Puisi: Berita Di Mata Seorang Lelaki



seorang lelaki
di tangan memegang akhbar harian
helaian pertama di tatap rapat
hembusan nafas gusar
bagai ada berita yang tidak enak
mencalar lorong hati dan rasa

ada ruangan jenaka
sesekali bibir tersenyum sumbing
entah apa apa yang diautakan
mungkin betul sindiran yang dipaparkan

bila akhbar ditutup
mata penuh warna kelabu
berita yang dibaca tak bisa
mengundang ceria di jiwa
semakin tertekan jiwa nan rawan
kerana dulu berita kematian sang anak
pun tahunya dari dada akhbar!  
spacer

Aku Yang Terlewat 7



Aku buat muka selamba menemankan Hannah berjumpa dengan Zek Isqandar Sani yang kini aku gelarkan ZIS. Lelaki dengan tiga nama itu selalu nak potong jalanku waima kini aku dan Hannah telah sah bergelar suami isteri. Entah apa lagi yang dia mahu lakukan untuk mengaut kembali kasih Hannah agaknya? Over my dead body...jika beliau ada niat tersembunyi dengan agendanya hari ini. Walaupun aku tidak berapa suka mencampuri urusan kerja Hannah, tetapi jika ada sangkut paut dengan ZIS, aku akan bagi saja ruang dan kesempatan untuk berada disamping Hannah. Aku tidak mahu sentiasa jadi insan yang terlewat kepada isteriku yang tercinta itu.

"You...jom turun. Dah sampai ni."

"Eh! Dah sampai ya? Tak perasan pulak."

"Hah...kan I dah kata. You ikut I kerana terpaksa, kan? Badan entah kat mana, fikiran melayang sampai ke bulan bintang..." pandai isteriku mengusik.

"Mana ada...memang I ikhlas nak temankan you." aku menyeringai. Muka tetap ku kawal selamba.

"Dia dah sampai ke?" aku bertanya pendek. Dadaku berdebar tak tentu hala. Rasa-rasanya sudah hampir 4 tahun aku tidak bertemu lagi dengan ZIS. Entahkan bagaimana rupa bekas kekasih Hannah itu. Pasti sudah buncit perutnya atau paling tidak mungkin rambut serabai tidak terurus. Akhirnya aku tersenyum sambil mengatur langkah mengekori Hannah yang berjalan di hadapan.

"Zaff! You ke ni? Wah...makin handsome lah kau!"

Seseorang menepuk bahuku. Sebagai tindak balas aku memalingkan wajah. Macam kenal mamat ni, tetapi siapakah dia? Otakku ligat berfikir. Aku mencari wajah Hannah. Mencari jawapan kepada persoalan di otakku yang agak tepu sekarang ini.

"You! Zek lah..." Hannah berbisik halus.

Aku menepuk dahi. Zek? Apakah si lelaki ZIS itu? Kenapa dia kelihatan sungguh 'awesome', sungguh diluar bayangan yang aku jangkakan tadi.

Kami bertukar salam dan pandangan. Wajahnya sungguh tampan dan bersih. Rambutnya bersisir rapi. Dan, ah! perutnya...begitu rata, tidak boroi seperti jangkaan ku tadi. Dalam hati, aku termalu sendiri.

"Jom! Kita jumpa kawan-kawan. Rasanya mereka semua dah sampai." Zek mesra menepuk bahuku sekali lagi.

Hannah sudah agak jauh di hadapan kemudian diikuti oleh Zek di belakangnya. Aku merasa panas hati. Bagaimana kalau tiba-tiba Zek memaut pinggang isteriku? Dia bukannya boleh dipercayai sangat. Aku melangkah pantas untuk menyaingi Hannah dan segera memaut pinggang isteriku. Nyaris aku tertolak tubuh Zek tetapi apa nak buat, aku tak boleh selamanya terlewat!

Hannah berasa agak canggung dengan kelakuanku yang terlebih romantik di hadapan rkan-rakan lama serta teman sepejabat. Tentu Hannah juga bengang dengan Zek yang berlagak selamba memandang sikapku yang ditunjuk-tunjuk.

"Kenapa dia tak seperti yang I bayangkan?" aku bersuara perlahan di telinga Hannah.

Hannah tersenyum. "You bayangkan dia macam apa?"

"Monsters!" aku menjawab laju.

"Kejam betul persepsi you tu."

"I'm jealous."

"I tahu. Mulai sekarang you kena kawal sifat cemburu you tu kerana I akan selalu berjumpa dengan dia."

"Kenapa pulak?" soalku dengan rasa tidak puashati.

