Novel : Kerana Kamu 13

loading...

“Apahal kecoh-kecoh ni!”

Rara dan Rain terkejut. Wajah kedua-duanya pucat lesi disergah oleh suara Baharom. Di tangan kanan Baharom terlekat senduk yang mungkin baru digunakan. Wajah Baharom nampak lebih garang dari tadi iaitu sewaktu awal-awal menerima kedatangan Rain. Mungkinkah Baharom terdengar perbalahan antara mereka sebentar tadi. Apakah ‘tayangan percuma’ tadi juga menjadi santapan mata Baharom. Jikalau tidak takkan wajah Baharom begitu tegang.

“Tak ada apa-apa abah. Gaduh gurau-gurau aje. Rain kalau bergurau memang kasar. Itu sebab Rara pun kena berkasar dengan dia.”

“Rara kan wanita. Seorang perempuan ada adab dan tertibnya bila bergurau dengan lelaki. Bukan dengan lagak kasar macam itu. Kamu tak malu kalau orang luar tengok. Memang dia kawan baik kamu tetapi kena ingat batasan pergaulan dan gurau senda dengan lelaki.”

Rain angkat punggung lalu duduk di kusyen yang bertentangan dengan Rara. Terasa pedas benar tamparan nasihat yang dilontarkan oleh Baharom. Memang silap sendiri. Ingatkan dia boleh bebas bertepuk tampar dengan gadis comel itu tetapi siapa tahu ada tembok batu yang memagari kuntuman bunga yang sedang mekar itu. Hmm…nasib baik Baharom tak baling senduk kat aku tadi, Rain sempat mengutuk khilafnya sendiri.

“Rara…mari tolong abah. Banyak kerja belum siap kat dapur ni.”

Rara segera menapak ke dapur sambil tunduk bila lalu di hadapan Baharom. Rasa bersalah memenuhi ruang hati. Tidak sepatutnya dia berlawan dengan Rain tadi, sepatutnya dari awal-awal lagi dia tidak melayani Rain yang ajak lawan cakap. Sekarang terimalah padahnya. Jangan sampai tembelang antara dia dan Rain pecah sudahlah. 

“Tolong abah perah santan. Bila dah siap tolong potongkan kobis bulat tu. Jangan lupa cuci sampai bersih.”

Baharom memberikan arahan kepada puteri kesayangannya. Sesekali dijeling Rara yang sedang memerah santan. Apakah hubungan Rara dengan lelaki alien yang tiba-tiba muncul di rumahnya ini? Ketika dia menghendap dari dapur tadi, sesuatu yang tidak elok telah terjadi. Dadanya terasa sakit bagai disentak oleh satu tangan besar. Seolah hampir tercabut nyawanya. Bekalan ilmu agama yang cukup kepada Rara rupa-rupanya masih tidak dapat melindungi anak daranya itu daripada menjadi mangsa ‘cabul’ oleh kawan yang dikatakan ‘baik’ itu. Mengapa Rara membiarkan sahaja perlakuan tidak elok oleh jejaka macho itu. Rara seolah-oleh merelakan dirinya disentuh oleh Rain. Ya ALLAH…dimanakah silapnya didikan yang aku berikan?

Baharom merancang sesuatu untuk mengetahui sejauh mana ‘hubungan akrab’ antara Rara dengan lelaki itu. Takkan semudah itu dia menyerahkan Rara kepada lelaki yang baru sahaja beberapa jam dikenali. Mungkin dari susuk tubuh dan kekayaan fizikal dia boleh membeli Rara, tetapi bukan dirinya.

“Pak cik…ada apa-apa yang saya boleh tolong?”

Baharom yang sedang mengelamun terkejut dengan sergahan suara Rain. Hujung jari telunjuknya mengenai bucu kuali yang sedang digunakan. Terasa panas dan pijar. Cepat-cepat Baharom menuang kicap pada jarinya yang terkena kuali panas. Itu petua orang dahulu kala. Tetapi memang ada kebenarannya. Yang penting jari yang terasa pijar tadi beransur elok.

“A…aa…tolong buang sampah.”

“Abah! Orang tanya elok-elok, ke situ pulak dia…”

“Iya. Abah tahu. Kamu tolong pak cik buangkan sampah. Dah penuh tong sampah pak cik tu…”

Rain hanya tersenyum sumbing. Sepanjang hidupnya di rumah banglo milik Datuk Ikram, dia tidak pernah membuang sampah. Semua itu dilakukan oleh pembantu-pembantu di rumah banglo tersebut. Waima, sampah di dalam biliknya pun dibersihkan oleh pembantu-pembantu mereka. Jadi, apa sangatlah kerja membuang sampah untuk keluarga Rara yang mungkin satu hari nanti menjadi sebahagian keluarganya juga.

