Header Ads

Best Friend Forever!

Advertisement


Petang Isnin itu Zahira sekali lagi cuba menghubungi Daniel setelah lebih kurang satu bulan best friend forever (BFF) nya itu mendiamkan diri. Pelbagai usaha telah Zahira lakukan tetapi semuanya menemui jalan buntu. Dia bimbang jika sesuatu berlaku terhadap temannya itu. Kini sekali lagi Zahira mencuba. Dengan hati yang tabah, Zahira membuat panggilan ke nombor tersebut. Dia hanya inginkan kepastian. Siapakah pemilik nombor tersebut? Adakah ia telah bertukar pemiliknya? Kerana selama ini segala media sosial yang digunakan tidak mendapat maklum balas. Apakah Daniel telah tiada? Oh tidak!! Meraung hati Zahira mengingatkan semua itu.

"Boleh saya bercakap dengan Daniel?"

Zahira bercakap sebaik talian di hujung sana di angkat.

"Awak siapa?" tanya satu suara wanita.

"Saya kawan dia." Zahira menjawab dengan tenang.

"Maaf! Daniel tak ada. Salah nombor!"

"Okey."

Zahira merenung nombor telefon di skrin Samsung putih miliknya. Nombor yang biasa yang selalu digunakan untuk berhubung dengan Daniel. Argh!! Kenapa jadik begini? Zahira keliru. Apakah Daniel bertindak menukar nombor telefonnya dengan niat untuk menjauhkan diri daripadanya? Tetapi mengapa? Apakah salah dirinya kepada Daniel?

Setengah jam selepas Zahira membuat panggilan, dia menerima SMS daripada nombor yang sama. Dan kali ini, memang betul-betul membuatkan Zahira terpaku. Kelu.

"Jangan call suami aku lagi. Faham!!"

SMS ringkas yang diterima merenggut ketenangan petang Isnin Zahira. Daripada nombor yang amat dikenali tetapi daripada gaya bahasanya, ia amat berlainan sekali dengan tuan empunya nombor tersebut. Sebelum ini dia biasa dengan nombor itu, selalu berweechat dan sesekali bertukar cerita lewat panggilan lalu. Tetapi kini...apakah yang telah terjadi?

Zahira tahu Daniel telah dimiliki. Daniel juga selalu bercerita tentang keluarganya. Bercerita tentang kebahagiaan mereka. Zahira faham. Dia tidak cemburu. Kerana niatnya berkawan dengan Daniel sekadar sebagai kawan selama-lamanya.

****

Zahira dan Daniel telah berkawan lama. Sejak dari tingkatan tiga lagi. Waktu itu mereka memang meminati antara satu sama lain. Namun kerana Zahira tidak suka berkawan dengan budak lelaki, jadi dia menganggap niat Daniel untuk berkawan dengannya sekadar gurauan budak lelaki yang nakal. Tetapi Daniel tidak berputus asa. Saban tahun setiap kali tiba hari raya aidilfitri, dia akan datang menziarahi Zahira. Namun Zahira tidak melayannya dengan baik. Zahira ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran. Namun sesekali ada juga rakan sekelas mengusiknya dengan Daniel tetapi ia pergi di bawa angin lalu begitu sahaja.

****

"Assalamualaikum."

Sapaan seseorang yang tidak dikenali di Facebook untuk menjadi kawan akhirnya menemukan semula Zahira dengan Daniel. Daniel yang tidak menggunakan nama sebenarnya pada mulanya tidak dilayan oleh Zahira. Namun atas dasar kesungguhan akhirnya permintaannya tertunai. Kawan yang telah hampir berpuluh tahun terpisah dipertemukan semula dalam keadaan yang berbeza.

"Saya buka akaun FB semata-mata nak cari awak."

"Kenapa?" soal Zahira lewat perbualan mereka melalui telefon.

"Tak tau lah. Dalam fikiran saya hanya ada nama awak. Dalam ramai-ramai kawan sekolah kita, saya cuma teringatkan awak saja."

Zahira sekadar melepaskan tawa.

"Mungkin saya ada hutang dengan awak kut." Zahira mengusik Daniel.

"Agaknya kut...."

Dalam perbualan itu masing-masing mengakui telah berkeluarga. Zahira pun mengakui hidupnya telah disempurnakan dengan tiga orang puteri manakala Daniel pula memiliki tiga pasang puteri dan seorang putera.

"Kita masih boleh berkawan,  kan?" Daniel seolah-olah meminta izin untuk terus berhubungan dengan Zahira.