"Dia kan bos I. You dah lupa ke?"

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Akhirnya aku sekadar menjadi pemerhati kepada kemeriahan majlis Hannah dan rakan-rakannya. Sesekali aku mencuri pandang kepada Zek dan apabila pandangan kami bertembung, aku berpura-pura melayan skrin telefon yang kosong. Bukan ada apa-apa pun. Kosong...  

Majlis menyambut kepulangan Zek yang dibuat di sebuah bistro itu agak meriah dengan kehadiran sebilangan rakan-rakan lama Zek dan Hannah serta rakan sepejabat yang lain. Zek dan Hannah dahulu bersekolah di sebuah sekolah menengah sains di Melaka. Hubungan Zek dan Hannah terjalin agak lama juga hinggalah aku muncul dalam kehidupan mereka.

Itu semua cerita lama. Untuk apa buka buku lama kerana aku pasti buku baru yang aku mula selak helaian pertamanya hari ini pun sudah menggetarkan jiwa.

Zek a.k.a ZIS, di mana kamu dalam episod kehidupan kami nanti?
 




spacer

Kerana Kamu Belum Mengerti

Terdengar suaramu tak ceria, hati di dalam berdetak detik tidak terkira. Mungkinkah kamu ditimpa musibah hinggakan suaramu tidak seceria selalu. Apakah gerangan masalah yang menghimpitmu wahai putera? Usah dibiar hati seorang aku di sini berdebar-debar mendengar perkhabaranmu.



Hati wanita ini tidak selalunya teguh, kekadang ia ibarat ilalang yang tak betah melawan arus. Dan hati wanita ini seperti halusnya sehelai rambut, mudah terasa tetapi terbiasa dengan keluhan tak gembira hati puteranya. Hati ibu mana yang tegar membiarkan putera-puteranya diamuk musibah yang datang tak terduga...

Ingatlah anak-anak, bahagiakan orang tuamu sebagaimana mereka memberikan kebahagiaan tak berbelah bahagi tika kamu belum mengerti dahulu. Kerana ironinya kamu berada di dalam perut ibu selama 9 bulan 10 hari, selama itulah jerih perih perjalanan dan segala perasaan di kongsi denganmu. Jadi, wajarlah jika ALLAH berikan kelebihan hati seorang ibu dapat membaca gerak geri putera dan puterinya.

AJAIBNYA TANGAN IBU

Ketika kita lapar...tangan ibu yang menyuap,
Ketika kita haus...tangan ibu yang memberi minuman,
Ketika kita menangis...tangan ibu yang mengesat air mata,
Ketika kita gembira...tangan ibu yang menadah Syukur,memeluk kita erat dengan deraian air mata bahagia,
Ketika kita mengantuk...tangan ibu yang dodoikan dengan penuh kasih sayang,
Ketika kita mandi...tangan ibu yang meratakan air ke seluruh badan,membersihkan segala kekotoran, 
Ketika kita dilanda masalah...tangan ibu yang membelai duka sambil berkata:Sabar nak, Sabar ye sayang.
Namun,
Ketika ibu sudah tua & kelaparan...tiada tangan dari anak yang menyuap,
Dengan tangan yang menggeletar, ibu suap sendiri makanan ke mulut dengan linangan air mata,
Ketika ibu sakit...di mana tangan anak yang ibu harapkan dapat merawat kesakitan ibu?
Ketika nyawa ibu terpisah dari jasad...
Ketika jenazah ibu nak dimandikan...
di mana tangan anak yang ibu harapkan untuk menyirami jenazah ibu buat kali yang terakhir.
Tangan ibu, tangan ajaib...
Sentuhan ibu, sentuhan kasih...
Boleh membawa ke Syurga Firdausi...
Ciumlah tangan ibu,
Sebelum ibu pergi bertemu Illahi & takkan kembali lagi...

Nukilan Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (Pendakwah & Pengacara Semanis Kurma TV9) 


**Sumber Facebook
spacer

Bening Kasihmu Hingga Ke Syurga Abadi

klik imej untuk gambar lebih jelas

Ungkapan yang terindah bagaimanakah lagi untuk aku coretkan tatkala mengusung memori silam bersamamu, ayahanda? Menyusuri hari-hari bernama kenangan, kiranya masa sudah semakin jauh berlalu. Dahulu bertahun kita menganyam juadah rasa kehidupan, kekadang katamu tidak dipatuhi, bertikam lidah umpama akulah pendebat ulung waktu itu. Pahit manis dan asam garam perencah hubungan yang terbiasa dengan pasang surutnya, tetapi kau masih tidak jemu menunjuk ajar itu dan ini tanpa rasa ragu.

