Header Ads

Kita ~ Nura Azata


“Dah besar nanti, kita kahwin nak?” Tanya Iyan berpuluh tahun lalu ketika mereka berdua sama-sama di sekolah tadika. Maklumlah budak kecil, bukan tahu apa. Dia ingat kahwin tu macam main masak-masak agaknya. Rasha yang kebetulannya sedang bermain tanah liat terus mengecilkan mata lantas menjelirkan lidah ke arah Iyan. “Tak mahulah. Awak gemuk!”

*****
Album gambar lama direnung kembali. Teringat pula akan Rasha, budak lelaki yang tak lah berapa kacak, air liur asyik meleleh tepi bibir, ditambah pula dengan hobinya yang asyik menangis tu, naik meluat. Namun, kerana mereka berkawan baik masa kecil, jadi itu sajalah yang dia nampak sebagai jodohnya apabila mereka besar kelak. Tapi—itu dulu!

Kini, dia sudah pun bekerja sebagai guru matematik di sebuah sekolah rendah. Bekerja dengan budak-budak, MasyaAllah—nakalnya! Tak dengar cakap. Bila mereka degil, jentik sikit kejap lagi mak bapak sampai depan mata. Alamak! Aku ni nak mengajar, bukan nak cari pasal. “Encik, sebab cikgu saya rotan masa kecil-kecil dululah saya berjaya jadi guru sekarang ni.” Jawapan seperti itulah yang selalunya menyelamatkan Iyan daripada dikenakan tindakan...

Iyan kini berumur 27 tahun, masih bujang, dan masih memilih. Bila ibu memilihkan calon, kononnya tak kacaklah, tak berduitlah. Maaf sikit! Dia bukannya kejar lelaki kaya, tapi sekurang-kurangnya tak adalah nak meminta-minta duit dia lepas kahwin nanti. Itu cuma alasan aja. Hakikatnya, dia memang tak ada hati nak kahwin.


Hari ini adalah hari yang sedikit malang baginya. Rasha, iaitu bekas kawan lelaki juga bekas jirannya sejak kecil juga memulakan tugas di sekolah itu sebagai seorang guru Sains. Boleh tahan kacak mamat ni. Sebenarnya, mereka dah lama sangat tak jumpa. Keluarga Rasha berpindah ke Melaka ketika mereka berumur 9 tahun. Sejak itu, dia tak ingat lagi pada Rasha, kecuali ungkapan memalukan ketika di sekolah tadika dulu.
Ish, tebal betul muka aku. Mana nak sorok? Ah! Dia tak kenal aku kot? Dia mesti dah lupakan aku. Macam mana aku masih ingat dia? Itu—bekas jahitan pada lengan kirinya, dengan tanda 'chicken pox' pada pipi. Kenal sangat. Nama pun aku ingat lagi. Rasha Bin Atan. Harap-harap dia tak ingat aku. Harap-harap sangat....


“Hai, Iyan. Sombong betul. Buat-buat tak kenal kita aja.”


Alamak! Dia kenal pulak...





*****


Rumah sewa baru ni, kira okeylah juga. Rumah pangsa. Dekat dengan sekolah, jalan kaki pun boleh. Bukan tak nak beli kereta, cuma—gayat nak memandu. Dah 2-3 kali ambil ujian memandu, gagal! Tapi, janganlah beritahu orang, malulah.
Rasha—dia sendiri yang buat keputusan nak pindah sini semula. Kononnya inilah tanah tumpah darahnya. Tapi sebenarnya dia nak cari Iyan. Rifariyan. Nama macam tu bukan susah nak cari. Dekat Malaysia ni, mungkin dia saja yang punya nama sepelik itu. Itu pun secara tak sengaja dia cari dekat FaceBook, maka terpampanglah muka comel seorang wanita—dialah tu agaknya. Sanggup dia mengintai Iyan, kerja di mana, tinggal di mana. Dan akhirnya mereka berjumpa di sini. Iyan pasti fikir mereka terjumpa secara tak sengaja.


Dari jauh, dia mengintai Iyan, dengan baju kurung merah jambunya, dengan beg tangan berliannya, macam nak pergi pertandingan ratu cantik. Dia akan berpura-pura terserempak dengan gadis itu. Dia akan berpura-pura tak sengaja menyewa di sebelah rumahnya. Kenapa ya? Saja nak mengenakan Iyan, atau... dia ada hati?


“Eh! Iyan. Awak tinggal sini ke?” Tegur Rasha secara tiba-tiba hingga termelatah Iyan dibuatnya.

