Best Friend Forever!



Petang Isnin itu Zahira sekali lagi cuba menghubungi Daniel setelah lebih kurang satu bulan best friend forever (BFF) nya itu mendiamkan diri. Pelbagai usaha telah Zahira lakukan tetapi semuanya menemui jalan buntu. Dia bimbang jika sesuatu berlaku terhadap temannya itu. Kini sekali lagi Zahira mencuba. Dengan hati yang tabah, Zahira membuat panggilan ke nombor tersebut. Dia hanya inginkan kepastian. Siapakah pemilik nombor tersebut? Adakah ia telah bertukar pemiliknya? Kerana selama ini segala media sosial yang digunakan tidak mendapat maklum balas. Apakah Daniel telah tiada? Oh tidak!! Meraung hati Zahira mengingatkan semua itu.

"Boleh saya bercakap dengan Daniel?"

Zahira bercakap sebaik talian di hujung sana di angkat.

"Awak siapa?" tanya satu suara wanita.

"Saya kawan dia." Zahira menjawab dengan tenang.

"Maaf! Daniel tak ada. Salah nombor!"

"Okey."

Zahira merenung nombor telefon di skrin Samsung putih miliknya. Nombor yang biasa yang selalu digunakan untuk berhubung dengan Daniel. Argh!! Kenapa jadik begini? Zahira keliru. Apakah Daniel bertindak menukar nombor telefonnya dengan niat untuk menjauhkan diri daripadanya? Tetapi mengapa? Apakah salah dirinya kepada Daniel?

Setengah jam selepas Zahira membuat panggilan, dia menerima SMS daripada nombor yang sama. Dan kali ini, memang betul-betul membuatkan Zahira terpaku. Kelu.

"Jangan call suami aku lagi. Faham!!"

SMS ringkas yang diterima merenggut ketenangan petang Isnin Zahira. Daripada nombor yang amat dikenali tetapi daripada gaya bahasanya, ia amat berlainan sekali dengan tuan empunya nombor tersebut. Sebelum ini dia biasa dengan nombor itu, selalu berweechat dan sesekali bertukar cerita lewat panggilan lalu. Tetapi kini...apakah yang telah terjadi?

Zahira tahu Daniel telah dimiliki. Daniel juga selalu bercerita tentang keluarganya. Bercerita tentang kebahagiaan mereka. Zahira faham. Dia tidak cemburu. Kerana niatnya berkawan dengan Daniel sekadar sebagai kawan selama-lamanya.

****

Zahira dan Daniel telah berkawan lama. Sejak dari tingkatan tiga lagi. Waktu itu mereka memang meminati antara satu sama lain. Namun kerana Zahira tidak suka berkawan dengan budak lelaki, jadi dia menganggap niat Daniel untuk berkawan dengannya sekadar gurauan budak lelaki yang nakal. Tetapi Daniel tidak berputus asa. Saban tahun setiap kali tiba hari raya aidilfitri, dia akan datang menziarahi Zahira. Namun Zahira tidak melayannya dengan baik. Zahira ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran. Namun sesekali ada juga rakan sekelas mengusiknya dengan Daniel tetapi ia pergi di bawa angin lalu begitu sahaja.

****

"Assalamualaikum."

Sapaan seseorang yang tidak dikenali di Facebook untuk menjadi kawan akhirnya menemukan semula Zahira dengan Daniel. Daniel yang tidak menggunakan nama sebenarnya pada mulanya tidak dilayan oleh Zahira. Namun atas dasar kesungguhan akhirnya permintaannya tertunai. Kawan yang telah hampir berpuluh tahun terpisah dipertemukan semula dalam keadaan yang berbeza.

"Saya buka akaun FB semata-mata nak cari awak."

"Kenapa?" soal Zahira lewat perbualan mereka melalui telefon.

"Tak tau lah. Dalam fikiran saya hanya ada nama awak. Dalam ramai-ramai kawan sekolah kita, saya cuma teringatkan awak saja."

Zahira sekadar melepaskan tawa.

"Mungkin saya ada hutang dengan awak kut." Zahira mengusik Daniel.

"Agaknya kut...."

Dalam perbualan itu masing-masing mengakui telah berkeluarga. Zahira pun mengakui hidupnya telah disempurnakan dengan tiga orang puteri manakala Daniel pula memiliki tiga pasang puteri dan seorang putera.

"Kita masih boleh berkawan,  kan?" Daniel seolah-olah meminta izin untuk terus berhubungan dengan Zahira.

"Boleh. Kita jadi BFF pun apa salahnya."

Mulai dari saat itu Zahira dan Daniel menjadi rakan yang akrab dan saling bertukar-tukar fikiran. Sesekali Daniel ada bercerita tentang isterinya kepada Zahira. Dan Zahira perasan terdapat sedikit masalah dalam perhubungan mereka suami isteri.

