Header Ads

Memo Cinta Dari Raihana

Raihana sibuk kesana kemari demi menjelmakan majlis perkahwinan kakaknya berjalan lancar. Sekejap dia hilang ke dapur, kemudian menyapa jiran sekampung yang sedang rewang di bawah pokok jambu air di tepi rumah. Khemah berukuran 15 X 15 sedang elok memayungi mereka daripada dibakar mentari petang. Kekadang kedengaran namanya dilaung oleh emaknya yang duduk di sebuah kerusi di anjung rumah batu setingkat itu.



Menjelang pukul 2.30 petang semakin ramai tetamu yang datang. Rai membetulkan ikatan tudungnya sambil memerhati Hamka di sebelahnya. Dari pagi tadi dia lihat Hamka gelisah dan asyik mengeluh tak mengira masa. Asal saja Rai duduk di sebelah, cepat-cepat dia menyimpan handphonenya. Yang peliknya, handphone Hamka asyik berbunyi tak mengira masa. Siapa pulak yang telefon dia? Nak kata Rai yang call, gadis manis itu ada di depan matanya. Lagipun buat apa Rai nak bertelefon sakan dengan tunangnya itu sedangkan tuan punya badan sudah ada di depan mata. Cakap aje apa nak cakap! Senang.

"Abang ada hal ke?"

"Kenapa Rai tanya?" soalan dijawab dengan soalan.

Ini yang Rai malas. Bukan macam kat sekolah, peraduan membina soalan yang selalu cikgu Dahlia ajar kepada anak muridnya.

"Abang ni. Kita tanya dia...dia tanya kita balik. Apa lah."

Hamka mengeluh. Kali ini keluhan itu kedengaran amat berat dan menyakitkan telinga Rai. Rai mesti nak tahu apa yang membebankan Hamka. Dia mesti nak tahu juga!

"Abang dari tadi asyik mengeluh aje. Penat sangat ke? Rai tengok bukan abang tolong abang-abang Rai buat kerja. Abang duduk sorang-sorang buat hal abang sendiri. Abang banyak termenung. Abang banyak balas SMS. Siapa dah susahkan hati abang? Boleh Rai tahu?"

Sambil mulutnya pot pet dengan Hamka, Rai tak lepas tangan angkat dan angguk kepala kepada jiran yang datang menegur. Walau dalam hati dapat merasakan keganjilan sikap Hamka kepadanya, Rai berpura-pura tersenyum. Rai telan air bandung banyak-banyak. Pun rasa tak sedap hati dengan sikap Hamka tidak dapat dihilangkan.

"Awak tak perlu tahu. Urusan kerja." itu saja jawapan dari Hamka.

Urusan kerja? Bukankah Hamka kerjanya Cikgu macam Rai. Jadi apa pula seorang cikgu buat sampai begitu busy main telefon. Sekarang pun cuti sekolah. Takkan guru besar main SMS dengan Hamka. Tak masuk akal betul.

"Urusan kerja? Cuti sekolah pun busy?"

"Sekolah abang lain. Sekolah awak lain."

Wah!! Apa yang lainnya? Semua sekolah kan hampir sama sistem pentadbirannya. Takkan ada sekolah yang bersifat korporat. Nak jana untung? Nak tipu Rai konon! Habis tu...kenapa dia start kelentong? Rai mula cuak amat sangat. Hatinya berdebar-debar laju. Kenapa ni?

Sampai ke petang, semua tetamu sudah pulang dan makanan hampir habis tetapi Rai masih berfikir dalam-dalam tentang sikap Hamka. Sekarang pun Hamka masih dok termenung kat tepi pelamin. Entah apa masalah negara yang dia sedang fikir pun Rai tak tahu. Takkan dia nak kahwin dengan aku sekarang? Nak mati?

###

"Saya nak cakap sesuatu dengan awak."

"Cakaplah."

"Tak mau kat rumah. Nanti keluarga awak bantai abang."

Ha! Ha! Ha! Lawak betul lah Hamka ni. Tak buat silap dan salah lagi dah takut kena bantai. Rai ketawa bagai nak rak hingga hilang sifat sopan santunnya sebagai seorang guru yang cemerlang. Dia tak dapat mengawal diri. Hamka terpinga-pinga sampai jadi ngeri perasaannya. Kenapa dengan Rai ni? Sabarlah dulu Rai...

"Jom kita pergi tepi parit kat hujung kampung."

