Karya 1: JAHAT

loading...

Pengumuman

Karya berikut adalah karya asli daripada penulis. Tiada suntingan dilakukan bagi membolehkan anda menilai sendiri karya tersebut. Sebarang persamaan kisah/cerita adalah idea imaginasi penulis sendiri. Harap maklum.

Tajuk Karya : Jahat
Nama Pena : Nura Azata
Tajuk Lagu : Jahat (Stacy)

Sejak kehilangan ibu dua bulan lalu, hidupnya menjadi semakin tak terurus. Biasalah anak tunggal—manja. Semua perkara ibu yang selesaikan. Baik makan, pakai, sampaikan stokin pun ibu yang bukakan. Sekarang ibu dah tiada, padan dengan mukanya!

Pagi-pagi lagi dia sudah bersiap. Dengan kemeja yang renyuk seribu, gayanya yang selekeh—mana-mana perempuan pun takut nak dekat. Tapi, kalau diikutkan perempuan zaman sekarang yang pentingkan harta dan pangkat, semua perkara tu boleh tolak tepi. Yang penting poket penuh. Tapi, ingat dia peduli? Kerja enam hari seminggu, cuti pun kadang-kala dipanggil, memang tiada masa nak fikir fasal teman wanita, cinta, apatah lagi fasal kahwin.

“Kamu ni makin kurus akak tengok.” Sapa jururawat yang sedang bertugas di situ.
“Oh! Saya diet kak. Takut makan banyak-banyak nanti obesiti pula.” Dr. Shabil berseloroh.
“Iya? Dah makan tengahari?” Tanya Kak Ezah lagi.
“Makan tengahari eh? Hm... lupalah. Ingatkan pagi lagi.” Dia tersengih-sengih.
“Itulah, akak suruh kahwin, tak nak. Teruruslah sikit hidup kamu tu.”
“Kalau kahwin boleh terus ingat makan tengahari ke kak? Lagipun, nak kahwin dengan siapa? Nampak anak dara orang, tarik dia, kemudian paksa dia kahwin, macam tu?”

Tak sangka pula lawak bodoh Dr. Shabil akhirnya menyebabkan Kak Ezah marah lalu menarik rambutnya yang lagi esok lusa nak gugur. Mereka memang sangat rapat. Hakikatnya, dia menganggap Kak Ezah seperti keluarganya sendiri. Sejak dia mula bertugas di hospital ini, Kak Ezah adalah orang pertama yang dia kenali. Nasib baik anak Kak Ezah kecil lagi. Kalau tak dah lama dia masuk meminang.


*****

Gina, 25 tahun adalah seorang penulis novel yang tidaklah dikenali ramai. Novelnya seringkali mendapat kritikan hebat di internet. Nak buat macam mana. Dia bukanlah sehebat Ahadiat Akashah. Menulis hanya kerana minat, tapi bakat tak seberapa. Cuma, itu saja yang dia mahu lakukan.
Dia berbadan montel, berkulit putih dan gemar berbaju kurung. Dia dianggap kuno oleh kawan-kawan kerana tubuh badannya yang comel maka dia susah untuk bergaya. Bagi Gina, fesyen hanya untuk orang-orang kurus saja. Dan mengapa dia gemuk? Ini semua gara-gara Alam, teman lelakinya yang kononnya cinta setinggi langit, sayang seluas lautan, rupa-rupanya ada perempuan lain. Lelaki buaya darat betul! Sebab itu dia malas nak bercinta. Kerana itu dia tak kuasa nak melayan perasaan cinta. Kerana inilah—bila kecewa, makan banyak-banyak. Bila rasa sedih, cari jajan dan makanan manis. Bila badan dah secomel ini, menyesallah pula. Tapi, bagus juga. Dah gemuk, tentu tak siapa suka.

Malangnya apabila dia disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan kolesterol tinggi. Bagus, kan? Memang padan mukanya. Setiap bulan kena pergi hospital, buat pemeriksaan kesihatan. Nasib baik mama papa tak bising. Cuma, mereka tak suka Gina menyewa di luar seorang diri. Kalau sakit macam mana? Tapi, Gina fikir itu lebih baik. Sebab, dia menyewa di sini kononnya nak cari ketenangan. Penulislah katakan. Tapi sejak berbulan lalu tinggal di sini, habuk pun tak ada. Tak ada idea langsung. Nampaknya kalau berterusan macam ni, lebih baik dia pindah rumah mama papa semula.

