Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Aug 23, 2014

Biodata Sasterawan Negara Dr Lim Swee Tin

aynora nur
Biodata Sasterawan Negara Dr Lim Swee Tin  - Beliau seorang penulis dan pensyarah bukan melayu tetapi terkenal di dalam dunia penulisan melayu. Itulah uniknya Dr Lim Swee Tin yang juga seorang professor di sebuah universiti tempatan.


Sasterawan Negara Dr Lim Swee Tin


Beliau telah berkecimpung dalam dunia penulisan Malaysia selama lebih kurang 40 tahun.

Biodata Sasterawan Negara Dr Lim Swee Tin


Dr Lim Swee Tin dilahirkan di Bachok, Kelantan pada 26 September 1952. Dalam bidang penulisan, Lim cenderung menulis puisi. Karya awalnya terbit pada tahun 1973. Lim juga menghasilkan cerpen, novel dan tulisan-tulisan bercorak kesusasteraan. Pada tahun 1990, beliau mewakili negara pada acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur. Pada tahun yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka memilih beliau bagi program Penataran Karya Sastera selama hampir sebulan di Jakarta, Indonesia.

Antara karya yang telah diterbitkan ialah "Eva" (1981), "Akrab" (1985), "Menyusur Musim" (1991), "Seorang Anak Kecil dan Sajak-sajak Lain/A Child and Other Poems (puisi dwibahasa, 1993), "Masih" (1997), "Sebuah Fragmen Cinta" (1998) dan "Nyanyian Sepi" (puisi dwibahasa, 2000).

Lim Swee Tin pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83, 1986/87, 1988/89, Hadiah Penghargaan Anugerah Puisi Putra 2, 1983 melalui antologi "Akrab", hadiah kedua Peraduan menulis Cerpen dan Puisi 100 Tahun Kuala Lumpur, Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank, Hadiah Cerpen DBP-Maybank dan banyak lagi.

Puisi beliau berjudul "Ketika Kami Bercerita Tentangnya" telah dipilih sebagai teks puisi di dalam antologi "Anak Bumi Tercinta" yang merupakan antologi Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu bagi Tingkatan 3.

Karya-karya Dr Lim Swee Tin untuk tatapan segenap lapisan masyarakat. Tidak membataskan temanya kepada sesuatu kelompok tertentu sahaja, Lim menyelinap masuk ke sukma warga petani dan nelayan, ke redup dan gundah manusia kecil seperti pengemis dan orang gelandangan, keharmonian kampung dan negerinya, pancaroba permasalahan kehidupan semasa sehinggalah soal-soal politik juga. Lim mengangkat tema persahabatan dan persaudaraan yang tulus lagi tulen, perpaduan dan integrasi masyarakat serta bangsa, sehinggalah ke isu perang dan kekejaman di luar sana. Sebuah kumpulan 50 puisi seluruhnya bertemakan patriotisme Cakerawala Kemerdekaan (2007) barangkali satu-satu yang serupa itu pernah diterbitkan di negara kita, Malaysia. Karya beliau banyak yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thai, Jerman, Portugis, dan beberapa lagi bahasa dunia yang lain.


Pandangan Dr Lim Swee Tin Tentang Bahasa Melayu


Beliau kini menyandang jawatan pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, jawatan yang disandangnya sejak 1 Disember 2000. Bukan sahaja dilahir dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Bahkan Dr Lim turut bersekolah Melayu, boleh dikatakan dunianya 100 peratus Melayu!

Sambil menyifatkan pengalaman hidupnya berbeza daripada kebanyakan orang lain, sebelum berusia enam tahun dan sebelum masuk darjah satu, beliau sudah boleh menulis dan membaca dalam Bahasa Melayu.

"Masa itu tidak ada tadika. Saya juga belajar sendiri sebelum masuk ke sekolah. Saya rapat dengan sebuah keluarga Melayu dan anak-anak dia, menjadikan kakak-kakak angkat saya mengajar saya membaca dan menulis.'

"Secara kebetulan bapa saya ada duit sedikit dan membelikan buku untuk saya baca. Buku yang kecil-kecil dan nipis, harganya sekitar 5 sen atau 10 sen sebuah. Masa itu, sebulan sekali ada peniaga yang datang ke kampung menjual buku-buku ini.

"Saya juga baca buku, kalau tidak silap kisah daripada Sejarah Melayu yang diringkaskan dan dipermudahkan. Saya suka kepada bentuk bahasa dan karya sastera," Dr Lim mengingati semula zaman kanak-kanaknya. Minat membaca yang disemai dan dipupuk dari usia muda ternyata menumbuhsubur minatnya dalam kesusasteraan Melayu dan penyumbang utama kepada kejayaannya hari ini.

Justeru tidak hairanlah beliau sentiasa mengesyorkan supaya masyarakat Malaysia hari ini tanpa mengira bangsa dan keturunan agar merapatkan anak-anak mereka dengan pembacaan Bahasa Melayu.

"Ini akan menjadi asas yang kuat berdasarkan pengalaman saya sendiri," katanya.

