Cerpan: Aku Sebenarnya...(5)

 


Azhan menunggu bibir nipis Suzy terbuka dan meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama ini. Apakah maksud Trisya sebentar tadi. Apakah Suzy sudah dimiliki ataupun akulah yang bertahta di hati Suzy? Azhan menunggu penuh sabar. Suzy hanya senyum-senyum tidak jauh darinya. Nasib baik tubuh mereka tidaklah terlalu berat, jika tidak mahu roboh buaian milik kesayangan kakaknya.

"Baik awak cakap sekarang. Siapa BF lemau awak tu?"

Suzy tersengih-sengih gelihati mendengar pertanyaan Azhan buat kesekian kalinya. Lemaukah dia? Trisya memang nak kena! Semua benda nak dibongkarkan, alahai nasib badan...berserah sajalah Suzy daripada kau terperangkap di hadapan si Azhan; fikiran Suzy berbolak-balik.  

"Termenung lama gitu, mesti BF lemau awak tu tak wujud, kan? Awak buat cerita agar Trisya tak pandang rendah pada awak sebab umur dan badan dah besar panjang macam ni, masih tak ada BF. Betul tak tanggapan saya?" Azhan terus menyoalnya dengan nada yang agak sinis.

Suzy merasa dirinya dipandang begitu rendah oleh Azhan. Hasrat dihati hanya mahu bergurau dengan Trisya tetapi sebaliknya makhluk angkuh ini telah menuduhnya membabi buta. Benarkah aku tak punya BF seperti sangkaan Azhan? Apakah Azhan tak pernah memandang berat perhatianku terhadapnya selama ini? Pertemuan tidak disangka-sangka di rumah banglo ini bukanlah rancangannya. Suzy pun bukannya mahu mengajar tuisyen selama-lamanya. Cuma rezeki pekerjaan belum ada untuknya. Itulah sebabnya akhirnya dia bertapak sementara di sini.

"Sukar benar nampaknya awak nak menjawab persoalan saya. Atau sayakah BF yang awak anggap lemau tu? Sayakah yang lambat bertindak? Sebab itu awak gelarkan saya lemau? Cakap Suzy, cakap!!" Azhan sudah hilang sabar dengan sikap berdiam diri Suzy.

"Apa halnya ni? Azhan...apa kau dah buat dengan Suzy? Korang kenal ke?" terjahan suara Puan Linda    mengejutkan Azhan dan Suzy serentak.    

Azhan dan Suzy serentak bangun dari buaian. Suasana ketika itu agak tegang sedikit. Puan Linda pasti mengesyaki yang bukan-bukan terhadap Suzy mahupun adiknya sendiri, Azhan.

"Kenapa dengan kau, Han? Dah lama sampai? Akak lupa nak bagitau yang Trisya ambil cikgu tuisyen baru. Cikgu yang lama dah berhenti sambung belajar. Kenalkan ini Suzy."

Azhan dan Suzy hanya mengangguk serentak. Mata Suzy penuh dengan rasa marah berapi kerana dia nyaris dibuli oleh Azhan tadi. Kemunculan Puan Linda memang menyelamatkannya. Dia mengatur langkah mendapatkan Trisya yang sedang leka menonton Tutor TV. Pandai pula budak comel itu berlakon di hadapan ibunya sendiri.

Suzy malas ambil tahu apa yang dibualkan oleh Puan Linda dan Azhan di meja makan. Kadangkala ada gelak tawa dan adakalanya kedengaran serius. Asalkan jangan perihal dirinya sudah! Itu sudah cukup bagi Suzy dan biarlah rahsia perkenalannya dengan si angkuh Azhan itu terbiar sepi.

"Suzy...maafkanlah adik saya tadi. Dia memang macam itu. Terburu-buru tak bertempat." Bahu Suzy disentuh lembut oleh Puan Linda.

"Saya tak kisah pun, Puan."

"Baguslah kalau macam itu. Lega hati saya. Lagipun sebentar tadi Azhan dah ceritakan semunya. Korang berdua dah berkenalan ketika bekerja dulu, kan? Patutlah gaduh-gaduh manja saya tengok tadi. Azhan pun dah minta maaf kerana agak kasar dengan awak tadi." suara Puan Linda amat teratur.

'Hish! Minta maaf boleh kirim dengan pihak ketiga pulak! Tak aci betul!' gumam Suzy dalam hati.

"Saya mohon maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki...Sorry! Please! Please! Please!"