“Nombor satu lagi. Yes!”
Gina sangat gembira kerana setakat ini sudah tujuh kali berturut-turut dia mendapat giliran yang pertama. Biasalah, di hospital kerajaan kena berebut sikit. Kerana itu pagi-pagi lagi dia sudah berpacak di depan kaunter yang belum di buka. Tak malu betul. Mengikut pengalaman sebelum ni, doktor tentu datang lepas pukul 10. Baik dia pergi sarapan di Kafe dulu.
Ketika dia sedang menuju ke Kafe, ketika itulah dia ternampak seorang lelaki yang kelam-kabut berjalan, tiba-tiba terjatuh ke dalam longkang. Riak wajah Gina mungkin biasa, tapi dalam hati gelak macam nak gila. Lelaki itu memandang sekeliling, tiada orang. Mungkin dia malu—tapi tanpa disedari Gina berdiri di balik tiang memerhatikan gelagatnya yang terkial-kial keluar dari longkang yang airnya seperti air kopi di gerai Pak Alang. Nak tolong? Jangan haraplah Cik Abang!

“Ini idea ni. Kalau buat cerita lawak, pasti laku.” Kata Gina sambil menutup mulut menahan ketawa.


*****

Dr. Kay tak ada? Hm... bosanlah macam ni. Aku suka Dr. Kay dengan lawak selambanya tu. Mana pula dia pergi? Ponteng kerja ke?

“Cik Gina NurJannah.”
Namanya dipanggil.

Dikala kaki melangkah laju ke bilik doktor, di saat itulah jantungnya berdebar kencang. Apa fasal pula? Takkan sakit jantung? Serius ni.
Untuk pertama kalinya dia bertentang mata dengan doktor pengganti, barulah dia tahu mengapa jantungnya menari kencang. Rupanya nak berjumpa dengan lelaki yang terjatuh dalam longkang tadi. Sabar saja dia menahan gelak. Nasib baik dia bukan jenis yang suka memalukan orang lain. Doktor ni nampak garang saja, kenapa pula? Kalau dia marah aku, tengoklah, aku akan bangkitkan hal tadi.

“Muda-muda dah kena darah tinggi.” Sindiran pertama doktor itu.
Kemudian, dia baru saja hendak melekapkan stetoskop ke badan aku, waktu itulah giliran aku pula menyindir dia.
“Err... doktor dah cuci tangan dulu? Tadi saya nampak doktor jatuh dalam longkang.” Selamba aja aku cakap begitu hingga naik merah mukanya menahan malu. Nasib baik tiada jururawat di situ.
“Saya dah cuci. Dengan sabun Dettol lagi. Awak jangan nak berdalih. Ini kenapa tekanan naik tinggi sangat ni?” Doktor tu marah, kononnya.
“Entah. Mungkin sebab menahan gelak sejak pagi tadi tak?” Jahat betul mulut aku!

Bengang saja muka doktor tu. Sempat juga Gina merenung tag namanya—Dr. Shabil. Tapi, dia tak sengaja mencari fasal dengan doktor tu. Kebetulan agaknya kejadian malang Dr. Shabil berlaku depan mata Gina pagi tadi, itu yang payah sikit. Namun, Dr. Shabil tak melepaskan peluang. Punyalah teruk dia berleter. Katanya Gina hobinya makan, malas buat kerja rumah pula tu. Sebenarnya, betul sangkaannya. Tak syak lagi. Cuma panaslah telinga mendengar leteran orang. Kena sindir lagi, sakit hati betul.

“Ya doktor. Saya memang malas, gemuk, tak cantik, apa lagi?” Gina mengerutkan kening.
“Suka makan. Suka tidur...” Tambah Dr. Shabil lagi.

Macam nak meletup kemarahan Gina waktu tu. Tapi, itu salah dia. Dia yang mulakan dulu. Jadi, sebelum angin taufan bertiup kencang, lebih baik dia pergi dari situ. Boleh tahan celupar mulut doktor tua ni.

“Jangan lupa. Minggu depan kita jumpa lagi.” Kata Dr. Shabil dengan senyuman.

Wah! Tidak pernah dia melihat senyuman semanis itu. Tak sangka dalam hatinya masih terselit perasaan kasih. Dengan renungan matanya yang menusuk terus ke jantung. Oh! Dia bukan sakit jantung—dia demam cinta! Ish, mana boleh. Gina sudah berjanji, tiada cinta, tiada jejaka dan tiada perasaan lagi untuknya. Selama 25 tahun ni, cinta baginya hanya mendatangkan malapetaka saja. Kerana cinta lah badannya jadi montel begitu. Tak mungkin. Ini hanya sekadar suka. Suka-suka, sebab itulah... Ha! Ha! Dia pasti akan melupakan 'kasih' Dr. Shabil setelah dia bangun dari tidur esok hari.

