Novel: Suratan 15

loading...

Soraya dan Syez Hafiz makan tengahari di Pan Pacific Hotel. Pada waktu makan tengahari begitu Dewan Teratai penuh dengan ragam manusia yang mahu menjamu selera atau bertemu rakan perniagaan sambil menjamah hidangan yang lazat.

“Selalu datang sini?”

“Kadang-kadang. Itupun dengan family…”

“Kerja ok?”

“So far okey aje…pengawal-pengawal keselamatan syarikat I semuanya berpengalaman. Kita orang ambil pesara tentera ataupun askar-askar yang pencen awal. Jadi, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Apa yang penting, kebajikan mereka kena jaga. Kalau dia orang buat hal, susah syarikat nak cari pengganti.”

Syed Hafiz tertegun memerhatikan Soraya berbicara. Gadis di depannya itu memiliki kecantikan semula jadi, petah dan peramah. Ciri-ciri wanita idaman ada di depan mata. Apalagi yang mahu ditunggu, menyesal nanti jika ia dilepaskan begitu sahaja setelah sekian lama dia mencari pasangan yang sesuai.

“I tanya you marah tak?” tanya Hafez ketika dalam perjalanan menghantar Soraya pulang ke pejabatnya.

“Kena pada soalannya I jawab. Kalau tidak, I biarkan saja…”senda Soraya membuatkan Syed Hafez terasa dirinya disindir.

“You still available?”

Akhirnya itulah yang terkeluar dari mulut Syed Hafez.

Soraya ketawa tak tertahan lagi mendengar soalan yang ditanyakan oleh Syed Hafez. Dia tidak menyangka yang Syed Hafez akan menyuarakan pertanyaan yang berbaur peribadi pada seawal pertemuan mereka. Soraya hanya melayan tawanya yang belum surut lagi tanpa menjawab pertanyaan dari teman barunya itu.

“Nina! You tak jawab pun.”

“Soalan itu bukan untuk I…”jawab Soraya selamba ketika membuka pintu kereta Perdana milik jejaka kacukan Arab itu.

Soraya sekadar mengangkat tangan tatkala Syed Hafez masih terpaku di dalam keretanya menunggu jawapan yang tidak pasti. Akhirnya setelah beberapa ketika lelaki itu berlalu juga dari hadapan pejabat Nina Soraya.

Sebaik sahaja Soraya mencecahkan kaki ke dalam pejabat, Kamaliah menerjah cuping telinganya dengan suaranya yang lantang.

“Soraya, kau offkan handphone ya? Encik Ahmadi asyik bertanyakan pasal kau. Katanya ada hal mustahak. Nanti dia nak jumpa kau!”

“Mana dia?”

“Sekarang dia ada appointment dengan klien dekat Bukit Mewah. Dalam pukul tiga nanti dia balik.”

“Yang lain mana?”

“Amin dan Wahab keluar makan. Melati pulak MC.Perut dia sakit lepas makan rojak mamak kat depan tu…”

“Haiii pagi tadi elok aje…”

“Nak kena, Soraya. Tak boleh kata apa…”

“Ada orang cari aku, tak?”

“Banyak. Panggilan dari klien. Dari kilang plastik kat Larkin pun ada. Dia mintak pihak kita tambahkan lagi seorang pengawal kat sana sebab dia orang nak beroperasi 24 jam mulai bulan depan. Jadi, shift malam mereka nak ada dua orang pengawal secara bergilir…”

“Lain-lain? Adik aku kat KL ada call tak?”

“Tak ada. Hah! Ada lagi satu. Yang ini agak P&C sikit…aku ada catatkan kat kertas memo. Nah!” Kamaliah menyerahkan sekeping kertas kecil yang bertulisan tangannya.
Sambil tersengih-sengih Kamaliah mengusik, “Boyfren dah balik kut!”

“Kau ni! Ada-ada aje!”

Soraya menilik catatan tersebut.

‘NINA, TUNGGU AKU MALAM INI.-‘

“Siapa ni?!!”

“Aku pun tak tahu. Suaranya tak pernah aku dengar sebelum ini. Dia …seorang lelaki.”

“Siapa pulak nak kacau aku. Pelik betullah.”

