Bukan Tak Cinta

Kita tak perlu mengalah.

Saat cinta menyapa hatimu, dunia terasa indah dan langkah yang di atur semuanya cukup sempurna. Hati berbunga bahagia, mentari bagaikan sinaran nyaman memayungi lembaran hari yang dilalui. Bahagia meresap di segenap alam, indahnya umpama dunia ini diri kita yang punya. Cinta membuatkan kita kuat. Cinta telah mencipta semangat tidak mengalah dalam dirimu.




Bila cinta telah didusta.

Hati merana bak dunia ini diselubungi awan kelabu. Diri merasakan dunia dipenuhi lebatnya hujan airmata yang tak mahu berhenti. Langkah yang di atur penuh bisa dan diri sentiasa rebah pada penyesalan yang tidak bertepi. Dedaun hijau kelihatan berguguran bak daunan kering yang bersepahan di jalanan, tanpa memberi sekelumit semangat untuk hidup walaupun untuk sehari lagi. Ketika itu, ingatkah kamu kepada Tuhanmu?

Sayang...kita tidak boleh bersama.

Ingatlah selalu pesanan para bijak pandai. Orang yang bijak adalah orang yang bangun semula setelah dikecewakan tetapi orang yang bahagia adalah orang yang tetap tabah walaupun beribu kali dikecewakan dan bangkit semula dengan harapan yang baru.

Kita tidak mungkin bersama kerana sudah ditakdirkan yang kita hanya layak sebagai kawan dan sahabat. Kita mungkin bisa membina harapan dengan hanya melalui jambatan persahabatan bersama dan bukan dengan menjadi teman sejiwa. Kerana sejarah silam begitu mencemburui kita hinggakan segala usaha dan impian untuk membina anganan indah diselubungi jalan yang tiada noktah.

Dan akhirnya, kita di sini membina jambatan kasih di atas tiket sebuah persahabatan sejati untuk selama-lamanya. Namun, Tuhan telah memberikan kita waktu untuk mencintai dan dicintai di atas jalannya yang suci.

Di akhir perjalanan ini, sebenarnya kita bahagia. Bukan kerana tak cinta maka kita tak dapat bersama. Tetapi sebaliknya takdir Tuhan menentukan kita lebih bahagia begini dalam tali silaturrahim yang bernama sahabat sejati.

Dalam setiap waktu yang hadir, Kau selalu wujud dalam hati kami yang berbahagia. Terimakasih Tuhan kerana tidak meninggalkan kami sendirian.

spacer

Seandainya...

Waktu tidak berhenti walau sesaat untuk menunggu.

Seandainya masa lampau boleh di ulang dan diperbaiki, tentu diri ini orang pertama mahu memungut dan mentafsir kenangan silam dengan warna-warna suci. Tentu tiada istilah penyesalan dalam kamus hidup seorang aku. Tentu waktu ini aku tidak berasa terkilan kerana tidak sedar wujudnya kamu. Tentu tiada lagi janji yang terlepas demi tersilap mencatur perjalanan.




Sejujurnya...kita pernah terasa dan berasa kehilangan.

Percayalah teman..semua akan indah pada akhirnya. Dalam perjalanan panjang ini, sesekali toleh ke belakang kerana di situ pelajaran kita bermula. Dari situ jika ada duka yang bertakung, mari ubati dengan iman yang kukuh di hati. Detik dan waktu yang tak kembali itu kita gantikan dengan kecintaan pada takdirnya yang telah ditentukan.

Tiada duka yang abadi, satu saat kita kan merasai bahagia.

Andai kita bisa mengulang perbuatan sendiri yang sakit di hati pada orang yang telah merasai, tentu kita tidak ada peluang menikmati manisnya rasa sebuah insaf yang menggetarkan hati. Kenang relung silam dengan membasuh dosa silam, tadahkan ampunan kepadaNya, harap diterima jalan kembali seorang aku ini.

Percayalah pada hati yang meyakini.

Jaga hatimu sayang. Jika hati itu baik, maka baiklah tuannya. Jika hatimu buruk, maka buruklah diri kita,sayang. Hati yang baik adalah hati yang kenal penciptaNya.

Semua akan indah pada akhirnya.

Harapan untuk hidup bahagia di bawah lembayung kasihmu membawa aku ke mari. Mencari redamu dalam cubaan menggagalkan sebuah pencarian pada Nurmu ya Tuhan. Demi diri ini tidak mampu berseorangan, maka pimpinlah dia bersama aku ya Tuhan agar perjalanan penuh ranjau ini ada tangan yang menghulur saat aku terjatuh. Izinkan aku memohon padaMu ya Tuhan, aku bawa dia bersama-sama.Aku mrayu padaMu, bukakanlah pintu gelap dan terangi dengan limpahan cahaya taufik dan hidayah yang hanya Engkau Miliknya. Dengan penuh ikhlas aku meminta ya Tuhan, serahkan satu rasa reda dalam aku menunggu doa-doa ini Engkau tunaikan.

Tuhan, harap ampunkan hambaMu ini...

spacer