Header Ads

Al Fatihah Terakhir Dari Dia...

Advertisement
Aku menunggunya di tempat biasa dan pada waktu yang sama. Begitulah hari-hari indah kami dilalui tanpa sebarang sengketa dan dendam. Tetapi aku perasan, semenjak akhir-akhir ini dia agak lebih terbuka dan sentiasa tersenyum. Hampir setiap hari gambar-gambarnya dikirimkan sebagai tanda ingatan kepadaku.




Namun di dalam hati selalu terdetik. Mengapakah kelakuannya berbeza daripada biasa semenjak kebelakangan ini. Apakah dia telah melupakan kesakitan dan kelukaannya? Apakah dia telah lali dengan dugaan yang merintangi hubungan ini. Entahlah...akhirnya pertanyaan demi pertanyaan yang bermain di benak fikiran aku biarkan sahaja berlalu ditelan angin lalu. Tidak terlintas di hati mahu bertanyakan kepada si dia. Biarlah kami melewati hari-hari bahagia ini bersama.

Suatu hari aku merajuk panjang kerana dia terlupa menyambut hari lahirku. Aku sangkakan dia terlupa mengucapkan kata-kata semangat buatku. Hinggalah aku mengingatkannya, barulah dia tersedar. Lantas kata-kata maaf dihulur hinggakan aku tidak berbekas marah pun padanya.

"Saya hadiahkan al Fatihah buat awak sempena hari lahir awak ini. Semoga selamat semuanya."

Dan yang indahnya surah al Fatihah itu dirakamkan agar aku dapat mendengarnya berulang kali bila rindu datang bertamu. Sungguh aku terharu dengan hadiah istimewa darinya itu. Begitulah masa berlalu dan kami masih saling memberikan semangat dan dorongan untuk meneruskan hidup ini.

"Saya akan sentiasa temankan awak dan saya selalu ada bila awak perlukan." Itulah kata-kata hikmah yang aku pegang bila hati di landa duka.

Tiga hari selepas insiden aku merajuk pada hari lahirku, pada suatu hari aku masih menerima kiriman gambarnya dengan senyuman yang indah. Sangat indah dan manis senyuman itu pada pandangan mataku. Tetapi sekali lagi aku terdetik dan merasa berdebar-debar. Apakah ini gambarnya yang terakhir yang dapat aku simpan dalam memori? Apakah dia mahu meninggalkan aku?

Akhirnya apa yang aku takuti terjadi jua. Takdir Tuhan yang telah menentukannya. Dia yang Maha Pengasih telah menarik semula kebahagiaan sementara yang aku rasakan, insan baik yang ada dekatku kini telah pergi. Pergi membawa diri yang masih mencari sebuah perjalanan suci. Dia pergi kerana demi kebaikan. Dia tinggalkan aku kerana dia sayangkan aku.

Segalanya telah tiada. Aku telah dipadam dari ingatannya. Segala media sosial dan telefon penghubung antara kami telah disekat dari diri ini. Aku hilang dia dalam sekelip mata. Selama tujuh hari tujuh malam aku bagaikan kapal hilang nakhoda. Hanya rakaman al Fatihah daripadanya menjadi teman di kala sedih dan duka.

Hanya al Fatihah itu yang mengubat kerinduan dalam diri. Dan aku sedekahkan juga al Fatihah buatnya agar dalam tak mengingati aku dia sebenarnya tidak pernah melupakan diri ini. Dan bila rindu, hanya al Fatihah aku hadiahkan buatnya, agar hidupnya sentiasa diselubungi warna-warna pelangi yang indah...

Sesungguhnya Allah memberikan sesuatu yang kita perlukan. Dan jika dia ambil semula insan baik dari hidupmu kerana Dia mahu tengok kita berubah dengan ikhlas keranaNya. Ikhlas menerima takdirNya...

Al Fatihah terakhir buatku...dari dia yang masih di hati!



Coretan:
Seorang kawan baik,
Aku, Disember 2013



   
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.