setiap kali berbual dan berkongsi pendapat dengan Zakir . Aku rasa dia seorang lelaki yang sangat memahami dan sungguh luar biasa . Zakir benar benar menepati kriteria lelaki idamanku.

---------------------

Aku ; Nanti aku nak pergi honeymoon dekat Paris . Then aku nak pergi melawat Taj Mahal.

Zakir ; Hey, itu tempat aku lah. Nanti kita pergi sama sama.

Aku ; Hahaha boleh saja. Aku pergi dengan suami aku, kau pergi dengan isteri kau.

Itulah kami . Setiap malam, di Yahoo Massenger lah tempat kami meluahkan segalanya. Perwatakan Zakir di YM sangat berbeza dengan di sekolah. Kalau di sekolah, dia merupakan seorang yang pendiam. Setiap kali kami bertembung , dia sekadar tertunduk malu dan tersenyum simpul, begitu berbeza dengan sikapnya di internet yang sangat kelakar, menyenangkan hati ,lebih mesra dan mudah dibawa bersembang. Mungkin kerana itulah, aku sudah mula tertarik dengan insan bernama Zakir.

Aku ingat lagi di saat aku kenalkan Zakir dengan lagu kegemaranku , iaitu nyanyian Aliff Aziz yang berjudul Cinta Arjuna. Entah mengapa, bagiku lagu itu sangat secocok dengan kami. Lagu nyanyian lelaki kacak dari negara jiran, Singapura itu seakan akan memerli aku . Secara jujurnya, sejak kali pertama aku memandang Zakir, aku sudah mula menyukainya, namun aku takut untuk menyatakannya.


Bukannya aku tidak mahu bersikap jujur dengan perasaanku sendiri tetapi aku takut dan khuatir.Aku tidak mahu persahabatan kami musnah dek kerana cinta.Aku sayangkan persahabatan kami, dan aku tidak mahu kehilangannya. Persahabatan aku dan Zakir merupakan satu memori yang cukup indah. Menjadi sahabatnya merupakan sebuah kenangan manis yang akan aku ingat sampai nafas terakhirku.

Zakir ; kau tengah buat apa?
Aku ; tengah dengar lagu .
Zakir ; Cinta Arjuna ?
Aku ; Mana tahu ?
Zakir ; Sekarang ni, sebelum pergi sekolah, aku mesti dengar lagu itu dulu .

Zappp !! Sekali lagi hatiku berbunga . Zakir , kau memang bijak ! Kau memang arif dalam menyusun kata kata manis. Kerana kata kata manis yang kau ungkapkan itulah, aku semakin menyanyangi kau . Aku sekadar menelan air liur. Lama aku meratap skrin komputer ribaku , tidak tahu apa yang perlu ku balas. Jemariku sudah mula terasa digin. Lidahku terasa kelu . Mulutku tertutup rapat ibarat dikunci . Ya Tuhan, aku benar benar sudah jatuh cinta. Bermula saat itu, aku menjadikan lagu Cinta Arjuna sebagai lagu kegemaranku. Tiap kali lagu tersebut berkemundang di senarai lagu telefon bimbitku, nama dan wajah kau pasti muncul di fikiranku.

--------------------------------------------------------

Bukan mudah untuk menemui lelaki sebaik Zakir. Dia sungguh berbeza dengan lelaki lain yang pernah aku temui sebelum ini. Semua orang tahu, sejak kecil lagi, aku lebih ramai kawan lelaki berbanding perempuan. Semasa di sekolah rendah dulu, ke mana aku pergi pasti di kiri dan kanan aku ditemani pelajar lelaki. Tetapi entah mengapa, Zakir tidak sama seperti kawan kawan lelaki ku yang lain. Dia bukan sahaja tampan, malah dia juga baik hati dan seoarang yang sangat bertimbang rasa. Paling menyedihkan apabila kawan kawan yang selama ini aku agungkan semuanya tidak menyukai Zakir. Sebaik sahaja mereka tahu tentang
perasaan sebenarku terhadap Zakir, mereka seakan akan cuba menjatuhkan aku .

Macam macam yang mereka kata . Zakir itulah, Zakir inilah. Namun , semuanya aku tidak ambil peduli. Walaupun hakikatnya, telingaku sakit mendengar dan hatiku pedih menerima, namun aku tetap kuatkan diriku demi Zakir.Pendek kata, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Aku sekadar memekakkan telinga dan membutakan hati. Seburuk manapun Zakir pada pandangan mereka, namun Zakir tetap yang terbaik di mata aku . Mereka tidak kenal siapa Zakir yang sebenarnya . Aku pasti, Zakir tidak seteruk yang mereka bayangkan.