Benarlah bagai kata pujangga...menangisi setelah ketiadaan, mengenangi seumur hidup pun belum boleh menamatkan sejarah yang tercipta. Dan setelah ketiadaan, betapa rasa bertuahnya pernah singgah di dahan kasihmu, betapa agungnya khidmat nasihat yang kau sangkutkan di bahu ingatan...

Melewati tahun ke tahun, tidak terasa hampir 3 tahun kita terpisah dunia. Terimbas wajah dan gaya yang serupa mu, pantas kaki mahu mengejar. Lantas diri sedar di alam realiti...ohh! si dia telah pergi.

Masih ada bekas suaramu di hening pagi membangunkan Subuhku, terdengar-dengar deheman tegasmu tatkala mencurahkan bakti mengajar sang pencinta ilmu ukhrawi, dan bagai terngiang-ngiang guraumu memecah sunyi!

Bila tiada kata-kata lagi yang mampu terluah, hanya doa kudus dan sedekah al-fatihah untuk mu insan bernama ayahanda.

Selamat Hari Bapa, ayahanda...  


coretan kenangan,
aynora.nur
spacer

Aku Yang Terlewat 6


Azan Subuh berkumandang dari surau berdekatan. Aku mengesot ke bucu katil lantaran badanku yang terasa rimas dan panas. Tidurku pun tidak nyenyak gara-gara seorang lelaki dengan tiga nama. Huh! Pantang benar terdetik namanya di sudut hati, ada saja darah pahlawanku naik ke muka. Hasilnya, mukaku masam mencuka biarpun sudah di basahi dengan air sembahyang.

Usai solatku yang kurang khusyuk, aku mengejutkan Hannah yang masih berselubung di bawah gebar (selimut tebal). Aku tahu Hannah mengantuk yang amat sangat tetapi tugasku takkan terlangsai selagi belum menyempurnakan tanggungjawab yang satu ini.

"Ada apa dear? You nak bincang pasal malam tadi lagi ke?"

Aku terkedu. Bangun tidur pun masih teringatkan lelaki dengan tiga nama itu. Ini tak boleh jadi!

"Dear...Subuh. Bangun dulu nanti sambung tidur."

Hannah menggeliat tanpa keluhan. Siapa yang tidak sayangkan wanita cantik sebaik Hannah. Dalam penat dan mengantuk masih bersisa gara-gara pulang lewat malam tadi pun, Hannah tidak mengeluh apabila dikejutkan. Beruntung sungguh sesiapa yang memperisterikan wanita seindah bunga syurga itu, dan yang bertuahnya tentulah aku si Zaffril yang sedang runsing hatinya kini.

Aku menunggu Hannah selesai bersolat dengan sabar. Perihal malam tadi mesti diselesaikan hari ini juga. Aku tidak mahu ia menjadi kudis dalam perhubungan kami suami isteri.

"Kenapa termenung?"

Hannah mencubit pipiku. Aku tersedar daripada api cemburu yang hangat membara.

"You jumpa dia malam tadi?"

"Hurm..."

Aku tidak berpuas hati bila Hannah sekadar menjawab dengan isyarat begitu.

"Maksudnya?"

"Begitulah..." ringkas Hannah bermain kata. Menguji hati lelakiku pada subuh yang masih lagi bersisa.

"Cuba you story betul-betul. About the whole pictures..."

Hannah yang sudah menutup separuh tubuhnya dengan gebar, duduk bersandar pada kepala katil. Aku selesa berada di hujung kakinya. Jarak kami pun bukanlah jauh sangat.

"Daripada mana you nak I start, Zaff?"

Aku terus diamuk debar. Banyak sangatkah kisah antara mereka? Apakah debunga cinta Hannah dengan lelaki tiga nama itu bersemarak kembali? Ohhh!! Aku yang selalu terlewat. Adakah kali ini aku terpaksa mendengar berita gembira isteriku dengan bekas kekasihnya?

Aku rasa Hannah tidak perlu teruskan jika niatnya hanya untuk membuat aku terseksa. Tetapi raut wajah Hannah begitu tulus, tiada sedikitpun senyuman sinis. Aku terpaksa bersedia jika Hannah membawa khabar kurang elok ke telingaku.

"Lain kali jangan nak senang lenang makan jemput-jemput ikan bilis kat rumah, and then...tinggalkan isteri pergi annual dinner seorang diri. Next time, kalau dia tanya pasal you lagi tetapi you tak ada, jangan menyesal. I pun ada maruah dan ego untuk dijaga!" Hannah menutur lembut ayat-ayatnya. Tetapi cukup berbisa pada pendengaranku.

