Kau Selalu Ada

Kau seperti udara yang ku hela, kau selalu ada..

Ketika tubuh ini terjaga lesu di sepertiga malam, mata yang separuh terbuka belum bisa membangunkan minda yang telah terlelap. Bagai ada sahutan semangat memanggil jiwa yang hampir rebah ini. Kau Maha membantu dan menolong aku, hambaMu yang reda dengan segala cubaan. Malamku tidak nyenyak, lantas Kau membangunkan aku pada sepertiga malam yang hening ini. Terima kasih Ya Tuhan, atas segala janji yang kau nukilkan...kerana aku sang pencinta dunia hampir lalai dengan segala amanahMu...

Aku mengadu kepadaMu kerana aku di tuduh bersalah...





Aku bukan tumbang kerana gagal...

Tetapi...inilah percikan amarah yang lahir dari jiwa yang kurang bijak. Aku terima segalanya dengan hati terbuka. Kawan, aku tidak tumbang. Jika itu yang terbuku, kau lepaskanlah. Namun, caramu tidak mengheret silaturrahim ini ke arah yang lebih baik. Kamu menggila, kamu mungkin pedih...tetapi kawan tiada sesiapa yang menjadi duri dalam daging. Tidak! Bukan aku atau dia...

Semuanya kerana sebuah janji.

Dia hanya menemaniku mencari kenangan silam. Dia sekadar teman menunjuk jalan yang terang. Dia adalah sahabat sejati yang tidak meminta-minta pada perhubungan dan silatuirrahim ini. Dan, kerana dia hanya mengharapkan yang baik-baik tergamakkah aku mahu memutuskan silaturrahim ini? Sampai hatikah kamu melihat tali Allah ini terlerai?

Aku tidak akan memutuskan ikatan ini!

“Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturrahim).” (Hadits riwayat Muslim)

Demi diri ini menjalin perhubungan, hanya niat yang baik-baik sahaja pernah terbayang. Jika itu anggapan kamu terhadap aku, terpulanglah. Kita hanya bisa menjadi bijak dengan membuat pertimbangan yang adil terhadap sesuatu. Dan, sekiranya kata-kata itu membuatkan seorang kamu berasa puas...terpulanglah!

Kau selalu ada.

Diri ini tidak gentar dengan segala hinaan, kerana Kau selalu ada. Ya Tuhan...keberkatan hidup dan bahagia berjalan di atas muka bumiMu ini sudah mencukupi bagi seorang hamba yang lemah ini. Kerana percaya Kau selalu ada, aku tidak dihimpit sekelumit rasa tergugat. Hanya kerana percayakan takdirMu, cukup itu semangat buatku.

Kerana dia, seorang kamu bukanlah musuh bagiku.


spacer

Lepaskan Rasa Ini

Sedaya upaya aku cuba lepaskan rasa yang sedang bermaharaja lela dalam dada. Apakah ini rasa yang indah atau satu bebanan yang sukar ditanggung? Bagaimana rasa sesak ini hendak ku hela sedangkan sejak seharian hati ini telah lelah menanggung sesalan.



Aku yang terlalu beremosi.

Aku wanita yang memiliki jiwa yang sensitif. Mana mungkin perasaan ini kau permainkan hingga diri ini merasakan yang engkau sengaja menjemput gundah di dalam dada. Cukuplah penyeksaan selama ini yang aku tanggung seorang diri. Berikan aku ruang untuk bernafas dan melepaskan lelah ini yang telah menganggu ku seharian.

Kamu yang sedang memerhati...tolong lepaskan belenggu perasaan ini.

Perjalanan ini singkat dan izinkan aku mengutip bahagia dengan caraku sendiri. Jangan dibuang masamu yang berharga itu dengan memberikan harapan palsu. Seorang aku ini juga berhak mengintai secebis bahagia meskipun segala ranjau bagai sebati dengan diriku.