"Sabarlah Daniel. Setiap rumahtangga ada pasang surutnya. Bersabarlah. Orang yang sabar dan reda dengan segala dugaan serta selalu bersyukur amat disayangi oleh Allah. Tuhan telah berikan pasangan yang sesuai untuk awak."

Zahira sering memberikan perangsang buat Daniel. Begitulah sebaliknya. Jika Zahira mahukan pandangan Daniel tentang persoalan ibadat dan tauhid dan amalan harian sebagai seorang muslim sejati, Daniel lah tempatnya.

"Malam tadi wife saya mengamuk. Dia maki hamun saya dengan kata-kata yang kesat. Saya rasa nak tampar-tampar je muka dia. Langsung tak hormat saya sebagai suaminya. Kalaulah bukan kerana anak-anak, dah lama saya kahwin lagi."

Satu hari Daniel mengadu. Zahira hanya boleh memberikan buah fikiran yang baik-baik sahaja untuk temannya itu. Puncanya hanyalah Daniel berbalas SMS dengan rakan lelakinya. Isterinya telah menyangka yang bukan-bukan. Telefon miliknya juga turut di hempas ke lantai.

Dan mulai saat itu persahabatan yang berdasarkan 'Best Friend Forever' itu  menghadapi detik langit tidak selalu cerah. Daniel mula secara perlahan-lahan menjarakkan hubungannya dengan Zahira. Tiada lagi kiriman SMS atau sapaan seorang sahabat seperti kebiasaan di laman sosial yang lain.

Zahira pun pasrah di atas takdir persahabatan mereka yang terputus di tengah jalan. Sekali lagi mereka terpisah. Entah bila takdir mempertemukan mereka lagi. Zahira pasrah. Dari jauh Zahira hanya mampu berdoa yang terbaik untuk sahabatnya itu. Dia pun tidak mahu menjadi batu penghalang terhadap prsengketaan Daniel dengan isterinya. Biarlah Daniel perlahan-lahan dan secara bijaksana menyelesaikan masalah mereka.

Setelah berbulan berlalu, hanya kiriman mesej ringkas dikirimkan oleh Daniel. "Maafkan saya atas segalanya. Ada sesuatu yang tak mampu saya terangkan!"

Dan kisah sahabat selamanya ini adalah kisah yang tertangguh. Sekali lagi.

Dan...catatan seterusnya biarlah menjadi sebuah rahsia yang panjang dan tiada kesudahan. Kisah manusia-manusia yang bermacam ragam dalam dunia ini.

Lirik lagu KEHILANGAN - FIRMAN

Ku coba ungkap tabir ini
Kisah antara kau dan aku
Terpisahkan oleh ruang dan waktu
Menyudutkanmu meninggalkanku

Ku merasa tlah kehilangan
Cintamu yang tlah lama hilang
Kau pergi jauh karena salahku
Yang tak pernah menganggap kamu ada

Asmara memisahkan kita
Mengingatkanku pada dirimu
Gelora mengingatkanku
Bahwa cintamu tlah merasuk jantungku
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Seandainya kamu bisa
Mengulang kembali lagi cinta kita
Takkan ku sia-siakan kamu lagi

Asmara memisahkan kita
Mengingatkanku pada dirimu
Gelora mengingatkanku
Bahwa cintamu tlah merasuk jantungku
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Seandainya kamu bisa
Mengulang kembali lagi cinta kita
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Takkan ku sia-siakan kamu lagi.



P/s: Setakat ini sahaja. Kerana sahabat saya itu tidak bercerita lanjut tentang kisahnya lagi selepas itu walau berkali-kali saya memujuknya...


Catatan di atas adalah untuk sahabat-sahabat baik yang menjalani pengalaman persahabatan yang serupa atau hampir serupa. Bukan mudah untuk membuahkan kepercayaan di atas keikhlasan yang ditunjukkan. Kerana...ikhlas ni umpama seekor semut hitam yang berjalan di dalam malam yang kelam, sukarnya untuk dilihat dengan mata kasar. Begitulah hidup harus diteruskan... 


spacer

Bagaimana Hidup Tanpamu?

Hidup tanpa kamu...


Ibarat berjalan tanpa kasut pada hamparan kerikil tajam yang perit di telapak kaki. Hati penat menjerit kerana mulut diam tak berbunyi. Adakah kerana hati telah letih ataupun anasir luaran yang membaham ruang rasa dan deria kata. Manakah sebuah kuatnya nalurimu wahai teman bernama insan? Hidup tanpa sesiapa pun kita masih ada di sini...ada nya atau hadir pun dia bukan maknakan apa-apa buat kamu.




Ibunda, tegarnya kami?


