Header Ads

Novel : Mengapa Di Rindu 23

Alisya melangkah lebih laju apabila terasa dirinya diekori. Niat di hati mahu mengunjungi butik Soffea di kompleks beli belah itu tidak kesampaian. Sebaik keluar dari perut teksi tadi, dia memang sudah terasa lain macam. Dadanya asyik berdebar-debar. Sah! Tekaannya benar apabila dia terpandang dua lelaki yang tidak dikenali asyik mengekor ke mana kakinya melangkah. Dalam keadaan tidak menyenangkan itu, Alisya sempat menyelinap ke dalam sebuah kedai menjual tudung lalu bersembunyi di situ. Dia berdoa bersungguh-sungguh agar dirinya dilindungi dari sebarang bahaya.

"Maaf...saya tengok-tengok dulu."

Alisya berpura-pura memilih tudung yang sedang tergantung. Terdapat banyak jenis tudung yang dipamerkan dan akhirnya Alisya mencapai sepasang shawl berwarna hitam agar kelakuannya tidak mencurigakan si pemilik kedai. Usai membayar di kaunter, Alisya segera melepaskan diri dari dalam pusat beli belah itu dengan menahan sebuah teksi. Debarannya semakin kencang daripada awal tadi sebaik matanya terarah kepada dua orang lelaki yang mengekorinya sedang berbual dengan dua orang wanita. Kelihatan interaksi antara mereka begitu serius dan tegang.

Novel : Mengapa Di Rindu 23



Resahnya semakin tidak keruan tatkala salah seorang wanita yang berurusan dengan dua orang lelaki tadi adalah Dato' Yusniza. Sebaik teksi melintasi hadapan pusat beli belah itu Alisya menundukkan kepalanya agar dia tidak dikesan oleh dua lelaki yang tidak dikenali itu.   


***

"Kau biar betul?"

"Betul. Aku rasa macam sedang berlakon dalam sebuah drama aksi. Sebiji macam yang kita selalu tengok kat TV. Sekarang ni pelakonnya adalah aku..."

Rahimah menahan senyum mendengar kisah yang diceritakan oleh Alisya. Dalam hati penuh dengan rasa simpatinya terhadap gadis yatim piatu itu, baru nak mengecap bahagia ada sahaja halangan menjelma. Apakah kejadian dia diekori ada kaitan dengan perhubungan yang semakin akrab dengan anak hartawan dan wanita korporat terkenal, Dato' Yusniza? Jika tidak, takkan ada orang lain yang menaruh hati pada teman baiknya itu. Jika benar, siapa pula mereka? Tiba-tiba seraut wajah dan satu nama muncul dalam kepala Rahimah.

"Zikry cari kau balik ke?"

"Tak ada. Dah lama aku tak dengar khabar berita dari dia. Entah masih ada, entahkan sebaliknya..."

"Langsung loss contact?"

"Ya..."

Rahimah merenung wajah Alisya yang tidak ceria. Dia terpaksa akur dengan pendapat ramai bahawa temannya yang seorang ini berwajah jelita. Tetapi, ketegasan dan kebijaksanaannya seolah menjadikan dirinya selamat dari lelaki-lelaki yang berhidung belang. Hanya ada seorang lelaki yang begitu gentleman dan berani mendekatinya iaitu Hazim. Yang silapnya percaturan takdir ini adalah Hazim seorang tokoh korporat yang terkenal dan CEO yang 'most available bachelor in town'!

"Macam mana kau boleh lepas. Hebat juga kau ya?"

"Aku beli shawl dan tutup kepala aku. Nasib baik ada shawl ni. Kalau tidak kejang aku kat sana, Imah."

Rahimah tergelak kecil.

"Itu tandanya TUHAN sayangkan kau. Dan nak suruh kau tutup aurat yang sepatutnya. Jangan bila susah baru nak guna nikmat yang ALLAH berikan."

"Okey bestfriend, aku ingat pesanan kau ni. Thank you..."

"Hazim tahu pasal ni?"

Alisya mengeleng.

"Kenapa tak bagitahu?"

"Ala...small matter aje pun. Aku tak nak dia risau. Kau tahulah, kerja dia aje dah berlambak, aku tak nak tambah dengan masalah kecil macam ni."

"Kau dengan dia dah getting closer kan, kenapa mesti nak rahsiakan. Aku takut nanti dia lagi bimbang bila tahu dari mulut orang lain."

"Kalau bukan kau yang cerita, dia takkan tahu." Alisya mencebik.

Rahimah ketawa besar. "Kau tahu apa yang aku nak buat ya?"

"Niat kau tu ada dalam otak aku."

"Gitu pulak!"

"Eh! Kejap...ada satu subjek penting dalam cerita aku ni yang aku tak bagitau kau. Dua orang lelaki tu berjumpa dengan Dato' selepas tak dapat kejar aku. Aku nampak kelibat dia orang kat depan shopping complex tu ketika aku dalam teksi nak balik..."

"Then, you must tell your boyfriend about this..."

"Yang mana satu aku kena inform?"

"Dua-duanya sekali..." Rahimah berkata tegas.