Lepaskan rasa ini

Hatiku telah lelah dengan sebuah rindu yang tidak terzahir. Aku ingin mengorak detik hati agar bahagia tidak menghalang lagi. Ada rasa ego yang mencengkam tetapi aku juga takut kehilangan. Antara kita, kau dan aku...menyimpan keegoan yang telah berzaman. Temanku...izinkan diri kita bahagia. Lepaskan rasa itu jika inilah langkah terakhir yang perlu kita akui.

Masa tidak zalim...

Pengalaman menjadikan kita dewasa, dan hubungan ini entah ke mana arahnya. Kawan...diri ini sekadar mampu mendoakan. Moga bahagia datang menjenguk dan derita bawalah ia pergi jauh-jauh dari hidupku.

Perasaan ini masih belum mengerti agaknya?

Sejujurnya. ..hati ini belum bisa melepaskan rasa yang menganggu. Jadi temanku...jadilah temanku di sepanjang jalan penuh ranjau dan liku ini.

Dan, kita masih sama-sama menunggu!
spacer

Di Antara Airmata...

Hujan yang turun mencurah bumi, menggembirakan pepohon dan daunan yang hampir layu. Dapat menyambung nafas buat sehari dua. Jika hujan tidak turun, hebat kerisauan melanda jiwa. Menanggung dahaga, sebuah perjalanan terpaksa dihentikan. Itu takdirnya...




Hidup dan mati adalah janji Tuhan kepada hambaNya...

Tika hujan yang rintik turunnya, antara celahan dingin itu ada airmata yang tumpah. Kerana penyesalan dosa semalam, kerana kehilangan sebuah kasih atau juga kerana tiada apa-apa untuk ditangisi. Sedihnya hidup berseorangan. Bila airmata mengiringi hujan yang turun...disitu cuba kamu selusuri hati hati yang kosong. Tiada kasih untuknya hargai...
Selebat hujan yang turun
Mencurah membasahi bumi
Tidak selebat hujan
Di dalam jiwaku

Jiwa yang kosong.

Dalam jiwa yang kosong, mari kita penuhkan dengan kasih sayang sesama kita. Kaitlah sebanyak mana silaturrahim, buat mengubat jiwa yang rapuh. Kita perlukan teman untuk hidup dan kehidupan di masa mendatang.

Rasulullah s.a.w. menerangkan:

“Tiap orang Mukmin telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak daripada orang mukmin yang lain:
1. iaitu memandangnya dengan penuh penghargaan,
2. menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya,
3. menghulurkan simpati dengan harta sendiri,
4. mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya,
5. menziarahinya ketika sakit,
6. mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia) dan
7. tidak menyebut tentangnya kecuali yang baik sahaja setelah ketiadaannya.”

Di antara airmata..

Tika hujan tak berhenti, masih ada sisa airmata yang mengalir. Di antara airmata yang bergenang...ada ingatan secebis kisah silam, memohon keredaan dariNya. Dapatkah rasa kotor ini disuci dan diampunkan?

Oh hujan
Di antara airmataku
Menitis laju
Bersama pilu pilu
Namun jangan berputus harap, kawan. Tuhan Maha Pengampun. Dosa semalam walaupun setinggi gunung dan seluas lautan, Tuhan akan dengarkan permohonanmu. Mohonlah kepadaNya. Sesungguhnya Dia tempat mengadu resah dan sedihmu.

Kucuba menghapuskan
Kenangan waktu silam
Namun bertambah membara
Rindu yang ku sekamkan
Rakan...kita insan-insan berdosa. Airmata jernih yang mengalir...moga membasuh sejarah yang tercipta...

spacer

Jangan Biarkan Hatimu Terluka

Cerahnya cuaca yang menerangi bumi tercinta. Hinggakan derita hati pun lupa yang minta disapa. Hati hati yang menangis pun berhentilah. Penatnya menanggung derita, hanya masa yang boleh merawatnya.