“Apasal masih tercegat lagi tu? Kamu tahu tak nak buang sampah?” Baharom menyindir Rain.

“Biasa pak cik. Ini semua dah selalu saya buat. He..he…”

Rain menjinjit plastik hitam yang berisi sampah lalu di bawa keluar mengikut pintu hadapan. Ketika sampai di pintu pagar dia ditegur oleh dua orang manusia, yang seorang gadis langsing dan cantik dan yang seorang lagi lelaki bertubuh agak berisi sedikit tetapi kelihatan tampan juga. Hatinya berdetik seolah-olah pernah ternampak lelaki itu, tetapi di mana ya?

“Kau siapa eh?”

Tanpa salam dan tanpa senyum terus meledak soalan. Sang lelaki menunduk kepala tanda hormat tetapi si perempuan terlebih sudah!

“Maaf…aku kawan Rara.”

“Kawan Rara?? Naik BMW….” Bibir si perempuan memanglah seksi tetapi terjuih-juih macam disuntik botox. Rain gelihati sendiri.

“Masuklah, dia ada kat dalam.” Rain malas mahu berbicara lebih lanjut. Dia berasa kurang senang dengan gelagat sang perempuan yang tergedik-gedik. Jauh benar karekternya dengan permata comel kesayangannya.

“Rara! O Rara!!”

“Kat luar tu kawan kau ya!” laungan nyaring suara Kiki memecah keheningan rumah dua tingkat itu.

Didi mengekor bontot Kiki berjalan pantas ke dapur kerana di ruang tamu tiada sesiapa yang menyambut mereka. Rain berlagak tenang berjalan di belakang ke dua-duanya.

“Hah! Kiki! Didi! Kamu semua dari mana?” Baharom melayan mesra tetamu yang sudah biasa dengan kediaman mereka itu.

“Dari rumah Didi. Pak Cik…yang kat luar tadi tu kawan Rara ya? Bukan main sombong lagi, orang tanya pun susah nak jawab. Tahulah dia naik BMW…”

Usai Kiki bersuara, Didi menyinggol lengannya. Dia memberi isyarat mata agar Kiki tidak membuat tuduhan yang bukan-bukan.

“Tanyalah Rara…” Baharom hanya berkata sepatah dua.

“Kenapa?”

Rara memandang Rain yang berdiri tidak jauh dari mereka. Wajah tenang Rain amat menarik minatnya. Inilah masanya dia membuat perbandingan drastik. Antara Didi dan Rain. Kenapa hatinya tenang tatkala bertembung pandang dengan Rain, sebaliknya bila matanya berkalih kepada Didi, tiada apa-apa perasaan. Kosong. Kontang. Ke mana kasih dan rindunya terhadap lelaki itu? Kenapa tiada sekelumit pun rasa cemburu pabila melihat Didi dan Kiki berganding bersama? Inikah hikmah yang Baharom canangkan selalu apabila dia mengeluh tentang hubungannya dengan Didi? Entahlah…Rara tiada jawapan untuk itu semua, lagi-lagi pada tika dan saat ini.

“Heii si comel! Aku tanya kau pun tak jawab. Macam dah berjanji pulak.”

Rara tersentak. Dia sempat melihat senyuman simpul Rain dihadiahkan kepadanya. Mengutuk akulah tu!! Rara membalasnya dengan jelingan tajam.

“Nama dia Adam Bahrain. Kawan Rara masa belajar kat UK.”

“Dari UK ikut balik sampai ke rumah. Hmm…pandailah Rara tambat hati jejaka macho dan kaya macam tu…”

“Aku tak macam yang kau sangkakan, Kiki. He deserves to be my bestfriend…dia ada ketika aku susah. Tak macam kau dengan Didi!!” Usai menghamburkan kemarahannya, Rara berlari ke bilik. Dia tak sanggup berdepan dengan ejekan dan tuduhan melulu dari mulut Kiki.  

***

"Siapa Didi dan Kiki tu pak cik?"

"Didi tu kawan baik Rara dari kecil. Ke mana sahaja selalu bersama. Mak Cik Khalidah pun dah dianggap macam ibu sendiri. Kami restui perhubungan suci yang terjalin itu. Tetapi...semenjak dua menjak ni, lebih-lebih lagi bila Rara sambung belajar...hubungan mereka nampak renggang. Itu yang dia sensitif betul sekarang ni."

Baharom menceritakan serba sedikit hubungan antara Didi dan Rara kepada Adam Bahrain. Sewajarnya Didi tidak membuat kejutan tentang kemesraannya dengan Kiki di hadapan Rara buat masa ini. Berilah Rara masa dan peluang untuk memahami bahawa antara mereka hanya layak sebagai kawan baik sampai bila-bila. Pertemuan, ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan. Didi sepatutnya menunggu masa yang sesuai untuk menghebahkan tentang hubungannya dengan Kiki. Tetapi apa nak buat, Rara telah menghidunya sedari awal.

