Header Ads

Bicara Sesalan Seorang Dia

Advertisement
Mungkin aku tak pernah tahu, aku tak ambil tahu. Pengorbanann kamu wahai isteri. Aku jauh beratus batu, membawa diri mencari rezeki. Bawa sekali harapan kita. Tetapi aku alpa, aku tinggalkan kamu di belakang. Toleh sekilas kemudian memandang ke depan semula. Aku lepaskan kau dengan segala tanggungjawab. Aku letakkan segala masalah di bahumu seorang. Aku letakkan anak-anak kita di hatimu yang telah lelah!




Aku tidak tahu pun.

Di sana kamu berhempas pulas. Di sana segalanya tertanggung. Di daerah itu kamu memerah keringat. Dan...di daerah kita itu kamu menangis sendirian.

Aku lupa lagi.

Di sini aku bergembira. Di sini aku menyambut tangan mulus bersulam kasih sayang. Di tempat baru ini aku berterbangan bak layang-layang nan tinggi di udara biru. Aku berharap dengan bunga nan sekuntum. Kami menjadi seperti kita dengan sekali lafaz.

Aku lupa tentang kamu lagi.

Aku terlupa kita pernah mencipta harapan bersama. Aku lalai dengan tugasku. Aku tidak adil menimbang kasih dan sayang pada berlian yang ditinggalkan. Aku berdusta dengan taklik dan janji yang telah dimetri. Aku maha berdosa, Ya Tuhanku...

Dalam sunyi kau menyendiri. Berita dan khabar ini amat menyeksa hati wanitamu. Seorang isteri yang dahulu di kasihi, seorang ibu yang menjadi penyeri. Apakah aku mampu? Meraih jejari emasmu, memohon maaf selautan Atlantik? Dapatkah aku sirami benang hatimu yang basah dengan kesedihan? Terimakah kamu pada kehadiranku kini?

Terlambatkah aku?

Bagimana mahu kupujuk hati itu yang calarnya menjadi retak seribu.

Aku sedar kini, beribu sesalan pun sudah tiada gunanya. Hanya pada Tuhan aku bermohon. Berikan aku kekuatan untuk menjadi nakhoda yang adil timbang taranya, mengikat kasih di sini dan membawa sayang di sana. Agar aku bisa menjadi ketua yang adil pada kalimah misteri itu...

Semoga aku masih diberikan ampunan, peluang dan masa untuk membayar harapan yang aku khianati.

Aku masih terus berharap...

##catatan dari seorang lelaki,
yang tertinggal jejak...2013.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.