Bisakah hatimu dirawat?

Sayang...hati tidak dilukai kerana rela. Walau kadang ada dendam bermain di minda, hapuskanlah sayang. Dendam boleh membuat hatimu gelap, wajahmu tak ceria. Buat apa hidup dalam dendam dan amarah sedangkan kita boleh memilih kehidupan yang ceria dan penuh tawa.

Jangan biarkan hatimu terluka...

Izinkan masa datang bertandang, membawa berita bahagia dan merawat lukamu. Izinkan bayu berpuput lembut meniupkan semangat bangun semula dari kelukaan lalu. Jaga hatimu sayang, jangan biarkan ia dilukai. Parut semalam adalah kenangan yang akan terpadam dengan hadirnya lukisan memori baru. Izinkan warna-warna pelangi melukis potret itu buatmu, buat kita yang masih berharap untuk sembuh.

Menurut Albert Clarke, dalam kehidupan kita sehari-hari, kita dapat melihat bahawa bukan kebahagiaan yang membuat kita berterimakasih, tetapi rasa terima kasihlah yang membuat kita bahagia.

Sewaktu mengira bahagia yang singgah, jangan dilupakan sekeping hatimu yang meminta kebahagiaan. Lepaskan segalanya dengan rela dan kutiplah bunga-bunga lavender buat mengharum taman hati. Nanti, kongsikan haruman itu dengan aku...sekeping hati yang telah lama lelah.

Hati ini telah letih...aku biarkan kau pergi!
spacer

Sayang...Mulakan Dengan Tabah

Ketika membuka pintu rumah untuk ke tempat kerja, hati dipenuhi bunga bahagia. Sewajarnya itu langkah dan fikiran kita untuk menapak sehari lagi. Usah toleh ke belakang lagi. Ayunkan setiap derap langkah kita dengan keazaman baru. Buka buku yang segar, sayang...




Mungkin ada catatan gelap. Biarkan ia.

Saat kegelapan bukan umpama kita tersungkur di kaki gua yang tiada pelita. Jalan keluar tetap ada dengan syarat di situ ada usaha dan keyakinan. Dengan bersandarkan sabar, teguhkan iman buat mengiringi perjalanan kamu, sayang. Bila tersungkur, lekaslah bangun semula dan pandang ke hadapan. Di situ cahaya terang sentiasa menanti buat orang-orang yang sabar seperti kamu, seperti mereka juga. Yang hendak memilih jalan yang terbentang luas dengan peluang.

Peluang bukan datang sekali. Berkali-kali pun ada...

Kamu mungkin boleh memulakan dengan sebuah persahabatan yang manis. Melaluinya mungkin kamu di beri peluang kedua untuk hidup yang lebih cerah, kamu mungkin boleh menyelamatkan kehidupanmu. Sayang...jangan malu merebut peluang itu. Tiada istilah segan untuk kamu berubah.

Mengikut Khalil Gibran, persahabatan adalah selamanya sebuah tanggungjawab yang manis dan bukan merupakan satu peluang. Namun jika kamu menganggap persahabatan itu satu peluang, maka seharusnya kamu menjaga peluang itu sebaik-baiknya.

Sayang...langkahmu bukan urusan mereka. Hanya mereka yang tahu erti jatuh bangun dan peritnya mengatur semula langkah...itulah seseorang yang boleh kamu bergantung harapan.
spacer

Ciri-ciri Sajak Yang Baik

Ciri-ciri Sajak Yang Baik 




Menurut website rujuknota, secara umum, puisi mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman dan perasaan.

(i) Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar, sama ada berbentuk konvensional, berpola (bagi puisi tradisional) atau berbentuk bebas (bagi sajak).

(ii) Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, intonasi, kadensa, rentak, irama dan keharmonian bunyi.

