Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Jun 11, 2012

Kau Menangis?

nur aynora
 

Aku memerhatikan dari bucu pintu, kau tak pandang pun. Wajahmu langsung tak kau angkat. Aku nak datang dekat, tetapi takut. Aku takut kau herdik aku macam selalu. Bukan herdik kasar-kasar, tetapi kau suka serang hendap hingga buatkan aku terkejut beruk. Itu sikapmu yang ceria sebelum hari ini muncul. Sebelum hari ini aku lihat kau tunduk setunduk-tunduknya. 

Eh! Kenapa dengan kau?

Apa aku ada buat silapkah semalam? Bukankah semalam kita sempat pekenakan Mr H yang bercermin mata bingkai tebal itu. Apa, Mr H dah 'belasah' kau dengan misai tebalnya? Tolonglah kawan wanitaku, cuba angkat wajahmu? Apakah masih ada sisa ketawa kita yang semalam itu?

"Eh...kau menangis?"

Kau kesat-kesat mata. Dengan hujung baju yang tak cukup, kau ambil bucu kain tudung pula buat mengelap si air mata.

"Mana ada? Kau yang silap pandang? Aku selsemalah."

"Bila pulak selsema keluar air dari mata?"

"Ah! Sudahlah!"

Kau yang kecil terus meluru keluar dari bilik pejabat kita dan aku nampak kau menuju ke tandas. Sah dan sahih! Kau menangis wahai kawan wanitaku. Tetapi mengapa? Takkan itu telah berlaku?

Itukah yang buat kau sedih. 'Itukah' yang telah menghancurkan hatimu? Aku menunggu di mejaku. Meja yang penuh dengan fail-fail yang minta disentuh. Tapi aku tiada mood. Mood ceriaku telah bertukar hiba apabila kawanku menangis walaupun dia menafikan. Hakikat tetap hakikat takkan bertukar jadi hikayat. Hakikat itu benar, hikayat itu benar ke?

"Kawan!"

Dia diam macam patung.

"Kenapa?"

"Tiada apa-apa."

"Kenapa bila cakap tiada apa-apa kau mengeluh?"

"Aku..."

"Teruskan. Aku mendengar."

"Aku putus tunang. Dia dah confirm akan kahwin dengan perempuan itu."

Ah! Kenapa perempuan itu juga yang menyebabkan kau menangis? Kenapa mesti kaum wanita sepertimu dan seperti aku juga yang merosakkan kebahagiaan sebuah hati? Apakah hati wanita itu sudah kering. Aku bersoal jawab dengan hati penuh debu dendam. Berdendam pada kaum wanita itu.

"Mungkin bukan salah dia."

"Habis?"

"Salah aku ataupun aku yang tak cukup jitu menunjukkan kasih."

"Kasih bukan untuk ditunjuk-tunjuk. Ia penuh dengan rasa dan sarat dengan roh rindu." Aku berfalsafah.

"Tetapi jangan salahkan dia, salahkan orang lelaki itu yang tamak haloba dalam mengejar kasih dan cinta."

"Iya ke?" Aku termangu.

"Mungkin kau dah penuh benci pada dia. Jangan benci sangat, dia Hamba Allah macam kita."

"Habis itu?" soal kau mula tersedu.

"Pasrah dan maafkanlah!"

Uwaaaah!! Uwaaah! Itukah nada pasrahnya?

Aku tak bisa bertanya lagi. Aku diam. Akhirnya aku ikut menangis dalam pelukan kami yang semakin erat.

Kawan...ini mungkin masamu...  


"Hidup ini adalah perjalanan menuju sebuah matlamat. Matlamat itu kita yang tentukan! Ayuh kawanku, ubah nasib kita kerana kita sendiri yang mampu mengubah warna dunia kita..."

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

0 comments:

Post a Comment

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates