Walaupun Masih Ada Kasih

loading...
Sebenarnya...

Kisah aku dan dia telah lama bermula. Kisah rajuk, benci, membawa diri, membina harapan dan kehilangan...pun sejak dahulu telah kami lalui. Tetapi perhubungan itu tidak membawa ke titik noktah kerana laluan yang berbeza dan takdir dan waktu terus memisahkan kami. Jauh jarak dan masa, dua buah hati akhirnya memilih cerita hidup sendiri.




Setelah perpisahan memakan masa, merubah seorang aku menjadi dewasa dan si dia melakar dunia yang berbeza, takdir Allah menemukan kami semula. Segalanya berubah, rupa fizikal dan personaliti. Dan sapaan ini sekadar pertemuan semula kawan lama yang ada cerita yang telah di tinggalkan. Aku berharap begitulah...

Cerita silam itu...

Dan cerita silam kami telah terhurai satu persatu dalam tak disedari. Keadaan mungkin berubah, personaliti mungkin berbeza tetapi perasaan hati tetap di situ, subur dalam kenangan. Katamu, namaku sentiasa mekar di hati. Sejak dahulu hingga kini, kau masih menganggap aku buah hati pengarang jantungmu!

Terima kasih teman. Tetapi kini kau miliknya. Dan aku pula, miliknya dalam satu ikatan yang diredhai. Mengingatiku dan merinduiku biarlah kerana Allah. Kerana segala kebaikan yang indah-indah dan mencintaiku kerana cintakan Allah dan rasulnya. Kita masih bisa berteman tetapi kerana sesuatu di jalanNya. Tinggalkanlah hatiku di belakang dan pandang wajah sayu di hadapanmu. Satu masa nanti, secara perlahan-lahan kau pasti dapat melupakan. Melupakannya sekali lagi.

Sebenarnya aku mengerti apa yang kau rasakan.

Secara baik dan dalam keterpaksaan...aku terpaksa menolakmu. Kerana kini kau miliknya. Aku terpaksa lepaskan walaupun kasihku ada. Terpaksa terima hakikat...dia masih memerlukanmu! Dan aku amat mengerti tentang sesuatu...sesuatu yang tak mampu kau terangkan. Sesungguhnya itulah sebaik-baik pilihan yang ada. Tinggalkanlah aku dan masa silam kita. Ingatan yang baik-baik dan perkongsian ilmu yang kita ada, izinkan untukku bawa bersama.

Sesekali biarkan diri kita menangis.

Ketika mata kita masih boleh menitiskan airmata, Itu tandanya beban masalah akan segera pergi. Percayalah bahawa Allah amat sayangkan hambanya yang sabar dan yakin padaNya.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.