“Entah-entah yang bagi bunga pun orang yang sama. Berhati-hati Soraya. Takut dibacakan jampi serapah kat bunga tu, sasau kau dibuatnya.”

“Kau ni merepek aje!”

Kamaliah ketawa mengekeh.

“Bos ada tanya pasal bunga itu, tak?”

“Ada.”

“Apa kau jawab?”

“Aku cakap boyfriend kau yang bagi…”

“Bagus. Pandai otak kau. 10/10…”

“Otak aku kan geliga.”

Mereka ketawa bersama-sama lagi.


“TADI you pergi mana Soraya? I cari merata tempat tak jumpa. Dahlah handphone pun you offkan. Menyusahkan betul…” tanya Ahmadi dengan kasar.

Petang-petang ditanyai begitu membuatkan Soraya bosan dan naik angin. Apa kuasa dia untuk menghalang tindakan Encik Ahmadi. Pergi makan tengahari dengan klien pun salah, offkan handphone pun salah. Apa lagi haknya sebagai individu. Di mana ketenangannya hinggakan soal peribadi pun Encik Ahmadi suka masuk campur. Berperananlah sebagai bos, ini lebih-lebih pulak…Soraya hanya mampu memprotes dalam hatinya.

Ahmadi berdehem beberapa kali apabila Soraya menunjukkan wajah tidak puas hati. Lagipun hatinya panas apabila pagi tadi ada jambangan bunga di atas meja Soraya. Lagi pula Kamaliah mengkhab arkan bahawa bunga itu adalah kiriman seorang yang cukup istimewa bagi Soraya. Mana hati lelakinya tidak cemburu. Bunga yang dijaga ada pula yang berani menganggu.

“Lain kali bagitahu pada I bila nak lunch atau tinggalkan office. Senang I nak cari you kat mana. Taklah buat I risau…”

Soraya rasa hendak termuntah mendengar perhatian yang dihulurkan oleh bosanya yang bujang telajak itu. Ada hati pada akulah tu…Soraya tersenyum gelihati.

“Encik Ahmadi tak perlulah risau pasal I. Lagipun I dah besar dan pandai jaga diri. Cuma, jagalah diri you sendiri!”

Soraya meninggalkan bilik Encik Ahmadi dengan perasaan yang berbagai-bagai.

MALAM itu Soraya berdebar-debar menantikan tetamu misterinya. Siapakah gerangan sidia? Walau pada mulanya dia beranggapan nota yang diberikan oleh Kamaliah sekadar main-main, dia bersiap juga ala kadar. Mana tahu tetamu itu benar-benar muncul. Tidaklah gelabah jadinya. Sambil itu fikirannya melayang kepada Bro. Aziz yang tidak nampak batang hidungnya siang tadi. Ke mana perginya pekerjanya itu? Apakah Bro. Aziz yang merancang ini semua kerana lelaki itu sering bertanyakan perihal teman lelaki kepada Soraya sejak kebelakangan ini.

Dalam dok melayan perasaan, wajah si bujang telajak Encik Ahmadi terpacul di ruang mata. Lelaki itu sering menyakitkan hatinya. Kata-kata yang dihamburkan sering menyakitkan hati. Naik meluat benar Soraya dengan sikap bosnya itu. Dah nasib badan dapat bos macam itu, terima ajelah, bisiknya memujuk hati.

“Tak sampai lagi ke kawan Nina tu?”

“Belum…”

“Hai…orang jauh ke?” sampuk ayahnya pula yang hanya berkain pelikat.

“Manalah saya tahu, yah. Dia tak perkenalkan diri.”

“Orang yang bagi bunga itu ke?” sambung ayahnya lagi.

“Hermmm…” Soraya menjawab malas. Dia berasa segan pula apabila ayahnya mula menyoal itu dan ini.

“Macam bagus budaknya. Dalam menggoda, dia sebenarnya menduga Nina…” celah emaknya tersenyum simpul.

“Emak ni ada-ada aje…”

Kedengaran bunyi hon di luar pagar. Soraya menjenguk melalui tingkap kaca. Di bahagian pemandu dia perasan seperti Bro. Aziz. Tetapi tak pasti siapa pula yang duduk di sebelahnya. Mereka datang dengan Proton Wira berwarna hitam yang tak pernak dilihatnya sebelum ini.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.