Rai membonceng di belakang Hamka. Itulah kali pertama dia naik motor dengan Hamka. Sewaktu belajar kat maktab dulu, Hamka yang tumpang kereta Rai. Kenangan susah dan senang sewaktu belajar dulu memalit memorinya semula. Kenangan indah yang tak boleh diulangi lagi. Hamka dengan kesibukannya, dan Rai dengan aktivitinya. Mengajar di dua buah negeri berbeza makin menyukarkan mereka untuk bertemu dengan kerap seperti sewaktu di maktab dahulu.

“Ha! Cakaplah.”

Hamka menarik nafas dalam-dalam.

“Abang nak putuskan pertunangan kita.”

“Apa? Tapi kenapa? Apa dah jadi dengan abang ni?”

“Abang okey, tapi hati abang dah tak okey. Hati abang dah tak ada dengan Rai lagi. Abang dah tak ada perasaan pada Rai.”

“Sejak bila?”

“Lama.”

“Bila?” Rai menepuk-nepuk dada lembik Hamka. Bukannya bidang mana pun dada Hamka, buat apa lagi nak diharap pada lelaki itu. Lelaki keparat! Kau tak akan aku maafkan.

Menangiskah Rai? Meraungkah dia? Tapi kenapa dia…

“Kenapa abang tengok Rai macam itu. Tak percaya?”

Hamka terpegun. Raut wajah manis Rai ditenung tak percaya. Tabahnya Rai. Betul ke? Atau memang Rai mahukan perpisahan ini?

“Ikut suka hati abang. Rai tak suka berebut dengan wanita lain pasal lelaki. Kalau lelaki tu jutawan dan kacak tak apalah. Ini abang yang lembik macam ni…pirraaaah!”

“Tapi Rai…”

“Tak caya?”

“Jadi selama ini awak tak serius sayangkan saya. Awak penipu."

"Lu pikirlah sendiri sekarang siapa yang penipu!"

###

Di tepi Sungai Muar setelah enam bulan berlalu…

“Nak apa jumpa Rai?”

“Abang nak bagitahu ni. Minggu depan abang dah nak kahwin.”

Rai sangkakan Hamka mahu bertemunya kerana mahu menjalin hubungan semula. Mengikat semula pertunangan yang diputuskan secara rahsia. Rupa-rupanya Hamka betul-betul telah lupakannya. Hamka telah memilih gadis lain sebagai suri hidupnya. Jadi, selama ini Rai sahaja yang berharap. Rai seorang saja yang masih kukuh percaya cinta ini boleh diselamatkan. Tetapi sebaliknya…

“Hujung minggu ni keluarga abang akan datang rumah Rai. Abang akan pulangkan segala barang hantaran tunang dulu. Kali ini buat secara rasmi…”

Kali ini Rai tidak boleh menipu lagi. Airmata yang dulunya mahal kini teramat murah nilainya. Perasaannya remuk redam. Hancur seribu. Dia menanti satu kepastian, tetapi bukan ini yang diharapkan. Rasmi konon! Kau telah leburkan segala api cintaku, Hamka.

Rai berjalan ke tepi tebing Sungai Muar. Cincin di jari dicampak ke dalam sungai. Padan muka kau! Cinta kau dah aku buangkan di sungai Muar, biar buaya-buaya jantan meratahnya habis-habisan.

“Jangan Rai!”

“Rai!”

Bodohnya kalau kau fikir aku nak membunuh diri, Hamka. Jeritan dalam diri Rai tidak terkeluar.

“Saya tak bodoh.”

Hamka mengurut dada. Dia ingatkan Rai mahu terjun ke dalam Sungai Muar.

Buang masa saja bunuh diri kerana lelaki tak macho itu. Bukannya Rai tak mencari dalam tempoh enam bulan mereka putus tak rasmi dulu, tetapi yang datang menyerah cinta semuanya bapak-bapak orang! Siapa yang nak. Rai pun ada 'class' dan nilainya. Bukan boleh bantai semacam aje. Rai bukan kemaruk sangat. Lagipun dia masih muda. 30 tahun, muda kan? Ah! Siapa nak kira umur Rai. Yang penting muka nampak muda dan cun...

"Awak tak kisah pun bila saya nak kahwin? Awak tak jerit-jerit pun macam perempuan lain? Peliklah dengan awak ni."

Dalam sendu yang masih berbaki, Rai mendengar pertanyaan dari Hamka. Apa jenis soalan agaknya? Betul-betul nak provoke aku ni! Tak ada hati perut betul.

"Saya nak balik."

"Balik? Abang belum habis cakap ni."

"Dah tak ada apa yang nak dicakapkan. Abang datanglah rumah hujung minggu ni. Bawak barang semua dan pulangkan pada emak dan ayah Rai."

Rai menonong tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi dia lupa nak beritahu sesuatu.

"Cakap aje cincin tunang Rai dah buang kat Sungai Muar. Kalau nak juga, korek sendiri dalam sungai."

