Puisi : Jangan Tinggalkan Aku

datangmu dengan salam kasih
pada perindu yang menanti penuh sabar
mengira bulan dan bintang pada dada Hijrah
saat memeluk rahmatmu pada permulaan hari
tangisan syahdu mengiringi permohonan
ampunkan dosa silam kami

Maha Pemurah Ya Rabbi
kau berikan kami ampunan
dengan percuma tanpa minta balasan
kau Maha Pemberi
pada kami yang hina tidak mampu lagi di tadah
permohonan demi permohonan
apakah malu kami ini
ada tempat pada JannahMu?

kau bebaskan kami
dari panas dan bahang api neraka
janji janji manis yang tidak pernah kau mungkiri
malahan kau tepati ia dengan limpahan rezeki
kau bebaskan kami dari sengsara fakir
kau bebaskan kami dari sumpah murka

tetapi kenapa
kau tinggalkan kami juga
Ramadan 1433Hijrah...

aynora nur
penghujung Ramadan

spacer

Aku Yang Terlewat 5


 
kredit **google 

Hannah menyimpul rambutnya yang panjang dengan penyepit berbentuk rerama berwarna pink yang sangat indah. Lalu rambutnya yang panjang kelihatan tinggal separuh apabila simpulan itu diikat ke atas. Alangkah bagusnya jika simpulan indah itu hanya untuk tatapan mataku seorang, insan benama Zaffril. Sebagai suami aku wajib menasihati Hannah tetapi si cantik isteriku itu hanya kata dia belum bersedia. Aku rasakan ia jawapan yang klise dari semua wanita di luar sana. Tetapi dengan keyakinan seorang suami, aku pasti masanya akan tiba bila ALLAH memakbulkan doa-doa hambaNya.

"You ada function apa, dear?"

Hannah tidak menjawab soalanku. Dia semakin rancak menyolek wajahnya agar kelihatan lebih segar. Kemudian dengan senyuman manjanya dia berpaling kepadaku.

"You dah lupa ke, Zaff?"

"Lupa apa?"

"Ala...you selalu macam tu. Dah berapa kali I ingatkan. I mesej you, I tuliskan kat board tepi freezer dan..."

"Ada ke? I tak ingat pun. Tak perasan pulak..." aku cuba bermanja juga.

"You selalu macam itu. Beribu pesanan I bagi you langsung tak ambil pusing. Dah banyak kali tau. You jangan sampai buat I tak percayakan you, Zaff. Baru nanti you tahu yang langit itu tinggi atau rendah." suara Hannah perlahan tetapi bernada tegas.

"Dear...you ugut I ke ni?"

"Sendiri mau ingat lah..." Hannah berpaling kepada cermin semula.

Aku menggigit jari tidak terkata. Merajukkah dia? Acapkali aku terlupa, berulangkali aku layangkan kemaafan. Dan, sekali lagi aku lupakan pesanannya. Apakah aku sudah kurang hormat pada Hannah? Apakah aku tidak meletakkan Hannah pada senarai utamaku lagi? Entah kali ke berapa Hannah merajuk denganku, semuanya gara-gara sikap sambil lewaku.

Hannah berjalan menuruni tangga dan aku pun ikut mengekor dari belakang. Tiba di ruang tamu Hannah bertanya untuk ke sekian kalinya.

"You nak ikut tak?"

"Tak mahu. I penat Hannah. I balik tadi dahlah merempuh jammed, sekarang nak keluar balik? Apa kata kita duduk rumah aje dan tengok TV. Banyak cerita best kan malam ni. Lagipun dah lama kita tak duduk berdua tengok TV sambil makan jemput-jemput ikan bilis you tu..."

Hannah membuntangkan matanya. Apakah dia marah sangat hinggakan matanya bersinar-sinar memandangku. Bersinar garang pulak tu!

"Zaff...kalau tak mahu ikut, at least hantarkan I ke rumah Salbila."

"Kalau macam tu lebih baik I ikut sekali. Function apa ni dear?"

"Tanya lagi!"

"Tanya pun nak marah?"

"Dah you yang selalu mencabar kesabaran I. Mana I tak marah. You ni tak serious dan tak fokus tau. Tuuu...tengok kat board!" Muncung Hannah dihalakan ke arah dapur. Disitulah terletaknya 'communication board' antara aku dan Hannah.

