Bukan Leo Qarnain 4

loading...

Ainul menunggu di bawah pokok sena yang terletak di hadapan kedai kopi itu. Dia menunggu kerana lelaki itu telah berjanji mahu menemuinya di situ. Biarpun lambat seperti waktu yang dijanjikan, Ainul terus sabar. Bukankah bersabar itu satu daripada makanan hati. Semakin banyak kita bersabar, insya'Allah ada ganjaran menanti. Itu pesan seorang ustazah yang masih diingati hinga kini.

"Merenung apa tu?"

"Masa depan."

"Cerah atau malap?"

"Tak tahu lagi, bergantung pada benda yang kau nak tunjukkan aku hari ni." Ainul tersengih. Boleh jawab begitu? Terpulanglah. Hatinya tak henti berdebar...

"Kalau apa yang aku nak tunjuk tu tak membahagiakan?"

"Maka malaplah masa depan aku." jawapan Ainul amat berterus terang.

Qushairi rasa bersalah dan tertekan mendengar jawapan dari mulut Ainul. Mengapa Ainul tidak berserah sahaja dengan apa yang bakal diketahui. Mengapa gadis itu mengatakan sedemikian. Lagi bebanan rasa yang menghimpit dada Qushairi sejak seminggu lalu bertambah sesak. Perlukah tindakan yang bakal dilakukan ini? Apakah derita di dada bakal terlerai jika dia membongkarkan kebenaran kepada Ainul? Sanggupkah Ainul menerimanya? Sejauh manakah tahap ketabahan wanita itu? Bertubi-tubi soalan datang menerpa dalam kepala Qushairi.

"Hoi! Jom kita bergerak sekarang."

Ainul sengaja menepuk belakang Qushairi. Dia sudah tidak sabar untuk menuju ke tempat yang disebutkan oleh Qushairi. Padahal dia pun tidak tahu dimanakah tempat tersebut. Sekali lagi Qushairi terpinga-pinga.

***

Kereta yang dipandu oleh Qushairi berhenti di bawah pohon yang rendang. Ada beberapa biji kereta yang turut diparkir di kawasan tersebut. Ainul keluar dari kereta tanpa menunggu arahan daripada Qushairi. Dia tak sabar berbanding dengan Qushairi yang cool sahaja sejak tadi.

"Kita lawat siapa kat sini?" bibir Ainul tak pernah berhenti bercakap.

"Seorang sahabat." ringkas jawapan Qushairi.

"Aku kenal ke dengan kawan kau tu? Ermm...tak apalah. Kita pun semuanya saudara sesama islam, kan?"

Qushairi mengangguk. Tetapi debaran di dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Perlukah dia berlakon lagi setelah untuk kesekian kalinya lakonan itu pasti berakhir dengan hatinya bertambah parah dan pedih. Apakah hanya dia seorang yang mesti menanggungnya? Bebanan perasaan yang menghantui semenjak perkenalan dengan Ainul semakin memahat lukanya. Qushairi pasrah...

Setelah berjalan perlahan-lahan ikut rentak Qushairi, akhirnya langkah kaki Ainul terhenti pada sebuah kubur. Sebenarnya Qushairi yang berhenti dahulu kemudian diikuti oleh Ainul. Tanpa sengaja mata Ainul terpandang tulisan nama pada batu nisan yang masih elok terjaga. Hatinya berdebar. Serupa atau kebetulan yang disengajakan. Bukan ini yang dicari selama setahun...

"Benarkah?"

Qushairi sudah berteleku di penjuru kanan kubur tak bernyawa itu. Manakala Ainul sudah terduduk bersetentang dengan Qushairi. Qushairi tidak mahu mengulangi lagi perbuatannya yang menangis tiap kali mengunjungi pusara arwah Leo Qarnain. Tetapi siapalah dia untuk melawan kesedihan itu, telah dicuba beribu kali air matanya terlalu mudah tumpahnya ke bumi.

"Bukan! Dia bukan Leo Qarnain!" jeritan kecil terhambur keluar dari mulut Ainul.

Qushairi hanya tunduk melayani hati yang basah juga. Bukan dia tidak mencuba menyelesaikan kemelut ini dari lama dulu tetapi waktu itu dia belum mampu. Dia biarkan sahaja esakan Ainul di sisi pusara 'secret admirer'nya. Setelah esakan Ainul reda nanti, Qushairi berjanji akan berterus terang. Itu tekadnya.

"Sejak bila dia tak ada, Que?"

"Satu tahun."

"Satu tahun? Boleh ke aku percaya ni? Aku...aku...tak tahu nak kata apa."