"Hmm...Patutlah sehari dua ini dia jadi penyedih sangat. Bila saya call pun dia sedang menangis."

"Dia memang sensitif budaknya. Iyalah...budak membesar tanpa ibu."

Adam Bahrain faham apa yang diceritakan oleh Baharom sebentar tadi. Dia pun ada dengar cerita itu dari mulut Rara sendiri. Kisah mereka hampir sama cuma bezanya, Adam Bahrain kehilangan mamanya ketika usia telah menginjak dewasa. Namun dia faham situasi yang dihadapi oleh Rara.

"Pak Cik..."

Baharom menanti butir bicara yang mahu diluahkan oleh pemuda yang baru dikenali itu. Pada mulanya dia pun tidak suka orang bertandang ke rumahnya dan telah berkelakuan tidak senonoh. Tetapi demi menghormati tetamu, dia sabarkan hati buat sementara waktu ini. Kalau Adam Bahrain ada permainannya tersendiri, dia juga boleh mengikut rentaknya. Baru nanti dia tahu langit itu tinggi atau rendah!

"Sebenarnya saya nak ...."

Adam Bahrom teragak-agak mahu menyambung bicara. Wajah tegang Baharom dijeling sekilas. Apa akan jadi kalau aku berterus terang? Apakah ini masa yang sesuai untuk aku menerangkan perkara sebenar? Atau apakah pendedahan ini akan menyebabkan Rara membencinya? Tidak! Jangan Rain...belum masanya!

"Apa susah sangat kamu nak buka cerita? Tergagap-gagap..." Baharom menempelak.

"Saya nak pak cik tahu yang saya suka berkawan dengan Rara. Saya nak jadikan Rara sebagai teman dan suri hidup saya pak cik. Saya jamin yang Rara akan bahagia dengan saya. Saya boleh bahagiakan dia, pak cik. Saya akan buat apa sahaja untuk dia. Dengan ini saya minta izin daripada pak cik untuk memperisterikan dia. Itu pun kalau pak cik berikan kebenaran..."

Ceritakan hal sebenar, Rain! Biar rahsia itu tidak menganggu kau lagi! Agar kau tak menanggung rasa bersalah itu selama-lamanya! Deruan suara dari dalam diri berebut-rebut menghasutnya. Adam Bahrain menekup mukanya yang mula berpeluh.

"Apa kamu cakap?" Baharom seolah tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

"Iya pak cik...izinkan saya."

"Berapa lama kamu dah kenal dengan dia? Satu bulan? Satu tahun? Sepuluh tahun? Jangan cakap besar anak muda. Buktikan dahulu kemampuanmu! Baru pak cik boleh percaya. Jangan bercakap pasal kebahagiaan kalau kamu sendiri pun tak bahagia. Jangan nak sorokkan kesedihan yang kamu tanggung. Jangan jadikan Rara sebagai tempat kamu mengisi ruang kosong itu. Isikan dada dengan ilmu yang penuh, baru kamu datang balik jumpa pak cik."

"Tapi pak cik..."

"Kebahagiaan Rara biar pak cik yang tentukan. Kamu baliklah."

Baharom menoktahkan hujahnya. Ketabahan dan sikap 'gentleman' Adam Bahrain memang terpuji. Didi pun mungkin tidak seberani dia. Anak muda lain mungkin menunggu pertemuan ke seratus untuk meminang Rara. Tetapi Adam Bahrain berlainan. Dia tahu apa kehendaknya, dia faham permainan perasaan antara mereka berdua dan yang terpuji pada pandangan Baharom tentang pemuda bernama Adam Bahrain adalah kematangan dan sikap tenangnya. Ia seolah gambaran dirinya sewaktu muda dahulu. Tetapi Baharom perlu melakukan sesuatu sebelum dia menyerahkan Rara kepada lelaki itu. Belum tentu apa yang nampak di mata sama padannya dengan karekter yang tersembunyi.                 



      

4 comments:

  1. t/kasih admin sebab sambung cepat2...

    ReplyDelete
  2. kalau semak balik bab2 yng awal, cara kau luah karya ini sangat bagus sehingga aku sanggup tunggu sambungan yang lama tertangguh, tapi hari ini bila baca bab 12 & 13, aku tertanya2 kenapa dan mengapa idea dan tulisan kau kali ini macam budak2 hingusan baru belajar menulis dalam bentuk e-novel????

    -seripagi-

    ReplyDelete
  3. t/kasih dengan pandangan tersebut.

    ReplyDelete
  4. best cerita ni . tapi sy keliru . rain dan rara dah kawen ke? +__+"

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.