Novel: Mengapa Di Rindu 20

loading...


Wida duduk diam-diam sambil menunggu orang yang ingin ditemui muncul. Bibik yang membawa hidangan jus oren telah lama menghilang di sebalik pintu gerbang nenuju ke ruang dapur. Di tengah-tengah antara ruang tetamu dan dapur terdapat satu dewan makan yang dikhaskan untuk tetamu yang datang. Itulah fungsi pintu gerbang yang terbina dari adunan kayu jati berkualiti tinggi yang memisahkan ruang tamu dan ruang dapur. Dahulu dia bebas keluar masuk di kediaman mewah itu. Dahulu juga dia bebas menjenguk bilik Hazzim jika jejaka itu pergi ‘out station’ atau tiada di rumah.

Kini…mendengar suara orang yang bakal ditemuinya sebentar lagi pun dia sudah kecut perut. Itu belum lagi bertemu muka. Tetapi demi dendam yang kesumat lantaran cinta yang ingin disambung tidak mendapat layanan yang sewajarnya, Wida jadi berani. Dia ingin menabur minyak tanah ke atas unggun api yang suam-suam kuku panasnya. Gosip yang bertebaran di luar sana mengatakan pilihan Hazzim mendapat tentangan dari tuan punya rumah mewah ini. Inilah peluangnya!

“Dah lama kamu sampai?”

Wida tersentak. Matanya menentang pandangan sinis dari Dato’ Yusniza. Wida bangun mengangkat tangan untuk bersalam tetapi malangnya tokoh korporat itu tidak menyambutnya. Dia malu sendiri lantas segera menarik tangannya kembali ke belakang.

“Masih ingat jalan ke sini. Ingat dah lupa?”

“Ha’ah…maafkan saya mummy sebab ganggu masa mummy sekejap. Wid…”

“Straight to the point. Kamu nak apa?” Dato’ Yusniza memotong percakapan Wida.

“Begini mummy…”

Dato’ Yusniza memotong percakapan Wida dengan nada keras. “Don’t call me mummy. Guna panggilan lain. Sakit telinga nak dengar.”

“Oo…ok Dato’. Wida faham Dato’.”

“Hurm! Teruskan. Saya nak keluar sekejap lagi. Cepat sikit.”

“Ya….ya…”

Wida menelan liurnya. Tekaknya berasa payau yang amat sangat. Sungguh Dato’ Yusniza telah membuang dirinya jauh ke kancah benci. Untuk menentang matanya juga Dato’ sudah tidak sudi. Tak mengapa, ini masa dia, bisiknya dalam nada geram.

“Wida jumpa Hazzim tadi.”

“Apa yang peliknya? Bukankah kamu selalu mengintip dia walaupun saya dah halang. Kamu memang muka tak tahu malu.”

“Wida nampak dia makan dengan perempuan. Bila Wida tanya dia kata perempuan itu girlfriend dia. Itu yang nak inform pada Dato’ sebenarnya…”

Dari duduk Dato’ Yusniza terus berdiri bila Wida menyampaikan perkhabaran itu. Dalam senyap Hazzim berjumpa dengan seorang wanita dan telah memperkenalkan sebagai teman wanitanya kepada Wida. Siapakah wanita itu? Apakah wanita yang sama yang ditunjukkan gambarnya oleh Yuhanis tempohari? Sejak bila pula Hazzim pandai berbohong kepadanya? Ini tak boleh diterima akal; bentak Dato’ Yusniza sambil tak sedar dia mengenggam penumbuknya.

“Kamu dah makan?” suara dato’ Yusniza bertukar nada. Kali ini nadanya begitu lembut sekali.

Wida menggeleng dengan perasaan hairan. Apa kena dengan Dato’ korporat ini? Sekelip mata berubah begitu saja.

“Jom kita lepak kat dewan makan. Bibik pun ada masak banyak lauk untuk ‘launch’ tadi. Tapi Hazzim tak balik pun. Ammar pun tak singgah makan, ada appointment lah agaknya dia orang tu. Tak sangka pulak kamu yang terjumpa dengan Hazzim…”

“Duduk….duduklah. Macam tak biasa pulak.”

“Ya lah Dato’…”

“Isshhh…panggil mummy aje. Macam biasa yang Wida buat dulu.”

‘Mummy? Tadi kan kau tak bagi aku panggil nama itu. Dasar talam dua muka…; gumam Wida sendirian.

“Siapa nama girlfriend dia?”

“Alisya.”

“Erm…sedap nama dia. Macam mummy pernah dengar nama tu. Ada gambar dia?”