(iii) Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu (bagi puisi tradisional) atau tanpa ikatan pola tertentu (bagi sajak) yang dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, perseimbangan bunyi dan panjang-pendek perkataan.

(iv) Bagi puisi tradisional, wujud pembahagian unit dalam penyataan idea, misalnya dua baris serangkap atau beberapa baris seuntai.

(v) Digunakan dalam kehidupan masyarakat seharian untuk hiburan, keramaian, ritual, keagamaan, pengajaraan dan sebagainya. Puisi berfungsi juga sebagai pancaran pemikiran masyarakat zamannya.

(vi) Ada puisi tradisional yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan system kepercayaan dan menjadi taboo bagi masyarakat tertentu, misalnya ungkapan Adat Pepatih.

(vii) Bahasa yang padat, kental mengandungi unsur perlambangan, imajan, kiasan dan perbandingan sama ada bersifat tradisional atau moden untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan.

Ciri-Ciri Sajak Yang Baik


Manakala, Za’ba (1962:218) yang mendefinisikan puisi sebagai karangan berangkap, dilihat memberikan tafsiran yang agak umum dan kabur walaupun terdapat penegasan tentang konsep kecantikan puisi tersebut.

Katanya:
“Karangan berangkap itu khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.Maka, dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya.”

Struktur karangan berangkap yang dimaksudkan Za’ba merangkumi aspek susunan kata, rentak bunyi dan isi. 

Katanya:
“Karangan berangkap itu ialah karangan yang disusun dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan di antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyinya atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakannya memakai timbangan dan sukatan yang tertentu. Dalam perbahasan pengarang-pengarang cara baharu sekarang, karangan demikian disebut “puisi” (berlawanan dengan “prosa” iaitu karangan lurus sahaja).

Daripada kenyataan di atas dapatlah disimpulkan bahawa sajak yang baik haruslah mempunyai susunan yang baik, rima yang menarik, serta menzahirkan sikap positif dan kekentalan hidup.

Justeru itu, sajak yang baik dan berjaya adalah sajak yang boleh menenangkan dan menyentuh perasaan sang pembacanya.

Selamat membaca...
spacer

Dia Yang Jauh

Sepanjang hari debaran di rasai. Mengingati dia yang jauh beribu batu dipisahkan. Jarak dan masa amat mencemburui laluan kita. Kita tidak terikat dan tidak pernah diikat oleh rasa itu. Pada mula-mulanya kita ibarat musuh yang tidak mempunyai dendam, kerana kita tidak berbicara pun sepatah kata.




Masa itu yang aku tinggalkan.

Aku lupa siapa dia, seseorang yang pernah menjadi sebahagian zaman persekolahan yang nakal. Seseorang itu adalah cerita kisah lalu yang mengembalikan senyum. Dia insan yang mengusik segala kenangan lalu. Mungkinkah cerita kami sekadar lalu di bawa angin dan masa?

Terkadang diri ini terfikir, mengapakah Tuhan datangkan seseorang setelah ingatan itu terhakis? Mengapakah setelah haluan ini terasing, dia muncul umpama matahari. Pada sisi yang gelap...kau telah teranginya. Lalu, adakah kehadirannya semula ke sini adalaah satu kesilapan?

Lalu diri ini terfikir...sahabat bukan sahaja seseorang yang berada di sampingmu, tetapi juga seseorang yang telah lama berada di dalam hatimu...

Jadi, izinkan diri ini membuang prasangka yang sempat singgah tatkala kehadiranmu semula ini. Pasti satu masa nanti Tuhan akan tunjukkan hikmah di sebalik semua ini.

Dia yang jauh

Biarpun pertemuan semula ini tanpa wajah dan suara, diri ini amat menghargainya. Cukup dengan sebuah ingatan ikhlas darinya serta salam persahabatan...ia ibarat tiupan angin bayu yang menenangkan perasaan ini.