"Maafkan aku kerana rahsiakan hal ini dari kau, Ainul. Aku pun tak tahu caranya untuk sampaikan tentang pemergian arwah kepada kau. Bodoh betul aku, lewat cari kau. Aku memang tak cari kau pun..."

"Kalau aku tak terjumpa dengan kau, kalau aku tak kejar kau dulu tu...tentu sampai sekarang aku sangka Leo Qarnain masih ada. Tentu hingga kini aku masih mengejar bayang-bayang yang dah berkubur."

"Tak baik kau cakap macam itu, Ainul. Semuanya salah aku. Akulah penyebab kematian Leo Qarnain." Qushairi terasa sebak lagi mengenangkan dialah punca kematian sepupunya itu.

"Apa maksud kau? Kau...kau yang bunuh dia??" Ainul menerjah keras.

Qushairi mengangguk lemah. Memang khilafnya angkara ini semua berlaku. Dia pun tidak meminta tetapi itulah takdir perjalanan hidupnya yang telah ditentukan. Sekali lagi dia pasrah.

"Kau tau tak. Macam orang gila aku cari dia, hilang tanpa khabar berita. Hilang macam itu aje...sampainya hati kau! Kau memang kejam!!"

Setelah puas dirinya dituduh, dikritik, dimaki hamun dan bermacam-macam lagi, Ainul pergi membawa diri dari sisi Qushairi. Dengan mata yang masih basah, Qushairi meneruskan rutin yang biasa dilakukan sejak setahun dulu, berteleku di sisi pusara Leo Qarnain yang menjadi sebahagian sejarah hidupnya dengan dada penuh penyesalan.        

***

"Aku minta maaf pasal hari tu. Aku tak tau nak kata apa. Fikiran aku kacau. Aku sangkakan Leo pergi kerana aku tak layan dia. Aku sangkakan Leo pergi sambung belajar kat overseas. Rupa-rupanya..." Ainul tidak meneruskan kata. Dadanya sebak lagi.

"Okey, aku faham. Aku tak ambil hati pun dengan apa yang kau cakap. Aku dah biasa."

Ainul terdiam mendengar jawapan klise dari mulut lelaki. Argh! Lelaki memang begitu, ego luaran yang ditunjukkan bagi mengaburi rasa hati di dalam. Tetapi hatinya terdetik belas juga tatkala melihat airmata Qushairi bercucuran di tepi pusara Leo Qarnain lewat pertemuan dan penemuan yang memeranjatkannya hari itu.

"Habis tu...kau?"

"Aku? Apa maksud kau?"

"Tak kena penjara pun." Ainul berkata sinis.

Qushairi mengeluh. Dia faham bahawa Ainul masih menyimpan amarah terhadapnya atas kematian Leo Qarnain. Leo Qarnain yang dicintai oleh Ainul dan tentu Ainul akan lebih terkejut jika tahu Leo Qarnain juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya. Dialah gadis secret admirer yang dipuja oleh Leo.

"Aku bukan bunuh dengan sengaja...kami kemalangan."

"Kau kata kau yang bunuh dia. Sekarang kau kata accident pulak...aku tak fahamlah."

"Sebelum accident, aku ajak dia racing. Dia tak nak. Aku ada cakap banyak benda sampai dia berubah jadi lebih terbuka. Aku tak suka sikapnya yang terlalu 'nampak baik'. Aku nak dia jadi lebih berani. Aku suruh dia berterus terang dengan seseorang tentang perasaannya..."

"Tentang perasaan? Pada siapa?"

"Sebelum dia pergi, dia ada cerita tentang 'betty ugly' dia. Tentang perasaannya, tentang masa depan dan macam-macam lagi. Dia suka dengan seorang gadis. Student kat kolej dia. Dia suka mengusik, dia selalu ingin bertemu dengan gadis itu, dia mahu mengubah gadis itu. Semua orang kata gadis itu buruk sebab berkaca mata tebal. Dan...pada hari kemalangan tersebut, kami on the way nak jumpa gadis itu. Dia nak kenalkan aku dengan gadis itu..."

Ainul sudah bergenang airmata. Cita-cita dan cinta Leo Qarnain tidak kesampaian.

"Kau nak tahu siapa gadis itu?"

"Tak mengapalah. Biarlah rahsia. Lagipun dia dah tak ada."

Tanpa pamit, Ainul bangun dan beredar dari situ. Qushairi termangu-mangu melihatkan tindakan Ainul yang terburu-buru itu.

"Ainul! Ainul! Tunggu aku!"

Ainul sekadar mengangkat tangan.

"Kaulah gadis itu, Ainul..." rintihan Leo Qushairi tidak berkesudahan.      


- TAMAT -

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.