Kenangan yang paling aku tak mungkin lupakan, adalah di saat Zakir mengajakku mengadakan 'study group' dengannya. Hanya aku dan dia . Saat itu aku sekadar diam terkaku. Lidahku kelu tidak mapu berkata apa apa. Dalam hatiku mahu berkata ‘ya’ , tetapi apakan daya, aku mengaku, aku hanyalah seorang gadis belasan tahun yang terlalu polos dalam bab percintaan. Aku menolak pelawaan Zakir mentah mentah. Bodohnya aku ketika itu. Bukan itu sahaja, terlalu banyak peluang yang aku sia siakan. Zakir pernah mengajakku menemaninya ke kedai buku untuk membuat salinan borang. Sekali lagi, perlawaannya aku tolak tanpa berfikir panjang. Dia juga pernah mengajakku ke makmal komputer bersamanya, juga ditolak aku mentah mentah. Bencinya aku pada diri aku saat itu. Mengapalah aku terlalu cepat berkata tidak ? Kenapa aku terlalu gugup setiap kali matanya bertembung tepat dengan
mataku dan setiap kali suaranya berbisik di cuping telingaku ?
--------------

Zakir ; Hei tak tengok tv3 ?
Aku ; TAK. Kenapa ?
Zakir ; Ada cerita ayat ayat cinta. Kau kan suka cerita tu .

Sekali lagi kau simbahkan aku dengan kebahagiaan. Saat itu jantungku mula berdegup rancak. Air jernih mula bertakung di kelopak mataku. Terharu kerana kau masih ingat semua perkara yang aku suka. Mungkin inilah yang menguatkan lagi rasa kasih dan sayang aku buat kau. Kau begitu berbeza dengan lelaki lain. Kau pandai menjaga hati aku. Kau bijak mencuri jiwa dan hati aku. Kau mampu mengubah hari hari aku. Terima kasih Zakir .
---

Lumrah sebuah kehidupan, tidak semua kebahagiaan akan berkekalan sampai ke akhir hayat. Hatiku sayup saat aku dapat tahu bahawa kau kini sudah menjadi milik bekas rakan sekelasku,Lia. Ketika itu hatiku remuk, cuma Allah saja yang tahu bagaimana perasaanku. Hatiku luluh di saat aku melihat kau berdiri menghadapnya dan bergurau senda di koridor. Detik itu aku terfikir, aku tak mungkin akan memiliki kau sampai bila bila. Aku pasrah. Aku mulai menyerah kalah, tidak mahu memasang harapan setinggi Gunung Kinabalu lagi. Cukuplah hatiku sakit cuma sekali.

Pernah sekali aku menangis di saat aku melihat gambar kau bersama Lia di laman Myspace. Hampir gugur jantungku ke bumi Allah. Aku sedih mengingatkan kemesraan kau dengannya. Maklum saja, jika mahu dibandingkan gadis itu dengan diriku memang ibarat langit dengan bumi . Aku akur dan aku sedar, aku memang tidak setanding dengan Lia. Pantas saja Zakir memilihnya sebagai kekasih hati , peneman di saat suka dan duka. Sejak dari itu, aku mulai menghindari Zakir. Aku cuba untuk melupakannya. Aku tidak mahu mempunyai apa apa perasaan terhadapnya lagi. Aku sudah letih. Aku mula menyerah kalah dalam cinta. Cukuplah
aku kehilangannya. Untuk apa aku terus menaruh perasan jika akhirnya, aku sendiri yang kecewa dan berduka?

Masa terus berlalu. Jam di dinding semakin ligat berputar. Hari berganti hari. Pejam celik pejam celik, tak lama lagi sudah masuk hari kekasih. Saat itu aku tersenyum sendiri. Pasti Zakir senang hati sekarang ini, barangkali tidak sabar mahu menyambut hari kekasih bersama buah hati pengarang jantungnya. Siapa lagi kalau bukan Lia, peneman di ruang rindu. Sekali lagi aku duduk termenung di hadapan komputer ribaku,menangis saat aku menatap fotonya. Aku benci diriku ketika ini.

Kenapa mudah sangat air mataku gugur kerana seorang yang bernama lelaki ?

Mana pergi diriku yang kuat semangat ? Mana pergi diriku yang tabah? Mana pergi diriku yang penuh dengan gelak tawa? Sejak akhir akhir ini, aku yang asalnya seorang yang ceria terus berubah menjadi seorang yang murung. Aku rindukan diriku yang dahulu. Aku rindukan senyuman dan gelak tawaku. Aku rindukan Zakir !

Aku rindukan cinta arjuna ku yang dahulu.

