Novel: Suratan 17

loading...
Jam hampir 4 petang. Soraya mengemaskan mejanya yang agak berselerak sebelum berganjak pulang nanti. Waktu pejabat yang tamat pada pukul 5 petang dirasakan begitu lambat berjalan. Melati dan Kamaliah telah keluar awal kerana ada urusan peribadi. Entah apa rancangan mereka, Soraya malas ambil tahu. Kalau nasib baik esok pagi pasti dia orang akan bercerita sambil mereka menikmati kopi panas dan sebagainya. Wahab dan Amin pula sedang sibuk menekan butang komputer, bukannya buat kerja pun. Macamlah Soraya tak tahu punca keseriusan wajah masing-masing. Pasti kalah main game kat Facebook. Tinggal Bro. Aziz yang sedang menyusun fail di bilik stor kedengaran bernyanyi-nyanyi kecil lagu kumpulan Spring. Soraya ikut sama menyanyi, tetapi di dalam hati sahaja. Dia pun meminati lagu tersebut yang dia sendiri sudah lupa tajuknya. Encik Ahmadi awal-awal lagi sudah berambus, mungkin ada temujanji dengan agensi cari jodoh. Macam-macam hal pulak manusia di pejabatnya ini. Tiba-tiba telefon berdering meminta diangkat.

“Tanjung Puteri Security Services…”

“Ya.”

“Encik Ahmadi dah keluar. Ada apa hal encik?”

“Saya Dollah bin Ahmad. Saya nak ambil emergency malam ini, orang rumah saya sakit kuat. Kalau boleh pihak pejabat tolong cari pengganti untuk tempat saya malam ini.”

“Encik jangan risau. Insya’Allah saya akan dapatkan pengganti pak cik. Pak Cik ambil cuti beberapa hari, nanti saya bagi tahu Encik Ahmadi. Mungkin dalampukul 6 petang pengganti pak cik akan sampai.”

“Terima kasih cik…”

“Soraya.”

“Oh! Cik Soraya. Terima kasih banyak-banyak. Saya berkawal di sekolah Rendah Bunga Kiambang Batu 11 ya, Cik Soraya…”

“Baiklah pak cik.”

Soraya segera membelek buku catatan peribadi pengawal-pengawal syarikatnya. Mendail nombor yang berkenaan dan mencari pengganti tempat pak cik Dollah. Akhirnya dia berjaya mendapatkan pengganti pak cik Dollah. Dia mengucap syukur kerana pengawal-pengawalnya sentiasa memberikan kerjasama yang baik padanya.

Kedengaran Bro. Aziz masih berada di dalam bilik stor. Pagi tadi Encik Ahmadi bising kerana bilik stor mereka berselerak dan tidak tersusun. Terpaksalah bro. Aziz yang mengemaskannya. Marah-marah juga Bro Aziz apabila di suruh melakukan kerja tersebut, tetapi siapalah dia untuk membantah. Encik Ahmadi bos dan dia sekadar pemandu syarikat sahaja.
Sewaktu Soraya bersiap sedia untuk pulang, dia terkejut apabila secara tiba-tiba Haizan sudah terpacul di muka pintu pejabatnya. Haizan masih bersut kemeja lengan panjang dan berseluar kasual yang sedikit longgar. Butang bajunya terdedah sedikit di pangkal dada menampakkan dada bidangnya.

Ah! Alangkah bahagianya jikalau aku dapat baring di dadamu wahai lelaki…Soraya sempat berimaginasi. Tetapi cepat-cepat dia mengawal emosinya daripada disedari oleh Haizan.

“Jumpa lagi.” Haizan menyapa mesra.

“Apa hal datang?” soal Soraya tanpa mengendahkan pandangan asyik Haizan terhadapnya.

“Tak boleh ke kalau aku nak jumpa buah hati?”

“Siapa? Semua orang dah balik!”

“Hai...yang depan akulah. Mana lagi.”

Muka Soraya merah padam. Antara suka dan duka…

“Nina. Kita dinner malam nanti, nak tak?” suara Haizan gemersik di cuping telinga Soraya.

