Biodata Tun Hussein Onn | Bapa Perpaduan

loading...
Biodata Tun Hussein Onn - Tun Hussein Onn dilahirkan di Johor Bahru serta merupakan anak kepada Dato' Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Ibunya bernama Datin Halimah Hussein.

Dilahirkan: 12 Feb, 1922, Johor Bahru
Meninggal Dunia: 29 Mei, 1990, South San Francisco, California, United States
Isteri: Suhaila Noah (m. ?–1990)
Pendidikan: Lincoln's Inn
Ayah: Onn Jaafar
Anak: Hishammuddin Hussein

Biodata Tun Hussein Onn




Tun Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura, kini Telok Kurau Primary School (Sekolah Rendah Telok Kurau) dan di English College (kini digelar "Maktab Sultan Abu Bakar"), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19 (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan British melantik beliau sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi.

Bermula tahun 1942, beliau terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin, Iran dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, beliau ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras, Tun Hussein merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun.

Beliau pulang ke Malaysia pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam tentera, beliau dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa. Seterusnya, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Beliau juga pernah bekerja di negeri Selangor sebagai pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.

Semangat Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Beliau kemudiannya menyertai bapanya dalam bidang politik apabila bapanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Di samping penglibatannya dalam bidang politik, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1949, beliau telah menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Pada tahun 1950, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

Walaubagaimanapun, penglibatan beliau dalam bidang politik mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila bapanya menarik diri dari UMNO, beliau kemudiannya menyertai bapanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, beliau meninggalkan bidang politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu, beliau sudah pun berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah dan mempunyai enam orang anak. Ibarat sireh pulang ke ganggang, beliau kembali menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak yang ketika itu memegang jawatan sebagai Yang Di-Pertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri daripada arena politik, tapi UMNO telah mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana beliau memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah pada Mei 1969.

Kesimpulan

Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".

Sebagai golongan muda dan pertengahan yang dilahirkan selepas merdeka, kita wajar belajar dan mengenang sejarah serta pengorbanan pejuang kemerdekaan yang banyak berjasa kepada tanahair tercinta. Semoga sedikit catatan tentang biodata Tun Hussein Onn dapat membantu menambah pengetahuan kita tentang pejuang moden ini. 

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.