Header Ads

Novel: Suratan 14


“Hello… Nina ada?”

“Saya yang bercakap. Siapa di sana?”

Keadaan hening sebentar. Soraya menunggu sipemanggil bersuara. Kedengaran nafasnya turun naik menggambarkan dia sedang gementar.

“Hello! Pagi-pagi dah kacau orang. Kalau tak nak bercakap baik jangan telefon!” Soraya bersuara tegas.

“Please hold Nina…” suara itu kedengaran begitu gemersik dan lembut di cuping telinga Nina.

Soraya terpempan. Apakah sidia yang berada di hujung talian? Mengapa perasaan ini begitu berlainan sekali? Tidak semena-mena lagu rindu berkumandang dari dalam diri Soraya. Haizan Azeem…nama yang sudah sekian lama disebut-sebut tetapi entahkan bila dapat bertemu semula. Kini, si empunya nama keramat itu benar-benar muncul semula. Perasaan Soraya bersimpang siur antara percaya dan tidak. Antara berada di alam realiti atau khayalan, dia sendiri pun tidak pasti.

“Ya…siapa di sana?” Soraya mengulang soalan demi memastikan siapakah gerangan yang menganggunya pagi-pagi begini.

“Saudari tak marah?”

Suara sang pemanggil berubah garau sedikit.

“Kalau berterus terang takkan saya nak marah. Siapa ni?” Soraya hilang sabar hingga nada suaranya tingggi sedikit. Lagipun moodnya sudah hilang setelah dia pasti itu bukan suara milik Haizan Azeem. Rakan sekeliling pandang memandang tetapi Soraya buat-buat tak faham.

“Saya Syed Hafiz…Credit Officer dari EDD bank. Masih ingat I lagi?” suaranya begitu menggoda.

“Mmm…I tak berapa cam suara you. I ingatkan siapa tadi.”

“Cik Nina, you free tak hari ini? I nak ajak you lunch.”

“Sebenarnya…”

“Takkan tak sudi kut. You decide nak makan kat mana, I follow.”

Macam tag line SY dari Sinar FM pulak…Soraya gelihati sendiri.

“Okeylah Encik Hafiz. Kalau you dah nak belanja takkan I nak tolak pulak. Itukan tak bagus.” Akhirnya Soraya mengalah.

“Kalau macam tu I ambil you kat office. Dalam pukul dua belas gitu, tunggu ya..”

“Set!”

Soraya mengeluh kecil setelah memutuskan talian. Bro. Aziz sejak dari pagi keluar ke pejabat pos masih juga belum balik. Ahmadi, bosnya yang bujang telajak itu pun tiada di dalam biliknya. Amin dan Wahab sedang leka membuat kerja masing-masing. Kamaliah dan Melati juga sibuk. Maklumlah dekat akhir bulan, gaji dan kerja lebih masa para pekerja mereka perlu di kira dan dimasukkan ke dalam komputer sebelum di hantar ke bank untuk pengkreditan.

“Hello good morning. Cik Nina ada?” seorang remaja lelaki berbangsa India tiba-tiba muncul di muka pintu.

“Wow! Bunga sebakul, untuk siapa ni?” jerit Wahab yang kebetulan mahu keluar.

“Nina Soraya.”

“Amboi cantiknya! Beruntunglah badan…ada orang bagi bunga.” Entah kan sindiran atau pujian yang diberi oleh Wahab, Soraya malas ambil pusing.

Kamaliah dan Melati pula datang menyibuk.

Soraya hanya tersenyum menerima jambangan bunga ros merah itu yang disulami beberapa tangkai daisy cerah. Dia memang kerap menerima pelbagai tanda terima kasih dari pelanggannya dalam pelbagai bentuk.Ada yang ingin menjamunya makan di hotel mewah, dan tak kurang pula yang ingin menjadikan Soraya teman istimewa mereka. Bagi Soraya itu semua tak menjadi kudis baginya, memang sudah resam dalam perniagaan.

Remaja India itu sudah berlalu selepas mendapatkan tandatangan dari Soraya. Melati dan Kamaliah mendekati meja pegawainya yang cun melecun itu.

“Kali ini siapa pulak, Soraya?” Tanya Melati.

“Jangan-jangan sugar daddy!” jerit Amin mengusik nakal.

Soraya hanya tersenyum diusik begitu. Dia membuka kad comel yang disertakan bersama sebakul ros merah itu.

‘SELAMAT BERTEMU KEMBALI, NINA.’

Pelik. Tiada nama pengirim atau tandatangannya. Hanya sekadar tulisan tangan yang tidak dikenali. Soraya berasa janggal dengan kiriman kali ini. Memang agak pelik.

“Kali ini giliran aku pulak bawak balik bunga itu, Melati. Minggu lepas kau dah dapat.” Kamaliah mengingatkan gilirannya kerana Soraya tidak pernah membawa pulang hadiah-hadiah yang diberikan oleh pelanggan mereka.

“Sorry cik kak berdua. Kali ini turn saya bawa balik.”

Kamaliah dan Melati berpandangan.

“Are you sure, Soraya?” dahi Melati berkerut.

“Why not! Yang ini nampak interesting… maybe my secret admirer.”

“Wow!! Kelas beb.” Sambut Wahab yang sibuk memasang telinga mendengar perbualan tiga gadis tersebut.

Melati dan Kamaliah kembali ke tempat duduk mereka sementara Soraya sibuk memikirkan siapakah gerangan pengirim jambangan bunga tersebut. Adakah daripada seseorang yang dia kenal rapat?
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.