Header Ads

Aku Yang Terlewat 4


Oleh kerana terlalu banyak kerja, aku 'skip' makan tengahari dan bercadang meminda jadual makanku selepas solat zohor nanti. Aku menyiapkan kerja-kerja yang boleh dibereskan dengan segera, dan bahagian yang memerlukan penelitian lebih, aku ketepikan dahulu. Kerja sepertiku memerlukan perancangan masa yang bagus agar segalanya dapat diselesaikan dalam masa yang ditentukan.

Aku membalas salam Hannah yang baru menelefon.

"I belum makan lagi. Sekejap lagi sambung zohor sekali."

Hannah bertanyakan jika aku sibuk dan serba ringkas pesanan agar aku tidak lupa untuk mengisi perut kerana pagi tadi pun aku tidak sempat bersarapan akibat terlewat bangun. Selepas memberi dan menerima salam, perbualan kami ditamatkan tak sampai seminit. Aku kagum dengan Hannah yang amat faham dengan kesibukanku. Kepercayaannya dan sikap ambil berat Hannah menjadikan aku seorang lelaki yang bertuah.

"Zaffrill...call untuk kau line 2!"

Entah suara jantan mana yang menyambungkan talian, aku tak perasan. Di jabatanku ada lebih dari empat orang jejaka yang tampan belaka, jadi aku singkatkan mereka menjadi 'jantan'. Boleh tahan juga gelaran yang aku gunapakai hinggakan selalu menjadi bahan gurauan kami semua.

"Temankan I makan lunch dengan client, Zaffrill. Hari ini partner I semua sibuk. Ada yang dah sampai kat resort pun. Dah pegang kayu golf."

Permintaan Datuk Khalid terpaksa aku turuti. Kita hanyalah kuli yang makan gaji manakala Datuk Khalid sudah tentu orang yang bayar gaji, hendak tak hendak aku terpaksa 'adjust' perutku kali ini. Datuk Khalid pun satu, orangnya bukanlah tak baik tetapi yang boringnya Datuk Khalid asyik cerita pasal golf. Padang mana paling cantik di Malaysia ini pun dia hafal nama jalan dan ceruknya. Hinggakan nama pemain golf antarabangsa semua dia tahu. Tetapi sayangnya, bila ditanya nama pemain golf Malaysia, Datuk cakap dia belum habis baca. Datuk oh! Datuk. Suka hati Datuklah...

"Ron!"

Panggilanku tiada jawapan.

"Aaron. Kau pekak ke?"

"Aku engaged!" Aaron menjerit demi memuaskan telingaku.

"Sorry!" Aku angkat tangan.

Aku menulis nota dan meletakkan di tepi lengan Aaron. Kakitangan yang lain sudah lama pergi mengisi perut. Tinggal aku dan Aaron yang terlebih rajin. Tetapi kerajinanku terbantut dek panggilan daripada Datuk Khalid tadi. Anganan mahu berehat selepas solat zohor nanti hanya tinggal impian kosong. Sambil berjalan ke ruang legar pejabat Antah Holdings, aku mendail nombor Hannah, isteriku yang tercinta. Panggilanku tidak berangkat. Jadi aku titipkan mesej sahaja. Lebih jimat masa daripada menunggu panggilan yang tidak berangkat.

"Zaffrill...lets go."

Datuk Khalid menggamitku. Telefon aku segera letakkan dalam mode silent tetapi aku setkan 'vibrate' agar aku tahu jika ada panggilan atau mesej yang masuk.

"Busy nampak."

Syukurlah jika Datuk Khalid nampak kesibukanku. Untung sabut timbul, bila tiba hujung tahun bolehlah dapat bonus berkali ganda...anganan tak sudah mengiringi langkahku ke kereta Mercedes milik syarikat. Azmi yang sudah bertahun menjadi pemandu Datuk Khalid tersenyum melihat kami datang.

"Agak busy jugak..."

Datuk Khalid mengangguk.

"Mi...pergi Paragon Hotel."