“Minggu depan? Bukan ke sepatutnya bulan depan? Hm... boleh juga!”
Gina tersenyum sendiri.


*****

Ini tak logik. Sudah beratus-ratus pesakitnya sebelum ini, kenapa gadis yang satu ini mewujudkan satu perasaan pelik dalam sanubarinya. Eh! Jatuh cinta tak? Mungkin. Boleh jadi. Adakah dia juga punya perasaan yang sama terhadap aku? Harap-haraplah.

Sepanjang hari, fikirannya melayang jauh entah ke mana. Untung minggu ni kurang pesakit, jadi tidaklah begitu sibuk. Waktu makan tadi pun, dia hanya menjamah separuh daripada sepinggan nasi ayam. Tak selera. Macam tu ke perangainya kalau sudah dilamun cinta?
Gina NurJannah. Sedap namanya, secantik orangnya. Agaknya tadi dah lupa diri, sebab itulah salah letak tarikh. Sepatutnya pemeriksaan seterusnya pada bulan depan. Tapi, kalau lama-lama, boleh jadi rindu. Alahai... tolonglah aku.

“Ni kenapa kamu ni?” Tegur Kak Ezah ketika dia mengemas untuk pulang ke rumah.
“Apa? Apa tak kenanya? Saya okey apa.” Jawab Dr. Shabil dengan senyuman.
“Kalau okey, kenapa gantungkan stokin kamu dekat poket seluar. Buruklah orang tengok.”
“Oh! Ya ke? Tak perasan.” Dia masih lagi tersenyum sumbing.
“Kamu ni... Kamu jatuh cinta ya? Aha... Betul tak?” Kak Ezah serkap jarang.
“Apa salahnya, kan?”

Sumpah—dia tak pernah alami perkara sebegini. Kehidupannya terjejas gara-gara Gina NurJannah. Gina sudah merosakkan akal fikirannya. Dari tadi dia asyik fikirkan gadis itu. Balik rumah, wajah Gina masih terbayang. Bila teringat akan riak wajahnya yang riang dan ceria, lagi membuatkan Dr. Shabil tak boleh tidur. Sikit pun tak boleh lelap. Pusing sini, pusing sana, tetap tak mahu tidur. Entah mantera apa Gina dah guna hingga dia jadi gila bayang begitu.

Satu perkara saja yang dia tahu mengenai Gina—dia sukakannya. Suka sangat! Wajahnya, senyumannya, lawaknya, gelaknya, sindirannya atau apa saja. Tidak ada apa kekurangan pada Gina yang dilihatnya, semuanya kerana dia cintakan gadis itu.

“Kak, carikan nombor telefon pesakit tadi.” Bisik Dr. Shabil di telefon.
“Kamu dah kenapa telefon akak pukul 3 pagi ni? Kemaruk apa?” Suara garau Kak Ezah kedengaran. Mungkin sedang tidur nyenyak.
“Apa salahnya, kan?”


*****

Pukul 1 pagi, Gina masih terpaku depan komputer untuk menaip sesuatu. Idea tiada, jalan cerita tiada, tapi wataknya sudah ada—iaitu Dr. Shabil. Kenapalah dia asyik fikirkan doktor itu setiap kali dia nak buat apa-apa sekalipun? Dia bukannya suka pada doktor tu. Menyampah, meluat pun ada. Semuanya kerana mulut doktor itu yang tiada insurans. Dia sepatutnya melupakan senyuman Dr. Shabil yang menawan, dan cuba fokus pada novelnya yang masih tiada isi.

Dilihatnya tarikh di kad hospital yang ditulis oleh Dr. Shabil siang tadi. Comel tulisannya. Ha! Ha! Ish... tak patut asyik teringatkan dia. Lupakan doktor tu. Cepat lupakan. Tak ingat ke akan peristiwa dulu? Tak ingat ke bagaimana peritnya hati ditinggalkan kekasih? Perkara itu tak mungkin berulang lagi. Tak akan!

“Bilalah nak sampai tarikh ni agaknya.”
Dan dia merenung kad hospital itu, hinggalah dia tertidur di sisi meja, dalam keadaan hati masih berbunga-bunga.


*****

“Helo. Ya? Datang hospital sekarang? Ada apa hal?”

Tiba-tiba hospital menelefon dan suruh datang dengan segera. Ada apa-apa yang tak kena pada keputusan ujian darah tu ke? Aku ada penyakit lain ke? Atau... penyakit yang serius?

