Header Ads

Surat Untuk Hati

Hati...

Tolong buka pintu hati. Berhenti menangis kepada benda yang telah hilang. Dia telah lupakan kamu wahai hati. Dahulu dia di situ menemani siang dan malammu. Kelmarin, dia telah melupakanmu. Semalam dia tidak lagi menunggu rindu-rindumu. Maka, mana mungkin hari ini dia akan datang kembali untuk membuatkan kamu tersenyum.




Duhai hati,

Kamu telah lelah membenci. Hinggakan seluruh tubuhmu sakit kerana tak pernah untuk berhenti berharap. Kerana kamu hati yang tak berhenti mengingati, mata menjadi sedih lalu hujan turun membasahi kolam hati. Lantas duhai hati...tak usah lagi kamu berharap. Perlahan-lahan lepaskan dia jika itu lebih baik untukmu.

Wahai Tuhan,

Hati telah sakit kerana dikhianati. Tetapi hati tetap bersangka baik kerana bukankah Engkau telah berjanji akan menghadiahkan suatu kebaikan jika hati sentiasa bersangka baik. Saat ini dan waktu ini hati sentiasa berdoa. Mendoakan agar hati si dia sentiasa menerima kebaikan dan berjalan di atas landasan jalan yang lurus. Jalan yang Engkau redhai.

Demi Tuhan,

Hati tak lelah lagi. Kerana percaya pada janji-janjilMu Tuhan. Percaya dalam diam tetap mendoakan dia yang telah berhenti menyayangi hati ini. Dalam rahsia hati ini tetap bersangka bahawa dia juga sedang melakukan perkara yang sama untuk pemilik hati ini. Semoga Malaikat ikut mendoakan hati ini agar terus tabah menempuh cabaran sekali lagi.

Hati telah berkata.

Walau ke mana pun hati pergi, ke ceruk dunia mana pun hati berlari...tak pernah sesaat Engkau jauh dari hatiku ini, Ya Allah yang Maha Pengasih.

Hanya kepadaMu hati ini diserahkan..
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.