“Awak ni, terperanjat tau. Apasal tak beri salam dulu?” Marah Iyan sambil mengurut dada.

“Maaf. Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.” Rasha semacam bersyarah pula.

“Waalaikumsalam. Awak buat apa dekat sini?” Iyan mengerutkan dahi.

“Rumah saya dekat sini.” Katanya sambil mengusap kepalanya dengan rasa segan yang amat.

“Ya ke? Malangnya awak tinggal situ. Rumah tu kan... ada...” Iyan cuba menakut-nakutkan Rasha.

“Kita tahu. Ada hantu, kan? Tak pun ada monster. Atau...” Rasha menggaru-garu dagu yang tak gatal.

“Eeii... Sudahlah. Malas nak layan awak.”


Ha! Ha! Dia memang ada hati dengan gadis itu. Bila berdepan aja, mulut pun macam tergagap-gagap nak bersuara. Kesian, macam orang OKU. Pelik aja Iyan tengok. Tapi apa nak buat. Itu semua pasal kata-kata Iyan masa sekolah tadika dulu. Hei, Rasha pegang sampai mati tahu! Dia pasti gadis itu akan membesar sebagai gadis yang paling cantik dalam sejarah (Chewah!). Cuma, mungkin Iyan dah lupa dengan kata-kata keramat dia dulu tak? Mungkin juga...


Tuk... tuk... tuk... Pintu Iyan diketuk.


Pintu dibuka. Kelihatan Iyan cantik dengan rambutnya hitam mengurai, dengan sepit rambut berbunga kecil di sisi telinga kanan. Memang cantik—walaupun Iyan berbadan gebu.

“Awak, kita sakit perutlah. Ada Chi Kit Teck Aun tak?” Kata Rasha lalu mengusap kepalanya.

“Kalau sakit perut kenapa picit kepala? Mengada-ngadalah awak ni. Ini mesti nak minta lilin, tak bayar duit karan.” Bebel Iyan.

“Helo Cik adik, tak nampak ke rumah kita tu terang-benderang cam stadium. Alah, setakat bil karan tu, dengan bil awak sekali kita mampu bayar tahu!” Balas Rasha.

“Iya? Habis tu?” Iya memeluk tubuh.

“Err... kita laparlah. Jom pergi makan nak? Kita bukan tahu tempat-tempat makan dekat sini.”

“Tak naklah. Kita tak keluar malam, terutamanya dengan lelaki. Faham?”


Iyan terus menghempas pintu.


“Ces! Kerek betul minah ni. Kita nak mengorat dia pun dia tak sudi. Kot membujang sampai ke tua, baru padan muka dia. Kalau aku tak pinang dia, siapa nak nakkan dia yang bermulut tempayan tu.”

Kemudian pintu dibuka semula.

“Cik abang, awak tak payah nak membebel depan rumah anak dara orang. Buruk benor perangainya. Baik duduk rumah diam-diam. Kejap lagi kita hantar makanan.”


Pintu ditutup kembali.

“Ha! Ha! Taktik aku menjadi. Aku akan memastikan Iyan menjadi milik aku dalam 60 hari lagi.”
*****

Pagi-pagi sebelum ke sekolah, Iyan akan memastikan rumahnya berkemas. Dapur bersih tanpa sebiji pinggan kotor sekalipun. Petang ni dia nak pergi belanja dapur. Barang-barang dapur semakin larap sejak Rasha tinggal sebelah rumah. Iyalah, setiap malam ketuk pintu rumah orang, minta makanan. Tak malu agaknya. Nasib baiklah aku kenal dia, kenal keluarga dia. Kalau orang lain, dah tentu awal-awal lagi aku dah ketuk pakai penyapu!


“Rasha suka aku ke? Taklah. Dulu dia kata aku gemuk. Sekarang ni pun, aku masih gemuk. Tak ada beza pun. Ho! Ho! Aku saja perasan agaknya!”

Di sekolah, aku ada peminat sendiri. Cikgu Arsyad adalah peminat setia aku sejak kali pertama aku jejakkan kaki ke sekolah ni 3 tahun lepas. Kesian dia. Daripada dulu dia cuba mengurat aku. Dialah yang tumpangkan aku masa aku takda kereta dulu. Dia juga yang pinjamkan payung kalau hari hujan. Kalau hari panas, dia beri aku sepaket tisu, hmm... macam-macam lagilah taktik orang bujang. Mulanya tak kuasa aku nak layan, tapi kesianlah pada dia. Padahal dia ni kacak, rupanya macam Salman Khan masa kurus, tapi masih membujang. Kot memilih tak?


