Header Ads

Seputih Dandelion Seindah Pelangi - 1



Imannur menghempas beg tangan di atas meja. Laluan perjalanan ke tempat kerja tadi yang banyak ragamnya sungguh memenatkan. Tubuh penat, perasaan sakit dan kaki pun lenguh. Mana tidaknya, pakai kereta manual memang macam itu. Dalam tak sedar dia melepaskan keluhan sekali lagi. Yang jelas, keluhan kali ini ditujukan khas buat abang Hairol. Abang iparnya itu memaksanya menggunakan kereta proton saga buruk itu disebabkan Mr Blacknya gagal di'nyawa'kan pagi tadi.

“Why?”

“Penat dan sakit hati.”

“Kenapa?”

“Jammed la…apa lagi.”

“Selalu pun jammed juga tapi kau tak macam ni.” Muka Aisyah berkerut.

“Mr Black meragam. Jadi aku bawa kereta abang Hairol yang teramatlah lajunya tu..”

Aisyah ketawa polos. Bukan sengaja mahu mentertawakan Imannur tetapi sudah tawanya tidak dapat ditahan, lepaskan sajalah. Lagipun Imannur menunjukkan memek wajah yang agak lucu, tentulah dia ketawa.

“Reda ajelah…” pujuk Aisyah datang mendekat.

“Tengah reda lah ni cik akak oi…”

“Muka orang reda tak macam itu. Muncung sedepa.”

“Habis tu macam mana rupanya?” Imannur buat muka geram.

“Macam ini…” Aisyah menyuakan gambar pengacara TV dalam majalah wanita yang manis bertudung dengan senyum yang lembut. Redup wajahnya.

Irma Hasmie; getus bibir Imannur perlahan. Herm…memang cantik.

"Dia Irma...aku Iman..sangat berbeza."

"Iya lah tu cik Iman. Sepatutnya awak lebih beriman sesuai dengan namanya..." Aisyah membalas pedas.

Tanpa menunggu balasan daripada Imannur, Aisyah terus berlalu ke pantri. Dia pasti Imannur sedang menjeling padanya dengan pandangan amat tajam.


******

Imannur membuka suis komputernya. Fail yang bersusun di bucu meja dikerling sekilas. Dalam hati dia melafaz doa agar segala urusan pekerjaannya hari ini dipermudahkan. Kemudian dia membaca al Fatihah untuk disedekahkan kepada kedua orang tuanya yang telah meninggal dunia. Itulah rutinnya setiap hari saat mahu memulakan kerja.

"Macam mana dengan rumah yang kita pergi tengok semalam? Ada yang berminat?" tanya Aisyah yang baru keluar dari pantri.

Aisyah meletakkan mug yang dibawa di sisi meja Imannur. Matanya tertancap pada skrin komputer milik gadis manis yang bertudung kuning itu. Dandelion putih yang segar. Cantik. Macam pemiliknya juga.

"Belum respon."

"Prospek yang sama, kan?"

"Ha'ah. Nak ambil government loan. Kau ada yang lain ke? Kalau ada tolong pass kat aku. Nanti sempat aku follow up..." Imannur sedang melihat cermin sambil membetulkan tudungnya.

"Orait Cik Iman. Dah cantik lah tu..." Usik Aisyah sambil berlalu ke mejanya.

"Cik puan...ini siapa nak minum?"

Aisyah menoleh sambil tersengih kecil. Dia mengambil mugnya yang berisi nescafe dari meja Imannur.

"Jangan lupa."

"Lupa apa?" Luah Aisyah yang baru melabuhkan punggung di kerusi.

"Prospek baru. Yang solid sikit tau.." Imannur mengingatkan.

"Solid?"

"Incomenya la dear..."

Aisyah tertawa kecil.


*******

Pop up FB Messenger berbunyi menandakan ada mesej masuk. Imannur Zafira menekan ikon tersebut. Ucapan salam dari seseorang. Menggunakan pelangi sebagai gambar Profile. Seingat Imannur sudah tiga kali orang itu request friend dengannya. Namanya Zinn. Dan pada kali ini berani menembusi kotak mesejnya. Siapa dia ni? Tak kenal pun. Argh...abaikan saja. Tak terfikir pun untuk Imannur menyemak album gambar pemilik bernama Zinn itu. Biarkan, lama-lama penatlah manusia bernama Zinn itu untuk menyapanya.

"Aisyah...kita ada customer nama Zinn tak?"

Dalam tak endah, terpacul juga pertanyaan dan nama itu dari bibir nipis Imannur.

"Zinn?" Aisyah menoleh sekilas. Sibuk benar dengan kerja-kerjanya. Fail bertimbun juga di atas mejanya.

"Ya...Zinn."

"Cuba tengok dalam sistem..."

"Malaslah..." Imannur endah tak endah.

"Oitt Cik Iman, benda depan mata pun malas. Teruk betul sikap kau ni, kan?" Aisyah membebel.

"Forget it! Tak penting pun."

"Dah kena interest ke file dia?" Aisyah masih tak puas hati.

"Tak tau. Itu aku tanya kau, ada ke tidak customer yang bernama Zinn..." Imannur masih berbasa basi.

"Aku tak pernah go through nama macam itu. Tak ada kot.."

Kalau bukan pelanggan mereka, siapakah gerangan lelaki pelangi itu? Lelakikah? Tetapi bukankah secara biasanya Zinn itu nama untuk lelaki. Deria rasa keenamnya juga berfirasat begitu. Bunyi 'beep' yang masuk di telefonnya mengejutkan Imannur buat ke sekian kalinya.

"Salam Jumaat. Tak jawab berdosa."

Mesej daripada Zinn lagi!





Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.