"Boleh. Kita jadi BFF pun apa salahnya."

Mulai dari saat itu Zahira dan Daniel menjadi rakan yang akrab dan saling bertukar-tukar fikiran. Sesekali Daniel ada bercerita tentang isterinya kepada Zahira. Dan Zahira perasan terdapat sedikit masalah dalam perhubungan mereka suami isteri.

"Sabarlah Daniel. Setiap rumahtangga ada pasang surutnya. Bersabarlah. Orang yang sabar dan reda dengan segala dugaan serta selalu bersyukur amat disayangi oleh Allah. Tuhan telah berikan pasangan yang sesuai untuk awak."

Zahira sering memberikan perangsang buat Daniel. Begitulah sebaliknya. Jika Zahira mahukan pandangan Daniel tentang persoalan ibadat dan tauhid dan amalan harian sebagai seorang muslim sejati, Daniel lah tempatnya.

"Malam tadi wife saya mengamuk. Dia maki hamun saya dengan kata-kata yang kesat. Saya rasa nak tampar-tampar je muka dia. Langsung tak hormat saya sebagai suaminya. Kalaulah bukan kerana anak-anak, dah lama saya kahwin lagi."

Satu hari Daniel mengadu. Zahira hanya boleh memberikan buah fikiran yang baik-baik sahaja untuk temannya itu. Puncanya hanyalah Daniel berbalas SMS dengan rakan lelakinya. Isterinya telah menyangka yang bukan-bukan. Telefon miliknya juga turut di hempas ke lantai.

Dan mulai saat itu persahabatan yang berdasarkan 'Best Friend Forever' itu  menghadapi detik langit tidak selalu cerah. Daniel mula secara perlahan-lahan menjarakkan hubungannya dengan Zahira. Tiada lagi kiriman SMS atau sapaan seorang sahabat seperti kebiasaan di laman sosial yang lain.

Zahira pun pasrah di atas takdir persahabatan mereka yang terputus di tengah jalan. Sekali lagi mereka terpisah. Entah bila takdir mempertemukan mereka lagi. Zahira pasrah. Dari jauh Zahira hanya mampu berdoa yang terbaik untuk sahabatnya itu. Dia pun tidak mahu menjadi batu penghalang terhadap prsengketaan Daniel dengan isterinya. Biarlah Daniel perlahan-lahan dan secara bijaksana menyelesaikan masalah mereka.

Setelah berbulan berlalu, hanya kiriman mesej ringkas dikirimkan oleh Daniel. "Maafkan saya atas segalanya. Ada sesuatu yang tak mampu saya terangkan!"

Dan kisah sahabat selamanya ini adalah kisah yang tertangguh. Sekali lagi.

Dan...catatan seterusnya biarlah menjadi sebuah rahsia yang panjang dan tiada kesudahan. Kisah manusia-manusia yang bermacam ragam dalam dunia ini.

Lirik lagu KEHILANGAN - FIRMAN

Ku coba ungkap tabir ini
Kisah antara kau dan aku
Terpisahkan oleh ruang dan waktu
Menyudutkanmu meninggalkanku

Ku merasa tlah kehilangan
Cintamu yang tlah lama hilang
Kau pergi jauh karena salahku
Yang tak pernah menganggap kamu ada

Asmara memisahkan kita
Mengingatkanku pada dirimu
Gelora mengingatkanku
Bahwa cintamu tlah merasuk jantungku
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Seandainya kamu bisa
Mengulang kembali lagi cinta kita
Takkan ku sia-siakan kamu lagi

Asmara memisahkan kita
Mengingatkanku pada dirimu
Gelora mengingatkanku
Bahwa cintamu tlah merasuk jantungku
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Seandainya kamu bisa
Mengulang kembali lagi cinta kita
Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Takkan ku sia-siakan kamu lagi.



P/s: Setakat ini sahaja. Kerana sahabat saya itu tidak bercerita lanjut tentang kisahnya lagi selepas itu walau berkali-kali saya memujuknya...


Catatan di atas adalah untuk sahabat-sahabat baik yang menjalani pengalaman persahabatan yang serupa atau hampir serupa. Bukan mudah untuk membuahkan kepercayaan di atas keikhlasan yang ditunjukkan. Kerana...ikhlas ni umpama seekor semut hitam yang berjalan di dalam malam yang kelam, sukarnya untuk dilihat dengan mata kasar. Begitulah hidup harus diteruskan... 


Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.