Perasaan dan rahsia seribu rasa yang kita lalui...biarlah menjadi rahsia Tuhan...


spacer

Biodata Za'ba | Zainal Abidin Ahmad

Zainal Abidin Ahmad (16 September 1895 - 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.



Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.

Merujuk kepada wikipedia, Za'aba dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, Zaaba menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.

Zaaba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916, dan kemudiannya bertukar ke:

1918: Kolej Melayu Kuala Kangsar
1923: Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur
1924: Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim
1939: Jabatan Maklumat, Singapura sehingga 1942
1942: Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London sehingga 1951
1954: Universiti Malaya, Singapura sehingga 1959.

Zaaba adalah seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar tempatan dan majalah-majalah seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh, dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeareyang diterbitkan oleh Percetakan Gudang Chap, Singapura.


Hasil karya Za'aba



Artikel pertamanya yang berjudul “Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling” diterbitkan sebanyak dua kali dalam akhbar Utusan Malaya.

Buku pertamanya yang bertajuk Umbi Kemajuan, merupakan menulisan semula karangan rencana keugamaan yang diterbitkan pada tahun 1932.

Za’ba mula menulis secara aktif semasa beliau menjadi guru sementara di Johor Bahru pada tahun 1916.

Bakat Pendeta Za’ba terserlah kerana beliau menyentuh mengenai aspek-aspek bahasa, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan dan politik dalam hasil karyanya.

Karyawan yang disegani ini pernah mengarang cerpen, novel dan buku-buku rujukan tatabahasa dalam Bahasa Melayu.

Antara hasil karyanya ialah Journalism in Malaya yang diterbitkan pada tahun 1947, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Pelita Bahasa Melayu I, Pelita Bahasa Melayu II dan Pelita Bahasa Melayu III (1958).

Seorang penulis yang bernama Dharma Wijaya menggambarkan Pendeta Za’ba sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu yang sentiasa ditunjangi oleh ketabahan, kecekalan dan keyakinan.

“Perjuangan Za’ba lebih menjurus kepada kegiatan keilmuan khususnya dalam pendidikan, penyelidikan dan penulisan,” ujar Dharma Wijaya dalam satu teks ucapan.
Buku mengenai Za’ba.

Untuk menghargai sumbangan pendita Za’ba dalam bidang penulisan, Universiti Malaya menamakan salah sebuah perpustakaannya sempena namanya (Perpustakaan Peringatan Za’ba) untuk mengenang jasa beliau kepada perkembangan Bahasa Melayu.

Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad atau Za'ba meninggal pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.
spacer

Terimalah Penyerahan Ini



Kisah dua orang anak Adam
mempersembahkan qurban kerana Allah
mendampingkan diri kerana Allah
Qabil yang pemarah
Habil yang bertaqwa
penyerahan manakah yang Kau terima?

kerana kemarahan itu
tidak membawa jauh sebuah penyerahan
jadilah ia penyerahan yang sia-sia dan rugi!
lalu bila telah kehilangan
telah lepas segala yang berharga
menyesal dan penyesalan tak henti
maka waktu itu...
engkau dalam golongan yang lemah!

korban kamu adalah sebuah penyerahan
dengan tulus ikhlasnya hati
bukan dengan takabur dan riak
bukan dari barangan yang rosak!

maka dengarkan...
Allah berfirman dalam surah "Al-Isra" ayat 70 yang bererti;
"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam.
Kami angkut mereka di daratan dan di lautan.
Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik
dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna
atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan."

kita yang berkorban
dari penyerahan yang baik dan sempurna
mendapatkan kemuliaan yang Allah janjikan.

aynora.nur
salam aidil adha
Oktober 2013
spacer

Maafkan...Jika Aku Tak Ingat!

Kalau satu masa nanti aku terlupa untuk menghulur senyum buat persahabatan kita, bukannya aku sombong dan angkuh. Jika satu ketika nanti jalan kita sudah tidak sehaluan lagi, jangan ada dendam antara kita. Kerana...siapakah kita untuk menolak takdir dan waktu yang telah dirancangkan buat kita.



