Header Ads

Benarkah Dia Sudah Tiada?

Beberapa bulan lalu aku ada terserempak denganmu, dikala itu banyak yang ingin aku perbualkan. Tetapi engkau bagai mengelak dan umpama tak mengenali aku. Aku berasa terkilan juga tetapi nasib baik isterimu datang bercerita dan menepis rasa terkilan yang singgah tiba. Usai pertemuan tidak dijangka itu, aku bercerita dengan teman hidupku. Mengapa kau berubah sedemikian rupa, apakah kau berlakon tidak mengenali ataukah kau tidak ingin berhubungan denganku semula? Sungguh teman, waktu itu kita telah terpisah hampir 11 tahun dan hanya sesekali bertegur sapa melalui Facebook. Lupakah kau yang kita sering pulang lewat dan menyiapkan kerja-kerja akaun bersama. Jika aku tidak dapat menyiapkannya dalam waktu yang ditentukan, kau pasti dengan ringan tulang membantu.




Bukankah kau pernah berkecil hati denganku kerana tidak mempelawa membuat MBA bersama-sama? Apakah itu yang membuatkan kau tersinggung. Jika benar, bukankah aku telah lama meminta maaf kerana waktu MBAku bermula kau sedang bertungkus lumus menghabiskan ijazahmu. Dalam diam, aku tidak habis berfikir apakah gerangan 'kau meminggirkan' diri dari temanmu ini...

Awal September yang lalu aku terkejut tatkala membaca status facebookmu. Pelbagai ucapan takziah yang sampai di laman akaun FB. Aku terkedu. Apakah ini gurauan di pagi Ahad? Apakah teman2 mu sengaja bergurau senda denganmu? Lantas aku kirimkan SMS kepada rakan-rakan kita, aku tanyakan tentang status tersebut...

Akhirnya pertanyaan dan rasa terkilanku selama ini terjawab. Hanya air mata dan sebak didada yang menjadi temanku saat ini. Kau telah dipanggil oleh Illahi untuk bertemuNya. Kau telah mendahului kami, teman. Aku dan kami semua kau tinggalkan...kau tinggalkan permata hati yang masih memerlukanmu.

Maafkan aku teman, kiranya aku yang terlewat tidak mengetahui tentang perkara sebenar. Waktu pertemuan yang kau pinggirkan aku seketika waktu dahulu, rupa-rupanya kau sedang berjuang melawan penyakit kansermu. Kau sudah tidak mengenali aku, dan kau juga sedang bertarung melawan maut. Bolehkah aku percayai ini semua, teman? Kau telah tiada...

Catatan Kenangan,
aynora nur
awal september 2012  
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.