Aku Yang Terlewat 8

loading...


Lelaki yang aku gelarkan ZIS itu begitu macho dan gentleman meladeni setiap ajakan wanita mata duitan yang ingin bergambar dengannya. Wanita mata duitan? Ahh...prejudiskah aku? Apa lagi yang wanita-wanita genit itu mahukan jika bukan wang dan kemewahan? ZIS ada semuanya.

Aku melirik ke arah Hannah yang culas ketawa riang bersama teman-temannya. Teman sepejabat yang meraikan kehadiran bos baru. Hannah bukan wanita mata duitan. Jika tidak, takkan dipilihnya aku yang miskin harta ini? Nasib baik aset aku yang lain tidak kalah dengan ZIS. Dia dan aku lebih kurang tingginya. Warna kulit juga tidak jauh bezanya. Jawatan? Aku kalah satu tingkat, jikalau pandai bodek Datuk Khalid dapatlah naik pangkat dengan cepat. He..he..aku menyeringai sendiri sambil merenung gelas yang berisi fresh orange yang berbaki sedikit.

Hannah masih berborak dengan rakan-rakannya. Sesekali mataku terserempak dengan mata lelaki lain yang merenung Hannah. Itulah susahnya dapat isteri cantik. Cemburu dan panas hati sudah jadi makanan dalam sanubari. Jika tidak cukup sabar, sudah lama aku hayunkan penumbuk ke muka-muka jantan poyo tersebut. Tetapi bukankah Hannah juga patut dipersalahkan? Tetapi Hannah itu isteri siapa? Isteri lelaki ini yang bernama Zaffril. Dayuslah seorang lelaki membiarkan aurat isterinya tidak dilindungi, tidak ditutup dan terdedah kepada mata lelaki bukan mahramnya. Masyaallah...aku juga yang bersalah!!

"Kenapa bro?"

Satu tepukan lembut singgah dibahu. Aku menoleh perlahan. Dengan serta merta rambut yang serabai aku kaup dengan tangan. Secara magik, rambutku yang lurus itu dengan mudah menjadi kemas semula. Well...aku kan serba boleh.

"Tak ada apa. Macam biasa.." Entah apa aku merepek dengan ZIS pun aku tak tahu.

"Kau sihat kan?"

"Of course." Egonya jawapan aku.

"Hannah..."

Aku rasakan suara ZIS bergetar tatkala menyebut nama Hannah. Aku cemburu. Rasa ini datang lagi. Lebih kuat dan padu. Kalau macam ini gayanya boleh sakit jantung aku dibuatnya.

"Macam biasa. Seperti apa yang kau tengok sekarang." Aku masih mengawal nafasku.

"Dia masih macam dulu-dulu juga. Langsing dan periang. Intelligent girl..."

"Kau silap kut."

"She is woman, not girl anymore. And...my woman. My wife. Kalau kau dah terlupa." Aku mengeraskan suara.

"Rilekslah Zaff. Aku tersilap cakap tadi."

Sekali lagi dengan machonya dia menepuk bahuku lembut. Hatiku jadi tenang sedikit.

"Moga korang bahagia." Perit tekakku mendapat ucapan dari mulut ZIS.

"Terima kasih bro!" Keras dan datar sahaja suaraku.

Mata kami sama-sama terarah ke satu susuk tubuh yang sedang menjadi bahan perbualan. Secara tidak sengaja Hannah pun sedang memandang ke arah kami. Senyumannya dilemparkan. Matanya tepat memaut ke arahku. Bangganya aku saat itu. Hannah seorang bidadari cinta, hadir kedunia untuk membawa kebahagiaan. Kepada ku sebenarnya, cuma aku yang sering terlewat...berdosakah aku?

"Dia wanita setia, bro. Bertuah kau." Entah sindiran atau kenyataan yang keluar dari mulut lelaki tiga nama ini, apa aku kisahkan. Dua-dua pun boleh diterima sebagai pujian yang positif.