“Kalau aku free.”

“Aku datang pukul 8 malam. Pakai cantik-cantik tau.” Haizan tidak mengendahkan layanan dingin Soraya. Malah dia semakin galak mengusik gadis itu.

Haizan meninggalkan Soraya setelah melihat Bro. Aziz datang ke arahnya. Sempat juga tangan nakalnya menyentuh lembut pipi Soraya. Soraya terkejut kerana dia dalam keadaan tidak bersedia langsung. Kalau tidak sudah lama penampar hinggap di pipi Haizan. Lagipun dia malu dengan Bro. Aziz yang sedang berada dekat dengannya sewaktu insiden itu terjadi.

“Sebenarnya aku singgah tadi sebab nak jemput Aziz. Aku chow dulu!” Haizan mengenyitkan matanya.

Soraya memerhatikan sahaja Haizan dan Bro. Aziz berjalan beriringan menuju ke kereta Wira hitam milik Haizan. Dari gerak gaya tentu mereka sudah lama berkenalan, begitu fikir Soraya. Akhirnya Soraya menjadi orang yang paling akhir meningalkan pejabat ketika jam bergerak ke angka enam.


HAMPIR jam lapan malam tetapi bayang Haizan tidak juga muncul-muncul. Soraya sekadar mengenakan dres panjang separas betis berbunga kecil berwarna coklat. Dres mencerut di pinggang menampakkan lagi kerampingannya. Dengan tubuh tinggi lampai begitu dia memang sesuai memakai apa jua jenis pakaian. Kakinya berayun-ayun di atas buaian yang terletak di anjung rumah. Cahaya lampu dari dalam menerangi sebahagian ruang luar rumah di mana Soraya sengaja membiarkan anjung tersebut bergelap. Hatinya masih berteka-teki. Apakah jejaka itu serius mempelawanya makan malam? Bagaimana dengan perasaannya sendiri, yang kerap jengkel apabila mengenangkan kisah lalu? Zaman persekolahan yang penuh dengan asam garam. Kekadang dia berdendam juga. Tetapi perasaan sayang mengatasi segalanya.

Lamunan Soraya tersentak apabila sebuah wira hitam berhenti di hadapan rumah. Dari dalam kereta keluar satu susuk tubuh yang amat dikenali. Soraya terasa wajahnya memerah saat itu juga tetapi nasib baik lampu dari dalam rumah yang agak malap dapat menyembunyikan pelbagai rasa yang bersarang.

Entah bila ibu dan bapanya menghidu kedatangan Haizan, Soraya pun tak perasan. Tiba-tiba suara ayahnya begitu mesra mempelawa Haizan masuk.

“Tak mengapa pak cik. Mungkin lain kali. Saya dah lambat ni.”

“Okeylah kalau macam tu. Bawa kereta hati-hati.”

“Insya’Allah pak cik.”

Huh! Bukan main mesra pulak Encik Abidin ni…rungut Soraya tak puas hati. Tentu ada benda yang mahu ditanyakan pabila pulang nanti. Bersedia ajelah dengan jawapannya.


HAIZAN membuka pintu kereta untuk Soraya. Gadis itu masuk dan duduk di tempat duduk penumpang. Bau haruman dari pewangi kereta terus menyerbu ke lubang hidungnya. Agak pembersih juga si Azeem ni, fikir Soraya.

Hujan mulai turun rintik-rintik. Haizan memasang ‘wiper’ agar pandangan jadi lebih jelas. Sesekali Haizan mengerling Soraya di sebelah. Cantik sungguh dia malam ini. Pasti emak dan ayah tidak akan menolak pilihan hatiku kali ini. Dialah yang menghuni hati ini sejak dari dulu hingga kini. Hatinya berlagu riang sambil membuang jauh-jauh tanggapan yang Soraya sudah dimiliki.

“Azeem, kita nak ke mana?”

“Makan malam.” Ringkas jawapan Haizan.

“Kat mana?”

“Ada la. Surprise.”
“Dengan aku pun nak buat surprise.”

“Mestilah. Kau kan yang special.”

Hati Soraya dibayangi renda bahagia.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.