Hari ini, dia pula yang kelam-kabut bersiap, kemudian berlari untuk pergi ke hospital. Bukan ke dia baru buat ujian darah semalam, takkan keputusannya sudah ada? Selalunya ambil masa selama 2-3 hari. Ini yang pelik lagi menghairankan.

“Cik Gina NurJannah.”

Dadanya kembali kencang. Alamak! Doktor semalam ke? Minta-mintalah Dr. Kay. Aku betul-betul nak elak daripada bertemu dengan Dr. Shabil. Aku tak suka. Punyalah susah aku nak lupakan dia. Punyalah susah aku nak padamkan dia dari dalam ingatan. Mimpikan dia hingga terigau-igau aku dibuatnya.

Aku takkan bersikap baik kalau Dr. Shabil yang merawat aku!

“Selamat pagi.”
Alamak! Memang Dr. Shabil.

“Saya... sebenarnya... Awak sihat?” Tanya Dr. Shabil.
“Hm... bukan ke semalam baru check?” Jawab Gina. Dia takkan terjebak dengan perasaan ini lagi. Dia perlu bertegas.
“Sini.” Dr. Shabil terus melekapkan stetoskopnya ke jantung Gina. Memanglah berdegup kencang ketika ini. Mahu dia fikir Gina ada sakit jantung.
“Okey. Dengar saya punya pula.” Dia terus memaksa Gina mendengar dari stetoskop itu yang dilekapkan ke dada Dr. Shabil.
“Agak-agak awak, sama tak degupannya?” Tanya Dr. Shabil serius.
“Mungkin. Kenapa? Kita berdua ada sakit jantung ke?” Mata Gina terbeliak. Cuak juga.
“Maknanya... kita berdua saling jatuh cinta.” Jawabnya selamba lalu menulis sesuatu pada kertas lalu diserahkan kertas itu kepada Gina.

'Sudi tak awak jadi isteri saya?'

Gina mengerutkan dahi. Perkara itulah yang paling merepek pernah berlaku dalam hidupnya. Hatinya berkata mahu. Tapi dia benar-benar ingin menolak.

“Maaflah doktor. Saya tak berminat dengan tawaran doktor tu. Saya tak ingin bercinta lagi. Lelaki semuanya sama.” Gina memalingkan muka ke tempat lain. Pada hal jiwanya meronta-ronta.
“Jangan beritahu saya yang awak sukakan perempuan?” Dr. Shabil mengagak.
“Helo. Ingat saya ni... perempuan apa!” Gina harus membangkitkan kemarahan. Kerana amarah saja dapat melenyapkan perasaan suka dan sayang.
“Jadi, apa jawapan awak? Awak menolak?” Wajah Dr. Shabil sedikit kesal.
“Mm...” Tiada jawapan—bukan iya, bukan tidak.

“Saya... saya. Badan saya gemuk begini, saya ada penyakit ni, semuanya gara-gara kecewa dengan lelaki. Saya... bukan tak terima... Saya...” Gina menunduk malu.
“Tak apa. Mereka penyebab awak sakit, saya akan ubatkan awak. Asalkan kita hidup bersama, saya akan sentiasa menjaga awak. Saya janji.” Renungannya tepat ke mata Gina.
“Tapi, saya... Saya takkan bercinta lagi, itu prinsip saya.”
“Awak tak perlu cintakan saya. Saya akan mencintai awak sepenuh jiwa raga saya. Di mata saya, hanya ada awak seorang saja.”

Kata-kata Dr. Shabil benar-benar melembutkan hati Gina.

“Tapi, kita kan baru kenal semalam? Tak sampai 24 jam pun.” Tanya Gina lagi.
“Tak apa. Bercinta lepas kahwin kan lebih baik.”

Baru dia perasan, hari ini hari Sabtu. Klinik tak buka hari ni. Sebab itulah suka-suka hati Dr. Shabil nak buat kejutan macam ni. Jadi, siapa pula jururawat yang jadi penyokong dia ni?
“Kamu kena belanja akak makan Pizza Hut.” Kata Kak Ezah lantas terus beredar dari situ. Susah payah dia rancangkan semua ini.

“Hari ni kan klinik tutup. Takkan tak perasan?” Tanya Dr. Shabil apabila mereka berdua keluar dari kawasan hospital.
“Oh! Patutlah tak ada orang.”
“Demi awak, saya sanggup buat apa saja.” Dr. Shabil terus merampas tangan Gina dan memimpinnya.
“Jahatlah awak ni!”

1 comment:

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.