"Kau bila lagi?" Aku pun ingin menebak isi hatinya.

"Belum jumpa." Jawabnya ringkas.

"Nak cari yang macam mana lagi? Kat oversea tak ada yang berkenan ke? Menipu sangat." Aku menyeringai.

"Nak cari yang macam bidadari di dunia." Luahan ZIS mendebarkan dada. Macam tahu-tahu aje yang aku gelarkan Hannah itu Bidadari. Atau adakah kami bermimpikan insan yang sama nama dan serupa wajah?

"Jom join us. We rock the world."

Aku hanya mengangkat tangan tanda berbasa basi menerima pelawaan ZIS. Rock the world? Banyak cantik! Sudahlah baru sebentar tadi kau buat statement maut, sekarang nak ajak orang bergembira ria pula. Mentang-mentang kau masih bujang, bolehlah joli katak. Bergesel sana sini lelaki perempuan. Lainlah aku...status dah bertukar. Eh! Bukankan bercampur lelaki perempuan itu haram tak mengira bujang atau yang sudah berkahwin. Masak...masak...kalau emak tahu aku pergi tempat macam ini, tentu sudah lama aku kena kurung. Lamunanku dah merayap sampai ke kampung pula. Merepek betul....

"You!"

"Hah!? Kat mana kita?"

"Dreaming? Tempat havoc macam ini pun sempat berangan ke?" Hannah berbisik di telingaku.

"You tak join dia orang?" Aku bertanya balik bagi menyorokkan kekalutanku.

"Tak mahulah. Jom balik. Dah lewat ni."

"Kawan you yang lain?"

"Prospect ramai...pandai-pandailah dia orang balik nanti. I dah mengantuklah dear..." Manjanya suara isteriku Hannah. Aku semakin jatuh cinta padanya.

Hannah memang seorang wanita yang bijak. Dalam ketegasan ada sisi manjanya. Dalam kelembutan, ada sisi nakalnya. Dia tahu memainkan peranan untuk menawan hati lelaki yang kaku seperti aku! Jadi, bodohlah aku jika tidak menjaga mutiara timur ini dengan selayaknya. Mudah-mudahan aku belum terlewat untuk menawan kembali perhatiannya padaku. Aku berharap dengan harapan hinggalah telefonku berdering ketika aku mahu menghidupkan enjin kereta.

"Ya Datuk?"

"Sekarang ke?" Wajahku cemas apabila Datuk Khalid mengkhabarkan sesuatu.

"Bila?"

"Sekarang?"

Aku hidupkan enjin kereta. Tetapi mataku dan Hannah bertatapan seketika. Mungkin dia faham maksudku.

"Datuk Khalid?" Tanya Hannah.

Aku mengangguk. Aku gelisah kerana hendak cepat ke banglo Datuk. Manakala Hannah pula meminta perhatian. Wajahnya sudah bertukar muram kerana aku pasti akan memintanya menumpang rakan-rakannya untuk pulang.

"I ikut you tak boleh ke?"

"Tak boleh. Lain kali I kenalkan you dengan Datuk secara rasmi."

"Jadi Datuk tak tahu yang you ni dah kahwin? Sampai nak tunggu kenalkan secara rasmi konon!"

Mulutku memang tak ada insurans betul, boleh pula masa begini terbongkar taktikku berlagak bujang di hadapan Datuk. Mulut oh mulut, memang kamu tak sekolah!

"I balik sendiri."

Aku lihat dari dalam kereta bila kelibat Hannah menyelinap masuk ke dalam bistro semula. Tetapi serentak itu juga kakiku telah menekan minyak Harrier dan meluncur laju menghala ke rumah Datuk Khalid.

Tentang Hannah, balik nanti bolehlah aku pujuk semula. Begitulah aku dalam tanpa sedar telah melukakan hati Hannah sekali lagi. Bukan sekali, tetapi berkali-kali...


4 comments:

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.