"Rai!"

"Rai. Tunggu kejap."

"Rai dah terlambat ni. Rai ada kelas."

"Kelas apa?"

"Rai sambung MBA."

"Tak cakap dengan abang pun."

"Abang bukan siapa siapa pada Rai lagi. Bukan urusan abang."

###

Setelah setahun dari tarikh perkahwinan Hamka...

Satu petang Raihana sedang baring-baring sambil membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah, telefonnya berdering tanda ada panggilan masuk. Dia memandang sekilas tetapi nama sang pemanggil tidak kelihatan. Entah mengapa gatal tangannya mahu mengangkat panggilan tanpa nama itu.

"Hello."

"Assalamualaikum..." suara di sana memberi salam.

Dadanya tiba-tiba bergetar kencang. Itulah suara yang amat dirindui setengah mati. Mana tidaknya sebaik putus tunang, bagaikan separuh jiwanya pergi. Jadi, ayahnya telah membuat air penawar agar Rai bisa melupakan si jantan yang lupa daratan itu. Itu...akhirnya Rai dapat melupakan Hamka dan menjalani kehidupan seperti biasa semula.

Tapi tika dan saat ini, jiwa Rai amat meronta-ronta mahu mendengar suara Hamka sekali lagi dan lagi. Apakah mksudnya ini?

"Rai..."

"Awak sihat?"

Diam. Rai tak mahu bersuara. Bukan tak mahu tetapi lidahnya serta merta kelu.

"Awak buat apa sekarang?"

Pertanyaan Hamka juga dibiarkan lagi.

"Awak dah ada boyfriend?"

Kali ini Rai menjawab laju. Biar Hamka tahu yang Rai masih rindukan Hamka. "Tak ada. Belum ada lagi."

"Ha...ha...ha..."

Besarnya ketawa dia. Sukanya Hamka bila mendengar yang Rai belum berpunya. Tetapi kenapa dia suka sangat? Dia pun pelik sebenarnya.

"Kenapa awak ketawa bagai nak runtuh dunia."

"Tak ada apa-apa."

"Awak ni bengong, gila. Suka hati saya nak ada boyfriend ke, sugar daddy ke, apa awak peduli."

Pulp! Talian Rai matikan. Dia dah tak kuasa nak layan mamat itu lagi. Terus nombor itu di 'blacklist'kan...

Tetapi hati Rai yang sarat dengan rindu tak dapat melupakan suara Hamka sebentar tadi. Hatinya jadi bersimpang siur. Antara benci dan rindu memang sukar ditafsirkan. Memang ejaan dan sebutan berbeza, tetapi rasa itu amat dekat dihati. Rindu itu memeritkan. Benci pun memeritkan. Aduhai!!!

Berulanglah insiden Hamka menelefon dan menganggu Rai setiap hari. Pada mulanya Rai suka dan berasa cintanya dapat digenggam kembali. Tetapi acapkali Rai bertanyakan soalan berbaur suami isteri, Hamka sering mengelak. Apakah maksudnya itu.


Rai bukanlah bodoh. Dia pun dah dapat degree dulu, dan sekarang sedang menghabiskan MBAnya. Takkan dia berakal pendek. Rai membuat siasatan sendiri. Kawan-kawan lama dihubungi. Kenapa agaknya Hamka bermuka tebal menagih kasihnya kembali. Mungkinkah Hamka berstatus duda sekarang? Apakah dia sudah bercerai?

Akhirnya jawapan ditemui. Sahlah, Hamka masih suami orang. Dia sangat sayangkan isterinya. Tetapi dia gatal semula menghubungi Rai yang berstatus bekas tunangan kerana kesepian. Kesunyian...dan jantan tak sedar diuntung itu mahu merebut cinta Rai kembali.

Usah berangan wahai encik Hamka. Kali pertama mungkin aku naif, tetapi kali kedua aku sudang matang. Selamat tinggal bekas tunangan! Selamat tinggal kenangan...

Dengan serta merta Rai menukar nombor telefonnya buat kesekian kali.
Advertisement

2 comments:

  1. mnarik gak cite ni.
    bt la smbungan raihana da jumpa mr.perfect dia..
    lg best jdinya.

    ReplyDelete
  2. anonymous,

    Payah sikit nak buat sambungan, ini kisah benar seorang rakan terdekat. Sampai sekarang ni mamat tu masih kacau dia. At last dia tukar phone number, dan akan guna balik pada bulan mei nanti. Dia syak isteri mamat tu sedang cuti bersalin kut, tu yang dia gatal balik cari ex-tunang dia.

    Dia terganggu sangat!!

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.