“Hai, Iyan. Awak dah sarapan? Saya ingat baru nak pergi kantin.” Sapa Arsyad.

“Hai. Saya dah sarapan awal-awal lagi. Kalau awak nak sarapan, saya boleh teman.” Balas Iyan.

“Ha'ah. Kita pun boleh temankan.” Tiba-tiba Rasha mencelah. Matanya bukan main tajam merenung Iyan. Marah kot?

“Awak ni, Cikgu Rasha, kan? Awak kenal Iyan ke?” Tanya Arsyad, dengan perasaan ingin tahu.

“Kenal sangat. Macam isi dengan kuku. Rapat hingga tak ternampak ruang diantaranya.” Jawab Rasha dengan bersungguh-sungguh.

“Okeylah. Saya pergi dulu. Ada kerja.” Tiba-tiba Arsyad merajuk.

Iyan terus memukul Rasha dengan fail di tangannya.

“Awak ni apasal? Cakap merepek-repek. Pukul karang.”

“Pukullah, kita rela.” Rasha mengenyitkan matanya ke arah Iyan.

“Eii... tolonglah!”

*****


Tengahari tadi, secara tak sengaja dia terdengar perbualan antara Iyan dengan Cikgu Rosmah. Kata Iyan, dia nak pergi beli barang dapur dekat Carrefour petang ni. Ini peluang ni.

Cuma, dia berbulu betul dengan kelakuan Cikgu Arsyad. Ada juga dia tanya cikgu-cikgu lain tentang hubungan mereka. Hm... semua orang tahu Cikgu Arsyad tu bertepuk sebelah tangan. Sudah bertahun-tahun mereka digosipkan, tapi Iyan buat muka toya saja. Baguslah tu Iyan. Awak dah janji nak kahwin dengan kita, jadi awak kena kotakan janji tu. Kalau tidak, habislah awak—Iyan!


Pukul 3.46 petang, dia tercari-cari kelibat Iyan di sana. Mestilah di bahagian makanan, iya tak? Iyan kan suka makan. Ho! Ho!

“Ehem... awak buat apa dekat sini?” Tiba-tiba Iyan menyapa dari belakang.

“Eh! Iyan kita suka kat awak!” --Rasha termelatah.

“Awak nak kena pukul lagi? Tak serik-serik lagi?” Muka Iyan dah merah-merah, malulah
tu.

“Hei, siapa suka kat awak? Kita termelatah aja. Awak tu yang tak bagi salam, tiba-tiba terjah orang.” Marah Rasha, konon-kononnya.

“Okey.” Jawab Iyan selamba lantas terus menyorong troli meninggalkan Rasha seorang diri.


Terkedek-kedek Rasha mengejar dari belakang.

“Yan, awak masak apa malam ni?” Tanya Rasha tanpa rasa malu.

“Tak tahu lagi. Awak nak makan apa?”

“Kita, kan... Kita teringin nak makan asam pedas ikan pari. Boleh masakkan tak?” Rasha tersengih lagi.

“Iyalah. Awak beli ikan pari sendiri, nanti bagi kita, kita masakkan.” Balas Iyan selamba.


Saat itulah mereka seolah-olah pergi membeli-belah bersama. Sekali-sekala Rasha pula yang menolak troli itu. Gelagatnya bagai suami isteri yang baru berumahtangga. Kebetulan pula Iyan tak kisah berjalan dengan Rasha. Rasha pun ambil peluanglah. Dalam troli tu pula penuh dengan barang-barang Rasha. Apa yang dia rasa nak makan, semua dia humban dalam troli. Dia ingat siapa nak bayar?

“Nanti kita bayarlah. Awak jangan risau.” Bisik Rasha hingga membuatkan Iyan naik segan.

“Siapa risau? Cuma, ini semua kita lah yang kena masak ni. Ingat kita orang gaji awak ke?”

“Ha'ah ya. Ingatkan awak tu orang gaji kita.”

“Mengada!”


*****

Hari Sabtu, Iyan balik ke rumah orang tuanya. Waktu-waktu beginilah nak bermanja dengan ibu. Bila Iyan balik, ibu selalu masak sedap-sedap. Kata ibu, Iyan nampak cantik kalau berisi. Kalau kurus kelihatan macam papan lapis. Iya ke ibu? Bukan ke orang perempuan berebut-rebut beli ubat kurus sebab nak nampak cantik?