Terjahan tindakan Azhan yang memohon maaf secara tiba-tiba membuatkan Suzy hampir terlompat. Memang dia terkejut beruk dengan gelagat Azhan secara mendadak tadi. Otaknya pun tak sempat berfikir dengan waras. Hasilnya satu tamparan hinggap di pipi putih milik Azhan.

"Padan muka!" Puan Linda ketawa gelihati melihat adiknya ditampar oleh Suzy.

"Kak Linda...tengoklah siapa yang kena dera!"

Puan Linda hanya mengangkat tangan sambil berlalu menaiki tangga untuk ke tingkat atas. Trisya yang duduk  tidak jauh dari Suzy ikut ketawa mengekeh.

"Apa makna semua ini, awak..."

"Maafkan saya. Lain kali jangan terjah macam itu lagi. Saya ni ada darah lemah semangat. Pantang orang sergah-sergah, saya tampar aje..." jawab Suzy tegas.

"Dengan semua orang ke awak buat macam ni?"

"Tak. Sorang mamat tu aje..."

"Saya ker?"

"Dah terang nak bersuluh pulak!"

"Betullah tekaan saya..."

"Apa dia?" soal Suzy garang.

"BF lemau awak itu adalah saya, kan?"

Suzy hanya merenung wajah bersih Azhan dengan pandangan kasih di hati. Itu pun kalau Azhan memahami...

"Kalau begitu senang hati saya. Saya ingatkan awak ada BF lain...hihi..." Azhan tersengih menampakkan barisan giginya yang cantik.

Suzy menjeling geram. Suka pulak digelar BF lemau tapi badan tegap sihat walafiat, kekadang lain orang lain ragamnya. Azhan...Azhan....

"Awak ni tunjukkan kasih sayang dengan tampar dan sepak terajang ke? Tiap kali saya nak ngorat awak, awak tukar jadi amat garang. Awak ni tak ada sifat romantik ke?" Azhan masih mengusik Suzy yang telah mula memberi perhatian kepada pertanyaan Trisya.

"Pak Usu jangan sibuk boleh tak? Kak Suzy nak ajar Trisya ni..."

"Ala...Pak Usu nak kena jaga dia. Nanti dia missing in action untuk berapa tahun pulak. Melopong Pak Usu!"

"Hah!! Pak Usu nak kahwin dengan Kak Suzy ya...nanti Trisya story kat Papa..."

"Hish! Trisya salah faham. Kak Suzy nak killed him! Penyibuk!"

"Ha! Bila tengah garang tu saya tahu...awak kata saya terima nikahnya!" Azhan galak mengusik.

"Awak!!" Suzy menjerit geram.

 
spacer

Biodata Tokoh YAM Tunku Abdul Rahman Al Haj

As-salam,

YAM Tunku Abdul Rahman adalah seorang pejuang ulung yang meninggalkan jasa yang amat besar kepada kita di bumi Malaysia ini. Mungkin jika tidak kerana usaha-usahanya meraih kemerdekaan untuk Tanah Melayu, ketika ini negara kita tidak menjadi sebegini maju. Seharusnya perjuangan beliau dijadikan iktibar kepada kita yang sering bermusuh kerana ideologi politik yang tidak sealiran.

Sejarah Kelahiran & Keluarga


Tunku Abdul Rahman

YAM Tunku Abdul Rahman dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.

Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.

Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff.

Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah. Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.

Ringkasan Peristiwa

  • 1903: Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin.
  • 1913 (umur 10): Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Debsirindir, Bangkok.
  • 1916 (umur 13): Pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School.
  • 1919 (umur 16): Belajar di England.
  • 1925 (umur 22): Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.
  • 1927 (umur 24): Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.
  • 1930 (umur 27): Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.
  • 1931 (umur 28): Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Jajahan di Kulim.
  • 1932 (umur 29): Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.
  • 1933 (umur 30): Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.
  • 1934: Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.
  • 1935 (umur 32): Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu , perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.
  • 1937 (umur 34): Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.
  • 1938 (umur 37): Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.
  • 1939 (umur 36): Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah.Berkahwin dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah .Syarifah Rodziah Syed Syeikh Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.
  • 1940 (umur 37): Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
  • 1941 (umur 38): Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.
  • 1947 (umur 44): Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian * 1948 (umur 45): Dipanggil ke bar di Inner Temple.
  • 1949 (umur 46): Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.
  • 1946: Menyertai UMNO.
  • 1951 (umur 48): Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di Kedah.
  • 1954 (umur 51): Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.
  • 1955 (umur 52): Pilihan raya persekutuan umum yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London diadakan.
  • 1956 (umur 53): England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.
  • 1957 (umur 54): Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa.
  • 1958 (umur 55): Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958 – 1976).
  • 1960 (umur 57): Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.
  • 1961 (umur 58): Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.
  • 1963 (umur 60): Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).
  • 1967 (umur 64): ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu Association of Southeast Asian Nations.
  • 1969 (umur 66): Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.
  • 1971 (umur 68): Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.
  • 1982 (umur 79): Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) (1982 – 1988).
  • 1990 (umur 87): Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star. 