Dr Lim turut berpandangan dalam konteks masyarakat Malaysia, interaksi kaum amat perlu dalam mewujudkan sebuah bangsa Malaysia. Ia adalah antara ramuan utama untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang kukuh dan padu.

"Kita mesti perluaskan interaksi kita. Jangan dihalang interaksi antara kaum, jangan dibatasi walau dalam apa jua bidang.

"Interaksi inilah yang akan semakin mendekatkan kita kepada penguasaan bahasa di samping mewujudkan persefahaman dan sikap tolak ansur serta perpaduan yang kukuh.

"Jangan ambil mudah hal ini. Lambat laun anak-anak akan membesar dalam sifat yang tidak janggal," tegasnya.

Dalam konteks yang sama, Dr Lim turut berpandangan perlu dikikis prasangka dan kekeliruan yang wujud dan berlaku dalam hal-hal yang disifatkannya sebagai remeh-temeh yang tidak menyokong pembinaan satu negara bangsa dalam erti kata yang sebenarnya.

"Kadang-kadang kita bercakap hendak membina sebuah masyarakat yang padu, yang kukuh tetapi dari segi pelaksanaan kita berbuat sesuatu yang menunjukkan kita ada prasangka," tambahnya.
Dr Lim dan Bahasa Melayu boleh diibaratkan sebagai lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan.
Runtunan hatinya mengenai nasib Bahasa Melayu yang sering beliau sebut sebagai ‘Bahasa kita’ sepanjang wawancara ini menunjukkan betapa mendalamnya beliau menjiwai isu ini.

Perjuangan yang telah berakar umbi sejak empat dekad yang lalu masih diteruskan ke hari ini seperti katanya," selagi saya terdaya saya akan teruskan."

Bermula daripada membaca buku-buku cerita Melayu semasa kecil, minatnya untuk mendalami kesusasteraan Melayu terus bercambah sewaktu beliau belajar di maktab perguruan dan terbabit secara aktif dalam Persatuan Bahasa dan Budaya.

Beliau turut mengkagumi tamadun Melayu yang disifatkannya terbina degan begitu halus dan indah.
Dr Lim turut menjadikan pembabitannya dalam bidang Bahasa Melayu ketika di maktab perguruan sebagai asas untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dalam dirinya.

Beliau mahu membuktikan bahawa orang Cina juga mengambil tahu tentang Bahasa Melayu dan boleh menguasai serta menjadikan Bahasa Melayu itu menjadi ‘bahasa kita’.
Berpidato dalam Bahasa Melayu dan menulis dalam Bahasa Melayu menjadikan namanya mula dikenali dan disegani.

"Saya kata saya nak menulis dalam Bahasa Melayu supaya orang Melayu tahu Lim boleh menulis dalam Bahasa Melayu. Dia sayang Bahasa Melayu, cinta Bahasa Melayu.

"Masyarakat bukan Melayu pula berkata ada seorang bukan Melayu yang bagus Bahasa Melayu. Mengapa anak saya tidak bagus seperti dia. Itu yang saya ingin, menjadi contoh, " katanya. 

Pucuk dicita ulam mendatang. Kejayaan yang diraih Dr Lim turut menjadikannya sebagai contoh teladan.
Sering beliau ketemu ibu bapa yang bukan sahaja memujinya tetapi memberitahu mereka menjadikan kejayaan beliau menguasai Bahasa Melayu sebagai contoh untuk diteladani anak-anak mereka.
Pun dalam masa yang sama beliau memberitahu sudah ramai orang bukan Melayu, iaitu Cina dan India yang sekarang bercakap berkias-kias.

"Ini sesuatu yang membanggakan tetapi janganlah sampai kita hendakkan kesempurnaan sehingga kita berkata tidak semua yang pandai berkias," kata Dr Lim.

Beliau turut meminta supaya tidak memandang serong kepada orang bukan Melayu yang tidak fasih atau tidak boleh berbahasa Melayu langsung.

Sambil menyifatkan kelompok seperti itu semakin mengecil kerana ramai yang sudah meninggal dunia, beliau memberitahu memang ada sesetengah ahli masyarakat Cina yang tidak pernah mendapat pendidikan Melayu.

"Mereka itu hanya pandai berbahasa Melayu pasar melalui pergaulan dengan orang Melayu atau langsung tidak boleh bertutur Bahasa Melayu sebab mereka hanya berinteraksi dengan orang Cina.

"Kehidupan sehari-hari kelompok ini dalam lingkungan keluarga Cina, membeli-belah di kedai Cina, jadi langsung tidak boleh bercakap Melayu.

"Jadi apabila kita bercakap hari ini ada orang Cina yang tidak boleh bercakap Bahasa Melayu, itulah golongannya. Tidak boleh menyalahkan mereka. Keadaan yang menjadikan mereka begitu, " jelasnya.

Untuk mengikuti transkrip penuh perbualan Dr Lim Swee Tin terhadap Bahasa Melayu, boleh layari pautan ini. 


Sumber rujukan:

1. Utusan Malaysia
2. Wikipedia Malaysia 
3. Arkib - mStar  

aynora nur / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

0 comments:

Post a Comment

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates