Header Ads

Tiada Tajuk 2


Si pokok kelapa dan si jantung pisang benar-benar duduk bertenggek di atas pembahagi antara rumah mereka. Di raut wajah masing-masing tidak sabar mahu menyuarakan hasrat yang terpendam. Yang pertama tentulah menolak rancangan papa dan mama mereka untuk dijodohkan, dan yang kedua tentulah plan B, iaitu plan kecemasan. Jika suara hati mereka tidak diendahkan, mereka mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tetapi di tempat yang berbeza. Baru padan muka mereka!

“Mana dia orang tak muncul-muncul ni. Perut dah pedih sakan.”

“Aku pun sama Kay. Entah apa yang dikerjakan kat dalam. Lama sangat.”

“Kau pergi jerit jap.”

“Kaulah Kay! Suara kau lagi kuat.”

“Kau lah. Suara aku halus. Macam mana mama dan papa kita nak dengar. Kau kan selalu jamming dengan budak-budak Pearl kat studio. Suara kau merdu dan …”

“Bunyi jantan kan. Aku tahu kau nak cakap yang itu.”

Kay angkat kening. Mula sebelah. Kemudian angkat kedua-dua belah. Mat perasan ni selalu angkat bakul masuk sendiri, ops! silap…masuk bakul angkat sendiri! Dia tak tahu hati Kay di dalam penuh dengan ayat-ayat kutukan. Susah ada kawan syok sendiri.

“Kau tak puas hati?” Jay mengeluarkan senjata provokasi.

“Ada aku cakap?”

“Dari air muka aku dapat baca. Kalau suka cakap…”

“Kau tengok muka aku ni jap. Ada muka suka atau benci?”

“Meh aku telek …”

“Eh! Apa ni…” Kay menolak tangan Jay yang mahu memegang pipinya.

“Dah kau suruh, aku buatlah. Macam tak biasa. Eleh!”

“Memang tak biasa, what!”

“Kalau si mamat kurus melengking tu bagi pulak.”

“Dengan dia sebab dalam hati ada cinta…tak macam kau. Dalam hati…”

Jay menyampuk deras. “Ada gula. Gula-gula lollipop…ha! ha! ha!”

Tangan kanan Jay dengan kasar memegang muka bujur Kay yang licin melepak tanpa sempat Kay menolaknya. Jarak mata Jay dan pipi Kay hanya beberapa inci. Jay nak sakitkan hati Kay. Alang-alang Kay suruh tengok muka dia, baik Jay buat betul-betul. Selama ini dia tengok sebelah mata saja sebab dia sudah naik muak dengan si jantung pisang ini. Sudah bertahun-tahun mereka berjiran, semuanya tentang Kay dia sudah hafal. Dia sudah jelak.

Malangnya beberapa saat ketika insiden itu berlaku, baik Jay dan Kay terdiam kelu. Membisu seribu bahasa. Alam maya yang tadinya bising dengan bunyi nyamuk dan unggas waktu malam seolah-olah ikut terkedu. Mulut murai mereka berdua entah hilang ke mana. Apa dah jadi ni? Desahan nafas dan debaran di dada Jay dan Kay begitu jelas kedengaran. Sukar ditafsirkan isyarat nafas dan debaran di dada mereka. Bencikah? Marahkah? Tangan Jay kaku di pipi mulus Kay. Mata Kay pula bulat merenung bebola coklat anak mata Jay.

“Jay?”

“Kay?”

Tiada balasan. Tiada respon.

“Ish! Budak-budak ni. Dah kena sampuk ke apa? Tadi bukan main berkeriau macam kucing dengan anjing bergaduh.”

“Kenapa dengan budak-budak tu Kak Mila?”

“Entah! Dari tadi macam itu aje gayanya. Aku pun tak tahu apa kena dengan dia orang ni Wati.”

“Ada apa yang kecoh-kecoh ni Mila, Wati. Budak berdua tu mana? Tadi masa aku mengaji bukan main becok mulut suruh cepat. Bila kita dah keluar, dia orang pulak tak ready.” Suami Mila yang bernama Wan Harun mencelah.

“Cuba abang Wan nengokkan tu. Macam ada yang tak kena aje.” Wati bersuara risau.

“Laa…duduk macam tu pun sempat tangkap cintan. Memang kurang adab betul dia orang ni.” Wan Harun menepuk kuat bahu anak bujangnya.

Serta merta tangan Jay terlepas dan nasib tidak baik, dia telah tertolak tubuh kecil Kay ke atas tanah. Dahi Kay terhantuk pada bucu tembok menyebabkan dia mengaduh kesakitan. Semua orang berlari mendapatkan Kay yang sedang memegang dahinya. Ada darah di situ.

“Pergi ambilkan emergency kit kat dalam. Cepat.” Mila menyuruh anaknya itu sambil tangannya memaut tubuh kurus Kay. Dia merasa kasihan melihat keadaan Kay yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

“Eh! Kak Mila tepi sikit. Kay ni anak saya. Biar saya yang uruskan.”

“Aku lupa. Aku rasa dia dah macam anak aku sendiri.” Bahasa pertuturan Mila memang agak kasar tetapi hatinya baik. Dia memang suka ber’engkau’ ‘aku’ dengan semua orang termasuklah kawan baiknya itu.

“Biasalah tu Kak Mila. Naluri seorang ibu…” Wati tersenyum mengerti.

Setelah Jay membawa barang-barang yang diperlukan, Wati membersihkan luka kecil di dahi Kay dan membalutnya dengan handy plus. Luka Kay hanya kecil sahaja. Wati meminta semua orang agar tidak risaukan Kay. Lega Jay melihat Kay yang sudah duduk di kerusi di ruang tamu rumahnya. Sekarang mereka hanya menunggu kepulangan ayah Kay dari tempat kerjanya. Ayah Kay ada menelefon dan memberitahu bahawa beliau dalam perjalanan pulang.

“Kenapa yang tadi tu…”

“Kenapa apa?” Kay menyoal Wati semula.

“Eh! Kita tanya dia, dia tanya kita balik.”

“Hah! Jay. Apa yang jadi tadi tu? Korang macam kena sawan aje?”

“Yang tadi tu. Ohh! Saya tertolak Kay. Tak sengaja.”

“Bukan itu. Sebelum itu.” Mila pula menyoal anak bujangnya.

“Yang mana mama? Tak ada apa-apa pun yang terjadi.”

Mila dan Wati berpandangan dan saling bertukar senyum. Berlakon tiada apa yang terjadi tetapi mata orang tua mana boleh ditipu. Hakikatnya, Wati dan Mila sangat bahagia jika yang terjadi tadi adalah satu kenyataan. Memang itu yang dimahukan, Jay dan Kay jatuh cinta. Mudahlah urusan mereka nanti.

“Semua orang dah ada?” Satu suara garau mengejutkan momen yang sedang dinikmati oleh Wati dan Mila.

Sambil memandang Taib, wajah Wati dan Mila masih berbekas dengan senyuman.

“Kenapa isteri kita ni Wan Harun? Ada yang tak kena ke?” Taib menyoal Wan Harun yang sedang duduk dengan kaki bersilang.

“Entahlah! Anak-anak dengan mamanya sama aje. Kena sampuk kut!”

“Dahi kamu kenapa Khatijah? Bertampal bagai…jatuh ke?” Taib memandang anaknya.

Sebaliknya Jay ketawa terbahak-bahak apabila Taib menyebut nama Khatijah. Dia mengira hingga tiga dan kemudian dia tahu Kay akan berkata begini, “Papa ni bosanlah. Nama kita cantik dan glamour, tapi papa call me by that classic name. I don’t like!”

“Udah! Udah! Ni kenapa dengan dahi kamu?”

Kay tidak jadi membuka mulutnya. Jay terus tersengih-sengih macam kerang busuk. Syok! Si jantung pisang asyik terkena aje hari ini. Padan muka kau!

“Pokok kelapa dah tolak Kay sampai jatuh, papa.”

“Saya tak sengaja Papa Taib. Dia yang kurus sangat…lepas tu…”

“Dua-dua pun sama. Full stop! Kita bincangkan hal korang berdua sekarang.” Wan Harun membetulkan cermin matanya.

Semua orang terdiam apabila pemilik Bunga Teratai Holdings itu bersuara.
Advertisement

1 comment:

  1. saya menanti episod seterusnya..bila nak keluar...permulaan pun dh seronok... :)

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.