Jujur dalam membasuh hati pada jari yang bersalah. Kerana bonda tak mengharap kiasan fatwa pujangga untuk menarik hatimu kembali. Ke pangkuan kasih yang lama sudah sepi. Ibunda mengintai hari untuk menatap seraut wajah tak kisah kita. Apakah kita yang bernama anak pujaan memberikan masa dan tempoh untuk harga belian kasihnya ibu?
Sebelum engkau dikandung, Ibu menginginkan kau ada. Sebelum kau dilahirkan, Ibu telah mengasihimu. Sebelum kau keluar dari kandungan, Ibu pun rela mati untukmu. Inilah keajaiban kasih sayang Ibu.

Takkan ku sia-siakan kamu lagi


Penat sebenarnya menabur janji manis yang pada hujung penantian itu tidak semanis kenangan silam. Punah harapan untuk melihat airmata ibu sebuah cerita indah, kerana janji setaman yang terluah sekadar setangkai daun yang kekuningan dan hampir kering. Kelak entah bila ia gugur, engkau dan aku pun tak sempat nak menangis sesal. Sudah! Sudahlah! Inikah namanya takkan ku sia-siakan kamu lagi?

Kisah ini antara aku dan dia...


Dalam cinta, jangan menunggu orang yang tepat menghampiri hidupmu. Lebih baik jadilah orang yang tepat yang mengampiri hidup seseorang. Kerana kisah cinta antara aku dan dia tidak pernah meminta perhatian kerana aku selalu adalah manusia yang kecundang. Pada masa, pada janji-janji yang semuanya telah aku dustai sendiri. Antara cinta aku dan dia, manakah pernah terdengar keluhan menahan lelah di hati dan minda tuanya. Kerana cintanya...kasih dan sayang bukan dari kerana bayaran mahal. Semuanya demi kisah kasih yang tiada penghujung. Adakah aku jadi perindu pada momen-momen seorang bonda jika dia sudah tiada?

Mencari sebuah hijrah, jalan yang panjang. Lorongnya penuh liku. Itulah aku...
spacer

Walaupun Masih Ada Kasih

Sebenarnya...

Kisah aku dan dia telah lama bermula. Kisah rajuk, benci, membawa diri, membina harapan dan kehilangan...pun sejak dahulu telah kami lalui. Tetapi perhubungan itu tidak membawa ke titik noktah kerana laluan yang berbeza dan takdir dan waktu terus memisahkan kami. Jauh jarak dan masa, dua buah hati akhirnya memilih cerita hidup sendiri.




Setelah perpisahan memakan masa, merubah seorang aku menjadi dewasa dan si dia melakar dunia yang berbeza, takdir Allah menemukan kami semula. Segalanya berubah, rupa fizikal dan personaliti. Dan sapaan ini sekadar pertemuan semula kawan lama yang ada cerita yang telah di tinggalkan. Aku berharap begitulah...

Cerita silam itu...

Dan cerita silam kami telah terhurai satu persatu dalam tak disedari. Keadaan mungkin berubah, personaliti mungkin berbeza tetapi perasaan hati tetap di situ, subur dalam kenangan. Katamu, namaku sentiasa mekar di hati. Sejak dahulu hingga kini, kau masih menganggap aku buah hati pengarang jantungmu!

Terima kasih teman. Tetapi kini kau miliknya. Dan aku pula, miliknya dalam satu ikatan yang diredhai. Mengingatiku dan merinduiku biarlah kerana Allah. Kerana segala kebaikan yang indah-indah dan mencintaiku kerana cintakan Allah dan rasulnya. Kita masih bisa berteman tetapi kerana sesuatu di jalanNya. Tinggalkanlah hatiku di belakang dan pandang wajah sayu di hadapanmu. Satu masa nanti, secara perlahan-lahan kau pasti dapat melupakan. Melupakannya sekali lagi.

Sebenarnya aku mengerti apa yang kau rasakan.

Secara baik dan dalam keterpaksaan...aku terpaksa menolakmu. Kerana kini kau miliknya. Aku terpaksa lepaskan walaupun kasihku ada. Terpaksa terima hakikat...dia masih memerlukanmu! Dan aku amat mengerti tentang sesuatu...sesuatu yang tak mampu kau terangkan. Sesungguhnya itulah sebaik-baik pilihan yang ada. Tinggalkanlah aku dan masa silam kita. Ingatan yang baik-baik dan perkongsian ilmu yang kita ada, izinkan untukku bawa bersama.

Sesekali biarkan diri kita menangis.

Ketika mata kita masih boleh menitiskan airmata, Itu tandanya beban masalah akan segera pergi. Percayalah bahawa Allah amat sayangkan hambanya yang sabar dan yakin padaNya.
spacer