Aku tidak banyak tanya. Kalau ikutkan nama hotelnya, ia bertaraf lima bintang. Jadi pada tanggapanku, client Datuk Khalid kali ini mestilah hartawan yang boleh membawa faedah kepada syarikat. Aku membetulkan ikatan tali leher agar kelihatan kemas. Sebagai pengurus pelaburan syarikat, aku kena kelihatan yakin dan berkarisma di mata pelanggan.

Sewaktu kami tiba di lobi hotel, keadaan agak lengang. Ada beberapa pelancong asing sedang membelek akhbar sambil berbual santai. Mungkin sedang menunggu rakan mereka ataupun sekadar melepaskan lelah selepas penat berjalan dari sesebuah destinasi. Entahlah, itu hanya tanggapanku.

"Client dari mana ni yang kita nak jumpa Datuk?" aku sekadar berbasa basi.

"Very important person." Datuk Khalid sekadar senyum meleret.

V.I.P! Kedengaran bagus, fikirku. Aku semakin bersemangat. Hilang sudah rasa lapar yang sedari tadi aku tahankan. Iyalah, berangan menunda waktu makan tengahari, akhirnya diri sendiri yang kelaparan.

"Ha! Itupun dia dah sampai."

Aku menyorot pandang pada sesusuk tubuh agak gempal seorang lelaki yang mungkin berusia lewat 40-an. Salam kami bertukar tangan. Datuk Khalid segera memandu kami ke sebuah coffe house. Hampir 15 minit perbualan, aku dapat sedikit info tentang Haji Jauhari ini. Dengan mengenakan jaket kelabu dan berseluar panjang sama padan, Haji Jauhari memiliki raut wajah sangat jernih. Penampilannya yang bersongkok menambah yakin dalam benakku demi mengatakan bahawa orang tua ini bukan sebarangan orang. Mungkin seseorang yang bijak pandai dalam hal ehwal agama.

"Projek yang kita rancangkan ini jangan tak jadi Ji, putih mata saya nanti. Lihat orang lain boleh sampai empat, saya baru nak cecah dua. Harap segala perancangan berjalan lancar."

"Insya'allah. Jika niat dan betul caranya, bakal dipermudahkan segala urusan." Haji Jauhari tersenyum kepadaku yang sedari tadi asyik tekun mendengar.

Bila mendengar angka-angka yang disebut oleh mereka berdua, aku sudah membayangkan betapa Haji Jauhari memiliki harta yang banyak. Biasalah, orang berniaga ada bahasa isyarat di dalam perbualan mereka. Jika di telek dari angka tadi, mahu cecah juta ataupun billion nilai projek yang mereka usahakan.

"Siapa dia tu Datuk?" aku bertanyakan sebaik sahaja kami duduk di dalam perut Mercedes. Azmi tertoleh-toleh ingin ikut serta dalam perbualan ringkas ini.

"Adalah...."

"Macam rahsia kerajaan aje bunyinya." aku menduga.

Datuk Khalid menyeringai bahagia. "Taklah rahsia sangat."

"Apa business dia buat? Mungkin dia salah seorang pelabur besar dalam Felda Global Venture Holdings? Boleh kita jalin kerjasama dengan dia Datuk. Dapat sikit share untung dividen dia pun jadilah..." aku sekadar berbual kosong.

"Kamu kena banyak belajar lagi dalam menilai penampilan dan peribadi seseorang."

Aku rasa terpukul dengan kata-kata Datuk. Mungkin penilaianku terhadap Haji Jauhari silap belaka.

"Dia tu orang yang bakal menikahkan saya."

Aku silap dengarkah? Ayah Aqila baru nak beristeri ke? Jadi Aqila daripada ibu yang mana? Tak pernah dengar pulak isteri Datuk Khalid meninggal dunia. Apakah Datuk Khalid mahu berpoligami? Jika dengar dek Hannah aku bersekongkol dengan Datuk Khalid, mati aku kena kerjakan. Hannah bukannya mementang poligami seratus peratus tetapi dia ada sebab mengapa tidak menggalakkan poligami.

"Ohh! Ingatkan pelabur baru..,"

"Pelaburan akhirat." jawab Datuk Khalid ringkas dan padat.

Aku terus diam tidak berkata.   

                 
 

Advertisement

2 comments:

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.