“Maaflah mummy. Tak ada. Tak sempat nak ambil tadi. Habis tu…Hazzim marah-marah.”

“Apahal pulak dia marahkan kamu?”

“Dia marah sebab Wida asyik follow dia aje.”

Dato’ Yusniza ketawa besar. Begitulah lagaknya jika pasangan yang sudah tidak sehaluan lagi. Benci membenci sudah jadi mainan perasaan.

“Tak mengapa. Biar nanti mummy marahkan dia balik.” Dato’ Yusniza tersenyum memujuk.

“Terima kasih mummy.”

Dalam rasa pelik dan keliru mendepani apa yang sedang berlaku, Wida tetap makan dengan berselera sekali. Masakan Bibik Natrah memang sedap. Dari dulu dia memang menggemari masakan yang disediakan oleh Bibik. Lagi satu, Bibik faham dengan citarasa penghuni rumah tersebut. Ada saja hidangan yang istimewa untuk setiap manusia di dalam banglo mewah itu. Dan Bibik akan melakukannya dengan rela hati kerana dia telah menganggap penghuni rumah agam itu seperti anaknya sendiri, termasuklah Wida sekali.

“Boleh Wida tolong mummy?”

“Apa dia mummy?”

“Nanti kita bincangkan. Sekarang mummy ada hal, bila dah settle kerja mummy, mummy akan call Wida. Boleh ya?”

Wida tersenyum senang. Dato’ Yusniza telah mengutipnya kembali dari kancah sampah terbuang. Dia berangan-angan tinggi, selepas ini bolehlah dia melepak di banglo milik Hazzim dan keluarganya itu. Wah!! Keadaan sudah kembali seperti asal. Wida bernyanyi riang tatkala menuruni tangga di ruang garaj untuk menuju ke perut teksi yang sudah ternganga. Tadi Bibik Natrah sempat memanggil teksi untuk Wida setelah diminta berbuat begitu oleh majikannya.

Dari cermin pintu, Dato’ Yusniza memerhatikan gelagat Wida dengan muka jelek. Sengaja dia menghulur not seratus ringgit kepada Wida agar gadis gedik itu boleh berambus dari banglonya. Dia tidak tahan untuk berlakon lama-lama di hadapan Wida. Demi membongkar kegiatan anak bujang kesayangan, dia sanggup buat apa sahaja walaupun terpaksa menjilat balik ludahnya sendiri.

Sebuah kereta masuk di garaj. Tersembul wajah Hazzim yang penuh ceria sambil menjinjit beg di tangan kirinya. Dato’ Yusniza terperanjat melihatkan kemunculan Hazzim di saat-saat begitu. Nasib baik dia sempat ‘menghalau’ Wida tadi. Jika tidak, pasti temberangnya pecah.

“Assalamualaikum Ibu….”

Tangan Dato’ Yusniza dicium dengan ikhlas. Dato’ Yusniza sempat merenung wajah anak bujangnya yang masih solo itu. Raut Hazzim berbeza dari biasa. Ada cahaya kebahagiaan yang terpancar. Itulah kata-kata naluri seorang wanita bergelar ibu. Mungkin itu penangan cahaya cinta, siapa tahu?

“Hazzim dari mana? Tak balik pejabat lepas ni?”

Dato’ Yusniza menyapa lanjut bila Hazzim sudah bergerak naik ke atas.

“Penatlah ibu. Dari Springs Season Resort tadi saya terus balik.”

“Ada apa kat sana?”

“Ada hal sikit.”

“Business appointment ke? Dengan siapa?” Dato’ Yusniza masih mahu bertanya lanjut.

”Taklah ibu. Personal meeting…”

Pelik bunyinya. Dahi Dato’ Yusniza berkerut seribu.

“Eh! Tak makan dulu? Bibik dah masak banyak lauk ni.”

Hazzim memusingkan badannya sambil melurutkan tali leher di tengkuknya.

“Tak lah ibu. Nak solat kejap lepas tu berehat. Okey bu…”

“Okey.”

Perlahan sahaja suara Dato’ Yusniza menjawab. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Hazzim. Si bujang kesayangannya seperti mahu menyorok sesuatu. Dari hasrat mahu keluar berjumpa dengan rakan perniagaannya, Dato’ Yusniza membatalkan niatnya itu. Dia mahu menunggu di rumah kalau-kalau Hazzim mahu berbicara tentang perubahannya yang mendadak itu.

1 comment:

  1. nampak sangat Dato' tu materialistik.Pentingkan diri sendiri. Mesti Hazzim tak tau mak dia mcm itu...kesian.

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.