Aku pun menapak dengan malas ke dapur. ANNUAL DINNER MY COMPANY dengan tarikhnya sekali. Besar terpampang tulisan Hannah pada board itu.

"Zaff...cepat sikit. I dah terlewat ni."

Aku sudah berada di muka pintu.

"I hantar you kat rumah Salbila aje ya. I tak ada mood lah dear. Sorry ok!"

"Suka hati you Zaff. Cepat sikit." kedengaran suara Hannah dalam nada merajuk.

Hmmm...Hannah rajin benar merajuk. Aku pulak? Aku bukanlah kaki pujuk punya orang, tetapi demi kasihku pada Hannah, kerap aku memujuknya kerana kebanyakan punca rajuknya adalah daripada aku. Biasanya rajuk Hannah tidaklah panjang berhari-hari, paling lama pun memakan dua hari setengah, itu kes aku terlupa tentang tarikh lahirnya. Sensitif betul kaum wanita terhadap hari lahir, kan? Kalau aku, orang tak ingat pun tak apa, iya ke? Tetapi belum pernah Hannah terlupa pada tarikh lahirku. Alangkah beruntungnya aku mendapat kawan, sahabat, kekasih dan isteri yang sebaik Hannah.

Aku meninggalkan Hannah di rumah Salbila kerana mereka akan bergerak beramai-ramai dalam sebuah kereta. Kebanyakan kawan-kawan Hannah tinggal satu taman cuma berbeza nama jalan sahaja. Usai membersihkan diri, aku turun ke dapur. Tekak terasa mahu makan jemput-jemput ikan bilis, jadi aku dengan pantas membancuh tepung dan memotong bawang sebagai perencahnya.

Malam itu aku menonton TV berseorangan ditemani dengan satu pinggan jemput-jemput ikan bilis. Memang santai berbanding berasak-asak pada jamuan makan tahunan syarikat Hannah. Aku sudah serik. Seperti tahun lepas, aturcara terlalu padat menyebabkan waktu makan pun terlewat 1 jam. Itu sebabnya apabila Hannah mempelawa tadi aku jadi berat hati. Mungkin kalau aku ikut, waktu seperti sekarang ini belum tentu aku sudah dapat mengisi perut.

Aku memutar saluran TV3. Buletin Utama sedang bersiaran secara langsung. Macam-macam yang disampaikan hinggalah pada satu temuramah perihal ekonomi, satu wajah yang amat aku kenali muncul di kaca TV. Nama si pemuda kacak itu juga tertera di kaca TV, Zek Isqandar Sani. Darahku berderau dan mukaku terasa bahang. Bekas teman lelaki Hannah kini telah kembali ke tanahair. Pulangnya yang membawa gelaran pakar ekonomi muda di sebuah syarikat kewangan terkemuka.

Aku terus teringatkan Hannah. Apakah dia tahu yang Zek sudah kembali ke tanahair? Mungkin Hannah sudah tahu tetapi buat-buat tak tahu dan tak menceritakan kepadaku?

"Hello..."

Di hujung sana Hannah memberi salam. Kedengaran bunyi muzik latar yang bingit di belakang suara Hannah. Entah mengapa aku rasakan pada saat ini aku sepatutnya berada di sisi Hannah dan melindunginya daripada pandangan mata-mata nakal yang pantang nampak wanita berdahi licin. Aku sepatutnya tidak mementingkan diri sendiri jika aku benar-benar sayangkan Hannah.

"Tengah buat apa?" soalan bodoh apa yang sedang aku tanyakan.

Hannah tenang sahaja menjawab dan menjelaskan apa yang sedang dilakukannya. Aku tak mahu memanjangkan masa jadi aku fikir inilah masanya aku perlu tanyakan tentang Zek Isqandar.

"Siapa?" Hannah bertanya lagi kerana keadaan kedengaran semakin bingit di sebelah sana.

"It's okey dear. Nanti balik kita bincang." aku terus memutuskan telefon.

Debaran di dadaku semakin rancak. Zek Isqandar, kerana kaulah aku nyaris kehilangan Hannah. Kalau kau tidak begitu budiman, tentu Hannah tidak cair dengan kau! Nasib baik aku dapat menewaskan kau kerana kesilapan kecil kau, yang akhirnya Hannah memilih aku menjadi suaminya.