*** Sumber

Semoga catatan perkongsian di atas dapat memberikan kita sedikit gambaran perjalanan insan patriotik bernama YAM Tunku Abdul Rahman yang banyak berjasa kepada negara kita yang tercinta.

spacer

Menulis Novel Dengan Bahasa Yang Betul

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Pembaca sekalian,

Penghasilan novel dalam talian sudah terlalu banyak hinggakan kita tidak tahu memilih karya manakah yang menarik dan bermanfaat untuk bacaan kita. Ada sesetengah novel yang best isi dan temanya tetapi menggunakan bahasa yang kurang bijak penyampaiannya. Ada pula yang sebaliknya.


Menulis novel biarlah dengan bahasa yang betul dan ejaan standard agar anak-anak kecil yang baru hendak belajar boleh menggunakan medium internet sebagai bahan tambahan. Bagaimana kita mahu mengawal keadaan ini? Mari kita cuba cara-cara berikut;


  1. Belajar bahasa melayu dengan cara yang betul seperti merujuk DBP, ahli bahasa ataupun cikgu bahasa yang pakar.
  2. Membuat latihan gabungan ayat-ayat pendek dan hubungkan dengan kata penghubung seperti dan, serta, manakala dan sebagainya.
  3. Sentiasa membuat latihan menulis dalam bahasa melayu.
  4. Tanamkan tekad untuk menulis dengan menggunakan bahasa yang seragam dan mengawal kesalahan ejaan dengan menyunting bahan/artikel/novel terlebih dahulu.
  5. Minta bantuan daripada rakan-rakan ataupun saudara terdekat menyemak artikel kita sebelum di siarkan dalam blog.
  6. Terima komen atau pandangan orang lain dengan hati tebuka.     


Seorang penulis perlu lebih peka dan bersikap 'open minded' menerima teguran. Jangan malu untuk belajar daripada orang di sekeliling kita kerana kita tidak tahu siapa di antara mereka yang memberikan ilham dan membuka idea untuk sesebuah karya.

Jadi, mari kita belajar bersama-sama demi memartabatkan karya novel ataupun e-novel, cerpen, sajak dan sebagainya di alam maya ini.

Catatan,
aynora nur
Januari 2013 
  
spacer

Novel : Suratan 19


Haizan melakukan kerjanya seperti biasa. Lewat enam petang dia selesai menyiapkan tugas rutinnya pada hari itu. Haizan sudah tidak sabar-sabar mahu menelefon Soraya dan bercadang membawanya menonton wayang malam nanti. Dia meraba poket seluarnya. Dua keping tiket tayangan tengah malam tersimpan kemas. Filem action memang digemari oleh Soraya dan Haizan berharap 'surprise' yang bakal dibuatnya nanti menjadi. Belum pun sempat Haizan mendail nombor, telefonnya terlebih dahulu berbunyi.

"Hai, hello..."

"Yes Diane, what's up?"

"Temankan I shopping malam ni. Minggu depan I dah nak balik ke Tioman. I nak cari benda sikit untuk Pak Anjang. Please..."

"You minta tolong Aziz kan boleh. I ada hal. Tak boleh temankan you."

"Kenapa tak boleh? Nak keluar dengan Nina lagi ya..." tanya Diane dengan nada cemburu.

"Adalah! Jumpa kawan."

"Never mind, then!"

Klik! Talian telahpun diputuskan.

Haizan termenung seketika. Semenjak kebelakangan ini kelakuan Diane membingungkannya. Kadangkala dengan sengaja Diane berkemban keluar dari bilik mandi walaupun sudah berbuih ibunya menasihati. Diane umpama sengaja cuba menarik perhatian Haizan dan Aziz. Pernah sekali dia masuk ke bilik Haizan tanpa dipelawa. Waktu itu Diane hanya berseluar pendek menampakkan pehanya yang putih gebu. Nasib baik nilai keimanan Haizan tetap utuh di dalam diri. Kalau tidak, kes lain pula yang timbul!