Aku ; Macam mana kau dengan Lia ?
Zakir ; Jangan tanyalah. Aku tak suka cakap tentang tu.
Aku ; Oh i'm sorry .

Ketika itu aku terdiam dan terkaku. Dadaku terhimpit dengan seribu satu pertanyaan. Kenapa tiba tiba saja Zakir berubah menjadi panas baran? Selalunya dia layan saja apa yang aku bualkan, tidak pernah sekalipun dia bersikap dingin seperti itu. Aku mula tertanya tanya , mahu tahu cerita selanjutnya. Barangkali dia sedang ada masalah besar atau 'world war three' dengan Lia agaknya.

Aku sekadar bermain teka teki, tidak mahu terus bertanya pada Zakir. Aku tidak mahu dia berasa rimas denganku. Lambat atau cepat, aku pasti akan temui jawapan sebenarnya. Malam itu aku dan Zakir sekadar menghabiskan masa kami di Yahoo Massenger. Dia sibuk mendesakku supaya bercerita tentang kisah cinta. Penat aku menyelak semua koleksi majalahku, mencari semua cerita tentang cinta yang aku kumpul sejak di zaman sekolah rendah lagi. Aku masih ingat lagi cerita tentang burung merpati putih, coklat dan taj mahal yang aku ceritakan pada kau dahulu. Semuanya masih segar di memori.Saat itu, sekali lagi aku berasa gembira. Diriku terasa seperti terapung apung di udara. Zakir, sekali lagi kau meragut hatiku . Apakah perasaan ini akan terus kekal selamanya ?

Tidak lama selepas itu, ketika aku sedang menyiapkan kerja kayu di bengkel kemahiran hidup, tiba tiba Lina memanggilku di luar tingkap. Cepat cepat aku berlari ke arahnya. Katanya Zakir dan Lia sudah tidak bersama lagi. Menurut Lina, dia sendiri tidak pasti punca perpisahan mereka, tetapi dia beranggapan Lia sudah ada orang tersayang yang lain. Biasalah, siapa tak kenal dengan Lia. Sebelum Zakir, dia sudah ada ramai teman lelaki, malah ada sebahagian daripada mereka jauh lebih tampan jika mahu dibandingkan dengan Zakir. Aku tidak nafikannya, kalau itulah yang menjadi sebab utama perpisahan mereka.

' Kasihan Zakir , tapi baguslah .' aku mengomel sendirian. Bunyinya memang agak mementingkan diri sendiri , tetapi apakan daya, rasanya semua gadis yang mengalami nasib sepertiku akan berasa begitu. Aku turut berduka cita dengan Zakir, aku yakin saat ini dia pasti sedang bersedih. Waktu begini Zakir pasti memerlukan seseorang yang bergelar sahabat di sampingnya.Aku benar benar ingin berada di sisinya waktu ini.Aku mahu Zakir tahu, tidak kira suka atau duka, masih ada aku yang setia disampingnya. Namun di sebalik itu, aku senang , sekurang kurangnya, aku dan Zakir boleh jadi semesra dahulu.

Ku sangka panas sampai ke petang, rupa rupanya hujan di tengah hari . Aku fikir selepas Zakir dan Lia berpisah, peluangku untuk mendapatkannya menjadi lebih cerah, namun itu hanya sekadar mimpi di siang hari . Dari hari ke hari aku semakin pasrah. Aku nekad mahu melupakannya. Aku tidak mahu terikat dengan apa apa mainan perasaan lagi. Aku sudah serik dengan cinta yang hanya bertepuk sebelah tangan. Dari masa ke semasa, aku dapat merasakan bahawa Zakir semakin jauh dengan aku. Kami sudah tidak seperti kami yang dulu lagi. Setiap kali aku melayari laman Myspace dan Yahoo Massenger, cuma satu yang ku harapkan iaitu aku mahu berbual dengannya seperti dahulu. Namun ternyata itu hanyalah angan angan di dalam sedar yang tak mungkin menjadi kenyaataan.Dalam seminggu belum tentu ada masa untuk kami luangkan bersama di gelombang internet.

Aku rindukan cerita cerita Zakir. Aku rindukan lawak jenakanya yang mampu mengubat luka di hati aku. Aku amat merindui lelaki itu. Sekarang baru aku sedar, Zakir sebenarnya tidak pernah peduli tentang kehadiran aku . Dia sedikitpun tidak pernah kisah tentang diriku. Aku mulai bermain dengan andaian sendiri , 'agak agaknya siapalah aku di hati Zakir ?' Apakah aku sahabat sejatinya atau mungkin sekadar teman di saat dia lagi merasa kekosongan? ‘Kalau sudah namanya lelaki, pasti akan menyakiti hati kaum Hawa.’