***

Hannah sudah siap untuk beradu. Aku melihat jam di handphone. Jam menunjukkan pukul 1.15 pagi. Hannah terus menarik selimut. Mungkin matanya sudah mengantuk kerana penat dengan acara makan tahunan yang baru dihadirinya tadi. Aku gelisah tidak menentu. Aku mesti nak tahu dari mulut Hannah sendiri, apakah dia tahu tentang kepulangan Zek Isqandar, bekas teman lelaki yang pernah disayangi satu masa dahulu?

"Hannah...you dah nak tidur ke?"

"Hmmm..." Hannah hanya bergumam.

"Penat?"

"Yup!"

Aku mengurut bahunya yang sedang membelakangkan aku. Wangian Enchanteur Charming menaikkan semangatku. Sambil berdoa dalam hati, aku membisikkan ke telinga Hanah.

"What?"

"Zek Isqandar."

"You mimpi atau pun berkhayal?" soal Hannah hairan.

"I sedar...tadi I tengok berita. Terkejut I bila dia ada kat sini. Bila dia balik eh?" aku saja menjerat.

"Dah seminggu." Hannah menjawab dengan malas.

Sebaliknya aku rasakan darah gemuruhku sudah sampai ke kepala.

"You tahu?"

"Dia call dan beritahu."

"You tak cerita dengan I pun..."

"Malas lah cakap dengan you ni. Cuba you check balik SMS yang I kirim last week. Ok dear, I nak tidur. I'm very tired. Selamat malam."

Aku termangu macam batu. Aku capai handphone dan meneliti SMS yang dikirim oleh Hannah ke dalam kotak mesej.

- Zaff, hari ini I dan schoolmate ada lunch date dengan our new boss. His name sound familiar to you, Isqandar Sani. Want to joint us? - 

Aku menepuk dahi. Jadi tadi Hannah bertemu lagi dengan Zek Isqandar, bos barunya dalam izinku. Aku yang menolak untuk menemaninya, aku yang lebih selesa makan jemput-jemput ikan bilis dan seperti biasa aku yang mementingkan diri sendiri akhirnya memakan diri.

Sampai ke subuh aku terjaga sambil membelek SMS tersebut dan dalam rongga dadaku penuh dengan nama Zek Isqandar!

                       
spacer

Novel : Mengapa Di Rindu 23

Alisya melangkah lebih laju apabila terasa dirinya diekori. Niat di hati mahu mengunjungi butik Soffea di kompleks beli belah itu tidak kesampaian. Sebaik keluar dari perut teksi tadi, dia memang sudah terasa lain macam. Dadanya asyik berdebar-debar. Sah! Tekaannya benar apabila dia terpandang dua lelaki yang tidak dikenali asyik mengekor ke mana kakinya melangkah. Dalam keadaan tidak menyenangkan itu, Alisya sempat menyelinap ke dalam sebuah kedai menjual tudung lalu bersembunyi di situ. Dia berdoa bersungguh-sungguh agar dirinya dilindungi dari sebarang bahaya.

"Maaf...saya tengok-tengok dulu."

Alisya berpura-pura memilih tudung yang sedang tergantung. Terdapat banyak jenis tudung yang dipamerkan dan akhirnya Alisya mencapai sepasang shawl berwarna hitam agar kelakuannya tidak mencurigakan si pemilik kedai. Usai membayar di kaunter, Alisya segera melepaskan diri dari dalam pusat beli belah itu dengan menahan sebuah teksi. Debarannya semakin kencang daripada awal tadi sebaik matanya terarah kepada dua orang lelaki yang mengekorinya sedang berbual dengan dua orang wanita. Kelihatan interaksi antara mereka begitu serius dan tegang.

Novel : Mengapa Di Rindu 23



Resahnya semakin tidak keruan tatkala salah seorang wanita yang berurusan dengan dua orang lelaki tadi adalah Dato' Yusniza. Sebaik teksi melintasi hadapan pusat beli belah itu Alisya menundukkan kepalanya agar dia tidak dikesan oleh dua lelaki yang tidak dikenali itu.   


***

"Kau biar betul?"