"Aku tak rasa aku perlu ceritakan semuanya kepada dia. Aku harus ceritakan perkara yang pertama itu sahaja. Pasal Dato' aku rasa tak perlu kut..."

"Kau mesti berterus terang dengan Hazim, Alisya. Perhubungan yang berjaya bukan dengan berrahsia sebaliknya kau harus berterus terang dalam semua perkara." Rahimah meluahkan nasihatnya.

"Aku tak setuju."

Alisya membantah. Lihatlah apa terjadi pada pada hubungannya yang lepas dengan Zikry. Segala kepercayaan ditumpahkan sepenuhnya, segala rahsia dikongsikan tetapi akhirnya dia juga yang diketepikan. Alisya percaya kepada ketentuan takdir TUHAN, jika sudah jodoh tidak ke mana. Begitu juga dengan Hazim, sekiranya lelaki itu tidak mahu berkongsi semua perkara dengannya, dia tidak mampu memaksa.

"Berbuih aku bagi nasihat, kau tetap degil. Terpulanglah Alisya. Yang penting kau bahagia..." akhirnya Rahimah berserah.

"Terima kasih Imah kerana kau amat memahami."

***

"Abang! Jom kita gerak. Nanti dah lewat sangat, lambat pulak sampai kat rumah. Kasihan dengan Kak Alisya."

Hazim menjeling Tag Heuer di pergelangan tangan. Benar kata Kamal, jam hampir mencecah pukul 12 malam. Memancing di kolam pada waktu malam begitu memang tidak terasa dengan waktu yang bergerak. Bila semua peralatan telah dimasukkan ke dalam perut Harrier, barulah terasa mata semakin berat untuk dibuka.

"Kamal nak tapau makanan tak?"

"Tak payahlah bang...saya nak tidur je." Kamal tersengih menunjukkan barisan giginya yang cantik.

"Bukan untuk Kamal, untuk bakal isteri abang kat rumah tu..." Hazim bergurau.

"Abang tanyalah kak Lisya sendiri."

"Ya lah! Ya lah!"

Hazim mendail nombor Alisya. Setelah tiga kali deringan barulah talian diangkat.

"You nak makan apa?"

"Okey, jangan tidur dulu. Take care darling..."

Di hujung talian Alisya sekadar melepaskan tawa kecil sebelum memberi salam.

"Kamal...are you sleeping?"

"Hmm..."

"Kamal rasa bagus tak kalau abang nak kahwin dengan kak Lisya dalam masa terdekat? Bukannya apa, abang takut melepas. Kak Lisya ramai yang minat."

"Idea yang bagus. Saya ikut aje. Tapi kan bang, buat apa abang nak risau sangat. Kak Lisya memang ramai peminat tetapi semuanya tak berani nak approach sebab kak Lisya garang. Cuma abang aje yang berjaya melepasi tembok batu yang kak Lisya bina. Abang hebatlah!"

"Abang dengan bekas boyfriend kak Lisya dulu, mana lebih bagus pada pandangan Kamal. Cakap aje, abang tak marah."

Kamal tersengih lagi. Matanya yang sedari tadi mengantuk kembali segar. Perbualan dengan Hazim kadangkala terasa lucu dan hangat. Hazim sedaya upaya menjadi insan terbaik buat kakaknya. Hazim sanggup merendahkan egonya demi menjadi buah hati kesayangan Alisya. Lagipun, Hazzim pemurah jika dibandingkan dengan Zikry yang amat berkira dalam segala segi. Kamal akhirnya bersetuju dengan kata hati bahawa Hazim selayaknya mendampingi Alisya, kakak kesayangannya.

"Saya rasa abang cukup segala segi. Abang lah lelaki idaman wanita semalaya. Tetapi saya perasan kan bang...kak Lisya tak pernah pun cakap yang dia dah berkenalan dengan keluarga abang. Abang belum bawa Kak Lisya jumpa parents abang ke?"

Hazim terdiam. Alisya ada bersuara tentang hal yang sama. Tidak bolehkah kali ini dia mengenepikan keluarganya demi memenuhi tuntutan hatinya sendiri? Bukankah bahagia itu milik diri sendiri, siapa mahu derita dalam bercinta. Hazim pun sama, dalam hati selalu membisikkan agar meneruskan sahaja perancangan yang telah diatur. Dia ada segalanya. Sekadar berkahwin senyap-senyap dengan Alisya apalah sangat...lagipun Alisya anak yatim piatu, jadi perancangannya disangka mudah.

Hazim melepaskan keluhan kecil. Dia tidak boleh ikut suka hati jika mahu memperisterikan buah hati kesayangan. Dia harus meletakkan Alisya pada taraf yang tertinggi, wanita untuk dicintai dan disayangi, bukannya untuk diperlakukan sesuka hati! Akhirnya Hazim pasrah pada keadaan yang bakal ditentang...

"Abang Hazim, buatlah apa yang abang rasa baik. Saya ikut sahaja asalkan abang dan kak Lisya bahagia." akhirnya itulah jawapan yang Kamal rasa tepat untuk Hazim.

"Insya'Allah...abang akan bahagiakan kakak Lisya awak tu."

Kamal tersenyum mendengar janji yang disemai oleh bakal abang iparnya itu. 
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.