“Iyan, hari ni ada orang nak datang merisik.” Iyan mengerutkan dahi. Mulutnya terlopong. Biar betul ibu ni?

“Ibu percaya, Iyan pasti terima dia.” Sambung ibu lagi.

“Siapa bu? Anak Pak Asan tu ke? Tak naklah.” Ibu menggeleng.

“Hah! Ini mesti Razak janggut kambing tu kan? Tak naklah ibu. Iyan tak berkenanlah.”

Ibu menggeleng lagi, kali ini dengan senyuman. “Tunggulah orangnya datang dulu.”


Tunggu punya tunggu, punyalah penat memasak hari ni, akhirnya cuma si Rasha yang datang. Rasha dengan kedua orang tuanya. Oh! Agaknya keluarga dia datang melawat tak? Kalaulah dia orang terserempak dengan rombongan merisik tu nanti, mahu si Rasha mengamuk depan orang ramai. Maklumlah, dia dah jadi pelik sejak akhir-akhir ni. Gila bayang agaknya.

“Iyan dengan Rasha pergilah duduk luar dulu. Ibu nak berbincang sikit.”

Muka Iyan dah pelik—Rasha ke yang masuk meminang?

Di luar rumah, Rasha dipukul bertalu-talu dengan sebatang mop. Padan muka dia. Siapa suruh nak minang tak cakap awal-awal? Punyalah Iyan tertanya-tanya siapakah gerangan. Nasib baik dia tak fikir sampai pecah kepalanya.

“Apa? Awak juga yang cakap awak nak kahwin dengan kita. Jadi, kita masuk minanglah. Takkan awak pula yang nak minang kita.” Kata Rasha dengan bakul baju ditekup di kepalanya. Takut dipukul lagi.

“Bila masa kita cakap kita nak kahwin dengan awak?” Iyan mencekak pinggang.

“Ada. Masa kita umur 5 tahun, dekat tadika Kemas. Dah lupa?” Rasha tersengih lagi.

“Itu... Itu... Kita main-main aja. Kita pun tak sangka kita boleh cakap macam tu.” Iyan mulai bengang.

“Eh! Tapi dulu bukan awak kata awak tak nak ke? Sebab kita gemuk? Tak ingat?” Sambung Iyan.

“Alah, eloklah tu. Tak payah guna bantal.” Rasha senyum-senyum kambing.

“Eeii... mengada-ngada.” Rasha dikejar lagi.

“Hei, awak tak baik pukul laki tahu. Tak cium bau syurga.” Rasha cuba menahan kayu mop yang dipegang Iyan.

“Siapa bini awak? Perasan. Perangai macam kambing, ada hati nak mengorat orang. Pigidah!”


Dari dalam rumah, kelihatan kedua orang tua sebelah pihak sedang mengintai gelagat mereka di celah tingkap...

“Macam itulah mereka dari kecil. Dah besar ada jodoh rupanya.” Kata mak Rasha.
Yang lain hanya tergelak melihat gelagat mereka berkejar-kejaran di laman rumah macam cerita Hindustan.


*****

Tak lama lepas tu... mereka pun berkahwin...

“Eleh, dulu kata tak nak. Lepas tu, terima juga.” Bisik Rasha ke telinga Iyan.

“Awak jangan. Kita dulu yang ajak awak kahwin, awak yang tak nak. Lepas tu nak terhegeh-hegeh pula. Gatal.” Ketika itu Iyan sudahpun berada dalam pelukan Rasha.
“Alah, mengaku ajalah. Kita sama-sama nak. Awak tak nak ke jadi isteri kesayangan kita?” Tanya Rasha lalu mengusap anak rambut Iyan.

“Kita nak...”


Iyan gembira akhirnya jodohnya adalah dengan Rasha. Bekas teman lelakinya ketika kecil dulu. Bila difikir semula, alangkah malunya kerana Iyan dulu yang melamar jejaka itu ketika di sekolah tadika dulu. Tapi, lihatlah kini. Siapa kata teman sepermainan tak boleh menjadi pasangan suami isteri? Iyan mengaku, dia memang cintakan Rasha, begitu juga Rasha yang pantang betul Iyan dilihat lelaki lain. Cemburu buta! Cuma, Rasha masih seperti dulu. Tidur dengan air liur meleleh, juga cepat mengalirkan air mata kesedihan. Alahai, suami aku... Nasib baiklah isterinya penyayang... Ha! Ha!
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.