Bangunkan Jiwa Yang Rebah

loading...
Sabar adalah harta yang menguntungkan

Marah adalah sifat manusia yang lemah. Kerana lemahnya kita, seringkali jiwa menjadi tumbang angkara sedikit dugaan. Dendam bermaharajalela lantaran sebuah kehendak yang gagal. Kita tidak boleh terus terusan leka, hanyut diamuk rasa amarah. Bukankah Tuhan ajarkan kita supaya sabar? Sabar bukannya emas yang boleh kita bangga-banggakan, jauh sekali untuk bermegah diri. Sabar itu sebutir harta, yang jauh di sudut hati menjadi batas dan asas sebuah tindakan paling tenang. Reda lah...




Teman yang paling akrab adalah amal

Hidup yang dijalani, di mana rezeki dikutip buat mengalas perut hingga ke petang, pernahkah sedetik terlintas pada fikiran. Ada atau tidak rezeki yang sedikit itu kita syukuri? Pernahkah tanpa kata, sedekah dihulur buat mereka-mereka yang hanyut hidupnya. Lemah langkah tiada bekalan. Tegarkah kita menderum dalam dingin kereta mewah, membiarkan tangan-tangan lesu meminta sesuap rezeki kita? Amalan yang akrab yang sering kita pasungkan pada hati, pada langkah, pada tubuh, pada lidah dan juga pada mata...siapakah mereka? Siapakah teman akrab kita? Tanyakan iman, di mana diri kita di setiap hari baru bermula.

Diam lebih berharga untuk mengawal diri 

Dalam perjalanan yang berliku, menempuh cabang dugaan dan cabaran tentunya kita pernah sesekali terlajak kata dan laku. Buat apa dilayan ombak fitnah dan angin lalu yang membawa berita bisu. Diamkan sahaja semua itu. Berbalas kata dan kejian yang tak berilmu hanya membawa hati semakin kelam. Hitam itu tidak membawa keberkatan pada hati, semakin kita berbalah-balahan...fitnah menjadi biasa. Akhirnya dosa menjadi bekalan sedangkan diam boleh menghadiahkan sinar pahala buat kita, buat kamu...

Bahasa yang paling manis adalah senyum

Senyum ibarat cahaya matahari pagi bagi sebuah kehidupan yang baru bermula. Senyum punya pancaran dan pesonanya yang tulus menjadi teman sepanjang hidup, selagi ada nyawa yang dikandung badan. Senyum adalah bahasa tubuh, menggambarkan hidup bahagia insan. Jika senyum boleh mengubati lelah di sepanjang perjalananmu...kutiplah senyuman itu walau di mana kaki melangkah. 

Senyuman yang ikhlas menjadi indah dan lontaran bahasa yang mudahnya untuk dihadam oleh perasaan seorang manusia.

Diam dan sentiasa tersenyum...mencambahkan sifat sabar yang indah! Begitulah hidup berpusing dengan waktunya...

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.