"Betul. Aku rasa macam sedang berlakon dalam sebuah drama aksi. Sebiji macam yang kita selalu tengok kat TV. Sekarang ni pelakonnya adalah aku..."

Rahimah menahan senyum mendengar kisah yang diceritakan oleh Alisya. Dalam hati penuh dengan rasa simpatinya terhadap gadis yatim piatu itu, baru nak mengecap bahagia ada sahaja halangan menjelma. Apakah kejadian dia diekori ada kaitan dengan perhubungan yang semakin akrab dengan anak hartawan dan wanita korporat terkenal, Dato' Yusniza? Jika tidak, takkan ada orang lain yang menaruh hati pada teman baiknya itu. Jika benar, siapa pula mereka? Tiba-tiba seraut wajah dan satu nama muncul dalam kepala Rahimah.

"Zikry cari kau balik ke?"

"Tak ada. Dah lama aku tak dengar khabar berita dari dia. Entah masih ada, entahkan sebaliknya..."

"Langsung loss contact?"

"Ya..."

Rahimah merenung wajah Alisya yang tidak ceria. Dia terpaksa akur dengan pendapat ramai bahawa temannya yang seorang ini berwajah jelita. Tetapi, ketegasan dan kebijaksanaannya seolah menjadikan dirinya selamat dari lelaki-lelaki yang berhidung belang. Hanya ada seorang lelaki yang begitu gentleman dan berani mendekatinya iaitu Hazim. Yang silapnya percaturan takdir ini adalah Hazim seorang tokoh korporat yang terkenal dan CEO yang 'most available bachelor in town'!

"Macam mana kau boleh lepas. Hebat juga kau ya?"

"Aku beli shawl dan tutup kepala aku. Nasib baik ada shawl ni. Kalau tidak kejang aku kat sana, Imah."

Rahimah tergelak kecil.

"Itu tandanya TUHAN sayangkan kau. Dan nak suruh kau tutup aurat yang sepatutnya. Jangan bila susah baru nak guna nikmat yang ALLAH berikan."

"Okey bestfriend, aku ingat pesanan kau ni. Thank you..."

"Hazim tahu pasal ni?"

Alisya mengeleng.

"Kenapa tak bagitahu?"

"Ala...small matter aje pun. Aku tak nak dia risau. Kau tahulah, kerja dia aje dah berlambak, aku tak nak tambah dengan masalah kecil macam ni."

"Kau dengan dia dah getting closer kan, kenapa mesti nak rahsiakan. Aku takut nanti dia lagi bimbang bila tahu dari mulut orang lain."

"Kalau bukan kau yang cerita, dia takkan tahu." Alisya mencebik.

Rahimah ketawa besar. "Kau tahu apa yang aku nak buat ya?"

"Niat kau tu ada dalam otak aku."

"Gitu pulak!"

"Eh! Kejap...ada satu subjek penting dalam cerita aku ni yang aku tak bagitau kau. Dua orang lelaki tu berjumpa dengan Dato' selepas tak dapat kejar aku. Aku nampak kelibat dia orang kat depan shopping complex tu ketika aku dalam teksi nak balik..."

"Then, you must tell your boyfriend about this..."

"Yang mana satu aku kena inform?"

"Dua-duanya sekali..." Rahimah berkata tegas.

"Aku tak rasa aku perlu ceritakan semuanya kepada dia. Aku harus ceritakan perkara yang pertama itu sahaja. Pasal Dato' aku rasa tak perlu kut..."

"Kau mesti berterus terang dengan Hazim, Alisya. Perhubungan yang berjaya bukan dengan berrahsia sebaliknya kau harus berterus terang dalam semua perkara." Rahimah meluahkan nasihatnya.

"Aku tak setuju."

Alisya membantah. Lihatlah apa terjadi pada pada hubungannya yang lepas dengan Zikry. Segala kepercayaan ditumpahkan sepenuhnya, segala rahsia dikongsikan tetapi akhirnya dia juga yang diketepikan. Alisya percaya kepada ketentuan takdir TUHAN, jika sudah jodoh tidak ke mana. Begitu juga dengan Hazim, sekiranya lelaki itu tidak mahu berkongsi semua perkara dengannya, dia tidak mampu memaksa.