Maafkan...bukan aku tak ingat!

Cuma sesekali diri ini perlukan ruang dan waktu untuk memilih jalan hidupku. Bila langkah kita berbeza, aku terpaksa meneruskan perjuangan ini sendirian. Kerana perbezaan itu kita terpaksa akur untuk melupakan antara satu sama lain, membawa haluan sendiri.

Maafkan, jika aku terlupa.

Kita pernah meredah duka dan lara bersama, kita pernah sama-sama tewas dalam asakan masa dan komitmen yang berbeza. Lantas, belum sempat kita mengembalikan kenangan yang hilang, diri ini ditimpa musibah. Dan, masa yang dilalui pada laluan yang berbeza terus menjarakkan kita. Kerana peristiwa itu, aku mendaki hidup baru. Menyelusuri hari-hari mendatang tanpa ingatan terhadap kamu...

Bersalahkah aku jika terlupa?

Mungkin ada yang menunding jari, menyalahkan sikapku yang sudah tidak mengenali kalian. Terpulang kepada kamu untuk mempercayai ceritera diri ini. Ada cerita duka yang tidak terzahir, dalam langkah yang diatur sebenarnya sesekali aku menoleh ke belakang. Tetapi sayang...kalian sudah tidak di situ. Di tempat yang selalunya kita bergurau dan senda. Jadi silapkah aku?

Seseorang itu hadir...

Dalam mencari di mana khilafnya diri ini, seseorang muncul menggantikan tempat kalian. Hadirnya dia membawa cahaya. Satu persatu kami selusuri semula sejarah yang pernah tercipta. Sesungguhnya TUHAN maha mengetahui. DIA hadirkan seseorang untuk membawaku kembali ke pangkal kenangan, membersihkan perasaan yang hiba dan mencambahkan benih-benih harapan.

Kawan, jangan buat diri ini bimbang lagi. Kerana dihantui rasa bersalah selama ini...
spacer

Mimpi Yang Terkenang

Mimpi itu datang dalam tidur. Sewaktu kita terkenang-kenang impian silam. Sewaktu sedang berjalan melintasi sempadan lautan. Mimpi yang datang pun sekadar mainan. Namun jika ada mimpi yang nyata, bersiapkah kita untuk mengakui yang dusta? Dusta pada mata hati yang buta.




Bermimpi disiang hari?

Kata orang tidur disiang hari jarang benar didatangi mimpi. Tetapi bagaimana jika hadirnya mimpi itu indah belaka. Dalam mimpi itu, ada cerita lama. Yang tertinggal di belakang. Telah berabad dia tidak di situ. Telah dilupai empunya gerangan rupanya. Kenapa kadangkala perkara yang kita tidak jangka datangnya pada waktu yang kita perlukan? Apakah itu hikmah?

Benar.

Ada ketika kita alpa, ada seseorang yang akan ingatkan. Jika kita bersedih, ada yang tolong buat kita tersenyum. Ada saatnya kita ingin bersendiri, di situ dia diam mengerti. Pernah anda merasai suasana dan keadaan seperti itu? Alangkah kita bertuah menjadi yang terpilih antara jutaan intan yang hampir pudar...itulah kita!

Jika itu mimpi, jangan bangunkan aku! Kerana mimpi itu memberikan aku semangat. Kerana mimpi itu aku tidak lagi terbangun dalam mainan sedih..

Mimpi yang terkenang-kenang..

Dia datang dan pergi pada makhluk yang hidup. Ada mimpi yang indah, ada mimpi yang buruk. Namun jangan percaya pada mimpi kerana ia hanya mainan tidur. Namun jika kamu inginkan jawapan dari mimpi-mimpimu, tanyalah sang Pencipta mimpi itu. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui...  

spacer