Haizan tersentak dari lamunannya apabila telefon di sisi menjerit-jerit.

"Hello..."

"Zeem, kenapa dengan kau ni?"

"Emak. Apa halnya?"

"Budak Diane merajuk kata kau tak nak temankan dia keluar malam nanti. Kau ada nak jumpa kawan ke?" tanya emaknya di hujung talian.

"Ya lah mak. Saya ingat nak bawa Nina tengok wayang."

"Batalkan aje rancangan kau tu. Budak ni nak balik hujung minggu nanti, apa salahnya temankan dia sekali-sekala. Bukan mak tak suka kau nak keluar dengan Nina. Tapi kan korang ada masa di lain kali..." bebel emaknya di hujung sana.

"Okey, okeylah mak. Malas saya nak bertengkar pasal dia." Haizan mematikan telefonnya.

Perlahan-lahan Haizan mengeluarkan tiket wayang daripada poketnya dan menyerahkan kepada Harris, office boynya. Harris tersenyum memanjang kerana dapat dua keping tiket free daripada Haizan. Bukannya selalu pun...sengihan Harris semakin lebar.

Selepas solat Isyak, Haizan membawa dengan terpaksa si gedik Diane menuju ke bandar JB. Nasib baik Aziz tak ada plan apa-apa malam itu, jadi bolehlah angkut sekali sepupunya yang 'macho' itu. Mana tahu nanti terserempak dengan rakan-rakan sepejabat ataupun rakan-rakan Nina, jadi tiada sebab mereka boleh digosipkan. Langkah di atur ke City Square dahulu dan kemudian mereka bergerak pula ke Plaza Angsana. Dalam perjalanan pulang mereka singgah di Restoran Seafood Muslim berdekatan BBU untuk menjamu selera.  

"You nak makan apa? Orderlah." gesa Haizan malas berlengah-lengah.

"Aku nak sate, Zeem. Jangan lupa mak cik nak kita bungkuskan sate sikit."

"I...anything can do. Penting perut kenyang."

Haizan menjeling Diane dengan wajah bosan sambil mengerling sepupunya. Aziz hanya tersenyum mengejek. Mereka memesan siakap kukus halia bersama dengan nasi putih dan set pelengkapnya.

"Aku ke toilet sekejap. Sakit perut la..." Aziz segera berlalu.

Haizan malas memandang Diane yang asyik merenungnya. Dia memusatkan pandangannya ke jalan raya yang sibuk dengan kenderaan lalu lalang. Tiba-tiba matanya terpandang sesusuk tubuh yang amat dikenali. Gadis ceria itu sedang memegang lengan rakan sepejabatnya yang bernama Syed Hafiz untuk melintas jalan. Entah mengapa mata Haizan tidak mahu lepas dari mengekori langkah Soraya hinggakan gadis itu terperasan dirinya menjadi satu tatapan mata. Sama-sama terpaku. Perasaan Haizan jadi tak tentu arah.

"Itu kawan you yang datang rumah kita kan? Ajak mereka makan dengan kita." Diane turut perasan dengan kehadiran Soraya di medan selera itu.

"No. Not nice, I think." jawab Haizan perlahan.

Soraya menghampiri mereka.

"Wow! Encik Haizan...kebetulan pulak terjumpa kita kat sini. Ada date ke?" sindir Soraya.

"Kita asyik terjumpa aje kat mana-mana. Kat mana ada kau, kat situ ada aku." seloroh Syed Hafiz.

"Salah tu, kat mana aku pergi, kat situlah Nina muncul." Haizan dengan selamba membetulkan ayat teman sepejabatnya.

Muka Soraya merah padam. Syed Hafiz pula tersenyum sinis.

"Okeylah kami pergi dulu. Makan kat hujung sana..." Syed Hafiz meminta diri.

Haizan memandang sahaja Soraya berlalu sambil mengekori Syed Hafiz tanpa sempat mengucapkan apa-apa.

"Apa hal ni muka serabai aje." Aziz memandang Haizan dengan wajah kehairanan.

"Kau pun satu. Lambat betul melabur. Tak boleh aku nak cover line..."

"Apa halnya?" Aziz langsung tidak faham mengapa Haizan teruk benar anginnya.

"Nina."

      

        

  
spacer