Next time, jangan menyesal! Itu ugutan Hannahkah?

"Jadi..." aku masih tidak faham.

"Dia berkirim salam pada you. You masih tertinggi pada carta hati I. Lain kali I tak akan jawab kalau dia tanya pasal you lagi. You jawab sendiri."

Hannah menyambung berselimut. Aku termangu-mangu selepas mendengar cerita Hannah. Namaku masih di atas rupa-rupanya!

Terima kasih Hannah. Aku memeluk Hannah yang berselubung penuh. Aku lepaskan rasa kasihku padanya dengan sebebas-bebasnya. Aku salurkan rasa terima kasihku dari lubuk hati yang paling dalam. Aku rasa Hannah pun mengerti apabila dia kembali membalas pelukanku dari dalam gebar.

Aku biarkan Hannah menyambung tidurnya sementelah di pagi minggu begini tiada aktiviti khas antara kami berdua. Demi membalas kesetiaan dan keikhlasan Hannah, aku menyediakan sarapan roti bakar untuknya.

Hannah memang menjaga kesihatan dan lebih sukakan masakan yang direbus, bakar panggang ataupun sup sayur. Wanita cantik pun untuk lelaki yang bergelar suami; begitu Hannah membalas bila aku sering mengusiknya.

****

"Dear Hannah...you dah bangun ke?"

Aku berbisik lembut. Hatiku riang tak terkata. Dua keping roti bakar dan secawan susu aku letakkan di atas meja kecil di sebelah katil. Sesekali nak beromantik dengan Hannah, apa salahnya.

"Hannah....dah tengahari ni. You tak nak bangun ke?" aku mengusik.

Serta merta Hannah terjaga. Dia terus duduk tegak seperti terkena kejutan elektrik.

"Tengahari? Kenapa you tak kejutkan I awal-awal pagi tadi. I ada program hari ni." Hannah melompat turun dari katil tanpa menoleh kepadaku langsung. Usahaku untuk menunjukkan penghargaan kepadanya sia-sia nampaknya.

"Wait! Wait...what is that?"

Hannah tidak jadi masuk ke bilik air. Dia sedar dengan usahaku yang sedikit itu. Semangat ku yang hampir merundum bangun kembali. Hannah sengaja mahu mengusik nampaknya.

"Belum tengahari, kan? You tipu I ya?"

"I gurau aje. I bawakan roti bakar dan susu untuk you. Hope you can refresh yourself..."

Hannah tersenyum mengenyit. Dengan tuala masih di bahu, dia sengaja duduk sambil bersandar di dadaku. Kembang kuncup hatiku dengan kemanjaan Hannah yang tidak berbelah bahagi.

"Nanti I nak keluar dengan Zek Isqandar Sani..."

Hatiku menggelupur kini. Apakah ada yang aku terlepas lagi hinggakan Hannah sewenang-wenangnya menjual nama lelaki itu yang kini sudah menjadi bekas kekasihnya??





    

    
spacer

Senyuman Ini Ikhlas Untukmu

Bisakah hati yang terluka di ruang paling dalam tersenyum dengan seikhlas rasa? Pernahkah kau tersenyum pura-pura demi menjaga hati banyak pihak? Kita sering bergetar rasa, menahan amarah lantas tersimpan dendam yang bertali arus.




Senyumlah dengan seikhlas hati dengan rasa lapang dada. Bukankah senyum itu satu sedekah? Senyum adalah sedekah yang paling mudah yang kita boleh buat pada bila-bila masa dan tak mengira kepada siapapun sedekah itu bakal dinikmati. Yang penting, biarlah senyuman itu ikhlas darimu!

Teman...kita tak sempat untuk menoleh ke masa silam dek hambatan masa kini yang deras langkahnya. Dalam kesibukan itu, kita sekadar berbalas lambai dan senyum. Usah di tafsirkan senyuman ini apa ertinya? Bukankah kekadang sesuatu pemberian itu tidak mempunyai maksud yang tersirat.

Aku tersenyum, kau pun tersenyum...
daunan kering lalu terjatuh di atas telapak tangan
mendamba ingatan kian pudar
tak satu pun terikat di atas jemari
lerai bersama daunan nan kering itu
begitu rapuhnya kenangan itu hilang
tanda kita tak muda lagi
untuk melewati memori di hujung hari

bila ku tersenyum memanggil tawa
kau menutup mulut dengan malu
kerana ada mata-mata comel
memerhati tingkah kita

biarlah senyum itu ku simpan di hati...
tanda kenangan itu masih bersisa lagi...

coretan kenangan,
aynora nur

spacer