Novel : Suratan 19

loading...

Haizan melakukan kerjanya seperti biasa. Lewat enam petang dia selesai menyiapkan tugas rutinnya pada hari itu. Haizan sudah tidak sabar-sabar mahu menelefon Soraya dan bercadang membawanya menonton wayang malam nanti. Dia meraba poket seluarnya. Dua keping tiket tayangan tengah malam tersimpan kemas. Filem action memang digemari oleh Soraya dan Haizan berharap 'surprise' yang bakal dibuatnya nanti menjadi. Belum pun sempat Haizan mendail nombor, telefonnya terlebih dahulu berbunyi.

"Hai, hello..."

"Yes Diane, what's up?"

"Temankan I shopping malam ni. Minggu depan I dah nak balik ke Tioman. I nak cari benda sikit untuk Pak Anjang. Please..."

"You minta tolong Aziz kan boleh. I ada hal. Tak boleh temankan you."

"Kenapa tak boleh? Nak keluar dengan Nina lagi ya..." tanya Diane dengan nada cemburu.

"Adalah! Jumpa kawan."

"Never mind, then!"

Klik! Talian telahpun diputuskan.

Haizan termenung seketika. Semenjak kebelakangan ini kelakuan Diane membingungkannya. Kadangkala dengan sengaja Diane berkemban keluar dari bilik mandi walaupun sudah berbuih ibunya menasihati. Diane umpama sengaja cuba menarik perhatian Haizan dan Aziz. Pernah sekali dia masuk ke bilik Haizan tanpa dipelawa. Waktu itu Diane hanya berseluar pendek menampakkan pehanya yang putih gebu. Nasib baik nilai keimanan Haizan tetap utuh di dalam diri. Kalau tidak, kes lain pula yang timbul!

Haizan tersentak dari lamunannya apabila telefon di sisi menjerit-jerit.

"Hello..."

"Zeem, kenapa dengan kau ni?"

"Emak. Apa halnya?"

"Budak Diane merajuk kata kau tak nak temankan dia keluar malam nanti. Kau ada nak jumpa kawan ke?" tanya emaknya di hujung talian.

"Ya lah mak. Saya ingat nak bawa Nina tengok wayang."

"Batalkan aje rancangan kau tu. Budak ni nak balik hujung minggu nanti, apa salahnya temankan dia sekali-sekala. Bukan mak tak suka kau nak keluar dengan Nina. Tapi kan korang ada masa di lain kali..." bebel emaknya di hujung sana.

"Okey, okeylah mak. Malas saya nak bertengkar pasal dia." Haizan mematikan telefonnya.

Perlahan-lahan Haizan mengeluarkan tiket wayang daripada poketnya dan menyerahkan kepada Harris, office boynya. Harris tersenyum memanjang kerana dapat dua keping tiket free daripada Haizan. Bukannya selalu pun...sengihan Harris semakin lebar.

Selepas solat Isyak, Haizan membawa dengan terpaksa si gedik Diane menuju ke bandar JB. Nasib baik Aziz tak ada plan apa-apa malam itu, jadi bolehlah angkut sekali sepupunya yang 'macho' itu. Mana tahu nanti terserempak dengan rakan-rakan sepejabat ataupun rakan-rakan Nina, jadi tiada sebab mereka boleh digosipkan. Langkah di atur ke City Square dahulu dan kemudian mereka bergerak pula ke Plaza Angsana. Dalam perjalanan pulang mereka singgah di Restoran Seafood Muslim berdekatan BBU untuk menjamu selera.  

"You nak makan apa? Orderlah." gesa Haizan malas berlengah-lengah.

"Aku nak sate, Zeem. Jangan lupa mak cik nak kita bungkuskan sate sikit."

"I...anything can do. Penting perut kenyang."

Haizan menjeling Diane dengan wajah bosan sambil mengerling sepupunya. Aziz hanya tersenyum mengejek. Mereka memesan siakap kukus halia bersama dengan nasi putih dan set pelengkapnya.

"Aku ke toilet sekejap. Sakit perut la..." Aziz segera berlalu.

Haizan malas memandang Diane yang asyik merenungnya. Dia memusatkan pandangannya ke jalan raya yang sibuk dengan kenderaan lalu lalang. Tiba-tiba matanya terpandang sesusuk tubuh yang amat dikenali. Gadis ceria itu sedang memegang lengan rakan sepejabatnya yang bernama Syed Hafiz untuk melintas jalan. Entah mengapa mata Haizan tidak mahu lepas dari mengekori langkah Soraya hinggakan gadis itu terperasan dirinya menjadi satu tatapan mata. Sama-sama terpaku. Perasaan Haizan jadi tak tentu arah.

"Itu kawan you yang datang rumah kita kan? Ajak mereka makan dengan kita." Diane turut perasan dengan kehadiran Soraya di medan selera itu.

"No. Not nice, I think." jawab Haizan perlahan.

Soraya menghampiri mereka.

"Wow! Encik Haizan...kebetulan pulak terjumpa kita kat sini. Ada date ke?" sindir Soraya.

"Kita asyik terjumpa aje kat mana-mana. Kat mana ada kau, kat situ ada aku." seloroh Syed Hafiz.

"Salah tu, kat mana aku pergi, kat situlah Nina muncul." Haizan dengan selamba membetulkan ayat teman sepejabatnya.

Muka Soraya merah padam. Syed Hafiz pula tersenyum sinis.

"Okeylah kami pergi dulu. Makan kat hujung sana..." Syed Hafiz meminta diri.

Haizan memandang sahaja Soraya berlalu sambil mengekori Syed Hafiz tanpa sempat mengucapkan apa-apa.

"Apa hal ni muka serabai aje." Aziz memandang Haizan dengan wajah kehairanan.

"Kau pun satu. Lambat betul melabur. Tak boleh aku nak cover line..."

"Apa halnya?" Aziz langsung tidak faham mengapa Haizan teruk benar anginnya.

"Nina."

      

        

  

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.