"Berbuih aku bagi nasihat, kau tetap degil. Terpulanglah Alisya. Yang penting kau bahagia..." akhirnya Rahimah berserah.

"Terima kasih Imah kerana kau amat memahami."

***

"Abang! Jom kita gerak. Nanti dah lewat sangat, lambat pulak sampai kat rumah. Kasihan dengan Kak Alisya."

Hazim menjeling Tag Heuer di pergelangan tangan. Benar kata Kamal, jam hampir mencecah pukul 12 malam. Memancing di kolam pada waktu malam begitu memang tidak terasa dengan waktu yang bergerak. Bila semua peralatan telah dimasukkan ke dalam perut Harrier, barulah terasa mata semakin berat untuk dibuka.

"Kamal nak tapau makanan tak?"

"Tak payahlah bang...saya nak tidur je." Kamal tersengih menunjukkan barisan giginya yang cantik.

"Bukan untuk Kamal, untuk bakal isteri abang kat rumah tu..." Hazim bergurau.

"Abang tanyalah kak Lisya sendiri."

"Ya lah! Ya lah!"

Hazim mendail nombor Alisya. Setelah tiga kali deringan barulah talian diangkat.

"You nak makan apa?"

"Okey, jangan tidur dulu. Take care darling..."

Di hujung talian Alisya sekadar melepaskan tawa kecil sebelum memberi salam.

"Kamal...are you sleeping?"

"Hmm..."

"Kamal rasa bagus tak kalau abang nak kahwin dengan kak Lisya dalam masa terdekat? Bukannya apa, abang takut melepas. Kak Lisya ramai yang minat."

"Idea yang bagus. Saya ikut aje. Tapi kan bang, buat apa abang nak risau sangat. Kak Lisya memang ramai peminat tetapi semuanya tak berani nak approach sebab kak Lisya garang. Cuma abang aje yang berjaya melepasi tembok batu yang kak Lisya bina. Abang hebatlah!"

"Abang dengan bekas boyfriend kak Lisya dulu, mana lebih bagus pada pandangan Kamal. Cakap aje, abang tak marah."

Kamal tersengih lagi. Matanya yang sedari tadi mengantuk kembali segar. Perbualan dengan Hazim kadangkala terasa lucu dan hangat. Hazim sedaya upaya menjadi insan terbaik buat kakaknya. Hazim sanggup merendahkan egonya demi menjadi buah hati kesayangan Alisya. Lagipun, Hazzim pemurah jika dibandingkan dengan Zikry yang amat berkira dalam segala segi. Kamal akhirnya bersetuju dengan kata hati bahawa Hazim selayaknya mendampingi Alisya, kakak kesayangannya.

"Saya rasa abang cukup segala segi. Abang lah lelaki idaman wanita semalaya. Tetapi saya perasan kan bang...kak Lisya tak pernah pun cakap yang dia dah berkenalan dengan keluarga abang. Abang belum bawa Kak Lisya jumpa parents abang ke?"

Hazim terdiam. Alisya ada bersuara tentang hal yang sama. Tidak bolehkah kali ini dia mengenepikan keluarganya demi memenuhi tuntutan hatinya sendiri? Bukankah bahagia itu milik diri sendiri, siapa mahu derita dalam bercinta. Hazim pun sama, dalam hati selalu membisikkan agar meneruskan sahaja perancangan yang telah diatur. Dia ada segalanya. Sekadar berkahwin senyap-senyap dengan Alisya apalah sangat...lagipun Alisya anak yatim piatu, jadi perancangannya disangka mudah.

Hazim melepaskan keluhan kecil. Dia tidak boleh ikut suka hati jika mahu memperisterikan buah hati kesayangan. Dia harus meletakkan Alisya pada taraf yang tertinggi, wanita untuk dicintai dan disayangi, bukannya untuk diperlakukan sesuka hati! Akhirnya Hazim pasrah pada keadaan yang bakal ditentang...

"Abang Hazim, buatlah apa yang abang rasa baik. Saya ikut sahaja asalkan abang dan kak Lisya bahagia." akhirnya itulah jawapan yang Kamal rasa tepat untuk Hazim.

"Insya'Allah...abang akan bahagiakan kakak Lisya awak tu."

Kamal tersenyum mendengar janji yang disemai oleh bakal abang iparnya itu. 
spacer