Saat ini, hatiku sakit ibarat dihiris dengan mata pisau yang tajam. Air mata mula deras mengalir di pipi. Hatiku kosong . Hatiku sayup.Jiwaku lemah. Saat ini cuma Yang Maha Esa saja yang memahami perasaanku.Hari ini sudah masuk tahun baru . Kata orang tahun baru , azam baru. Oleh demikian, aku nekad, di samping mahu berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia, aku mahu cuba untuk menghapuskan jejak Zakir dari hidup aku.Aku tidak mahu ada apa apa kaitan lagi dengan lelaki itu . Aku tidak mahu menaruh harapan setinggi langit padanya lagi. Cukuplah sekali kau bermain dengan hati aku.Cukuplah aku menangis dari pagi ke malam kerana kau. Aku sudah serik. Aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Tetapi malangnya, di saat hatiku cuba untuk merelakan pemergiaannya, dia kembali pulang.Zakir kembali menjadi Zakir yang lama. Dia kembali menjadi Zakir yang selama ini aku rindui. Sudah sekian lama aku menunggunya , kenapa baru sekarang dia muncul ? Di saat hati aku mulai rela melepaskannya, kenapa Zakir perlu muncul lagi untuk menjadi raja di hatiku ?Apakah kehadirannya kali ini untuk menakluk hatiku dan kemudian pergi meninggalkan aku ibarat rakit yang terlepas talinya? Maaf Zakir. Aku sudah nekad untuk tidak jatuh cinta lagi. Aku benar benar kecewa dengan sikap acuh tak acuh kau sebelum ini. Sekarang ini aku mahu mengosongkan hatiku tanpa kau atau siapa siapa pun. Biarlah aku terbang dengan dunia aku sendiri. Aku harap kau sentiasa bahagia dengan setiap jalan yang kau pilih, kerana lelaki sebaik kau, layak mendapat sebuah kebahagiaan yang kau idamkan. Aku akan sentiasa mendoakan kebaikan dan kebahagiaan kau. Mudah mudahan, kau akan temui dengan cinta sejati kau, dan mungkin pada saat itu hati aku juga sudah dimiliki orang lain.

Terima kasih Zakir kerana mengajarku erti persahabatan dan nilai percintaan. Walaupun kau tidak pernah sedar dengan perasaan aku terhadap kau, namun aku tetap bahagia. Aku bersyukur kerana pernah memiliki kau sebagai sahabat. Kaulah sahabat dan engkau jugalah cinta. Terima kasih kerana selama ini kau banyak memberi kata kata semangat dan dorongan buat aku untuk mengharungi hari hariku yang kian malap . Terima kasih kerana kau sering hadiahkan aku dengan senyuman. Terima kasih kerana disebabkan kau malam malam ku berakhir dengan mimpi yang teramat indah. Aku tak mungkin akan lupakan kau kerana kau adalah memori terindah yang pernah tercipta dalam hidup aku. Mengenalimu adalah sesuatu yang sangat manis, menjadi sahabatmu merupakan memori yang paling bahagia, tetapi untuk melupakanmu ibarat berjumpa dengan orang yang tidak pernah ku kenal sebelum ini.



Katamu kekasih yang sedang kita alami
Takkan kekal 'tuk selamanya
Mengapa kekasih
Tiada kau percaya
Kebenaran cerita kita

Bagaimanakah lagi untuk aku buktikan
Selamilah pada kejujuranku
Jadikan ku arjuna, arjuna di hatimu
Percayalah oh puteri


Lagu itu tak mungkin aku lupakan. Biarlah lagu Cinta Arjuna nyanyian Aliff Aziz itu menjadi lambang betapa agungnya cinta aku untuk kau. Aku tak akan dan tak mungkin menyalahi kau. Mungkin salah aku juga, kerana takut untuk berpijak di bumi yang nyata. Aku terlalu takut untuk melafazkan kata kata agung untuk kau. Biarlah kau sekadar melihat aku hanya sebagai teman biasa. Aku redha.

Mungkin kau terlalu sempurna untuk aku atau mungkin juga dalam erti kata lain, kau memang bukan tercipta untukku. Demi Tuhan, sejak 5 Julai 2008 sehingga ke detik ini, tiada siapa lagi yang berjaya menakluk hatiku seperti kau. Tidak pernah ada yang kedua , ketiga atau setersnya.Hanya itu yang aku mahu kau tahu. Zakir, engkaulah yang terbaik yang pernah aku miliki dan cuma engkaulah “cinta arjuna” aku untuk selamanya.

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

0 comments:

Post a Comment

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates