Aidil Adha...Aku penanti Setia!

November 06, 2011

itu suara indah yang sedang dihayati
datang dari peti yang berisi nikmat pengorbanan
ceritera tentang sejarah mereka
ikatan kasih antara hamba ke hamba
ikatan kasih teruna dan dara
termeteri dua jiwa suami dan isteri

kadang dalam hidup di fana ini
hati tersirat nada benci bernyanyi di canang syaitan durjana
hati dilumur lumpur hitam bernoda
ada tingkah bersulam kata tak manis
kelopak dendam pun berbunga
benih benci mula menjalar ke tiang tiang percaya
maka itulah guna setiap suara dihayati
indah makna pengorbanan masa lampau itu

bukan hari ini untuk hari ini
semalam tak datang singgah tanpa kelmarin
esok pun jenguk kerana disitu janji harapan
tahun ke tahun hinggap di hati
harap ia kekal bernoktah di lubuk ingat
dan bertapa dalam gua cinta Illahi

aidil adha
ceritera pengorbanan memahat kukuh
jadi azam buat kami yang tinggal!

No comments:

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.